Bab 25


BAB 9: RM (Manuskrip)

"Mawar, kau dah siap ke esei yang Cikgu Raju suruh kita buat tu? Sama kan tajuk esei yang dia bagi dekat kelas kau dengan aku?" Haha datang ke katil Mawar sambil bawa pen dan buku tulisnya.

"Dah." Jawab Mawar cuma sepatah sambil lipat baju-bajunya yang baru saja sudah diangkat dari ampaian.

"Dah siap?!"

"Hurm, dah. Kenapa?" Mawar tengok Haha sekilas, kemudian dia sambung kerjanya. Malas-malas sahaja dia nak layan, tahu sangat dah apa yang gadis ini mahukan, tapi dia pura-pura tak tahu.

Sengaja nak tengok, betul ke tidak tekaan dia.

"Weh, nak tengok boleh? Aku tak tahulah macam mana nak mulakan ayat untuk buat esei tu. Mana tahu tengok esei kau boleh dapat idea." Haha dah tersengih-sengih di hujung katil sana.

Mawar?

Sedaya upaya bekukan mukanya supaya tak nampak meluat.

Kan dia dah agak.

"Erm, boleh tu boleh tapi jangan tiru tau?"

"Ish, takkanlah aku nak tiru. Aku nak tengok je, buat contoh. Nanti aku ubah-ubahlah ayat kau supaya tak nampak sama."

Naik sebelah kening Mawar dengar apa yang Haha cakap. Ubah? Ayat Mawar?

Sedar agaknya ayat dia itu mengundang ketidaksenangan dalam hati Mawar, cepat-cepat Haha betulkan ayat dia.

"Maksud aku, kalau aku nak buat nanti, aku carilah ayat lain. Tak adalah tiru kau. Boleh tak pinjam esei kau Mawar, nak tengok?"

Mawar ikutkan hati tak nak bagi, tapi apa pula kata Haha nanti. Tak pasal-pasal nanti dia dicop kedekut ilmu.

Tapi...

"Boleh tak Mawar?" Muka itu jelas mengharap.

Lambat-lambat dia angguk. "Boleh." Lemah suaranya menjawab. Dia tinggalkan kain lalu turun bersila di atas lantai, mahu cari buku penulisannya yang dia simpan di almari bahagian bawah.

Jumpa.

Dengan berat hati dia hulurkan buku panjang itu dekat Haha. "Nah."

"Ya Allah, terima kasih Mawar! Aku pinjam eh? Nanti aku pulang!"

Tak sempat Mawar nak turunkan pesan lebih-lebih, Haha dah beredar dari situ dengan buku dia dan kembali ke katilnya yang terletak di hujung bilik sana.

"Jangan... tiru." Bisik Mawar perlahan, cukup-cukup untuk pendengaran dia.

"Tak ada maknanya. Kalau dah dapat dekat dia satu buku tu, kau ingat dia rajin nak guna otak?"

Kepala Mawar terdongak ke atas melihat Adah yang sedang menuruni tangga dari katilnya yang terletak atas katil Mawar.

Kelat dia tersenyum. "Harap-harap dia tak tirulah sebiji-sebiji, dia cakap nak pinjam je." Mawar masih cuba untuk bersangka baik dengan Haha.

Adah sengih sahaja dengar Mawar cakap macam tu. "Ikutlah, aku dah cakap tau dekat kau?"

Mawar telan air liur.

Dia pandang Haha yang tengah duduk membelakangkan Mawar di katilnya.

Haha takkan tiru semua sekali... kan?

***

"OKEY, tolong hantar kerja yang saya suruh siapkan masa cuti sekolah dulu atas meja saya ni sekarang."

Mawar terus pusing belakang untuk buka beg sekolahnya. Dia selak beberapa buku yang ada dalam tu untuk keluarkan buku penulisannya dan hantar dekat meja Cikgu Raju, tapi tak jumpa.

Eh?

Mana buku itu pergi?

Dia mula cuak, dia cari semula buku itu dengan berhati-hati. Bila masih tidak jumpa, Mawar keluarkan isi begnya satu persatu atas meja dengan muka yang dah berubah cemas.

Ah sudah...

Sumpah pagi tadi dia dah isi dalam beg. Mana perginya buku tu?

Macam mana boleh hilang pula?!

