EPISOD 20

"AKU terima nikahnya Imani Fathiah binti Bahri dengan mas kahwinnya seribu ringgit dan dibayar tunai."

Hanya sekali lafaz saja, termeterailah janji setia di antara Iman Fathi dan Imani Fathiah. Senyuman tak lekang di bibir Fathiah yang sedang mengaminkan doa yang dibaca oleh imam. Tatkala pandangannya bertaut dengan Fathi, jantungnya sontak berdegup kencang. Fathiah suka senyuman Fathi.

Menenangkan.

Bukan mudah mereka melalui proses pertunangan. Mereka diberikan ujian yang maha hebat. Tapi, satu hal yang Fathiah belajar. Kepercayaan dan kesetiaan itu perlu ada dalam setiap hubungan.

"Imani Fathiah... isteri abang..."

Wajah Fathiah membahang tatkala Fathi mula menggantikan panggilan. Duduk setentang dengannya untuk upacara pembatalan air sembahyang.

Ingin sekali Fathiah bertanya mengapa dia harus memanggil Fathi abang walhal Fathi hanya tua 11 bulan saja. Namun, melihat pandangan tulus Fathi buat mulut Fathiah seakan-akan terkunci.

"Thia sayang abang..." Fathiah memejamkan matanya saat kucupan hangat singgah di dahi. Debunga bahagia semakin mekar di dinding hati gadis itu. Tiada lagi derita kehilangan insan tersayang.

"Abang cintakan Thia. Semoga... cinta akan sentiasa bersemi dalam rumah tangga kita hingga akhir hayat," bisik Fathi bersama senyuman yang terukir di bibir. Demi Allah, Fathi mencintai Fathiah meskipun dia tahu cinta Fathiah hanya untuk Falah saja.

Tak apa. Cinta itu akan hadir saat rindu menjadi peneman. Fathi yakin.

FIGURA Fathi yang sedang bertelefon di luar rumah membibitkan tanda tanya di benak fikiran Fathiah. Riak wajah suaminya itu kelihatan tegas. Ada apa yang dengan Fathi sehingga suaminya kelihatan sibuk? Walhal, hari ini merupakan hari pertama mereka sah menjadi suami isteri.

"Cepat sikit bagi mama cucu." Usikan Puan Wati mengundang tawa Puan Eliya dan Ayana yang sedang menjamah minum malam. Syukur, majlis nikah Fathi dan Fathiah dipermudah meskipun Mateen hanya hadir menjadi wali buat adiknya.

"Mama ni... tak menyabar betul kan." Fathiah sudah tahan malu diusik oleh keluarganya. Nafas panjang dihela. Dia melabuhkan duduk bersebelahan Puan Wati. Kek batik disuakan ke dalam mulut.

"Kita orang ni dah tua. Cucu pun tak ada lagi. Kan Eliya."

"Betul tu. Nak juga rumah ni tambah meriah dengan cucu-cucu kita orang." Puan Eliya pula menyambung usikannya. Keningnya dijungkit-jungkitkan tatkala bertaut pandangan dengan Fathi yang melangkah masuk ke dalam rumah.

"Awal fikir pasal cucu. Mama dengan mak nak berapa orang cucu?"

Tak semena-mena, wajah Fathiah membahang panas. Melihat senyuman nakal Fathi saja dia tahu Fathi mahu mengusik. Masalahnya, Fathiah tidak selesa!

"Thia nak naik dulu."

"Eloklah tu. Thia masih dalam proses penyembuhan. Kena banyak berehat."

Fathiah mengangguk seraya bangun. Namun, baru selangkah dia menapak, Fathiah tak merasakan lagi kakinya berpijak di atas lantai. Hampir saja dia terpelongo tatkala Fathi mencempung tubuhnya. Tika pandangannya bertaut dengan si suami, wajah Fathiah kembali membahang panas.

Oh Tuhan, kalau jantungnya ini boleh tercabut rasanya saat ini juga tercabut dek tindakan spontan Fathi!

"Isteri abang ni tak sihat lagi. Biar abang jadi kaki Thia sampai Thia sihat sepenuhnya."

Melihat kemesraan Fathi dan Fathiah buat Ayana tersenyum lebar. Senang hatinya melihat kemesraan kakak ipar dan abangnya itu. "Mak... nak kahwin juga. Nanti kalau sakit, ada orang dukung Aya. Tak payah berjalan lagi."

"Haip! Gatal!"

