EPISOD 28
BAJU bayi yang tergantung di dalam sebuah butik bayi buat Fathiah rambang mata. Semuanya cantik. Kata doktor, anaknya berjantina perempuan. Semakin tak sabar rasanya mahu menyambut anak perempuan sulung mereka ini.
"Abang. Pilih satu. White or blue."
Fathiah memandang figura seorang wanita yang kelihatan memboyot ditemani si suami. Mereka sedang memilih sarung tangan bayi. Terserlah kebahagiaan di wajah si wanita tatkala si suami menyuruhnya membeli kedua-duanya sekali. Tatkala mereka berpapasan, Fathiah mengulum senyum. Membalas senyuman si wanita.
"Tak apa sayang... abah kerja. Walaupun kita tak sama macam orang lain, tapi... abah awak special tau. Dia pejuang. Pejuang cinta mama sampai awak lahir jadi tanda cinta ibu dengan abah."
Fathiah mengusap lembut kandungannya tatkala terasa tendangan si kecil. Nafas panjang dihela. Dia mengulum senyum seraya kembali menyambung mencari pakaian. Ya Tuhan, besarnya nilai menjadi isteri seorang Kapten Iman Fathi.
Hatinya bisa dimiliki tapi jasadnya milik negara.
"Akak! Ni comel. Akak nak tak?" Suara ceria Ayana yang sedang memilih stoking bayi kedengaran. Fathiah kembali tersenyum seraya menghampiri adik iparnya.
"Rasa nak beli semua pun ada. Rambang mata banyak sales!"
"Tu maksudnya akak kena bagi Aya anak buah banyak-banyak supaya kita boleh pilih barang baby lagi." Ayana cuba menceriakan Fathiah. Dia tahu, Fathiah kembali sedih melihat sepasang suami isteri sebentar tadi.
Ya Tuhan, melihat saja perjuangan ibu dan kakak iparnya, Ayana tekad dia tak mahu jodoh dalam kalangan badan beruniform! Tak sanggup berkongsi dengan negara dan makan hati merindukan sang suami.
MENGIKUT perkiraan hari, dua minggu lagi Fathiah akan bersalin. Tapi, ada hal aneh yang mula mencengkam sanubarinya. Sudah tiga hari Fathiah tak merasakan tendangan bayinya.
Barangkali, ini tanda-tanda dia akan melahirkan.
"Lah termenung lagi buat apa anak mama ni? Dari tadi mama tunggu Thia makan kat bawah. Dah lewat ni. Tak elok ibu mengandung makan lewat."
Fathiah tersengih kelat mendengar omelan ibunya. Perlahan-lahan, dia bangun dari berteleku di atas sejadah seraya meletakkan Al Quran di rak buku. Telekung ditanggalkan.
"Thia tak sedap badanlah ma."
Pandangan dua beranak saling bertaut. Jelas wajah Fathiah kelihatan pucat malam itu. Tak bermaya. Nafas Fathiah juga seakan-akan mengah. Puan Wati risau.
"Duduk sini... mama ambilkan makanan untuk Thia. Thia penat kut. Itulah mama kata duduk je diam-diam kat rumah. Ni nak juga ikut aktiviti kat sekolah. Kan dah mendapat."
"Nak buat macam mana ma..."
Tak semena-mena, Fathiah merasakan pinggangnya sakit yang bukan kepalang. Dia terduduk di birai katil. Nafasnya sesak di rangkungan menahan sakit yang seakan mematahkan tulang-temulang.
"Thia... kenapa ni?"
"Sa... sakit ma! Perut Thia sakit sangat... rasa memulas..."
Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipi Fathiah. Dia mencengkam gebar tatkala kesakitan itu semakin mencengkam seluruh tubuh. Ya Allah, beginikah rasanya berkorban nyawa demi melahirkan zuriat?
