Bab 29: Berserah II

Aku berdiri di hadapan mereka dengan tegak untuk melindungi yang lain. Kira mendongak memandangku dengan wajah tidak percaya.

"T-Tuanku..." Sebut Shin sambil cuba mencapaiku. Aku menitiskan darahnya pada mulut Shin terus membuatkan tubuhnya kembali pulih. Yang lain terus terkejut dan mula membuka langkah waspada.

"Beta datang ke sini bukan untuk berperang. Beta datang untuk keamanan. Kalau bukan keamanan yang kau mahu, apa lagi pilihan yang beta ada selain mempertahankan diri dan puak beta?" Balasku sambil mengangkat tangan.

"Untuk apa kau datang ke sini? Dan untuk apa kau menghantar mereka kalau bukan untuk memangsa kami?" Soal Jhenis dengan tegas.

"Aku melihat manusia sangat bijak. Melihat kalian dapat menemui bahan perak sebagai kelemahan kami adalah salah satu buktinya. Beta hantar mereka ke sini untuk kalian mengkaji mereka. Selama ini kalian tak dapat mengkaji mereka dengan lebih teliti disebabkan mereka akan menjadi debu apabila mati bukan? Malah mereka tak kan bekerjasama memandangkan mereka hilang kewarasan. Nyawa mereka bergantung sepenuhnya pada tuan mereka, cuba menangkap mereka hidup-hidup pun bukan menjadi pilihan memandangkan tuan mereka boleh menghapuskan mereka bila-bila masa sahaja yang dia mahu. Beta berikan sumber yang sempurna untuk kalian kaji. Bukankah itu perkara terbaik yang berlaku?" Terangku membuatkan yang lain memandangku dengan wajah tidak percaya.

"Red... Kau-!" Kira mula berang. Fikirnya aku cuma ingin menggunakan mereka yang lain dengan menjadikan bahan kajian manusia.

"Kajian? Untuk apa kau berikan kepada kami?" Soal Jhenis mula keliru.

"Untuk tukarkan mereka kembali kepada manusia. Beta yakin dengan kebijaksanaan manusia, mereka boleh menukarkan vampires kembali kepada asal. Menurut bonda beta, kalian tak perlukan kuasa penyembuhan seperti beta untuk menyembuhkan penyakit pada manusia jadi beta yakin kalian mungkin dapat menemui cara menukarkan mereka kepada manusia kembali" terangku serius. Mereka semua terus tersentak mendengar penjelasanku. Mereka tak fikir sejauh itu ke? Memandangkan Shin dan lain-lain datang dengan kewarasan. Sekurangnya mereka patut fikir untuk mengambil peluang ni dalam mencari lebih banyak kelemahan vampire.

"Betul ke itu yang tuanku fikirkan? Semuanya untuk kami?" Soal Juva dengan nada tidak percaya bercampur terharu.

"Kau fikir beta masih perlukan kalian semua? Beta cuma rasa kalian sia-sia untuk hidup dengan beta dan juga sia-sia dibiarkan mati lagipun beta mahu lihat benarkah apa yang dikatakan oleh bonda beta tentang kebijaksanaan mereka," balasku dengan sinis. Mereka semua terkedu dan terdiam. Mereka tak dapat untuk berlawan balik memandangkan senjata mereka telah hancur menjadi tanah.

"Kau tak perlu risau jika mereka menyerang. Seperti yang kalian lihat. Mereka dah buang taring mereka yang menjadi satu-satunya cara mereka mendapatkan darah. Selepas ini apa-apa sahaja darah kecuali darah beta mereka takkan dapat jamah. Kalau mereka lapar sekalipun, beta akan jadi sasaran utama mereka" kataku sambil menjeling kepada mereka dan perasan mereka semua tidak lagi mempunyai taring.

"Kau masih lagi boleh mengawal mereka bukan?" Soal Jhenis dengan serius.

"Tentu tapi... Kau mahu takut ke dengan pengikut yang tak mampu buat apa-apa? Mereka golongan yang lemah. Kekuatan mereka sudah dibuang, kini mereka tak ubah seperti manusia lain yang lemah. Mereka tak mampu untuk mengangkat pedang pun dalam keadaan mereka sekarang" kataku membuatkan mereka yang lain masih sangsi denganku.

"Haih... Beginilah. Apa kata kau tangkap beta sebagai tahanan? Hukum beta seperti yang kalian mahu. Beta tak kan berlawan selagi mereka masih hidup dan tak diapa-apakan. Beta juga sedia menjadi kajian kalian" kataku sambil merapatkan tanganku seolah menyerahkan diri dan bersedia untuk ditahan.

