Bab 1


Anuar Ghani baru sahaja pulang dari upacara pengebumian rakan lamanya. Rakan yang sama-sama belajar di Uitm dulu. Arif namanya. Berita kematiannya sangat mengejutkan, arwah telah ditemui mati dalam keadaan mengerikan di rumahnya. Dia mendapat tahu, Arif telah mati membunuh diri dengan menelan racun. Dia tak tahu bahwa Arif mempunyai masalah sehingga sanggup membunuh diri. Tahun lepas baru saja mereka berjumpa. Arwah siap menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan teman sepejabat. Kelihatan ceria dan tak macam dirundung masalah.

Tapi yalah, dalam tempoh setahun. Macam-macam boleh jadi.

"Betul Nuar, orang cakap mayat dia berdarah-darah. Aku rasa mesti jin dia bela makan tuan." Seloroh Hadi rakan lama yang turut belajar di universiti yang sama. Langsung tiada sikap menghormati si mati. Bercakap ikut sedap mulut sahaja. Arwah sepanjang hidupnya dahulu pun bukanlah digemari orang sangat. Mulut celupar. Sebab itu orang macam tidak kisah dengan kematiannya.

"Tak elok kau kata camtu la Hadi." Nasihat Nuar.

"Dia dulu celupar, aku celupar la balik. Alah, lagipun nak terasa apa lagi dah dia. Dah berada dalam tanah." Hadi mengeleng kepalanya. Dulu dalam kelas, Hadi la paling teruk menjadi mangsa ejekan Arif. Disakat bermacam-macam. Mungkin gara-gara itu dia menjadi benci pada arwah.

Bila difikirkan balik, tiada satu rakan datang semasa upacara pengebumian arwah Arif. Malah rakan serumah sewa mereka. Sebut mengenai rumah sewa, Nuar menjadi kelat. Teringat akan peristiwa lama yang dia cuba lupakan sejak dari dulu. Agaknya sebab itu Jamadi, Badrul dan Haris tidak datang ziarah. Tidak mahu mengingati apa yang mereka telah lakukan dulu. Perbuatan terkutuk yang tak boleh dimaafkan.

"Nuar? Kau okey?" tanya Hadi sambil sudu ditangan digoyang di hadapan mata Nuar. Nuar mengangguk kepalanya.

"Okey je."

"Aku tengok pucat semacam. Kalau rasa tak sihat. Cakap la. Nanti kita singgah klinik. Aku teman."

Nuar ketawa. "Ayat tu gay pula aku dengar."

"Serius nih aku prihatin."

"Yalah yalah. Aku okey je. Sambung, sambung makan."

Mana dia nak okey. Dia tak akan pernah okey. Dia telah melakukan dosa besar. Dosa yang tak mungkin dapat ditebus buat selamanya. Masa silamnya itu satu sumpahan. Dia masih dihantui olehnya. Hampir setiap malam, dia akan mengalami mimpi ngeri dan muntah-muntah kerananya. Malah bukan setakat mimpi ngeri dan muntah, semenjak kejadian itu banyak pil ditelannya semata-mata untuk meredakan trauma dialami olehnya.

Bluargh...

Nuar mencangkung sambil sebelah tangannya menyentuh dinding bilik air. Kepalanya tertunduk mengarah ke mangkuk jamban. Malam ini sudah tiga kali dia muntah.

"Aaarrghh!!"

Suara wanita menjerit histeria datang dari dalam dinding. Mengetuk-ngetuk permukaan keras itu berulang kali. Berdentum dentam membingitkan telinga.

"Diam!" Nuar menendang dinding.

Jeritan itu masih berbunyi. Nuar menendang berulang kali.

"Diam la Diam!!"

Nuar pergi ke dapur, segera dia mengambil bekas berisi pil. Tergesa-gesa dia meletakkan beberapa biji di tapak tangan lalu ditelan begitu sahaja tanpa minum air. Suara jeritan tadi tidak lagi kedengaran. Bilik itu menjadi sunyi. Nuar terduduk. Menangis teresak-esak sambil memeluk kepala lututnya.

Keesokan harinya Nuar bekerja seperti biasa di sebuah firma perniagaan. Bawah matanya masih berbekas hitam. Banyak kali rakan pejabatnya menegur mengenai hal itu. Tetapi Nuar hanya memberi alasan kesibukan membuat dia berjaga malam hari. Alasan itu diterima oleh rakan-rakannya kerana di pejabat memang Nuar adalah antara pekerja terajin. Minggu lepas sahaja dia menerima anugerah pekerja terbaik syarikat.

Tetapi ramai tidak tahu, dia mengidap insomnia. Kesukaran untuk tidur di malam hari itu la dia ambil peluang untuk menyelesaikan tugas-tugas pejabatnya.

"Nuar, i risau tengok you ni." Tegur Junaidah, rakan pejabat yang meja kubikelnya berada bersebelahan sahaja dengan Nuar.

"Beruntungnya i ada awek risau dekat i. Rasa dihargai. Boleh la buat bini ni." Balas Nuar dengan nada bergurau senda.

Junaidah mencebik. "Ha itu lah dia, orang nasihat, dia main-mainkan kita pula."

Nuar ketawa. "Nak lunch sama tak?" ajaknya.

Junaidah melihat jam tangan. "Pukul 1 dah rupanya. Boleh la jom."

Pada saat Nuar dan Junaidah hendak berjalan keluar daripada pejabat, mata Nuar terpanggil untuk melihat ke arah pantri. Kemudian tiba-tiba langkahnya berhenti. Pandangannya terpaku melihat sosok seseorang di pantri tersebut. Peluh mula membasahi tengkuknya. Jantungnya berdegup pantas. Dadanya macam mahu pecah. Perutnya rasa mual.

"Nuar you okey?"

Nuar tak pedulikan pertanyaan Junaidah, dia berlari. Lari menuju ke bilik air lalu cepat-cepat dia muntah ke sinki. Di basuh mukanya berulang kali kemudian dia melihat wajahnya pada pantulan cermin. Tak mungkin.

Apa yang dia lihat di pantri itu tadi, memang tak silap. Dia adalah...

Johari Sudin.


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top