EPISOD 4

SUASANA pasar basah pada petang itu cukup riuh tatkala pengunjung membeli barang basah seperti ikan, udang, ayam dan banyak lagi. Para peniaga bertungkus lumus mempromosikan jualan masing-masing kepada para pengunjung.

Puan Wati beriringan dengan Puan Eliya ke gerai sayur-sayuran. Sesekali, mereka memerhatikan Fathi yang menemani Fathiah ke gerai udang. Fathi dengan sesi sakat menyakatnya, Fathiah dengan amarahnya lagi.

"Anak kau single lagi kan?"

"Macam mana tak single kalau hati dia cuma ada Thia."

"Tapi dia yang tinggalkan Thia. Lama anak aku move on sebelum jumpa pengganti."

Seketika, Puan Wati dan Puan Eliya saling bertaut pandangan. Jelas, ada riak kaget di wajah Puan Eliya tatkala mengetahui Fathiah sudah berpunya. Jadi, lebih baik dia tegah anak terunanya kacau hak milik orang.

"Ah sudah. Fathi tu main kacau hak milik orang..."

"Tunang Fathiah dah meninggal... 11 tahun yang lalu."

Sontak, langkah Puan Eliya terhenti dengan satu lagi kejutan yang seakan-akan mencabut jantungnya ini. Matanya membuntang. Figura Fathiah yang sedang menjinjing buah-buahan dipandang sekilas.

"Dah lama tu, Wati."

"Haah. Dah lama. Meninggal masa kes kat Lahad Datu dulu. Sampai sekarang... Thia tak buka lagi hati dia untuk sesiapa walaupun umur dia dah masuk 33 tahun. Bagi Thia, arwah tu pengubat hatinya lepas dia hilang arwah ayah."

Penjelasan Puan Wati benar-benar buat Puan Eliya terpempan. Patutlah Fathiah berubah. Bukan lagi gadis yang ceria suka mengusik. Fathiah jadi pendiam. Wajahnya jarang tersenyum.

"Susah nak tengok Thia senyum sejak kejadian tu. Dia sampai hampir berhenti belajar sebab kemurungan. Tunang dia meninggal... dua minggu sebelum dia orang kahwin."

"Ya Allah. Besarnya dugaan Thia." Luluh hati Puan Eliya mendengar ujian yang menimpa anak sahabatnya itu. Hilang ayah, hilang bakal suami. Itu bukanlah satu hal yang mudah. Puan Eliya mengerti kerana dia juga pernah kehilangan suami sehingga hidupnya tak keruan.

"Sebab tu aku ada harapan sebenarnya..."

"Harapan apa?"

Puan Wati menghela nafas panjang. Sudah lama dia fikirkan rancangan ini sejak Puan Eliya pulang menjadi jiran mereka semula. Dia nampak selama ini, Fathi berusaha menjernihkan hubungan bersama Fathiah. Apatah lagi tatkala dia mengetahui Fathi masih punya perasaan buat anaknya.

"Kita... jodohkan Fathi dengan Fathiah. Mungkin..."

"Tolong!"

Tak semena-mena, suasana pasar jadi hingar bingar. Perbualan dua sahabat itu terhenti. Alangkah kagetnya mereka tatkala lima orang penyamun bersenjata menjadikan seorang wanita tua sebagai mangsa. Ada parang yang diacukan ke leher wanita yang sudah mengelupur itu.

Melihatkan itu, wajah Fathi sontak berubah bengis. Senyumannya mati. Dia berdiri membelakangi Fathiah. Melindungi gadis itu tatkala keberadaan mereka hanya lima langkah saja daripada penyamun-penyamun itu.

"Kau orang bergerak! Perempuan ni aku sembelih!"

Sekonyong-konyongnya, emosi Fathiah mula berbolak balik. Nafasnya seakan-akan tersekat di rangkungan. Kepalanya jadi pusing. Seluruh tubuhnya longlai dengan kejadian menegangkan itu.

Penyamun.

Pengganas.

Mereka sama. Membunuh orang-orang yang tak bersalah. Mereka tak punya belas ihsan. Sama seperti pembunuh Falah 11 tahun yang lalu. Ya Allah, teringatkan hal itu, jiwa Fathiah jadi sesak. Dia trauma!

"Letak semua barang atas lantai!"

Penyamun-penyamun bersenjata itu mengacukan parang ke arah pengunjung yang kaku dek dikerumuni lima orang penyamun. Tidak dapat tidak, mereka terpaksa meletakkan barangan masing-masing di atas lantai.

"Hoi perempuan! Kau dengar tak letak barang kau..."

Belum sempat seorang penyamun bersubang di telinga meluru ke arah Fathiah, Fathi lantas bertindak. Menghambat tubuh si lelaki dengan tali pinggangnya yang dijadikan sebagai senjata. Sontak, lelaki itu mengerang dek hambatan yang terkena pada wajahnya.

"Kau nak cari pasal dengan kita orang? Huh!"