Terkekeh-kekeh Ayana tatkala pinggangnya dicubit oleh Puan Eliya. Sempat lagi dia mengenyitkan mata dengan Fathiah tatkala pandangan mereka bertaut. Alahai, comel benar si kakak ipar dengan wajah merah menahan malu itu.

PERLAHAN-LAHAN, Fathi meletakkan tubuh Fathiah di atas kasur. Tak mahu isterinya sakit jikalau dia terkasar. Deruan nafas Fathiah yang begitu kencang benar-benar buat Fathi tersenyum. Geli hati tika gadis yang sentiasa lancang dalam berkata-kata ini jadi pemalu.

"Cantik ya isteri abang ni." Fathi menyelitkan anak rambut Fathiah ke belakang telinga. Jaraknya hanya sejengkal daripada Fathiah yang bersandar di kepala katil.

Sungguh, Fathiah mula kecut perut dengan tatapan tajam suaminya. Tubuhnya kaku tika sentuhan lembut Fathi di segenap wajahnya membuatkan dia kejang. Ya Tuhan, Fathiah rasa dia mahu berendam dalam tab mandi dipenuhi ais supaya rasa bahang di wajahnya surut.

"Abang..."

Fathiah menolak lembut tubuh Fathi. Namun, Fathi sengaja mengeraskan tubuh. Masih dalam mood menyakat si isteri. Nanti, jarak akan memisahkan cinta mereka lagi.

"Kenapa tolak macam tu? Nak abang buat macam ni ke? Supaya Thia boleh pandang abang dekat-dekat lagi?"

Tak semena-mena, Fathiah merasakan deruan nafas Fathi di leher jinjangnya tika Fathi meletakkan kedua-dua belah tangan di kiri dan kanan Fathiah. Mengunci pergerakan Fathiah serta-merta. Pucuk hidung mereka hampir saja bertaut.

Tika itu, waktu seakan-akan berhenti berputar. Baik Fathi mahupun Fathiah, kedua-duanya hanyut dengan dunia cinta yang diredai Allah. Tangan Fathiah mula mengusap lembut wajah Fathi. Alis mata pemuda itu terbentuk cantik. Setiap kali Fathi tersenyum, pasti matanya akan berbentuk eye smiles. Hidungnya mancung.

Refleks, senyuman menghias wajah pucat Fathiah. Fathiah bahagia.

"Thia... esok... abang dah kena balik Kuantan. Nama abang dah naik untuk bertugas. Abang minta maaf... terpaksa tinggalkan Thia. Padahal, baru sehari kita menikah."

Mendengar hal itu, senyuman Fathiah pudar. Dia menjatuhkan tangannya daripada membelai wajah Fathi. Namun, pemuda itu tangkas mencengkam lembut pergelangan tangan Fathiah lalu dikucup lembut.

"Berapa lama abang pergi?"

Fathi mengalihkan pandangan. Dia melabuhkan duduk di birai katil. Berat hati sebenarnya ingin tinggalkan Fathiah. Dia risau jikalau Iffah muncul mencederakan isterinya lagi.

"Suami Thia..."

Tatkala Fathiah meleretkan suara, Fathi tersentak. Apatah lagi tatkala Fathiah mula memicit lembut bahu kekarnya. Pandangan Fathiah yang tulus benar-benar menggetarkan naluri lelaki Fathi. Wangian bunga mawar di tubuh Fathiah buat Fathi tak keruan.

"Tiga bulan."

"Ala... sekejap je tu."

"Sayang... abang risaukan Thia. Abang tak sedia nak tinggalkan isteri abang lepas apa yang jadi." Fathi mengenggam erat kedua-dua belah tangan Fathiah.

"Tak ada apalah. Thia janji Thia akan jaga diri baik-baik supaya suami Thia tak risau dah. Abang pun janji dengan Thia... jaga keselamatan diri abang. Sebab Thia nak belajar cintakan Iman Fathi."

Senyuman Fathi kembali mekar. Dia mengucup lembut dahi Fathiah. "Terima kasih sayang... bahagiakan abang. Buat abang rasa istimewa menjadi suami kepada Imani Fathiah."

Perlahan-lahan, Fathi membaringkan tubuh Fathiah di atas kasur. Jari jemarinya kembali ligat bermain-main dengan rambut ikal Fathiah. Saat itu, malam menjadi saksi pasangan pengantin baru hanyut dengan fantasi cinta mereka. Dengan harapan, keluarga yang dibina ini akan berkekalan hingga ke Jannah.

BERSAMBUNG...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top