"Mawar."

Mawar toleh ke tepi bila dia dengar Raid panggil dia.

"Kenapa?" Raid tanya tanpa suara, agaknya perasan Mawar seperti kalut mencari sesuatu.

"Buku saya hilang!" Juga tanpa suara dia beritahu Raid akan masalah dunia dia itu.

"Macam mana boleh hilang?" Raid tanya lagi.

Mawar geleng dengan muka yang dah keruh. "Tak tahu, pagi tadi dah isi dalam beg dah sebelum keluar bilik. Tak tahu macam mana boleh hilang tiba-tiba."

Muka Raid juga sudah berubah, turut berkerut melihat Mawar yang kerisauan begitu.

"Mana lagi? Takkan ini je? Ni baru 30 orang yang hantar, patutnya ada 33. Sorang tak datang hari ni, jadi mana lagi dua? Siapa lagi belum hantar?"

Suara Cikgu Raju memetir di depan sana buatkan Mawar tersentak. Muka dia dah berubah pucat. Cikgu Raju itu terkenal dengan kegarangan dia, satu sekolah tahu hal itu.

Aduh, habislah Mawar...

"Siapa lagi dua orang yang tak hantar ni? Mana buku? Saya dah cakap kan sebelum cuti dulu, naik je cuti saya nak semua dah siap dan hantar terus. Cuti lama-lama seminggu buat apa?!"

Kecut perut Mawar bila dengar cikgu berbangsa India itu sudah mula naik angin.

"Siapa tak hantar? Mengaku sekarang, ke nak saya periksa kedatangan? Baik mengaku, sebelum saya yang jumpa awak."

Mawar takut-takut berdiri. "Sa, saya cikgu." Baiklah dia mengaku siap-siap.

"Hah, awak. Mana buku?!"

"Saya dah siap, tapi tertinggal." Kecil sahaja suara dia jadinya bila dirinya kini sudah jadi perhatian satu kelas.

"Tinggal? Dekat mana? Rumah? Nak suruh siapa tanda? Kucing awak? Mak awak yang baca buku latihan awak tu? Baik suruh mak awak je yang belajar kalau macam tu."

Berubah terus muka Mawar bila guru Bahasa Melayunya herdik dia begitu.

Nak pula dia petik hal berkaitan ibu, hati Mawar ketika itu seperti ditoreh dengan mata pisau.

"Lagi sorang? Mana?"

Srett..

Mawar pandang ke tepi bila dia dengar bunyi bergeser antara kerusi dan lantai.

Raid sudah berdiri tegak sama seperti dia, tapi yang buatkan Mawar lagi terkejut itu bukanlah hakikat yang Raid tinggal buku macam Mawar sebaliknya, buku latihan penulisan dia yang sedang terjulur sedikit di bawah meja.

Kenapa... Raid tipu?

"Saya, cikgu." Jawab Raid, penuh yakin.

"Hah, mana buku awak? Tertinggal juga?"

"Erm, tertinggal cikgu."

"Lagi sorang? Ni siapa pula nak baca dekat rumah tu? Ayah awak? Hah, baguslah tu, biar ayah awak yang pandai, esok nak exam pun suruh ayah awak yang jawabkan."

Mawar nampak Raid menggenggam tangannya sedikit di sisi peha bila Cikgu Raju tanpa sedikitpun kesal membangkitkan isu yang sensitif buat mereka anak-anak yatim ini.

Ibu dan ayah.

Tapi apa yang buatkan Mawar kagum dengan Raid, muka dia tetap tenang, seperti langsung tidak terusik dengan apa yang Cikgu Raju katakan.

"Kamu berdua ni pergi berdiri luar kelas, bawa sekali buku tatabahasa. Saya malas nak ajar orang yang banyak masalah ni. Alasan sama aje, tak bawa, tak bawa, padahal tak siap! Ingat baru hari ni ke saya mengajar? Dah, keluar!"

Mawar rasa mukanya macam baru lepas kena tampar, panas.

Malu dia tak usah dibilang, rasa hendak sahaja dia gali tanah dan benam muka dia dalam-dalam.

Rasa nak menangis pun ada juga ni.

Semua bercampur aduk menjadi satu.

Dengan ekor matanya, Mawar nampak Raid tolak buku latihan dia makin ke dalam laci meja lalu keluar dari tempat duduknya, terus pergi ke luar kelas.

