Jam pukul 5 pagi saat Nizam bangun dan melihat Eleena sedang menulis nota dan membelek-belek failnya sambil dengar lagu Cinta Melulu dari Efek Rumah Kaca.
Nizam melihat Eleena begitu fokus mencari maklumat dalam keratan-keratan akhbar yang dicari dan dicetak oleh Edry. Penuh dengan garisan highlighter, penuh dengan peta minda, penuh dengan carta, penuh dengan kiraan matematik, dan penuh dengan nota-nota, serta buku-buku di sebelahnya.
"Oh, cinta dah bangun?" kata Eleena yang baru menyedari Nizam memeluknya dari belakang.
"Ada jumpa apa-apa?" tanya Nizam.
"Setakat ini, saya cuba mencari kebarangkalian kaitan antara surat-surat sahabat pena ini dengan kejadian penemuan mayat tanpa kemaluan dan kepala di sekitar Cheras sekitar tahun 1996," kata Eleena, sambil mengira kebarangkalian dalam bentuk matematik.
"Menurut laporan berita ini, mayat sering ditemui di Bukit Enggang. Berapa jauh rumah nombor enam dengan Bukit Enggang?" tanya Eleena.
"Bukit Enggang tu nama lama untuk Bandar Mahkota Cheras lah, cinta," kata Nizam.
"Pembangunan adalah pemadam sejarah. Cheras Perdana padamkan sejarah Kampung Perimbun. Bandar Mahkota Cheras padamkan Bukit Enggang. Shah Alam padamkan Sungai Renggam. Putrajaya padamkan Prang Besar. Awak tak rasa ke semua ini berkaitan?" tanya Eleena.
"Maksud awak?"
"Bagi saya, orang tak membunuh tanpa sebab. Mesti ada motif. Kenapa perempuan ini, seperti cerita seks mentadak mentadu ini, bunuh lelaki-lelaki ini? Mesti ada cerita dari Kampung Perimbun yang dipadam oleh pembangunan Cheras Perdana."
Eleena garu-garu kepala.
"Saya masak untuk awak, nak?" tanya Nizam. Eleena senyum.
"Awak nak masak apa?"
"Nasi goreng Nizam," kata Nizam. Dia terus ke dapur, dan lihat di peti ais, ada ayam goreng yang digoreng Eleena tadi. Dia buka freezer, ada hot dog. Kemudian dia nampak sayur bayam dan nasi yang dimasak oleh Eleena malam tadi.
"Okay lagi ni," kata Nizam sambil bau nasi. Beras yang Eleena beli adalah beras berkualiti tinggi, kandungan beras hancur hampir tiada langsung.
Nizam potong bawang Holland, bawang putih, cili kering dan mula merebus hot dog. Kemudian dia panaskan minyak di kuali, dan tumis segala bahan tumis sambil mengawal hot dog. 2 minit rebus, Nizam keluarkan hot dog dari rebusan, dan potong kecil-kecil. Dia tumis sekali, sebelum letak nasi dan dia potong sayur bayam, sambil menggaul nasi goreng itu, sebelum dia letak garam dan gaul sebelum tutup api.
"Nasi goreng Nizam, siap!" kata Nizam sambil meletakkan nasi goreng tersebut di sebelah Eleena.
"Wah, sedapnya!" kata Eleena.
"Saya tak pandai masak kari kepala ikan gaya Nyonya," Nizam cuba merendah diri.
"Yang penting..." Eleena tunjuk pada dada kiri Nizam. Nizam hanya tersenyum.
"Cinta, apa yang awak tahu tentang sejarah Cheras Perdana?" tanya Eleena.
"Saya tak tahu banyak. Pindah-pindah je dah ada Cheras Perdana," jawab Nizam, ringkas.
Eleena mengangguk.
"Adli pernah cerita yang kamu kenal sebab selalu lepak dengan abang burger bernama Dave, Abang Kay?"
"Band Paku Tekan?"
Eleena mengangguk lagi.
