Bab 11
MAWAR bawa sekeping gambar yang berlipat itu pergi ke meja solek, kalut dia tarik kerusi dan duduk di depan cermin.
Dia letak sebentar foto tersebut atas meja kemudian dia tarik laci dengan kalut.
Dia keluarkan semua yang ada dalam laci itu satu-persatu dalam usahanya mencari sesuatu.
Jumpa!
Mawar keluarkan sehelai kertas yang terlipat kecil, lalu dia buka hingga sepenuhnya terbentang depan mata.
Kalut Mawar letak tepi gambar yang dia baru jumpa. Dia pandang angka-angka yang tertulis di atasnya.
Nombor itu dia tulis beberapa hari yang lalu sebaik Mawar bangun dari tidur, entah macam mana, sebaris nombor yang dia percaya adalah nombor telefon seseorang itu tiba-tiba melintas dalam kepala.
Gara-gara bimbang dia akan lupa, Mawar tulis secara rawak apa yang dia ingat di atas kertas. Tiga hari lepas, dia rasa nombor itu macam tak berguna, tapi tidak hari ini.
Tangan dia terkulai ke sisi peha, dengan mata hitamnya bergerak-gerak kejap ke kiri kejap ke kanan.
Dalam bingkai gambar yang pecah itu, bukan sahaja ada gambar Mawar dan Raid, tetapi ada juga gambar seorang lelaki lain, berdiri di sebelah Mawar.
Senang kata, Mawar itu kedudukannya di tengah-tengah antara Raid dan lelaki dari mimpinya.
"Ini Red?" Mawar berbisik sendiri.
Ya, Mawar yakin, lelaki ini Red. Dia pasti, firasatnya kuat berkata begitu. Gambar ditenung lagi, lama.
Ligat otaknya berfikir.
Tapi kenapa Mawar nampak cukup ceria berdiri di antara dua lelaki ini kalau benar Red itu orang yang bertanggungjawab menculik dia?
Kalau benar yang di dalam gambar bersama Mawar dan Raid itu Red, kenapa Raid tidak kenal?
Tapi kalau yang di dalam gambar ini bukan Red, habis dia siapa? Kenapa gambarnya terlipat begini?
Peningnya! Mawar pandang pula nombor telefon di atas kertas.
Mawar bangun dan pergi dapatkan telefon bimbitnya di atas katil lalu dia kembali semula ke meja solek.
Dengan tangan yang sedikit terketar dan sejuk, Mawar dail setiap nombor yang tertera di papan kekunci telefon.
Tidak terus ditekan butang memanggil, Mawar pandang lama-lama skrin yang masih menyala.
Dadanya yang sedikit berombak akibat bernafas tidak mengikut rentak itu Mawar pegang.
Sumpah dia berdebar, takut pun ada hendak menghadap kenyataan-kenyataan yang bakal terbongkar nanti andai betul sangkaan dia beberapa hari ini.
Mawar tarik nafas dalam-dalam, kemudian dia lepaskan dan hembus.
"Kalau bukan sekarang, bila lagi?" Mawar bisikkan pada diri sendiri kemudian dia terus tekan butang hijau.
Telefon diletakkan ke telinga.
Mawar ramas-ramas tangannya yang sudah sejuk sambil menanti panggilan bersambut.
Tut tut...
Tut tut...
Tolonglah angkat...
"Harap maaf. Nombor yang anda dail-"
Terus Mawar matikan panggilan dan campak telefon ke atas meja, dia pegang dada yang terasa hendak pecah bila disangka panggilannya bersambut.
Bila sudah sedikit tenang, Mawar capai semula telefon dia dan tekan butang hijau sekali lagi.
Mawar akan cuba telefon nombor itu sekali lagi sahaja. Kalau tak dapat, mungkin nombor itu nombor telefon dia yang lama yang tersimpan jauh dalam kotak memorinya.
Sama seperti tadi, Mawar dengan hati yang sangat-sangat berdebar, sandarkan badan telefon ke telinga.
Tut tut...
"Angkat..." Mawar berbisik sendiri.
Tut tut...
"Angkat..." Mata dah terpejam rapat sambil menanti.
Tut tut...
"Helo?"
Celik. Tegak badan Mawar yang tadinya menunduk, memandang biasan wajahnya di cermin bila panggilannya bersambut.
