Bab 20 : Kelam Silam
"Red... Kamu perlu tahu manusia cepat membiak tidak seperti vampire. Cara untuk kita membiak adalah dengan menjadikan mereka berpihak kepada kita. Jangka hayat manusia lebih pendek dari kita jadi... Ramai antara mereka menginginkan darah kita untuk hidup abadi" kata ayahanda sambil memegang bahuku dari belakang sambil melihat ke luar jendela. Waktu itu aku berumur 10 tahun, sehari sahaja selepas aku membunuh abang sulungku.
"Kita pun bukan hidup abadi. Mengapa mereka inginkan darah kita? Mustahil untuk hidupan diberikan nyawa jika ia hidup abadi" balasku membuatkan ayahanda mencengkam bahuku kuat. Namun aku membiarkannya tanpa perasaan. Sebenarnya mulai hari itu juga aku sudah membencinya kerana dia langsung tidak menghalang kami membunuh sesama sendiri malah langsung tidak membantuku apabila aku diserang oleh saudaraku yang lain.
"Kau tak macam yang lain. Dalam tubuh kau ada kuasa yang lebih kuat dari mereka yang lain. Kau lebih kuat dari ibunda dan ayahanda. Ayahanda pasti kau akan hidup abadi dan kau... Adalah satu-satu kebanggaan puak kita." katanya lagi. Walaupun aku membencinya pada waktu itu aku masih ingin bergantung pada dia. Aku masih ingin menjadi anak yang boleh dia banggakan. Kekeliruan aku untuk takhta masih mengelirukan tapi semakin aku membesar aku cuma fikir mungkin ia perkara biasa bagi keturunan vampire memandangkan aku tiada keluarga vampire berdarah suci yang lain selain keluarga ni.
"Anakanda cuma mahu hapuskan kampung yang membunuh ibunda. Anakanda tak mahu menyerang manusia yang lain selain manusia yang berada di dalam kampung tu" balasku tenang.
"Jangan jadi bodoh!" Jerit ayahanda sambil mencengkam bahuku kuat sehingga kukunya terbenam ke dalam bahuku namun aku hanya terus berdiam.
"Manusia di dalam kampung tu lari ke tempat lain dan sentiasa membiak. Keturunan pembelot mereka takkan pernah lenyap. Tugas kau... Untuk hapuskan semua manusia yang wujud. Ayahanda tinggalkan sebahagian mereka khas untuk kau membalas dendam untuk apa yang mereka lakukan pada ibunda kau." katanya lagi dengan bongkak. Mulai hari itu aku sedar... Bahawa tugas aku takkan pernah tamat selagi aku tak menghapuskan mereka semua.
Aku memberi layanan yang berbeza terhadap perkampungan yang berbeza. Jika aku dapat melihat tiang perak atau senjata perak yang mereka gunakan untuk memburu vampire, aku melayan mereka dengan lebih kejam. Semua pemburu aku lahap di hadapan keluarga mereka sebagai peringatan. Vampire bukan makhluk yang mereka boleh pandang rendah.
Walaupun aku membiarkan kanak-kanak hidup, aku berikan mereka rasa sakit yang sama sewaktu aku kecil dan memberi mereka pilihan samada menjadi makanan atau pengikutku apabila mereka mencapai usia dewasa. Kedua-dua pilihan akan memihak kepada aku, mereka tiada pilihan selain mengikut arahanku dan menjadi makananku hanya memberiku tenaga.
"Kenapa kau sentiasa lepaskan budak kecil manusia? Lebih muda, darah mereka lebih berkualiti" ujar ayahanda di takhtanya. Disebabkan aku tak mahu ayahanda meraguiku... Aku hanya berdalih sehingga ia menjadi sebati dalam tubuhku.
"Kebanyakan kanak-kanak terbunuh semasa anakanda memecah masuk perkampungan. Yang tinggal hanyalah pilihan anakanda untuk menjadikan mereka sebagai pemburu anakanda kelak" balasku berdalih.
"Jadi kau sudah menjamah mereka waktu serangan di kampung mereka?" soal ayahanda mula tenang.
"Ya... Yang tinggal hanyalah makanan tambahan yang anakanda tak dapat habiskan. Anakanda akan jadikan mereka makanan jika anakanda mengesan bahawa mereka tak berbaloi untuk disimpan kelak" balasku tenang.
"Oh begitu... Jadi tak ada masalah kalau kau menjamah mereka di depan ayahanda bukan?"soalnya lalu pintu istana terbuka dan dua orang kanak-kanak menangis meminta untuk dilepaskan. Mereka kelihatan sangat takut dan dipaksa untuk berjalan masuk dan ditolak ke sebelahku. Mereka terus berpelukan sesama sendiri dalam keadaan takut dikelilingi oleh vampire yang lain yang kelihatan lapar.
"Ya Tuhan, selamat kami..." Kata mereka sambil berdoa. Aku memandang mereka dengan ekor mata. Kanak-kanak perempuan di sebelahnya mungkin lebih tua daripada aku tetapi budak lelaki yang dipeluknya ternyata dalam usia 5 atau 6 tahun. Aku memandang kembali ayahanda meminta jawapan.
