ELEVEN

•••

Gawon menyelak muka surat seterusnya, buku yang sedang dia baca benar-benar menarik minatnya.

Duduk di bawah sebuah pokok yang rendang bertemankan cuaca cerah sangat menenangkan. Gawon rasa hendak meluangkan sepanjang harinya di situ.

Tiba-tiba, susuk tubuh seseorang menarik perhatiannya. Gawon mengecilkan mata untuk mengecam orang itu yang berdiri agak jauh di hadapannya. Walaupun hanya dapat melihat bahagian belakang tubuhnya sahaja, Gawon amat mengenali orang itu.

Gawon bingkas bangun lalu mendekatinya. Sejak tadi dia hanya berdiri tegak sambil menghadap tasik yang terbentang luas.

"Sunghoon." Gawon memanggil apabila dia berdiri betul-betul di belakang lelaki itu.

Sunghoon menoleh ke belakang bersama riak wajah yang kosong. Lalu dia memusingkan tubuhnya menghadap Gawon.

Gawon berasa kekok. Kebiasaannya Sunghoon yang akan menyapanya dahulu. Kali ini dia pula perlu menyapa Sunghoon, apa sahaja soalan yang dia perlu tanya?

Seluruh bulu roma Gawon menegak, Sunghoon yang masih tidak bersuara mengusap lembut pipinya. Gawon memegang tangan kanan Sunghoon yang sedang mengusap pipinya.

Terukir sebuah senyuman di bibir Sunghoon. Sunghoon menurunkan tangannya lalu dia mengambil satu langkah ke belakang.

Mata Gawon terbeliak, selangkah ke belakang bermakna dia akan terjatuh ke dalam tasik.

"Sunghoon!"

Gawon terduduk di atas tanah, dia tidak sempat menarik Sunghoon daripada terjatuh ke dalam tasik. Dia melutut sambil mencari kelibat Sunghoon di dalam air.

"Park Sunghoon! Park Sunghoon!" nama itu diseru berkali-kali agar dia timbul semula ke permukaan.

Namun hasilnya hampa, Gawon langsung tidak nampak bayang-bayang Sunghoon, seolah-olah dia sudah tenggelam jauh ke dasar. Gawon segera berdiri dan menyediakan dirinya untuk terjun ke dalam tasik itu. Dia tidak akan benarkan Sunghoon menghilang begitu sahaja.

Sebaik sahaja Gawon hendak terjun, seluruh tubuhnya terdorong ke belakang seperti ada sesuatu menariknya agar tidak masuk ke dalam tasik itu.

Gawon terjatuh meniarap di atas tanah, kakinya seolah-olah ditarik oleh sesuatu. Dia menjerit sekuat hati tatkala tubuhnya ditarik menjauhi tasik itu, nama Sunghoon masih diseru berkali-kali.

•••

Gawon terus duduk apabila terbangun daripada tidur. Nafasnya tercungap-cungap mencari oksigen persis seekor ikan yang memerlukan air jika terbiar di daratan. Mimpi tadi benar-benar membuatkannya cemas.

Gawon melihat jam di telefon pintarnya, sudah pukul enam pagi. Dia mengusap wajahnya yang berpeluh lalu bingkas bangun untuk bersiap pergi kerja.

Lampu bilik air dibuka, Gawon melihat keadaan dirinya pada cermin. Dua hari dibuai kesedihan membuatkan dirinya kelihatan seperti seorang yang tidak keruan. Dari atas sehingga bawah langsung tidak terurus.

Gawon menjadi begini selepas dia meninggalkan Sunghoon dua hari lalu. Ketika dia selesai makan malam bersama Nicholas.

Tipulah jika pujuk rayu Sunghoon tidak memberi kesan kepadanya, malah ia mengembalikan duka lama yang Gawon sangka dia sudah buang.

Ternyata malam itu membuktikan bahawa Gawon tidak pernah pulih daripada perpisahan tersebut. Dia cuma pandai memendam perasaan sebenarnya.

Namun ego dan dendam menghalangnya untuk menerima Sunghoon semula. Setiap kali dia melihat wajah Sunghoon, pelbagai emosi akan menyerangnya.

Benci atau rindu? Gawon keliru kerana dua perasaan itu seakan-akan saling berlaga dalam dirinya.

"There must be a reason why we were reunited. Bertemu dengan awak semula ibarat takdir nak berikan saya peluang kedua. Please give me a chance to fix everything so we can stay together, forever."

Air mata Gawon jatuh. Dahulu dia sangat berpegang pada janji itu. Pada akhirnya dia hanya memperoleh kekecewaan akibat terlalu berharap.

Sekali lagi dia mendengar ayat itu dituturkan oleh orang yang sama. Namun dalam versi diri mereka yang berbeza.

Gawon buntu. Kisah lama membuatnya takut untuk terlalu menyayangi seseorang. Gawon takut jika dia terlalu menyayangi Sunghoon lagi.

"Hakikatnya perasaan itu tidak pernah pudar."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top