Suara perempuan.
Mawar cuba untuk tidak panik dengan bernafas perlahan-lahan.
"Helo? Boleh saya tahu dengan siapa saya bercakap?"
Suara itu bergema lagi dari seberang sana buatkan Mawar terkelu. Sumpah dia nak balas, tapi lidah dia seperti digam dengan sesuatu buatkan satu patah perkataan pun tak keluar dari bibir.
"Helo? Ada orang ke? Siapa ni?"
"Ada! Ada!" Mawar sedikit terjerit bila dia dapat rasakan yang panggilan itu akan ditamatkan jika dia tidak menyahut langsung.
"Oh okey, ya cik? Dengan siapa saya bercakap?"
"Ma-, Wardah. Saya Wardah." Mawar sengaja tidak beritahu namanya sebab dia tak tahu pun nombor ini milik siapa.
"Cik Wardah telefon untuk apa ya?"
Ini masanya Mawar...
"Erm, ni nombor telefon Red... kan?"
"Oh, ya betul. Encik Farid tengah meeting, jadi Encik Farid tinggalkan telefon dia dengan saya, kalau ada apa-apa urusan penting, Cik Wardah boleh sampaikan dekat saya, nanti saya beritahu Encik Farid."
Buk!
Telefon yang dia pegang jatuh ke lantai akibat terkejut. Badan dia sudah menggigil hebat.
"Nama saya Farid Adzim, tapi orang panggil saya, Raid."
"Cik Wardah? Helo? Cik Wardah?"
Mawar tengok telefonnya yang dah terbaring atas lantai dengan seribu satu rasa.
"Kenapa saya macam ni? Saya sakit ke?"
"Ada orang buat khianat, dia culik Mawar dan minta tebusan. Raid tak tahu apa yang jadi dekat Mawar sepanjang Mawar hilang. Bila polis jumpa je Mawar sayang dah tak sedarkan diri."
"Red."
"Red?"
Angguk.
"Merah? Sayang nampak warna merah?"
Satu-persatu cebisan memori tentang Raid datang semula buatkan Mawar hilang arah.
Tak...
Tak mungkin. Raid itu suami dia, Raid itu orang yang Mawar dah kenal sejak umur mereka 9 tahun.
Yang culik Mawar bukan Raid.
Yang culik Mawar itu Red.
Tak mungkin Raid nak culik dia? Untuk apa?
Air mata mula membanjiri tubir matanya. Mawar menangis tanpa dia sedar sambil mencekak rambut. Dia dah tak tentu arah, rasa seperti hendak saja dihantukkan kepala ke dinding.
"Kenapa aku tak ingat... ingatlah Mawar... ingat!"
Mawar merengek dalam tangis dan sedunya. Sumpah dia tertekan, dan tak tahu nak rasa apa ketika ini.
Semuanya bercampur aduk.
Raid bukan Red. Mawar masih lagi dalam penafian, tapi akalnya kuat menyatakan sebaliknya.
Dia lihat telefon di lantai yang sudah menyala bila ada panggilan dari nombor yang dia dail tadi masuk.
Air mata Mawar tersejat serta-merta.
Untuk beberapa saat, dia biarkan panggilan tak berjawab. Mawar turunkan tangannya dari terus mencengkam pangkal rambut ikal mayangnya lalu dia lepaskan ke sisi badan, longlai.
Sekali lagi panggilan dari nombor yang sama masuk.
Mawar telan dulu air liurnya, kesat. Perlahan-lahan, dia turun dari kerusi dan melorot jatuh terduduk ke lantai, betul-betul depan telefon.
Teragak-agak, Mawar panjangkan tangan lalu telefon sudahpun berada dalam pegangan dia lalu Mawar bawa dekat dengan muka.
2 missed call.
Berkelip-kelip perlahan matanya memandang kosong alat peranti komunikasi canggih itu tanpa perasaan.
Cuma ada satu cara sahaja untuk sahkan segalanya, iaitu dengan cara menjawab paggilan ini.
Ya, semudah itu.
Dengan jari yang sudah sejuk dan berpeluh, dia tekan butang hijau untuk jawab panggilan lalu dia bawa ke telinga.
"He, helo?"
Somany teori konspirasi eh? Haha, kita tengok mana yang kena.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top