BAB 32
Beberapa bulan kemudian...
Dayang Nur Ratna semakin berani rapat dengan suami aku. Entah apa lagi aku mahu lakukan agar dia jauh daripada Faiq. Pernah sekali cuba merajuk dengan Faiq tapi dia langsung tak endahkan aku. Pujuk? Pujuk memang pujuk tapi tak bersungguh. Semakin hari aku semakin penat dengan sikap Faiq tapi tak apa memandangkan dia pun sibuk dengan kerja. Aku faham dia pun penat juga.
Beberapa bulan lalu tatkala majlis resepsi aku dan Faiq, Ratna langsung tak ada perasaan malu. Dia memperlakukan majlis itu adalah seperti majlis dia dan Faiq. Tapi apalah yang aku boleh buat hanya mampu sabar dan terus sabar. Iyalah, aku sedar yang aku bukan menantu pilihan.
"Sayang kenapa diam aje ni?" Setelah lama dia bersembang dengan ahli keluarga lain baru kini dia tegur aku.
"Tak ada apalah cuma tak sedap badan aje, rasa macam nak demam pun ada. Bie pergilah sambung sembang, Esha nak masuk bilik dulu." Aku terpaksa berbohong. Sumpah hati aku sakit. Sakit sangat, bukan tak cuba untuk bergaul tapi bila aku cuba bercakap akhirnya diabaikan. Terasa diri ini sengaja dipinggirkan.
Berat kakiku melangkah masuk bilik. Tiba-tiba tekakku berasa kering dan aku ingin membasahi tekak. Terpaksa aku melintasi ruang tamu semula untuk ke dapur. Tekak pun satu hal tadi tak mahu pulak rasa nak minum, dah sampai depan pintu bilik baru nak rasa dahaga.
Gelak tawa mereka semakin aku dengari apabila aku menghampiri ruang tamu.
"Faiq, bahagia ke dengan si Esha tu?" Terbuntang mataku tatkala terpacul soalan sebegitu dari bibir mak mertuaku.
"Apalah mama ni, mestilah bahagia."
"Iya ke bahagia? Kenapa tengok dia sekarang ni dah jarang melayan kamu. Mama rasa dia dah tak ada hati dengan kamulah."
"Mama, tolong jangan tanya soalan macam tu."
Laju kakiku melangkah semula ke bilik. Aku kunci pintu bilik serapat mungkin. Gila, aku yang tak ada hati dengan Faiq atau Faiq yang dah tak ada hati dengan aku? Layan aku macam nak tak nak. Apakah? Siapa isteri dia sekarang ni Ratna ke aku. Sungguh aku tak faham.
Cepat-cepat aku tukar pakaian untuk keluar. Usai bersiap ku capai kunci kereta milik Faiq dan terus keluar. Malas aku berlama-lama dalam rumah itu. Biasalah bila dah berkumpul ramai-ramai mesti nak mengumpat pasal akulah tu. Dah tak ada modal nak membawang lepastu bukalah cerita pasal aku.
Sampai di ruang tamu aku memanggil Faiq.
"Awak, Esha keluar sekejap eh. Pinjam kereta okey?"
"Eh, tadi kata tak sedap badan rasa nak demamlah. Nak pergi mana?"
"Entahlah, tiba-tiba rasa teringin nak makan cendol. Nak pergi cari sekejap."
"Tak payahlah biarlah Bie yang carikan. Sayang masuklah berehat dalam bilik."
"Tak apa dah janji dengan Ryana pun."
"Tak payahlah teman dia Faiq, dia sendiri kata nak pergi cari sendiri. Mama dulu kalau teringin nak makan apa-apa pun, mama cari sendiri bukan tau mintak aje." Sindiran itu cukup menyakitkan telinga aku.
"Betullah tu mama, Esha pun bukan jenis suka bergantung sangat dengan orangkan. Boleh ya? Kasihan Ryana tunggu saya lama nanti." Aku seakan menyokong kenyataan mama Faiq walaupun hati sakit.
"Betul ni Ryana sorang je? Tak ada lelaki lain kan selain Ryana?" Faiq inginkan kepastian dariku.
"Tak ade." Banyak soal betul la Faiq ni. Aku dah malas nak berhadapan dengan mama Faiq.
"Pergilah, janji balik awal ya."
"Iyalah." Aku menyambut tangan Faiq untuk bersalaman lalu pergi membawa diri. Aku tahu mama Faiq merenung tajam ke arahku walaupun aku dah berlalu pergi.
Aku mula menghidupkan enjin kereta lalu pergi membawa diri.
Ryana kelihatan sungguh berselera menghirup cendol manis itu masuk yang ini dah dua mangkuk Ryana bedal. Macam dah tak ada benda lain nak makan. Tengok cuaca dekat luar mendung tak panas pun tapi bila tengok Ryana makan aku pun terkejut. Selama ni mana pernah suka cendol.
"Kau okey tak ni Ryana?"
"Aku okeylah asal?" Ryana aneh melihatku.
"Kau biar betul Ryana makan banyak macam ni? Kau bela saka ke?"
