EPISOD 2

2024

SEBAIK saja sebuah Honda Hatchback diparkir di halaman rumah, si pemuda berkemeja hijau melilau ke sekeliling kawasan perumahannya yang sepi. Sudah terlalu lama mereka tidak pulang. Rindunya dengan daerah ini seakan-akan kembali.

15 tahun. Bukan waktu yang singkat dia tinggalkan semua memori yang masih terpahat di ruang ingatan.

"Rindunya..."

"Rindu siapa?"

"Rindu zaman sekolahlah mak. Teringat arwah ayah tak bagi masuk rumah sebab ponteng sekolah. Teringat naik basikal pergi sekolah dengan awek..."

Tak semena-mena, senyuman terukir di bibir pemuda berkulit sawo matang itu. Tiba-tiba saja ada wajah kudus yang bermain di ingatannya. Apa khabar ya kekasih lamanya itu? Apa sudah punya pengganti?

"Hah! Sebab awek tu jugalah kau tak kahwin-kahwin sampai sekarang."

Fathi tersengih kelat seraya menggaru pelipis yang tak gatal. "Kena sumpahan sebab tinggalkan dia kut mak. Sebab tu sampai sekarang tak jumpa menantu untuk mak."

"Bukan sengaja pun kan."

Seketika, pandangan Fathi bertaut dengan Puan Eliya. Sungguh, hingga ke saat ini Fathi serba salah dengan keputusannya meninggalkan gadis itu. Meskipun sudah 15 tahun berlalu, namun ada kalanya hati Fathi masih berkata ya buat si empunya diri.

"Kalau Aya jadi akak tu kan... Aya takkan maafkan abang sampai tujuh keturunan." Ayana menepuk bahu abangnya seraya melangkah keluar dari perut kereta.

"Apahal pula? Aku tak curang pun." Fathi menghampiri adiknya yang sudah membuka bonet kereta. Tak puas hati.

"Tak curang. Tapi... abang tinggalkan ex abang tu tanpa alasan. Abang hilang macam tu je! Padahal, kau orang dah janji kan kau orang akan belajar sampai dapat kerja elok-elok. Nanti dah dewasa boleh bina keluarga sendiri. Tengok... sampai sekarang abang single! Kifarah tu sakitkan hati anak dara orang."

Bertubi-tubi kata-kata daripada Ayana buat Fathi kaku. Dia tersenyum sinis. Mengejek dirinya yang kurang cerdik. Benar kata Ayana. Dia meninggalkan gadis itu tanpa alasan. Mereka sekeluarga berpindah secara mendadak setelah kematian ayahnya.

"Move on! Akak tu pun entah-entah dah kahwin. Abang yang single ni... teruskan single sampai bidadari jatuh dari langit. Orang carikan calon abang tak suka. Hah... jadilah bujang terlajak!"

Fathi terbahak-bahak tika Ayana semakin melepaskan geramnya. Dicubitnya kuat pipi gebu si adik. Geram! Ada saja yang keluar daripada mulut Ayana secara spontan.

"Sakitlah!"

"Siapa suruh macam popcorn!"

"Popcorn abang panggil..."

"Assalamualaikum! Ya Allah, Eliya! Kau orang pindah sini balik?"

Tatkala kedengaran suara jiran di sebelah, serentak dua beradik itu berpaling. Menjadi saksi sesi jejak kasih ibu dan jiran mereka.

"Waalaikumsalam... Wati. Kau masih tinggal kat sini rupanya. Lama sangat kita tak berhubung. Lost contact." Puan Eliya berpelukan dengan Puan Wati. Rindu dengan sahabat lamanya yang sudah terputus hubungan.

"Tak apa. Aku faham. Kau kena pindah lepas suami kau meninggal. Kau sihat?"

"Alhamdulillah. Sihat. Kau? Suami dengan anak-anak macam mana?"

Wajah Puan Wati sedikit keruh tatkala Puan Eliya menyebut tentang suaminya. "Suami aku dah meninggal. Setahun lepas arwah suami kau pergi. Meninggal masa jalankan operasi."

"Inalillahiwainalillahirojiun. Aku... tak tahu pun yang suami kau dah meninggal. Aku minta maaf Wati. Kalau aku tahu aku temankan masa kau susah dulu."

Puan Wati menggeleng. Tak mahu sahabat lamanya serba salah kerana tak ada di sisi tika dia kesusahan. "Anak-anak kau dah besar panjang sekarang ya. Ni mesti dah dapat menantu..."

"Menantu masih kosong. Sorang ni bujang terlajak. Sorang lagi ni masih study. Tak boleh kahwin!"

Ayana menyalami tangan Puan Wati. Dia tersengih. Sesekali, kepalanya dipanjangkan melihat pekarangan rumah Puan Wati yang sepi. Ada akalnya mahu membahan si abang yang hanya kaku.

"Mak cik ada borang kosong tak untuk abang?"

"Borang kosong?"