"Dorang yang buat saya kenal dengan muzik alternatif. Dorang memperkenalkan saya pada Nirvana."
"Awak masih contact dengan mereka?" tanya Eleena.
"Kenapa? Abang Kay sekarang dia duduk kat Bangi. Lebih tepat, Jalan Reko."
"Boleh kita jumpa mereka? Saya nak tanya tentang Arman. Berdasarkan cerita ayah Adli, saya mungkin mencari kebarangkalian antara surat-surat ini, ruangan sahabat pena, wanita bernama Julia, Maria dan Diana ni, serta kes mayat-mayat lelaki tanpa kemaluan dan kepala di sekitar Bukit Enggang pada tahun 1996," Eleena melukis peta minda dan menunjukkan lukisan itu pada Nizam.
"Boleh, boleh. Nanti kita ke sana jumpa dorang."
"Secara tak langsung, kita boleh menjumpai sejarah tempat ini, sebelum wujudnya Cheras Perdana," kata Eleena.
Lagu dari Mocca - On The Night Like This berkumandang. Nizam memeluk Eleena seeratnya.
"Cinta, saya bukan nak masuk campur, tapi, saya cuba memahami cinta. Cinta ada masalah dengan keluarga?" tanya Eleena sambil membiarkan Nizam mengusap rambutnya sambil mencium ubunnya.
Nizam hanya mendiamkan diri.
"Cinta, kan kita dah janji, tak ada rahsia antara kita?" Eleena pegang tangan Nizam.
"Mak dengan abah, gaduh lagi."
Eleena bangun dari peha Nizam, kemudian memeluk Nizam.
"Hari semalam, saya berbual dengan Kam pasal ni. Saya keluar dari rumah sebab mak dan abah bergaduh. Dan accident jatuh basikal."
Eleena pegang tangan Nizam, dan mengusap-usap tangannya.
"Kam cakap, sekurang-kurangnya saya ada mak dan abah. Dia tak ada mak. Awak lagi lah, tak ada mak dan ayah."
Eleena kembali melabuhkan kepalanya di peha Nizam.
"Setiap orang ada kesukarannya tersendiri. Awak pun ada trauma yang lepas, Kam dan panic disorder, saya pula rasa saya ni ada Richie Rich syndrome. Saya faham, perasaan ini berat," kata Eleena sambil melipat kertas yang berada di tangannya.
"Saya tak faham, memang standard ke pasangan kena gaduh?" tanya Nizam.
"Awak, awak ingat tak masa saya marah awak, pasal habit awak suka cuit lauk sebelum nasi masak? Atau, pegang handphone masa makan?" Eleena kembali bangun, dan memandang tepat pada mata Nizam.
"Ingat."
"Dua manusia bercinta menyebabkan dua benda akan bertembung. Awak perasan kan, sejak saya dengan awak, saya dah tolerate boleh makan di luar, atau makan kerepek kentang masa menonton filem?" kata Eleena.
"Dan saya tak sentuh lagi handphone masa makan, dan pandai matematik," tambah Nizam.
"Adakalanya pertembungan itu melanggar pendirian moral masing-masing, jadi sebab itu ada gaduh besar. Sesetengah benda, kita tak boleh ubah. Macam saya, pendirian moral saya ialah saya tak akan biarkan orang hina saya. Pendirian moral Adli ialah anti-establishment, dan Margeraisme yang dia pegang."
Nizam duduk dekat sebelah Eleena.
"Setiap fikiran manusia, ada raison d'etre, ada pendirian yang tak mampu diubah oleh apa-apa pun. Bila dua benda tu bertentangan, itulah punca pergaduhan," kata Eleena.
"Contoh?"
"Kalau awak bohong pada saya, awak dah langgar pendirian moral saya, sebab bila awak membohong, awak menghina saya," suara Eleena agak tegas.
"Jujur walau apa sekalipun, awak dah beritahu saya."
"Semua orang tak suka dibohongi. Itu pendirian moral ramai orang," kata Eleena sambil capai "Emily Blunt", dan bakar.
