4 - Kamelia Bukak Cerita
"Woi, Adli! Bila sampai? Datang-datang bawak nasi lemak Sakinah," kata Nizam yang sedang menggosok kepala dengan tuala warna pink.
Adli hulur tangan dan fistbump Nizam.
"Aku baru dapat lesen kereta la, jadi aku belanja la korang semua, amacam, power tak?" kata Adli sambil jarinya main-main kat kunci kereta ayahnya. Dia rasa macam power gila dah ada kereta.
Kamelia dan Eleena sedang di dapur, menghidangkan lauk-pauk dalam pinggan. Edry pula sedang menonton cerita kartun Adventure Time yang dibelinya satu siri.
"Lepas ni best la kau, ada kereta dah, Li," Nizam melabuhkan punggung ke kerusi.
"Best apa, aku kena la tolong abah aku pergi pasar, beli barang-barang niaga."
"Dah nanti kau juga yang sambung perniagaan ayah kau juga, Li. Macam aku ni, lagi la, entah apa yang kena buat nak hidup."
Adli dekatkan diri pada Nizam.
"Awek kaya boleh laaa!"
"Chait!"
"Eleena, tadi kata ada adventure tu, amende?" tiba-tiba Adli buka topik. Kamelia cuba kunci mulut, seolah-olah ada menyimpan rahsia yang tersembunyi.
"Ya! Ya! Ha, Kam, awak cerita la pasal Mentadak Mentadu awak tu, kitorang semua nak dengar," kata Eleena yang sudah selesai menghidangkan semua makanan. Sarapan nasi lemak Sakinah yang dibawa Adli.
Kamelia keberatan. Bukan apa, selama ni kerja-kerja ni dia buat seorang diri. Ni bila dah melibatkan ramai orang ni, dia takut tak terjalan kerja penyiasatan ni.
"Kam?" Nizam tegur Kamelia yang dari tadi mendiamkan diri.
"Sedap sambal paru ni, sedap! Garing betul, anda cuba rasa. Macam keropok," Kamelia cuba mengalihkan cerita, seolah-olah macam tak selesa.
Semua orang memandang Kamelia dan menunggu Kamelia buka cerita.
"Kenapa awak macam susah nak cerita? Hari tu awak ok je buka cerita pasal Mentadak Mentadu tu?" tanya Eleena.
"Mentadak Mentadu? Apa benda ni?" Adli terpinga-pinga tak tahu hujung pangkal cerita.
Kamelia terus diam, mulutnya agak keberatan. Dia pandang mata Eleena yang begitu berharap untuk dia membuka ceritanya.
"Hmm, baiklah. Camni ceritanya."
Semua dah tarik kerusi dekat dengan Kamelia.
"Dulu, masa aku tak kenal korang semua, aku selalu habiskan masa aku, berjalan-jalan kat Bandar Tun Hussein Onn. Tak kenal sesiapa, dan aku ni bukannya suka tegur orang sangat. Jadi, aku nampak rumah kosong depan padang Suasana ni."
"Oh, rumah yang orang kata berhantu tu ke?" Adli menyampuk.
"Jangan menyampuklah, Adli!" Nizam tepuk peha Adli.
"Lepas tu, aku masuk senyap-senyap dalam rumah bernombor 6 tu. Gate depan dia patah, dah berkarat, reput dah kot. Jadi aku tengok depan laman tu ada semak tinggi-tinggi. Aku tengok peti surat tu, ada banyak surat. Surat sampul macam-macam warna. Tapi satu pun bukan bil, bukan surat Urusan Seri Paduka Baginda."
--
Kamelia mengambil semua surat-surat yang ada di dalam peti surat itu, dan kemudian pulang ke rumah. Dia takut nak buka surat tu, tapi perasaan ingin tahunya membuatkan dia terus membuka surat-surat tersebut.
Setiap kali dia buka surat, akan ada foto gambar lelaki, yang berposing, gaya rambut belah tengah 90an, dengan isi surat seperti mahu berkenalan.
Semua surat-surat itu seolah-olah seperti biodata. Nama, umur, nombor telefon, makanan kegemaran, minuman kegemaran, benda-benda yang sering ditulis dalam ruangan sahabat pena. Ternyata surat-surat ini datang dari mereka yang nak berkenalan dengan seorang perempuan yang bernama Julia, yang dikenali dari ruangan sahabat pena dari majalah hiburan 90an seperti URTV, Rentak Muzik dan sebagainya.
Mula-mula Kamelia rasa, biasalah zaman 90an masa tak ada media sosial, atau chatroom, ruangan sahabat pena lah 'socmed' masa tu. Kemudian Kamelia tergerak hati nak Google satu per satu nama.
Sehinggalah dia terlintas pada seseorang yang bernama Arman. Dia duduk CP5. Alamatnya, nombor telefon, gambar, semuanya lengkap.
Kamelia bercadang untuk ke rumah Arman dan bertanya padanya sendiri. Dan ketika itulah, dia dapat tahu sedikit cerita.
