BAB 6
Telefon milikku berbunyi tanda ada yang menghantar mesej kepadaku. Aku membuka telefon ingin melihat isi mesej yang ku dapat.
Hai, buat apa tu? Dah lama saya tak bercakap dengan awak sejak awak pindah ke KL ni kan. Boleh tak kalau saya cakap yang saya rindu awak?
Aku menggelengkan kepala dan terukir sedikit senyuman senget di bibirku. Dia selalu buat aku tersenyum. Amerrul Hilman seorang lelaki yang agak rapat juga dengan aku. Semasa diawal perkenalan aku dengan dia memang aku tak layan langsung dia. Tapi dia, macam gigih berusaha untuk rapat dengan aku. Fikiranku lantas terimbas kembali saat pertama kali aku mengenali Amerrul Hilman.
“Awak memang macam ni ke? Takut dengan lelaki?” Hilman memeluk tubuhnya sambil merenung ke arahku.
“Saya bukan takut dengan lelakilah.” Aku cuba untuk menafikan.
"Kalau bukan takut habis tu apa lagi?" soal Hilman seolah-olah tak percaya dengan bicara yang baru keluar dari bibirku sebentar tadi.
“Saya malu dengan lelaki sebab memang daripada kecil saya jarang bercakap dengan lelaki. Lagipun, mak saya yang tak bagi terlalu bergaul secara bebas,” balasku. Hilman mengerutkan keningnya daripada riak wajahnya nampak macam menahan ketawa pun ada.
“Maknanya awak langsung tak pernah ada kawan lelaki walaupun seorang?”
“Iya, bagi saya tak penting pun. Cukuplah saya ada Ryana sebagai sahabat saya dah cukup.” Terus terang aku cakap yang aku tak berminat untuk berkawan dengan mana-mana lelaki buat masa ini.
“Memanglah tak penting, tapi nanti awak nak kahwin dengan siapa? Dengan tiang? Apa kata kalau saya jadi kawan awak. Kawan lelaki awak yang pertama. Nak tak?” Hilman menawarkan dirinya untuk menjadi kawan lelakiku.
“Terima kasih, tapi saya tak nak,” balasku yang memang benar-benar tak berminat.
“Betul tak nak? Peluang datang sekali aje tau. Kalau nak tau banyak perempuan yang tergila-gilakan saya.” Dia seolah-olah memuji dirinya sendiri.
“Kalau macam tu kenapa pilih saya lagi? Kan, ada banyak lagi yang nak jadi kawan dan teman wanita awak.”
“Mereka lain dan awak lain. Mereka terkejar-kejarkan lelaki tapi awak menunggu lelaki untuk dijadikan suami bukan teman lelaki.” Kenapa setiap ayat yang keluar dari bibir Hilman membuatkan hati aku cair? Pawang apa yang dia guna?
“Awak nak jadi suami saya ke?” Ya Allah, malunya kenapa aku tanya soalan macam tu dekat dia? Alamak mana nak sorok muka aku yang tak seberapa ni.
“Kalau kita ada jodoh takkan ke mana. Untunglah kalau saya berjodohan dengan awak, sekurang-kurangnya saya tak risaukan tentang awak kalau awak pergi ke mana-mana sebab saya tau yang awak takkan curang belakang saya. Maklumlah isteri saya pemalu dengan mana-mana lelaki lain.”
Wajahku sudah merah membahang dengan kata-kata Hilman. Walaupun ayat itu biasa-biasa saja namun apabila gaya Hilman bercakap itu cukup membuatkan hatiku menjadi cair.
“Merah muka nampak! So nak tak jadi kawan saya?” Dia menegur muka aku yang dah merah membahang ni ke? Ya Allah, kenapa dengan aku ni?
“Tak naklah.”
“Kenapa tak nak?”
“Orang kata kalau kita nakkan sesuatu kena usaha. Jadi kalau awak betul-betul ikhlas nak berkawan dengan saya, awak kena berusaha. Saya tak naklah dapat kawan yang main-main dengan saya faham?”
“Faham, kalau saya berusaha untuk jadi suami awak terus boleh tak?” Hilman menduga sekali lagi. Dia ni tak habis-habis buat aku jadi malu-malu, aku tumbuk jugaklah muka dia nanti ni karang.
“Terserah awaklah nak berusaha macam mana pun. Saya balik dulu, tak manis orang lain tengok kita berdua satu meja macam ni.” Aku segera bangun dan mendekati Pak Talib untuk membayar harga cendol.
“Pak Talib, nanti dulu jangan ambil duit tu. Tak apa kali ini saya akan belanja si dia ni dulu ya.” Hilman menghulurkan sekeping not dua puluh ringgit kepada Pak Talib. Disaat Pak Talib ingin memulangkan baki Hilman menolaknya.
“Tak apa pak cik, saya nak belanja sekali dengan dua orang dekat meja tepi pokok tu. Dia makan cendol kan? Jangan cakap yang saya belanja tau pak cik. Lagi satu kalau lebih simpan aje,” ujar Hilman sambil mencoretkan sebuah senyuman manis. Kemudian, pandangannya dikalih ke arahku.
“Terima kasih, kamu dengan Esha ni bercinta ke? Kalau betul sesuai sangat. Bagai pinang dibelah dua. Esha, dalam diam dah ada kawan lelaki ya.” Kata Pak Talib dengan nada yang lembut.
Kebetulan Pak Talib adalah jiran aku dan dia membuka warung cendol berhampiran dengan kedai runcit Pak Rusydi. Kalaulah isteri Pak Talib tahu tentang aku dengan Hilman habislah dihebohkan berita ni satu kampung.
