BAB 57

5 bulan kemudian.

Sesekali aku melihat Ariz yang ligat mengejar anak ayam yang bertempiaran lari. Terkekek-kekek dia ketawa. Anak dara Ryana pun sama menurut. Ryana yang baru sampai dalam pukul 8 pagi tadi terus datang ke rumah aku dulu selepas itu baru pergi ke rumah maknya. Iyalah rumah pun bersebelahan aje.

"Kau tak nak balik sana ke?" Soal Ryana sambil makan buah pelam muda cicah kicap manis sambil bersila atas pangkin. Gila ke apa Ryana ni pagi-pagi macam ni makan benda masam tu. Tak sakit perut ke? Beginilah rutin bila melepak dekat pangkin rumah aku mesti tak sah tak makan pelam.

"Mana?" Soalku bingung.

"Sanalah, alah macam tak paham pulak." Ryana menjuihkan bibirnya.

"Aku dah balik hari tu sekejap ke Kuantan lepas tu balik sini balik. Iyalah, banyak kerja aku yang tertangguh. Aku ingat dalam masa terdekat nak balik Kuantan balik. Aku akan teruskan apa yang Hilman tinggalkan."

Ryana tiba-tiba menarik tanganku dan mengenggam.

"Aku minta maaf kalau pertanyaan aku ni akan buat kau marah."

Terus berubah wajahku.

"Kau nak cakap pasal Faiq lagi ke? Tak payahlah, kan aku dah cakap aku dah tak nak dia. Walau apa yang terjadi aku tak nak dia!" Angin aku dibuatnya. Tak habis-habis pasal lelaki itu.

"Esha, dengar dulu. Takkan tak ada lagi peluang untuk Faiq? Kau tahu Faiq tak bersalah dalam hal ini. Dia pun mangsa keadaan. Kenapa kau nak menghukum dia begitu?"

"Ryana cukup! Aku tahu dia mangsa. Aku berbaik dengan dia pun kerana anak dan kerana arwah Feiqah. Aku dah tunaikan permintaan arwah Feiqah. Maknanya dah cukuplah. Apa lagi aku nak kena buat?" Soalku tak puas hati.

"Tapi macam mana permintaan terakhir arwah Hilman?"

"Aku ada hak nak tentukan siapa lelaki yang layak jadi suami aku."

"Kau betul tak kesian pada bekas suami kau arwah Hilman. Okeylah, aku nak bagitau kau ni selama kau duduk sini dalam tempoh iddah. Faiq yang bagi nafkah untuk kau dan Ariz. Kau jangan salah faham apa yang aku cakap ni. Baik kau fikir, kalau betul Faiq tak nak dengan kau kenapa dia sanggup buat macam tu? Padahal banyak benda yang dia nak kena tanggung. Tu mama dia yang sakit."

"Kau tak payah nak pujuk aku Ryana. Nafkah? Bukan itu memang tanggungjawab dia pada Ariz ke? Dah Ariz tu berbin kan Faiq." Jawabku selamba.

"Bagilah Faiq peluang untuk dia bersua dengan kau sekejap." Balas Ryana.

"Tak nak!" Ujar aku keputusanku muktamad.

Raysha yang datang menghampiri memegang kaki Ryana.

Ryana memandang wajah comel anak daranya.

"Mama, ayes hilang." Raysha berkata dengan pelatnya.

"Ariz hilang? Mana dia pergi?" Suara Ryana meninggi.

Aku mula tak tentu arah. Aku mencari kelibat Ariz tak ada. Aku mula bangun mencari keliling rumah malangnya tak ada. Tak puas hati aku masuk ke dalam rumah cari dalam setiap tempat. Tak ada juga.

"Anak aku mana Ryana? Aku cuai jaga anak aku!" Aku mengesat air mataku yang mengalir laju. Rasa macam nak pecah pembuluh darahku.

"Akak kenapa bising ni?" Soal Sofea sambil memegang bakul baju.

"Pia, pia nampak anak akak tak? Dia dah hilang."

"Ariz? Ya Allah kak, tadi masa Pia tengah sidai kain. Anak akak kejar ayam sampai bawah penyidai kak. Kemudian..."

"Kenapa? Mana Ariz!"

"Masa itu Abang Shakeel dengan Abang Faiq tengah bersembang. Dia nampak Pia tengah pimpin Ariz nak hantar dekat akak. Abang Faiq kata nak pinjam Ariz sekejap. Dia kata nak lepas rindu. Ada aje kat rumah Kak Yana tu." Ulas Sofea panjang lebar.

"Kurang ajar punya Faiq!" Aku segera keluar rumah dan menuju ke rumah Ryana. Aku sedar yang Ryana menurut sekali. Raysha tak turut sekali. Raysha tinggal sebentar dengan Sofea.

Sesampai saja aku di hadapan rumah Ryana.
"Faiq! Kau keluar!" Lantang suara aku. Kemarahan aku sudah mencapai tahap maksima.