Ibu Arman tinggal seorang diri dan masih sedih atas kehilangan Arman. Ibu Arman melihat Kamelia sebagai seorang anak yang mahu mengetahui semua cerita. Dia menunjukkan bilik Arman yang penuh dengan poster wrestling 90an seperti Shawn Michaels, Razor Ramon, The Smoking Gunns dan Yokozuna. Serta Bret The Hitman Hart. Dia mempunyai banyak koleksi tape VHR wrestling WWF dan WCW serta tape lucah.
"Dia kata cita-cita dia nak jadi penulis skrip wrestling, kerana dia minat sangat dengan wrestling," kata ibu Arman pada Kamelia.
"Apa jadi pada dia, makcik?"
Ibu Arman kata bahawa ada kerja kosong sebagai posmen di Pejabat Pos Kajang. Arman seorang penganggur dan satu Cheras Perdana tak suka dia, sebab dia ada masalah mental yang serius. Dia suka tunjuk anunya pada perempuan.
"Oh, flasher," Kamelia menggangguk faham.
"Dulu dia ada mata air, tapi sebab dia menganggur, mata airnya pun rasa tak ada masa depan, dan dia pun tinggalkan Arman. Sejak tu Arman suka tunjuk anu kat orang ramai. Makcik cuba tahan. Ayah dia langsung tak peduli dia lagi."
Jadi, satu hari, Arman kata dia mahu ke pejabat pos. Ibu Arman gembira kerana Arman nak berubah, tapi selepas itu, dia terus tidak lagi pulang ke rumah sampai sekarang.
Kamelia cuba baca balik surat Arman. Dan surat-surat yang lain. Kemudian Kamelia merasakan, apakah lelaki-lelaki ini juga semuanya hilang macam Arman?
Satu pagi, Kamelia pecah masuk dalam rumah tu. Dia bau darah, dan dia nampak isi rumah itu seperti ada sesuatu yang pelik-pelik. Sepender lelaki, baju lelaki, dan kasut-kasut yang bermacam rupa dan harga.
Kamelia naik ke tingkat dua rumah tersebut. Dia masuk satu per satu bilik, dan dia nampak ada satu bilik, penuh dengan lilin dan abu, seperti tempat pemujaan.
Dari situ, Kamelia merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan rumah nombor enam ini.
--
"Fuck," terpacul mulut Adli mendengar cerita Kamelia.
"Patutnya masuk Creepyposta ni siot!" kata Nizam pula.
"Sebab tu aku kalau boleh tak nak cerita sangat benda ni, sebab aku rasa ada sesuatu yang lebih angker dari apa yang aku tahu, dan aku rasa takat tu je kot aku boleh pergi," kata Kamelia.
"Awak rasa, awak tak nak buat sesuatu, demi ibu Arman?" tanya Eleena.
"Aku pernah dengar cerita Arman ni kat abang-abang area rumah aku ni. Dia ni memang gila seks. Masa tu, sekolah CP ni pun tak wujud lagi, dia suka tunjuk punai dia kat sekolah Perimbun. Kena halau, kena pukul dengan guard. Aku tak tahu la kalau-kalau ada orang tokok tambah cerita," kata Adli yang menghabiskan sebungkus nasi lemak sambal paru tadi.
"Apa kata kita semua pergi tengok rumah nombor enam tu?" tanya Eleena pada semua.
"Set!" Adli terus fistbump Eleena, tanpa fikir banyak.
"Huish, aku ni dah la seriau darah," kata Nizam.
"Better jangan kot," kata Kamelia.
"Awak...please? Saya nak tahu lebih lanjut. Apa jadi pada Arman, lelaki-lelaki lain. Awak, Nizam, macam mana? Are you in?" Eleena cuba memujuk kekasihnya untuk undi ketiga.
"Fuh! Susah ni!" respon Nizam.
"Daripada kita semua boring tak ada apa nak buat ni, baik kita buat sesuatu, kan?" Eleena terus mendesak.
"Tapi bagi aku baca semua surat-surat tu, ok tak?" kata Adli.
"Dan kita semua akan menyiasat misteri Mentadak Mentadu ni. Oh ya, kenapa ia dipanggil Mentadak Mentadu, Kam?" Eleena bertanya.
"Sebab mentadak mentadu betina akan makan kepala mentadak mentadu jantan dan bunuh selepas seks."
"Interesting. Surat-surat tu ada pada awak lagi, Kam?"
"Ya, nota saya semua ada di rumah," kata Kamelia.
"Kita ke Kam's lepas ni, boleh?" Eleena memberi cadangan.
"Set!" kata Adli.
"Awak ok ke?" tanya Eleena pada Nizam.
"Saya ok je."
"Awak, Kam?"
Kamelia mengangguk.
"Lekas makan, lepas ni kita semua akan lepak di rumah Kamelia, membongkar misteri rumah nombor enam," Eleena menghabiskan nasi lemak sambil bersemangat untuk memulakan adventurenya ini.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top