Mawar cepat-cepat mengikut dari belakang sambil menunduk, terlalu segan untuk angkat muka.

Tak kisahlah sebab apa Raid tipu Cikgu Raju, tapi untuk ketika ini, dia rasa sangat bersyukur, bukan Mawar seorang yang kena denda.

***

MAWAR dan Raid berdiri sebelah menyebelah sambil menghadap ke dalam kelas, mendengar Cikgu Raju mengajar dari celahan jeriji tingkap.

Diam sahaja mereka, tidak bercakap-cakap, takut dimarahi lagi.

Tapi sesekali mata Mawar menjeling ke sebelah, cemburu sungguh dia lihat Raid.

Seperti sedikitpun tidak tercuit dengan denda yang dikenakan. Selamba dia berdiri di sebelah Mawar macam tak ada apa-apa jadi, macam bukan denda.

Sedangkan Mawar... separuh mati menahan malu.

Baru dia nak alihkan matanya dari terus memandang jejaka kacak itu, tiba-tiba Raid hulur buku tulisnya dekat Mawar tapi muka masih melihat ke dalam kelas buatkan dia kaget.

Mawar pandang buku itu kemudian matanya naik memanjat ke muka Raid.

Cari jawapan, betul ke Raid bagi buku dia tu dekat Mawar?

Bila Mawar tak ada tanda-tanda nak ambil, barulah Raid pandang muka dia, tersenyum, seolah mahu meyakinkan Mawar, yang dia mahu Mawar sambut hulurannya.

Lambat-lambat Mawar ambil, buku yang tertutup itu dia buka dekat bahagian yang berselit dengan pen.

Mawar baca tulisan-tulisan yang ada di situ. Sesaat kemudian, bibirnya dah menguntum dengan senyum.

-Mawar okey tak?

Dia ambil pen dalam buku itu dan tulis di bawahnya.

+Okey.

Mawar pulangkan buku itu kepada tuannya, Raid ambil dan tilik muka surat yang bertulis dengan jawapan, kemudian dia tulis lagi sesuatu di situ dan serahkan kepada Mawar sambil mata memandang ke dalam.

Mawar baca dengan berhati-hati tak mahu ketahuan.

-Mana buku Mawar?

Mawar balas soalan itu dan beri buku kepada Raid.

+Tak tahu. Pagi tadi sebelum keluar Mawar dah susun dalam beg, tak tahu macam mana boleh tiba-tiba hilang.

-Haha, misteri. Takkan Zaki kot curi, rasanya Zaki pandai curi selipar je.

+Hahaha! Kalau Zaki yang curi, tengoklah balik nanti Mawar cukur semua bulu dia!

-Balik nanti cari balik dekat bilik, okey?

Mawar kemam bibirnya, tahan diri dari tersenyum baca apa yang Raid tulis di buku itu. Ah, lelaki ini...

+Okey. Raid? Mawar nampak buku Raid ada bawah meja, kenapa tipu cikgu?

Mawar nampak Raid baca tulisannya, kemudian buku itu ditutup, pen disimpan dalam poket seluar, tidak lagi membalas pesanan seperti tadi, sebaliknya dia kekal fokus melihat Cikgu Raju mengajar.

Perbuatan Raid itu mengundang tanda tanya dalam hati Mawar.

Again?

Malas dia nak sakit otak fikir, dan tak mahu juga bersangka buruk, Mawar abaikan sahaja lelaki itu.

Suka hatilah. Raid adalah tu alasan tersendiri. Tak siap mungkin, walaupun hal itu seperti agak mustahil untuk terjadi sebab semua orang tahu Raid itu rajinnya bagaimana.

Baru Mawar nak endahkan perasaan ingin tahunya, tiba-tiba dia dengar suara di sebelahnya berbisik perlahan.

"Nanti Mawar kena denda sorang-sorang."

Laju dia berpaling, hanya untuk menemukan matanya dengan sepasang mata redup itu dengan bibirnya yang dah tersenyum nipis.

Mawar?

Cepat-cepat luruskan pandangan ke dalam kelas sana semula dengan pipi yang dah memanas.

Malu.

Tapi dia suka.






vroom vroom, panas enjin sat...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top

Tags: #akyelrahim