"Ya. Borang untuk calon menantu mak! Mana tahu mak cik ada kenalan yang anak dia bujang lagi ke. Hah tak pun... mana tahu ada bunga kat rumah mak cik yang masih belum dipetik..."

Tak semena-mena, Puan Wati tertawa kecil. Tercuit hati dengan lelucon Ayana yang membahan si abang. Ya Tuhan, anak beranak Puan Eliya masih tak berubah. Suka bergurau senda sesama mereka.

"Adik saya ni memang rosak sikit mak cik. Jangan layankan sangat." Fathi mengusap kasar kepala adiknya. Geram!

"Macam nilah budak-budak ni, Wati. Tak berubah. Dah besar panjang ada je nak menyakat. Ni... anak-anak kau mana? Sunyi je rumah kau."

"Kerja. Thia tu dah jadi cikgu sekarang. Nasib baik posting kat daerah ni juga. Adalah yang temankan aku kat rumah. Abang dia jelah berjauhan daripada aku. Kerja kat Kuantan."

Mendengar nama Fathiah disebut, degupan jantung Fathi sontak jadi kencang. Dia mengusap batang lehernya seraya kembali mengangkat barang masuk ke dalam rumah.

Fathiah.

Apa khabar gadis itu ya sekarang?

🌹🌹🌹

"

SIAPA nak datang malam ni ma? Banyak betul mama masak. Thia nak main badminton pun terpaksa cancel. Penting sangat ke orang yang nak datang rumah kita?"

Usai saja menunaikan solat Isyak, Fathiah membantu ibunya yang sibuk menyediakan lauk-pauk di atas meja makan. Timbul tanda tanya di benak fikiran gadis berjubah hitam itu. Seharian Fathiah sibuk menguruskan program di sekolah, entah siapa tetamu mereka malam ini pun dia tak tahu.

"Adalah."

"Siapa?"

"Rumah sebelah. Ada jiran baru pindah kelmarin."

Langkah Fathiah terhenti. Dia berkerut. Tak puas hati tatkala ibunya menjemput orang asing. Manakan tidak, sekarang ini terlalu banyak kes pembunuhan berlaku. Tak mahu ibunya terlibat dengan kehidupan orang tak dikenali.

"Muka macam tak suka je."

"Mestilah. Tahu tak, sekarang ni kes bunuh dah macam kes rutin. Hari-hari ada kes bunuh. Mama jangan macam-macam. Orang baru pindah tu kita tak tahu pun apa motif dia. Tak payah nak friendly sangat dengan orang baru."

Tatkala Fathiah mula bertegas, Puan Wati tertawa kecil. Dia mengusap lembut bahu anaknya yang sudah bercekak pinggang. Garang.

"Cikgu Thia... mama kenal sangat orang baru pindah tu. Thia pun kenal. Kalau dia orang datang nanti... mesti kau suka. Senyumlah. Ni bukan sekolah nak buat muka garang."

Mendengar hal itu, jiwa Fathiah semakin diasak dengan tanda tanya. Tika loceng rumah kedengaran, dia hanya menghantar si ibu membuka pintu rumah melalui pandangan. Siapa ya jiran baru mereka ini?

"Assalamualaikum."

Tatkala si pemberi salam melangkah masuk, Fathiah jadi pegun. Kakinya seakan-akan terpasak di atas lantai. Terasa kelat liur di rangkungan. Jiwanya berbolak-balik. Fikirannya bercangkaliwang. Pandangan redup itu menjentik satu perasaan halus di lubuk hati Fathiah.

Kaget.

"Kak Thia!"

Tatkala tubuhnya ditarik ke dalam pelukan, Fathiah masih statik. Pandangannya masih bertaut dengan sepasang mata hazel Iman Fathi. Seolah-olah membawa kepada kisah silam mereka dahulu.

"Fathiah..."

"Kau... buat apa kat rumah aku?"

Sontak, Fathi kaku dengan soalan dingin Fathiah. Pandangannya ditundukkan tatkala ada biasan amarah di wajah gadis itu. Tak mampu bertentang mata dengan gadis yang seakan-akan tak suka dengan kehadirannya.

"Apa cakap macam tu kat Fathi? Dia datang nak makan malam dengan kita. Thia mesti suka..."

"Tapi kenapa dia mesti datang lepas 15 tahun berlalu?"

Nada suara Fathiah kedengaran tegang. Membuatkan suasana ceria jadi sepi serta-merta. Kaget dengan kekasaran Fathiah menyambut keluarga Puan Eliya. Bahkan, Ayana juga terus meleraikan pelukannya. Takut melihat wajah bengis Fathiah.

"Thia... kita duduk dulu. Sambutlah tetamu tu dengan ikhlas." Perlahan-lahan, Puan Wati mencengkam pergelangan tangan Fathiah. Memimpin Fathiah duduk di meja makan. Dia tahu, emosi Fathiah kembali tak stabil setelah bertemu Fathi.

"Thia sihat?"