"Saya hisap bob marley depan awak, sebab inilah diri saya. Saya tak sorok apa-apa dari awak. Dan inilah diri saya. Buruk baik saya, inilah saya," Eleena menghembus asap ke atas.
"Masalah mak dan abah awak, bukan sepatutnya menjadi beban awak. Masalah mereka, biar mereka selesaikan sendiri. Kita bina hidup kita, barulah hidup kita bermakna," Eleena menghulurkan 'Emily Blunt' pada Nizam.
"Kadang-kadang, saya selalu tanya, saya ni layak tak, jadi boyfriend awak. Kenapa saya? Kenapa tak Hafiz yang pandai menulis puisi dan lirik lagu? Kenapa tak Adli, seorang yang hati kering. Kenapa tak Ail, seorang juara Geografi peringkat Daerah Hulu Langat?" tanya Nizam.
"Sebab ini," Eleena tunjukkan jari telunjuknya ke dada kiri Nizam.
Dia buka Spotifynya, dan tekan lagu Sheila Majid.
Aku cinta padamu... sungguh
Aku cinta padamu... sungguh
Mestikah ku ucapi
Dari mulutku sendiri
Aku cinta padamu
Kasih...
Mereka berpelukan sepanjang malam sambil kadang-kadang kedengaran ketawa kecil dari perbualan bisik mereka.
--
Keesokan harinya, Eleena dan Nizam menaiki Grab, kerana Adli perlu membantu keluarganya, menuju ke Jalan Reko, tempat abang Kay dan band Paku Tekan melepak.
Eleena datang sahaja restoran itu, dia memerhatikan dekorasi restoran Abang Kay.
Ada gambar Gun N Roses, gambar Kurt Cobain pecahkan gitar, dan gambar Fauziah Latiff.
Dan buka Sinar FM.
Tipikal Gen X Melayu.
"Niiiiizaaaaaammmm, dah besar dah lu? Dulu gua jumpa lu, lu kecik anak je!" kata Dave, yang kerja tukang lap meja dan ambik order.
Dalam hati Nizam macam nak menyumpah. Memanglah dah besar, takkan kecik pulak. Tapi fikir, orang tua.
"Ni makwe lu ke beb? Canggih!"
"Nama saya Eleena Mahathir," kata Eleena, dan senyum hormat.
"Dave. Nice to know you," kata Dave menghulur tangan untuk salam, tapi Eleena terkeluar tangan tumbuk untuk fistbump.
"Eh?"
"Oh, maaf," Eleena capai tangan Dave dan salam.
"Orang zaman sekarang fistbump, bang Dave," kata Nizam.
"Pelik-pelik je la budak zaman sekarang ni. Lagu entah apa-apa," kata Dave.
"Barangkali abang masih ingat MC Hammer is still a thing kot?" Eleena mengeluarkan kata yang agak sinis.
"Budak zaman sekarang layan Aiman Tino!" kata Dave.
"Kami ada juga dengar Masdo, South China Sea, Spooky Wet Dreams, kami ada Oh Chentaku, dan ada Kyoto Protocol, macam abang layan Terra Rosa, Bumiputera Rockers atau paling maksimum, Butterfingers."
Dave terdiam.
"Jangan ingat saya tak dengar Bob Tutopoli, Rokiah Wanda, dan Kassim Selamat and The Swallows," kata Eleena lagi, walaupun tidak tinggi suaranya, tapi kedengaran tegas.
Nizam terdiam dan pandang Eleena.
"Jom balik," kata Eleena.
"Cinta, awak ok? Kenapa ni?"
Eleena memeluk tubuh, tak selesa dengan golongan Generasi X yang suka mengutuk millennials sepertinya.
Tiba-tiba Abang Kay keluar dari dapur.
"Nizam, bilo ekau sampai ha?" tanya Abang Kay. Abang Kay terus hulur salam pada Nizam dan Eleena.
"Nama saya Eleena Mahathir," Eleena kembali menukar tone suaranya.