"Air ketuban kau dah pecah ni, Thia. Allah... kau nak bersalin dah ni! Tenang Thia... jangan panik. Pegang tangan mama kuat-kuat."
Fathiah menurut. Dia mengenggam erat tangan ibunya. Bibirnya tak lepas mengucapkan zikrullah demi melawan kontraksi. Dia kuat. Dia isteri seorang pejuang negara!
SETELAH panggilan ditamatkan, Fathi terduduk di atas bangku berhampiran sekolah yang sedang dibaiki oleh sepasukan anggota tentera.
Telefonnya digenggam erat. Tubir matanya terasa hangat setelah menerima sebuah berita yang merobek tangkai hati. Kegagahan Fathi sirna serta-merta tatkala wajah Fathiah terimbas di ruang memorinya.
"Allahu sayang... ujian apa lagi kali ni sayang..."
Fathi tersentak tatkala seorang kanak-kanak lelaki menghulurkan coklat kepadanya. Ada senyuman menghias wajah kanak-kanak yang baru saja kehilangan ayah dan ibunya itu.
"Afwan..." ucap Fathi dengan nada yang bergetar.
Tatkala tubuhnya dipeluk oleh kanak-kanak lelaki itu, jiwa lelaki Fathi luluh jua. Dia tersenyum pahit tatkala menerima kehangatan budak lelaki yang seakan-akan memujuk hati walangnya. Dia harus kuat. Ujian itu menguatkan bukan melemahkan. Jikalau kanak-kanak baru berusia tujuh tahun ini sudah kehilangan tempat bergantung maka dia juga harus kuat menempuhi ujian hubungan jarak jauhnya bersama Fathiah.
"AYA... bawa Kak Thia naik. Perlahan-lahan ya. Dia baru lepas bersalin."
Ayana hanya mengangguk lemah. Wajah sembap Fathiah dipandang sayu. Dia memimpin tangan Fathiah yang seolah-olah sudah kehilangan roh dari jasad.
"Kita nak buat apa Eliya? Aku tak sanggup nak tengok anak aku macam tu. Dah terlalu banyak dugaan dalam hidup dia. Lepas satu... satu yang jadi. Fathi... kau dah bagi tahu Fathi?"
Puan Eliya mengusap lembut bahu Puan Wati. Bibirnya menggeletar menahan sebak mengenangkan ujian yang menimpa. Sungguh, berita ini masih mengejutkan.
"Sabar ya Wati. Kita kena jaga Thia sampai semangat dia pulih. Kita tak boleh tinggalkan dia seorang-seorang. Dia lemah sekarang ni apatah lagi Fathi jauh daripada Thia. Pasal Fathi... mungkin dia akan cuba berunding dengan orang atasan supaya dia boleh balik awal."
"Thia ada trauma... aku risau sangat..." Air mata sudah merembes laju ke pipi Puan Wati. Dia menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan. Tak mampu berhadapan Fathiah andai anaknya meraung kesakitan lagi.
"Dah! Kau kuat. Kita semua kuat. Kita dah dilatih untuk jadi kuat sebagai isteri perajurit. Suami kita meninggal demi negara jadi kita mesti teruskan jadi kuat hingga hujung nyawa kita, Wati."
Puan Eliya menarik lembut tubuh Puan Wati ke dalam dakapan. Memujuk hati antara satu sama lain tatkala Allah memberikan ujian yang maha hebat kepada mereka sekeluarga.
SUARA tangisan bayi mengejutkan Fathiah daripada lenanya. Dia melilau ke sekeliling kamar yang gelap itu. Kelihatan Ayana sedang nyenyak di sisinya. Perlahan-lahan, Fathiah bangun daripada pebaringan tatkala tangisan anaknya semakin menjentik rasa sayu di ruang hati.
"Anak ibu..."
Dengan langkah yang pincang, Fathiah menghampiri baby cot yang terletak di sebelah katil. Senyuman terukir di bibir pucat gadis itu. Tanda cintanya dan Iman Fathi sedang kelaparan. Kasihan.