Faiq keluar sambil memimpin tangan Ariz. Aku pandang wajah Faiq yang bingung. Makin menebal rasa benci aku pada Faiq.

"Kenapa ni Esha?" Soal Faiq.

"Kenapa ambik Ariz tanpa izin saya?" Soalku.

Aku nampak Faiq menyuruh Shakeel mengambil Ariz lalu di bawa masuk ke dalam rumah semula.

"Salah ke kalau saya ambil anak saya sendiri." Balas Faiq dengan wajah tak ada serba salah.

"Jangan pura-pura bodohlah Faiq, dah tentu Ariz di bawah jagaan saya. Apa-apa jadi pada Ariz yang tanggungnya saya. Jangan suka-suka hati nak buat keputusan walaupun awak bapa kandung dia!"

"Esha! Janganlah marah macam ni. Bertenang malu orang kampung tengok!" Ryana menarik tanganku.

"Kita bincang sekejap." Faiq menyuruh lalu dia keluar rumah menuju ke bawah pokok di hadapan rumah Ryana. Aku hanya menurut. Ryana pun mengekori aku.

"Jadi apa yang nak dibincangkan tu?" Soalku sambil berpeluk tubuh.

"Kenapa awak berubah sampai macam ni sekali Esha. Apa lagi yang nak saya buat supaya kita berbaik. Kita tak ubah macam bermusuh, lama saya cuba elak jumpa awak sebab iddah. Sekarang tak ada alasan untuk saya elak jumpa dengan awak. Saya hormatkan awak sebagai ibu yang lahirkan zuriat saya. Tak boleh ke awak hormatkan saya sebagai bapa kepada anak awak?" Entah kenapa kata-kata Faiq bagaikan tamparan hebat buat aku.

"Tak payahlah nak berkias-kias. Cakaplah apa yang nak cakap sangat." Aku hanya melemparkan pandangan ke tempat lain.

"Esha, saya tak pernah minta benda ini walau sekalipun cuma ini permintaan saya. Saya nak kita bersama kembali demi Ariz. Demi kita. Saya nak kita bina kehidupan baru. Sampai bila-bila pun saya akan tetap cintakan awak Esha." Luah Faiq dengan penuh harapan.

"Apa benda awak merepek ni? Tak payah saya tak nak. Saya dah cukup sengsara hidup dengan awak. Awak boleh cari perempuan yang beribu ganda lebih baik dari saya. Cukuplah, saya rasa sampai mati saya tak kahwin lagi bagus. Terimalah yang antara kita memang dah tak ada jodoh. Sedarlah kenyataan itu!" Hamburan kata-kata amarah itu membuatkan Faiq bertakung air matanya.

"Terima kasih kerana sedarkan saya di mana kedudukan saya. Terima kasih, saya sedar selama ini sia-sia saya pertahankan cinta ini dalam hati saya. Hakikatnya, awak dah lupakan saya. Iya, mungkin salah saya. Maafkan saya sebab kehadiran saya selama ini dalam hidup awak membuatkan awak sengsara. Saya akan undur diri. Terima kasih Esha sebab jadi isteri saya walaupun untuk masa yang singkat dan terima kasih kerana sudi lahirkan zuriat saya walaupun dalam keadaan awak bencikan saya." Air mata lelaki milik Faiq sudah berderai-derai.

"Baguslah kalau dah sedar rasanya tak perlu lagi saya nak explain banyak kali kan? Sebelum terlupa, saya berterima kasih sangat sebab sudi selamatkan saya dari Jefri gila tu. Apa-apa pun saya pun masih terhutang nyawa dengan awak."

"Tak perlu terhutang nyawa dengan saya, kalau awak pergi macam mana dengan anak kita? Anak kita lebih perlukan ibunya berbanding ayahnya. Sebab tu ayah sanggup gadaikan nyawa ayah untuk ibu. Kalau ayah pergi sekalipun tak apa sekurang-kurangnya ayah bangga sebab sanggup berkorban untuk ibu dan anaknya." Ujar Faiq sambil mengesat air matanya.

Hatiku jadi sebak. Ya Allah, hanya Tuhan saja yang mampu membalas budi Faiq.

"Saya akan pergi dari sini. Saya janji saya takkan kacau awak lagi mahupun anak kita. Untuk apa saya menunggu kalau di sana sudah tak ada secebis cinta buat saya. Saya sedar diri." Tatkala habis Faiq berkata-kata dia terus meninggalkan aku dan Ryana.

Aku pandang Ryana di belakang. Dia pun sudah lencun dengan air mata. Air mataku juga tewas dan gugur jua. Hati siapa yang tak sebak bila berkata mengenai anak sendiri? Ya Allah, aku terpaksa lakukan semua ini. Aku dah tak nak Faiq terseksa kerana aku. Dia boleh berjumpa dengan wanita jauh lebih dari aku.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top