Nada suara Puan Eliya yang lembut menyedarkan Fathiah daripada amarahnya. Dia menghela nafas panjang. Cuba menahan amarah dengan kehadiran Fathi. Ya Tuhan, kenapa lagi dia dipertemukan dengan pemuda yang sudah menghancurkan kisah yang diimpikan?

"Sihat. Thia... minta maaf sebab berkasar." Senyuman pahit terukir di bibir Fathiah. Tak mahu keadaan kekok tika dia mulakan perang dingin bersama Fathi.

"Syukurlah. Mama kata Thia dah jadi cikgu ya sekarang? Ikut jejak mama dialah ni kan."

"Betul. Nak jadi macam mama. Mak cik pindah sini sebab apa?" Fathiah menyendokkan nasi kepada Ayana yang duduk di sebelahnya. Mula beramah mesra dengan tetamu mereka pada malam itu.

"Rumah mak cik dah lama kosong. Lagi pun Ayana baru je sambung degree kat Selangor. Tu yang mak cik pindah kat sini. Senanglah Aya nak ulang alik dari kolej ke rumah. Tak perlu sewa rumah lagi."

"Aya sambung study kat mana?"

"Kat Unisel. Aya sambung kos akaun. Nanti boleh kira-kirakan kos perbelanjaan hidup abang yang kedekut ni."

Tak semena-mena, Ayana terjerit kecil dengan cubitan abangnya. Menyengat!

"Kau orang adik beradik ni kan tak berubah langsung. Ada je sesi sakat menyakatnya. Meriah hidup kau Eliya dengan anak-anak."

"Saya tak pernah berubah mak cik. Dari dulu, kini dan selamanya macam nilah saya. Termasuk... hati saya yang tak pernah berubah untuk si dia." Tulus, Fathi mengujarkan kata-katanya sambil memandang figura Fathiah.

Tika itu, refleks Fathiah bertaut pandangan dengan Fathi. Senyuman di bibir itu masih sama. Membentuk mata sepet setiap kali Fathi tersenyum.

Hati Fathi tak pernah berubah? Apa pemuda ini hilang ingatan setelah apa yang berlaku di antara mereka?

🌹🌹🌹

"JEMPUT mak cik, Aya. Saya ada buat kek moist chocolate petang tadi." Senyuman terukir di bibir Fathiah buat tetamunya yang sedang bersembang di ruang tamu bersama Puan Wati. Senang hati Fathiah melihat ibunya sudah punya peneman.

"Aya, pergi panggilkan abang kat luar. Rugi..."

"Eh! Kau orang makan je. Biar Cikgu Thia kita yang panggilkan Fathi," pintas Puan Wati seraya menyuakan kek coklat ke dalam mulutnya.

Fathiah kaku. Tak hingin memanggil Fathi tatkala hatinya ini masih marah.

"Imani Fathiah..."

Bila nama penuhnya dipanggil, terpaksalah Fathiah mengheret kaki melangkah keluar. Fathi sedang bertelefon di luar rumah. Figura Fathi diperhatikan. Sudah 15 tahun berlalu semenjak kejadian itu. Fathi sudah berubah. Tubuhnya tegap. Kulit putihnya sudah berubah gelap. Ada aura tegas di sebalik wajah Fathi.

"Thia?"

Fathiah berdeham tatkala pandangannya bertaut dengan Fathi.

"Pergilah masuk. Aku ada buat kek coklat."

"Masuk mana? Hati kau?" Fathi mengulum senyum tatkala Fathiah sudah mencerlungkan mata ke arahnya.

"Hati aku? Dah tutup untuk kau."

"Aku boleh buka balik hati kau sebab kunci hati kau ada dengan aku."

Tak semena-mena, Fathiah tertawa sinis. Dia berpeluk tubuh sambil berkerut dahi. Tiada langsung riak bersalah di wajah Fathi dengan kesalahan yang sudah dia buat.

"Daripada dengar kau buat lawak bodoh... baik aku masuk dulu." Fathiah melangkah masuk ke dalam rumah. Tak betah berhadapan dengan Fathi.

"Thia... aku minta maaf..."

Langkah Fathiah terhenti. Dia berpaling tatkala Fathi dalam mood serius. Jelas, terpancar penyesalan di wajah pemuda berkemeja hitam itu.

"Aku minta maaf sebab tinggalkan kau tanpa ucap selamat tinggal. Aku minta maaf sebab pentingkan diri... aku..."

"Maaf kau dah basi, Iman Fathi. Dah macam-macam aku lalui sepanjang 15 tahun ni dan maaf kau tu tak berkesan dah untuk aku."

Tatkala kata-kata itu diucapkan, Fathi jadi kelu. Rasa bersalahnya semakin kemuncak. Dia dapat rasakan Fathiah tak mampu memaafkan kesalahannya menghancurkan kisah cinta mereka dahulu.

Bersambung...

Nak lagi? Komen  dan like dulu ❤️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top