"Daripada aku merisikokan kerajaan ni, lebih baik kau dihapuskan" katanya lalu memberi isyarat pada pasukan pemanah untuk melepaskan panah mereka namun dengan mudah aku menepis panah mereka dengan elemen angin.

"Ia tak berguna. Walaupun tanpa askar beta, beta kini mampu jatuhkan kerajaan ni seorang diri" kataku dengan sinis.

"Lepaskan Magilete!" Arah Jhenis lagi lalu satu tembakan dilepaskan kepada aku. Ia merupakan peluru yang mengandungi kandungan yang boleh membatalkan magik. Memandangkan ia tidak digunakan oleh semua askar di sini, aku cuma dapat fikir bahawa bahannya mungkin sukar untuk didapati atau ia bahan yang terhad.

"Tanpa magik beta pun... Beta dapat musnahkan kerajaan ni!" Aku terus menghentak tanah dengan kuat sehingga kawasan keliling istana itu mula terbelah. Ia terus membuatkan penduduk serta semua yang berada di situ kepanikan dan menjerit meminta tolong.

"Red berhenti! Kau nak musnahkan semuanya lagi ke?! Aku takkan benarkan!" Jerit Kira sambil mengancamku dari belakang. Dia sedia untuk menikamku bila-bila masa. Melihat apa yang dia cuba lakukan, ia membuatkan aku keliru.

"Selepas dia cuba bunuh abang kau... Kau masih mahu melindungi dia?" Soalku sambil memandangnya dengan ekor mata.

"Punca semua ni berlaku disebabkan kau. Orang-orang yang lain tak bersalah dan tak patut jadi korban disebabkan kesalahan kau," kata Kira sambil terus memeluk Shin. Kadang-kadang aku fikir dia lebih menyayangi Shin lebih sebagai seorang abang.

"Ahhh... Baiklah. Nampaknya manusia sememangnya sensitif. Beta sememangnya perlu bertindak lebih berhati-hati. Bagaimana dengan ini? Aku berikan kau semua peluang untuk melepaskan setiap kemarahan kalian, sebagai ganjaran kau cipta satu penawar untuk mereka. Beta tak melawan mahupun melepaskan diri. Kalian boleh buat apa sahaja yang kalian mahukan pada beta" aku merunding membuatkan Jhenis memandangku dengan wajah tidak percaya.

"Red Kagero, putera bongsu maharaja Vlad. Vampire yang dikenali sebagai vampire yang termuda menyerang perkampungan manusia. Apa yang membuatkan kau tiba-tiba berubah hati?" Soal Jhenis masih was-was.

"Anggap saja ia cuma sifat ingin tahu beta. Bonda beta sanggup mempertaruhkan nyawanya malah mengorbankan nyawanya untuk kalian walaupun akhirnya kisahnya langsung tidak diketahui oleh mana-mana manusia. Usahanya sia-sia, beta cuma mahu tahu... Apa yang membuatkan bonda beta terlalu tertarik pada manusia" balasku sinis.

"Untuk fikirkan vampire sekejam kau tiba-tiba mahukan keamanan, ia sesuatu yang tak pernah kami impikan walaupun di dalam mimpi atau mungkin..." Balas Jhenis kembali tenang lalu memandang kearah Kira yang masih memeluk Shin.

"Kalian tak mahukah? Walaupun kalian mungkin berpeluang dapat cara untuk hidup abadi dengan darah beta tanpa perlu kalian bertukar menjadi hamba beta?" Soalku dengan sinis membuatkan mereka tersentak. Mereka semua menelan liur seakan terpengaruh dengan cadanganku.

"Apa yang boleh kau janjikan dengan kata-kata kau yang kau takkan melawan?" Soal Jhenis ingin tahu.

"Haih... Manusia sememangnya sukar untuk mempercayai sesiapa ha? Sekejam-kejam beta, beta tak pernah lagi memungkiri janji tapi kalau ia tak cukup meyakinkan," aku terus mencabut keluar sisa taringku seperti mana yang dilakukan oleh Shin dan lain-lain. Walaupun ia hancur sewaktu aku menyerang Yutaf sebelum ini, aku masih mempunyai sisa tenaga untuk gunakan kuasa elemenku. Ia terus membuatkan mata mereka membutang.