“Taklah pak cik, saya dengan dia tak ada apa-apa pun. Kenal pun tak, macam mana nak bercinta kan? Terima kasihlah, Hilman kerana sudi belanja saya cendol harga tiga ringgit ni. Saya minta diri dulu, assalamualaikum.” Aku segera mempercepatkan langkah beredar dari situ.
“Esha, kalau awak tak keberatan boleh tak saya tau nombor telefon awak?” Laung Hilman sebelum aku pergi lebih jauh.
“Kalau nak carilah sendiri!” Balas aku dan segera melajukan lagi langkah. Terus terang, aku tak berminat untuk berkenalan dengan Hilman. Sudahlah suka buat aku menjadi malu dengan sendiri.
Sejak dari hari itu Hilman tak putus asa untuk berkenalan dengan aku. Dia sebenarnya orang bandar yang terpaksa berpindah ke kampung kerana kedua ibubapanya telah meninggal dunia sebab kemalangan dan sekarang dia tinggal bersama-sama atuknya iaitu Pak Rusydi. Patutlah, bila datang warung cendol nampak muka dia aje rupanya kedai atuk dia bersebelahan dengan warung aje. Nasib baik muka tak macam cendol.
Hilman juga berjaya mendapat nombor telefon aku dari Ryana. Entah macam mana mak cik ni boleh bagi nombor telefon aku dengan lelaki. Puas dah kena bebel dengan aku nasib baik telinga Ryana tak pekak. Kalau tak nanti Shakeel dapat isteri pekak dan kuat melatah.
Aku tersedar dari lamunan. Jari jemariku segera menaip mesej.
Rindu? Apa makna rindu bagi awak, mengadalah awak ni. Saya sibuk sikit dengan kerja sebab tu terlupa jugalah dekat awak tapi awak jangan risau... saya takkan lupakan awak sebab awak adalah lelaki pertama yang jadi sahabat saya.
Okey hantar. Mesti dia tersenyum bila baca mesej aku itu. Dalam masa yang sama baru aku sedar Ryana yang bersebelahan dengan aku dah lama perhatikan aku. Dah kenapa pulak minah ni pandang aku sampai macam tu sekali?
“Sengih sampai ke telinga nampak. Mesej siapa Faiq ke?” Nada suara Ryana seolah-olah menyindir aku.
“Tak ada makna aku nak mesej dengan Faiq. Baik aku layan Hilman, dia ni lagi baik daripada Faiq. Eh, sekejap boleh aku tau siapa Faiq ni? Aku dah lama sangat nak tau fasal dia ni.” Aku segera menukar topik perbualan daripada terus berlanjutan.
“Ya Allah, Esha takkan hang tak tau. Faiq adalah Faiq Aiman kawan kepada Shakeel. Hang tak ingat ka dia? Dia tu pernah jadi crush hang kan? Takkan dah lupa. Hang juga cakap dia tu cinta pertama hang.”
Aku terdiam.
“Mamat tu Faiq Aiman? Hang biaq betul, muka dia sekarang dengan masa zaman sekolah dah lain kut. Dulu kulit dia gelap sikit sekarang lagi putih.” Aku ingin kepastian dari Ryana. Biar betul Ryana ni?
“Buat apa aku nak tipu. Buat tambah dosa aku aje nanti,” balas Ryana. Tangannya mencapai alat kawalan jauh televisyen di meja pendek tersebut dan membuka televisyen.
“Macam tak percaya itu dia.”
“Hang tak boleh nak percaya sebab apa? Muka dia dah lain ke tak sama macam dulu? Ataupun layanan dia dekat hang dulu dengan sekarang dah berubah?” Ryana menduga.
“Sebab layanan dia, aku macam tak percaya itu adalah Faiq Aiman yang aku kenal. Dulu dia lain sangat. Lupakanlah fasal dia. Aku cuma nak layan Lutfi Hilman aje sekarang ni.” Adalah lebih baik jika aku lupakan saja hal berkaitan Faiq Aiman. Anggap dia sebagai seorang majikan sahaja.
Sampai bertahun lamanya aku cuba untuk melupakan dia. Tiba-tiba dia hadir semula dalam hidup aku. Faiq, kau memang suka menguji orang kan?
“Balik-balik dengan mamat Hilman tu. Menyampah pulak aku. Dahlah mamat tu menyakitkan hati. Sabar ajelah aku dengan dia.” Ryana mencebikkan bibirnya. Anti betul dengan lelaki bernama Amerrul Hilman ni.
“Dia selalu buat kau sakit hati tapi dia selalu buat aku tersenyum. Kau apa tau. Sikit-sikit Shakeel aje menyampah pulak aku,” Aku membalas dengan cebikkan bibir.
“Malaslah aku layan hang. Dahlah aku nak naik atas dulu, tidur lebih baik daripada melayan perangai hang ni.” Ryana bangun dari duduknya dan segera berlalu pergi. Mulalah tu nak mengelak.
“Amboi hang, televisyen ni pandai bukak pandai tutuplah!” Aku menjeling Ryana yang selamba badak meninggalkan ruang tamu tanpa menutup televisyen.
Antara Amerrul Hilman dan Faiq Aiman. Siapakah yang aku pilih? Dah tentulah Amerrul Hilman. Dialah satu-satunya lelaki yang selalu buat aku tersenyum. Nak harapkan Faiq? Menyakitkan hati adalah. Tapi, aku sedar yang Hilman hanya menganggap aku tak lebih dari seorang kawan dan aku pula yang dah terjatuh suka dengan dia sejak diawal perkenalan.
❁❁❁❁❁
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top