"Ekau nak makan apo jang? Sobab den dah lamo tak jumpo ekau, den belanjo ekau, mato air ekau, ekau bagitau aku apo ekau nak makan, den masak!" kata Abang Kay menyambut Nizam dan Eleena sebagai tetamu.
"Ada masakan Negeri Sembilan?" tanya Eleena.
"Ekau ni, den oghang Pilah, malu yo kek mak apak den lah! Ekau nak makan masakan Nismilan apo?" tanya Abang Kay pada Eleena.
"Masak lemak maman?"
"Itu ekau kono poie Moncheh. Sini Bangi yo, mano nak dapek?"
"Masak lemak cili api ikan sembilang?" tanya Eleena.
"Ekselenteeeee! Den masak, kojap laie, kito borak."
Eleena terus berjalan menuju ke arah Dave.
"Hai, boleh berbual sebentar?" kata Eleena. Dave memandang pelik ke wajah Eleena. Dave duduk di kerusi. Eleena duduk.
"Saya mohon maaf atas keterlanjuran saya tadi. Saya terkasar bahasa tadi. Macam ni, abang suka rock kapak tak?" tanya Eleena.
"Mestilah, rock you like a hurricane!" kata Dave, bersemangat.
"Abang dengar pop yeh-yeh tak masa zaman abang muda dulu? Pakai seluar Yankees tak? Dengar lagu She Loves You The Beatles tak?" kata Eleena.
"Ish, lagu orang tua."
"Lepas tu bila orang tua dengar lagu-lagu muda abang, dia kutuk, apa abang rasa?"
"Dorang orang tua, apa dorang tau muzik rock?" kata Dave.
"Samalah perasaan tu kami rasa bila abang cakap kami hanya layan Aiman Tino. Abang ada Sheila Majid, kami ada Yuna. Abang ada Ruhil Amani, kami ada Shila Amzah. Abang ada XPDC, kami ada Masdo. Abang ada Run DMC, kami ada Kanye West. Abang ada Nirvana, kami ada The National. Kami ada Ayda Jebat, abang ada Raja Ema, Kami ada Aiman Tino, abang ada Ebby Saiful," kata Eleena sambil Nizam tarik kerusi ke meja mereka berdua duduk.
"Dah lah tu, cinta."
"Sampai bila nak perang generasi ni? Bila kita nak saling menghentam lawan zaman siapa paling best? Sejak saya marah Nami Cob Nobbler dalam tulisan dia dalam Enam Darjah, dia pun dah tak kutuk budak suka K-Pop dan budak raver," Eleena menerangkan pendirian moralnya.
"Abang minta maaf lah kalau kata-kata abang tadi buat adik terasa," kata Dave.
"Kita chill, okay?" kata Eleena.
"Macam mana gaya fistbump kau tu?" tanya Dave.
"Macam ni," Eleena tumbuk penumbuk Dave.
Dan Eleena mengajar Dave tentang banyak perkara millennials termasuklah tolong updatekan app handphonenya.
Nasi dihidang bersama ikan sembilang masak lemak cili api, dan paku pakis goreng, dan mereka makan bersama.
"Abang Kay, Abang Dave, saya ada beberapa soalan. Abang kenal tak, lelaki bernama Arman bin Dahalan?" tanya Eleena sambil merekodkan rakaman perbualan dengan telefonnya.
Muka Dave dan Abang Kay berpandangan sesama sendiri dalam ekspresi aneh.
"Dio tu gilo! Tunjuk punai kek oghang! Gilo! Den ingat dio dah duduk Tanjung Rambutan dah!" kata Abang Kay.
"Abang kenal Julia binti Hashim?"
Dua-dua geleng kepala.
"Maria binti Arshad?"
Dua-dua geleng kepala.
"Diana binti Roslan."
Abang Kay geleng kepala, tapi Dave terdiam.
"Perempuan tu hampir nak bunuh aku," suara abang Dave tersekat-sekat.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top