EPISOD 19

FATHI tercungap-cungap berlari di kawasan hospital. Mencari wad unit rawatan rapi. Degupan jantungnya semakin kencang tatkala ketakutan semakin mencengkam sanubari. Ya Tuhan, dugaan bertunang ini benar-benar memberikan impak kepadanya dan Fathiah.

"Kenapa susah nak angkat call?"

Baru saja Fathi melangkah ke ruangan itu, dia disergah oleh emaknya. Jelas, terpancar kemarahan di wajah Puan Eliya tatkala hari ketiga Fathiah terlantar barulah Fathi menjawab panggilan.

"Tak nak diganggu."

"Oh, tak nak diganggu sebab kononnya terasa dengan Thia kan? Ya Allah Fathi... kau tahu tak Thia tu dah bertarung nyawa kat dalam ICU!"

Fathi hanya mampu tertunduk tatkala dimarahi oleh Puan Eliya. Kali ini, dia benar-benar merasakan dirinya tak berguna. Kali terakhir dia bertemu Fathiah, dia memarahi tunangannya itu. Membiarkan saja Fathiah menangis tanpa memujuk.

"Dahlah mak. Abang baru sampai tu. Bang, kau pergilah tengok Kak Thia. Keadaan dia masih kritikal."

"Doktor cakap apa? Serius ke keadaan Thia?"

"Ada darah beku kat kepala dia kesan hentakan kuat. Doktor dah buat pembedahan keluarkan darah beku. Banyakkan berdoa je supaya Kak Thia sedar." Ayana mengusap lembut bahu abangnya. Jelas, terpancar kesedihan di sebalik wajah Fathi.

"Macam mana boleh jadi macam ni?"

"Dia bergaduh dengan Iffah sebelum tu. Pasal fitnah. Thia nak pertahankan kamu je Fathi. Lepas tu... ada sebuah kereta langgar lari Fathiah sampai jadi macam tu. Kawan Iffah sendiri. Sekarang, semua orang pun tak tahu Iffah ada kat mana. Dia orang dah larikan diri."

Luluh hati Fathi tatkala mendengar penjelasan Puan Eliya. Tubir matanya terasa hangat. Hanya kerana dia menghukum Fathiah, gadis itu sanggup menjunamkan diri dalam bahaya demi maruahnya. Ya Allah, apa dia dah buat? Seharusnya, hal itu sudah selesai. Dia tak perlu hukum Fathiah.

Tatkala Fathi melangkah masuk ke dalam ICU, kegagahannya sirna melihat keadan Fathiah dengan kepala berbalut. Wajah gadis itu kelihatan pucat. Hanya alat bantuan oksigen saja yang membantu Fathiah untuk terus bernafas. Sayup-sayup kedengaran alunan Yassin yang dibaca oleh Puan Wati.

Dejavu.

Dahulu, Fathi juga bergaduh besar bersama ayahnya sebelum ayahnya pergi menemui Sang Pencipta. Dia tak sempat meminta maaf. Saat ini, cinta hatinya pula terlantar selepas mereka bergaduh.

"Fathi... mak cik keluar dulu ya."

Fathi hanya mengangguk lemah. Dia terduduk di atas kerusi sambil mengenggam kedua-dua belah tangannya. Setitis demi setitis air mata lelakinya mengalir jua. Penyesalannya sudah seluas samudera.

"Thia... bangun Thia. Aku perlukan bidadari syurga aku. Aku minta maaf sebab buat kau menangis. Kalau kau nak marah aku, kau marahlah aku. Tapi tolong... jangan seksa aku macam ni. Aku tak sanggup nak hilang orang yang aku sayang lagi."

Sepi. Tiada lagi jawapan mahupun mimik muka daripada Fathiah. Semakin remuk hati Fathi melihat keadaan Fathiah tika ini. Dia rindu. Ingin saja dia mengenggam erat tangan Fathiah memberikan kekuatan buat tunangannya.

"Fathiah... aku dah balik untuk kau..."

Fathi tertunduk. Memandang sayu tangan Fathiah. Cincin tunang yang dilemparkan kepadanya dahulu sudah kembali dipakai oleh Fathiah. Kalau saja dia tak melayan perasaan dengan pergaduhan mereka, pasti dia tak akan menyesal menyakiti tunangannya.

BEBERAPA keping foto zaman sekolah yang dihulurkan oleh Puan Wati membuatkan Fathi tersenyum. Yassin dikucup lalu diletak di bawah bantal Fathiah. Kenangan manisnya bersama Fathiah tak pernah luput di ingatan. Mereka pasangan yang nakal. Sentiasa ponteng sekolah hanya untuk bercinta di kafe siber.

"Fathiah nak bagi kamu haritu. Tapi tulah kau orang pun susah nak jumpa."

"Dia masih simpan gambar-gambar ni?"

Puan Wati mengangguk. Perlahan-lahan, dia mengenggam erat tangan mulus Fathiah. Sudah hampir dua minggu Fathiah terlantar. Pasti anak gadisnya ini memerlukan regangan.

"Thia sayangkan kamu, Fathi. Tapi dia takut nak akui perasaan dia untuk kamu. Dia selalu je risau kalau dia hilang kamu macam dia hilang arwah ayah dengan Falah. Sebab tulah kut dia kecewa masa kamu kena fitnah."

Mendengarkan itu, senyuman Fathi memudar. Dia memandang wajah pucat Fathiah. Tak menyangka bahawa Fathiah selalu memikirkan dirinya. Manakan tidak, Fathiah tak pernah meluahkan rasa rindu. Hanya dia saja yang mengungkapkan rindunya buat gadis ini.

"Imani Fathiah... Iman Fathi... nama kau orang memang saling melengkapi. Berbelas tahun kau orang berpisah akhirnya takdir temukan kau orang semula. Mak cik senang hati sangat bila Thia dah berubah. Dia dah jadi Thia yang manja macam dulu. Selalu je senyum walaupun ada masalah. Terima kasih Fathi... bahagiakan anak mama..."

Mendengar ucapan tulus Puan Wati, tiada kata yang mampu Fathi ucapkan lagi. Dia juga senang dengan takdir yang sudah direncanakan buatnya dan Fathiah. Satu-satunya gadis yang buat Fathi jatuh hati.

Namun, dia juga yang menyakiti Fathiah. Melihat Fathiah terlantar hanya kerana mempertahankan maruah seorang Fathi benar-benar buat pemuda itu terkilan.

Sepatutnya, dia melindungi Fathiah.

"Ya Allah, Thia..."

Fathi tersentak tatkala nada suara Puan Wati bergetar.

"Thia dah sedar..."

Fathi terbangun. Senyumannya melebar melihat mata kuyu Fathiah melilau ke sekeliling ruangan ICU. Ya Allah, doanya dimakbulkan. Fathiah kembali sedar untuk melengkapkan kisah cinta mereka.

"Mama..."

"Ya anak mama."

"Fathi..."

Tak semena-mena setitis air mata mengalir ke pipi Fathiah. Senyuman Fathi buat seluruh kesakitan Fathiah sirna. Tahulah dia bahawa Fathi sudah memaafkannya. 

BERSAMBUNG...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top