"Kini sekurangnya kalian ada masa lebih kurang 200 tahun. Sepanjang 200 tahun ni... Kalian boleh cuba mengkaji tubuh beta dan beta takkan dapat berlawan tapi kalian membuat keputusan yang salah kalau cuba untuk membunuh beta. Itu perkara mustahil untuk berlaku sekarang. Dalam tubuh beta terdapat entiti lain yang menumpang, ia masih boleh hancurkan sesiapa sahaja jika ia terlepas. Anggap saja tubuh beta merupakan kurungan untuknya." Terangku lalu satu wajah ngeri seekor demon muncul di dahiku membuatkan yang lain terus berubah pucat kerana ngeri melihat wajahku.

"Jangan risau... Ia takkan terlepas selagi beta dalam keadaan sedar. Kuasanya juga telah beta rampas. Mungkin kalian juga dapat cari penyelesaian untuk mengurungnya nanti. Ia akan menurunkan risiko bukan?" Kataku dengan mulut yang masih mengalirkan darah dan wajahku kembali seperti sediakala. Tiba-tiba mereka fokus ke arah lain seolah ada seseorang sedang berkomunikasi dengan mereka dari jarak jauh. Jhenis mengeluh berat lalu memandangku dengan wajah kembali tenang.

"Baiklah. Kalau itu yang kau mahu. Sebagai permulaan, apa yang boleh buatkan pergerakan kau sebagai vampire terbatas?" Soalnya mula mengkaji.

"Memandangkan beta merupakan seekor vampire dan dalam tubuh beta mempunyai seekor demon. Mungkin gari yang diperbuat daripada perak dengan magik cahaya dapat membataskan beta" kataku dan terus satu gari yang diperbuat daripada perak menggari tanganku.

"Wow pantas" balasku sambil menjengkitkan kening apabila salah seorang askar begitu pantas menahanku.

"Tuanku... Belum menjamah apa-apa sebelum ke sini kan? Tuanku lebih lemah dari sebelumnya" kata Frin risau.

"Mungkin juga sebab Tuanku cabut satu-satunya kekuatan tuanku. Tuanku... Ia tak berbaloi lakukan semua ni demi kami. Tuanku patut pergi dan hidup tanpa perlu hiraukan kami!" Ujar Ruzix bersungguh.

"Anggap saja kalian sedang membantu beta. Dengan semua yang berlaku sekarang ni... Mungkin bonda dapat maafkan beta" kataku perlahan. Boma dan yang lain-lain tersentak mendengar apa yang keluar dari mulutku sendiri. Kami ditarik masuk ke dalam pagar besi tersebut dengan pengawalan ketat. Semua senjata perak diarahkan kepada kami. Sementara kami berjalan masuk, aku mula perasan bahawa Miko tak bersama mereka.

"Nampaknya... Musuh tu terlalu kuat untuk Miko ha?" soalku tahu benar bahawa ia sudah menemui penamatnya.

"Maaf tuanku. Kami tak dapat melindunginya" balas Shin penuh kesal. Kira terus memerhatiku dari belakang lalu memandang semula Shin.

"Tubuhnya ditanam di Hutan Prumas. Itu sahaja penghormatan yang kami dapat lakukan demi menghormati pengorbanannya" kata Kira sambil menunduk. Aku senyap seketika apabila mendengar nadanya yang lembut dan sememangnya ikhlas bersimpati atas kehilangan Miko.

"Ia memadai. Sekurangnya ada satu dari pengikut beta mempunyai kuburnya sendiri. Ia sememangnya lebih dari memadai... Terima kasih" balasku puas hati. Seakan salah satu impianku tercapai, aku tersenyum nipis. Walaupun jiwa aku keberatan apabila fikirkan bahawa pengikutku yang paling lama dan sentiasa bersama aku sejak kecil kini turut lesap bersama mereka yang lain.

Selepas menemui raja dan pembicaraan dilakukan dalam beberapa minggu, mereka bersepakat untuk menyetujui cadanganku. Shin dan lain-lain akan menjalani kehidupan seperti penduduk biasa namun mereka akan terus berada dalam pengawasan ketat. Para pengkaji juga mula menyediakan pil darah untuk mereka supaya tidak kebuluran membuatkan aku tersenyum puas.

Seperti yang bonda katakan, manusia sememangnya mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Hanya beberapa minggu aku menjadi bahan kajian mereka, banyak benda yang mereka ciptakan untuk vampire walaupun ia memberi kesan yang buruk ataupun kesan yang baik. Melihat Shin dan yang lain-lain tidak diapa-apakan, meyakinkan aku bahawa teoriku bahawa mereka akan dapat menemui penyelesaian dalam menjadikan mereka sebagai manusia semula bakal menjadi realiti.

Bersambung...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top