"Apa yang kau tunggukan? Jamah mereka" arahnya sambil mendagu memandangku dengan senyuman sinis. Aku mengetap gigiku lalu menarik budak lelaki yang lebih muda dan merampasnya dari pelukan kakaknya.
"Kakak! Kakak! Tolong adik!! Huwaaaa!!!"
"Jangan! Jangan ambil adik aku! Lepaskan dia! Lepaskan dia!!" Keadaan mula kecoh dengan tangisan mereka dan kakaknya cuba untuk mendapatkan adiknya kembali.
Adiknya tidak jauh tinggi daripada aku tapi dia sememangnya ringan dan sangat lemah. Dia cuba untuk melepaskan diri dan mengelupur untuk membuatkan tanganku terlepas dari mencengkamnya. Aku perlahan memasukkan taringku pada lehernya, di mana urat nadi lebih mudah untuk mendapatkan sumber darah malah urat itu urat yang paling terdekat pada jantung.
"Jangan!!! Lepaskan!! Lepaskan adik!!!" Jerit kakaknya sambil menumbuk-numbuk lenganku yang memegangnya. Pegangan adiknya yang memegang erat lengan kakaknya mula terlerai dalam beberapa saat. Aku melepaskannya perlahan dan membiarkan kakaknya mendapatnya semula.
"Huwaaaa!!!! Adik!!! Bangun!! Bangun!!!" Jeritnya sambil memanggil adiknya yang kini sudah pucat tidak berdarah. Nafasnya tidak lagi dihembus, hanya jasad yang kosong berada di dalam tangannya. Aku cuba sedaya upaya untuk selesaikannya dengan cepat namun ia tetap menyakitkan untuk budak sekecil tu.
"Apa yang beta lihat ni? Mengapa kau tak tersenyum? Red?" Soalnya sambil melihatku yang memandang kosong perempuan yang hampir seusiaku pada waktu itu.
"Beta tak mahu takhta beta dimiliki oleh seseorang yang lemah. Apa yang nenek moyang dan saudara kamu katakan apabila takhta ni dibazirkan untuk kamu?" Katanya sambil mendagu malas di kerusi takhtanya. Aku mendiamkan diri lalu dengan kasar mencengkam tengkuk perempuan itu. Aku kemudiannya mengangkatnya hampir ke mulutku lalu terus membenamkan taringku kasar ke bahagian leher depannya sehingga dia tidak sempat untuk mengelupur.
Hanya pukulan perlahan mengenai wajahku kerana dia terkejut. Aku menamatkan nyawanya dengan segera dan terus membalingnya ke sisi seolah patung sebaik sahaja darah di dalam tubuhnya kering. Aku menunduk dengan darah menitik dari kawasan mulutku dan darahnya membasahkan pakaian yang aku pakai. Aku kembali cuba menenangkan diri dan memandang semula ayahanda bersama senyuman.
"Ahh... Seperti yang ayahanda katakan. Ia lebih segar berbanding darah lain" balasku dengan senyuman palsu. Aku perlu menunjukkan bahawa aku gila kepadanya. Hanya itu caranya untuk ayahanda membiarkan aku bebas. Dia turut membalas dengan senyuman bangga.
"Jika tiada lagi yang perlu anakanda lakukan di sini. Izinkan anakanda untuk mengundur diri. Dapat rasai darah muda manusia membuatkan anakanda ingin mencari mereka lagi." Kataku masih dengan senyuman.
"Haha... Sekarang barulah kau kelihatan seperti anakanda beta. Ya tiada apa lagi. Pergilah berseronok" balasnya dengan bangga. Aku menunduk hormat lalu berpaling menuju ke pintu keluar daripada ruang takhta. Aku memandang kanak-kanak tadi dengan ekor mataku. Sekurangnya mereka tak kan lagi terseksa berada di sini.
Aku keluar dari ruang itu dengan senyuman yang sudah pudar. Pengikut ayahanda menyapaku namun disebabkan aku di dalam keadaan tidak puas hati, aku menjadikan dia sebagai mangsa melepaskan kemarahanku dengan memecahkan wajahnya. Dia kelihatan seronok bermakna ayahandaku juga sedang merasai perkara yang sama.
....... ...... ........ ....... ...... ........ ....... ....... ......
"Dia ada sifat ibundanya. Haih... Tak mengapa. Beta akan latih dia lagi sehingga sifat tu hilang sepenuhnya dari dia. Lagipun semua tu tak berguna bila benih tu dah menguasai tubuhnya. Dia akan selamanya di bawah arahan beta dan beta akan dapat hidup abadi dengan darah demon." Kata raja di atas takhtanya dengan bongkak. Tubuh budak yang sudah kering dari darah tadi tanpa simpati dihancurkan sehingga lumat dan dijadikan makanan untuk pengikutnya yang kelihatan tidak berakal.
Bersambung...
......................................................................
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top