"Anak ibu nak susu ya?"
Alangkah sejuknya hati Fathiah tatkala bayi yang digendong itu kelihatan berselera menyusu badan.
"Faiqah jadi anak solehah untuk ibu dengan abah ya. Nanti, tak lama lagi abah balik. Mesti abah tak sabar nak dukung Faiqah. Anak ibu kena selalu sihat ya. Jangan buat ibu risau." Perlahan-lahan, Fathiah mengucup lembut kepala Faiqah. Bibirnya melafazkan zikrullah bagi mendodoi bayi itu. Namun, entah mengapa ada sebu di hatinya tatkala melihat wajah Faiqah yang hanya kaku.
Tika itu, Ayana hanya mampu terdiam di atas kasur. Bibirnya menggeletar mendengar bicara Fathiah. Menahan sebak yang menghentam jiwa. Ingin sekali Ayana menyedarkan Fathiah. Namun dia tak mampu melihat Fathiah menderita lagi. Kakak iparnya itu perlukan masa untuk menerima kenyataan.
SEMENJAK kepulangannya bersama Faiqah, Fathiah mula rasa terasing dengan keluarganya. Mereka langsung tak mahu mendukung Faiqah. Apa dia punya salah sehingga keluarganya tak mahu menerima kehadiran Faiqah di rumah ini pun Fathiah tak tahu.
"Thia... makan sikit ya. Thia perlukan..."
"Tak nak. Mama tak nampak ke Thia tengah tukarkan baju Faiqah ni? Dia kena muntah susu tadi. Bau! Ayana langsung tak nak tolong tukarkan baju Faiqah."
Puan Wati menghela nafas panjang. Dia mengenggam dulang berisi bubur dan ubat-ubatan buat Fathiah. Wajah Fathiah yang sedang melepaskan amarah direnung tajam. Bagaimana ya dia mahu menyedarkan Fathiah bahawa kesihatan gadis itu lebih penting saat ini?
"Kalau kau tak makan... kau tak boleh nak susukan Faiqah."
Fathiah tersentak. Pandangannya bertaut dengan Puan Wati. Tubuh Faiqah yang yang berada di gendongannya ditepuk-tepuk lembut.
"Okey, Thia makan. Mama tolong letakkan Faiqah kat katil dia boleh?"
Suasana sepi buat seketika. Fathiah mengerutkan dahi tika Puan Wati hanya kaku tak mahu menggendong tubuh Faiqah. Kenapa dengan ibunya ini? Tadi, Ayana langsung tak mahu membantunya. Saat ini, ibunya juga bersikap yang sama. Dingin!
"Ish! Kenapa semua orang kat rumah ni tak suka Faiqah? Kalau mama dengan yang lain marah Thia, lepaskan je kat Thia..."
Belum sempat Fathiah menoktahkan amarahnya, tubuh Faiqah terus berpindah tangan. Fathiah kaget dengan kekasaran ibunya. Jelas, ada kekecewaan di wajah Puan Wati. Ya Tuhan, apa yang sudah berlaku saat ini?
Fathiah bingung!
"Dah! Makan. Janganlah buat mama risau."
"Okey... Thia tak buat mama risau. Tapi Thia tak naklah makan jamu ni. Tak sedap."
"Kena makan supaya tenaga Thia kembali kuat. Thia tu baru je bersalin dah banyak buang tenaga masa lahirkan Faiqah. Sinilah mama suapkan." Pinggan berisi bubur berpindah tangan. Ya Tuhan, melihat Fathiah seakan keanak-anakan buat Puan Wati buntu. Gadis ini perlukan rawatan. Tak boleh dibiarkan dengan dunianya sendiri. Trauma kehilangan itu sudah membuatkan kesihatan mental Fathiah terganggu.
BERSAMBUNG...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top