"Saka kepala otak kau, aku teringin kau faham tak? Ala, setakat cendol mangkuk macam ni mana kenyang."
Aku menggelengkan kepala.
Sah mesti ada yang tak kena ni.
"Jangan... jangan kau pregnant ni? Setahu aku yang suka bedal cendol laki kau je. Kau mana suka natang cendol ni. Baik ngaku!"
Biji mata Ryana terbeliak dan dia mengukirkan senyumannya.
"Iye, masuk ni dah lima minggu beb. Aku belum cakap dengan Shakeel lagi. Diakan tengah sibuk. Aku tak naklah ganggu dia. Kau tau kan yang Shakeel dengan Faiq tengah sibuk pasal kerja."
"Aku tak faham, cakap ajelah berita gembira ni dekat Shakeel. Anakkan? Mesti semua nak orang nak kahwin ada anak."
"Esha..." Air wajah Ryana mula berubah menjadi sayu.
"Ya, kenapa?"
"Aku takut."
"Takut kenapa?"
"Aku takut kalau Shakeel tak dapat terima benda ni. Dia pernah cakap dengan aku yang dia tak nak ada anak buat masa sekarang. Dia takut kalau aku ada anak sekarang nanti dia tak dapat nak berikan tumpuan yang sepenuhnya pada anak kami. Memandangkan lepas kami kahwin makin banyak kerja dia." Ryana mula mengenggam tanganku.
"Kau jangan fikir macam tu, anak dalam rahim kau tu tetap anak dia dengan kau. Takkan dia nak abaikan macam tu. Itu tanggungjawab dia."
"Tapi aku takut dia marah aku. Aku pernah nampak dia marah macam mana memang menakutkan dan sebolehnya aku tak nak dia marah aku."
"Ryana, dengar ni anak itu adalah anugerah daripada Allah S.W.T bila DIA dah bagi kenapa kita nak tolak? Itu pun merupakan rezeki. Bila dah ada kena jaga baik ada orang bertahun-tahun kahwin tapi masih belum diberi zuriat. Kau sepatutnya berani beritahu Shakeel lagipun yang menanggung sakit melahirkan adalah kita. Aku kenal Shakeel hati dia lembut mudah terusik lagi pula dengan perkara berkaitan ini." Aku memberi Ryana semangat.
"Terima kasihlah Esha. Aku sebenarnya buntu jugak ni. Tapi takkan aku nak sorok, aku bukan mengandung anak luar nikah pun. Ni anak aku dengan laki aku yang sah kan."
"Tau tak apa. Tak payahlah stress sangat nanti kesannya anak juga yang terjejas. Aku ni pun bilalah nak ada baby dalam rahim aku ni." Aku menyentuh perutku yang sedikit buncit. Bukan buncit kerana hamil tapi memang buncit asli sejak belum menikah lagi.
"Nanti adalah tu cuma cepat atau lambat aje. Kau pun pucat aje muka makin kurus sikit pun ya. Entah kau pun mengandung tak? Dah check belum?"
"Apa kau ni, orang kalau pregnant makin gemuk bukan makin kurus. Aku kurus sebab aku stress aku tak ada selera nak makan. Ni cendol ni aku yang teringin kau yang pulak yang makan bermangkuk-mangkuk aku setengah mangkuk pun belum habis lagi."
"Kau stress sebab apa?"
"Macam biasalah, aku tak faham. Kadang-kadang aku bangun tengah malam aku menangis sorang-sorang bila teringatkan pasal ni. Aku rasa nak lari daripada situ, bahagia aku dengan dia cuma sekejap aje. Aku nak sangat merayu pada Faiq supaya berpindah demi mengekalkan rumah tangga ni tapi entahlah aku tak mampu."
"Kau sepatutnya bersemuka dengan dia dan bincangkan perkara ni. Kau sepatutnya pertahankan hak kau. Sampai bila nak tinggal rumah orang tua tu takkan sampai kau bercucu."
"Aku cubalah nanti, hari dah gelap ni aku nak balik dulu nanti Faiq marah pulak aku balik lambat. Dahlah tadi dia banyak soal aku keluar dengan siapa." Aku mula mengambil tas tangan dan memberi wang pada Ryana.
"Kau ambil ni, bayar cendol tu lebih kau simpan anggap tu rezeki anak kau. Bye Ryana." Aku mula berunsur pergi meninggalkan Ryana.
Tatkala aku membuka pintu kereta terasa diriku tiba-tiba dipeluk oleh seorang lelaki yang berbadan agak besar dia menekup mulutku hingga aku tak mampu bernafas.
Aku ditarik masuk ke dalam sebuah kereta warna hitam mungkin milik lelaki itu. Aku menangis, kenapa aku diculik aku bukan orang kaya, tak ada lumayan culik aku pun. Aku tak ada buat salah dengan sesiapa dalam masa terdekat ni. Kenapa? Lelaki itu masih menekup mulutku dalam keadaan yang kelam kabut, pemandu sudah mula membawa kereta dengan laju. Aku meronta akhirnya aku lemah layu dan pandangan mula menjadi kabur.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top