Fathi mengherot senyum sinis. Sengaja memprovokasi. Membiarkan mereka menumpukan perhatian terhadapnya sambil menanti kehadiran polis. Preman-preman picisan ini seharusnya diajar cara menghormati warga tua.

"Fathi... kau... kau jangan buat gila! Dia orang ada senjata. Kau nak mati ke?" Fathiah semakin gerun tatkala Fathi seakan-akan bertindak konyol. Dia melilau ke sekeliling. Mencari keberadaan ibu-ibu mereka.

"Dua tapak berundur Thia. Aku nak ajar..."

"Fathi... dia orang tu ada senjata! Bukan stok budak sekolah yang kau pernah belasah dulu..."

"Dengar cakap abang Thia. Abang tahulah abang nak buat apa."

Oh Tuhan, bicara Fathi benar-benar memarakkan amarah Fathiah. Hatinya kian berperang sesama sendiri. Tidakkah Fathi sedar penyamun-penyamun itu bersenjata? Tak takut mati? Bahkan, masih bisa bersandiwara sambil kenyit mata dengannya.

Sah!

Fathi punya otak semakin tua semakin terputus fius!

Tak semena-mena, jeritan pengunjung kedengaran tatkala mereka mula menyerang Fathi. Lelaki itu tangkas bertindak dengan melonjakkan kaki kanannya seraya dihayunkan ke tengkuk musuh. Tatkala muncul lagi seorang, Fathi menyendengkan kepalanya. Pergelangan tangan musuh dicengam seraya dipaut ke belakang.

Sekelip mata, Fathi membanting tubuh penyamun itu ke atas lantai. Erangan kesakitan kedengaran bergema di kawasan itu.

"Anak kau dah gila ke? Nak mati ke lawan penyamun-penyamun tu?" Sungguh, Puan Wati juga kaget melihat kelincahan Fathi menentang musuh. Seakan-akan, sudah biasa bertempur tanpa senjata!

"Pandai-pandailah dia hidup. Berani tanggung... beranilah hadap risiko."

Hampir saja mulut Puan Wati terpelongo tatkala melihat wajah santai Puan Eliya yang sudah menghubungi pihak polis. Alahai, anak dan ibu sama-sama rosak! Beginikah dia nak jadikan Fathi sebagai menantu?

"DOKTOR cakap apa?"

Sebaik saja Fathi melangkah keluar dari ruang kecemasan, kelihatan kelibat Puan Eliya, Puan Wati dan Fathiah yang sudah meluru ke arahnya. Jelas, wajah Fathiah kelihatan pucat tak berdarah.

"Calar sikit je ni mak. Tiga jahitan aje. Ala biasalah superhero pun tahu sakit juga." Fathi tersengih sambil mengusap bahunya yang berbalut dek terkena tetakan penyamun.

"Banyaklah kau punya superhero! Apa? Kau ingat nyawa kau ada sembilan ke sampai buat kerja gila macam tu! Kau tak fikir langsung apa yang akan jadi kalau kau lawan dia orang! Nak tunjuk kuat sangat bukan macam tu caranya! Bodoh!"

Fathi tertawa kecil melihat wajah Fathiah yang sudah melepaskan amarah. Namun, tawanya terhenti tatkala tamparan kuat dihayunkan ke wajah. Fathi kaku. Mulutnya hampir terpelongo menerima penangan bekas kekasihnya itu.

"Thia..."

"Kau masih boleh gelak lepas apa yang jadi? Tak ada yang kelakar! Apa kau ingat nyawa kau tu boleh dibeli kat mana-mana kedai? Kau tak fikir langsung perasaan mak atau adik kau kalau sesuatu yang buruk jadi! Kau ingat... tak sakit ke hilang orang yang kita sayang?"

Tak semena-mena, nada saura Fathiah naik seoktaf. Tubir mata Fathiah terasa hangat. Jiwanya sesak. Masih teringat peristiwa dia kehilangan Falah 11 tahun yang lalu. Masih jelas di ruang memori dia kehilangan Tuan Bahri 14 tahun yang lalu.

Mereka meninggal dunia hanya demi melindungi negara.

Sementelah Fathi? Sanggup bertindak konyol tanpa tahu impaknya.

"Thia... aku... aku tak bermaksud..."

"Aku bencikan kau, Fathi! Kau tak pernah fikir pasal perasaan orang lain! Kau selfish! Dari dulu lagi kau tak pernah berubah! Macam mana... aku nak maafkan kau kalau perangai kau tak berubah?"

Kata-kata Fathiah cukup meranapkan sekeping hati Fathi. Hanya pandangannya saja menghantar langkah Fathiah yang dibuntuti oleh Puan Wati. Jelas, dia melihat Fathiah mengesat air matanya.

Fathiah menangis?

Ya Tuhan, Fathi serba salah membuatkan gadis itu menangis. Dia tak menyangka kejadian ini membuatkan Fathiah sedih.

BERSAMBUNG...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top