Bab 10


MAWAR baring terlentang di atas sofa bersendirian sambil kepala lurus pandang siling.

Tangannya dia letak atas perut, kaki dibiar melunjur lurus.

Sunyi, tanpa sebarang bunyi, hanya bunyi penyaman udara sahaja yang kedengaran di dalam rumah besar itu.

Luarannya dia nampak tenang, tapi dalam kepala Mawar ketika ini...

Berselirat!

Dari semalam dia fikir sejak dia jumpa Kak Anne di taman permainan. Sekali lagi, tadi ketika dia tidur, Mawar dapat satu lagi mimpi yang dia percaya datangnya dari cebisan memori yang hilang.

Di dalam mimpi itu, masih lagi dia berada dalam keadaan bergelap, tetapi bukan kerana tiada cahaya sebaliknya matanya ditutup dengan kain, sementara kaki dan tangan juga diikat supaya dia tidak boleh bergerak dan melawan.

Dalam keadaan serba terikat itu, dia ingat, lelaki yang selalu hadir dalam mimpinya itu menyuap dia makan.

Tak jelas, samar-samar, dia cuma nampak baju yang lelaki itu pakai dari celahan kain. Baju kuning.
Dah, sampai situ sahaja kemudian Mawar terjaga dengan peluh sudah lejut satu badan.

Siapa lelaki itu? Kenapa dia culik Mawar? Dan yang paling penting, siapa Red? Kenapa Kak Anne semalam cakap macam Red itu orang yang penting dalam hidup Mawar?

Menurut apa yang Raid kata, Mawar itu anak yatim, tidak punya keluarga, tidak punya waris. Satu-satunya keluarga yang Mawar ada sekarang cuma Raid, suami dia.

Tapi Raid cakap dia tak kenal Kak Anne.

Habis kata siapa harus Mawar percaya?

Jujur saja, Mawar sebenarnya sedikit curiga dengan Raid. Entah kenapa, Mawar selalu rasa yang Raid seperti ada sembunyikan sesuatu dari Mawar.

Apa? Itu dia tidak pasti.

Tapi hati dia kuat mengatakan, ada rahsia yang Raid simpan dari Mawar.

Mawar raup mukanya, penat. Tak buat apa pun, tiada aktiviti fizikal yang dia lakukan tapi badannya jadi lesu akibat terlalu banyak memikirkan misteri-misteri yang tidak terjawab.

Tekaknya terasa haus buatkan Mawar bangkit dari pembaringan dan pergi ke dapur. Dia buka peti, Mawar mahu minum air sejuk. Dia capai sebotol kecil air mineral di peti pintu, tapi pergerakan tangannya jadi terhenti bila mata dia singgah ke kotak susu di tepi botol air mineral.

Susu.

Tiba-tiba dia jadi teringat dengan apa yang Raid kata awal-awal dulu, Mawar tak boleh minum susu.

Nanti dia jatuh sakit.

Benarkah? Dengan penuh rasa ingin tahu, Mawar ambil kotak susu itu lalu dia buka dan bawakan ke hidung. Sesaat, dia larikan dari muka dengan muka yang sudah berkerut hebat.

Loya terasa di tekak Mawar. Cepat-cepat dia simpan susu itu semula ke tempat asalnya.

Benar kata Raid, Mawar alah dengan susu. Dia ambil botol air mineral dan berlalu pergi ke ruang tamu.

Tapi langkah dia terhenti di depan rak TV. Mata Mawar tertumpu dekat laci kecil yang menempatkan kunci simpanan yang buatkan dia boleh bebas keluar semalam.

Mawar teguk dulu air, kemudian dia pergi merapat dengan laci.

Dia buka, kunci masih di situ buatkan akalnya berputar ligat. Patut ke dia keluar lagi?

Patut ke dia cuba cari Kak Anne di bawah?

Mungkin Kak Anne ada jawapan kepada setiap persoalan dia?

Dan yang penting, Kak Anne kenal Red. Itu yang paling utama.

Mawar nekad, dia ambil kunci itu dan bangun. Air diletak atas meja, kemudian Mawar simpan telefon pintarnya dalam saku.

Baru dia pergi ke pintu, tanpa ragu.

Mawar akan cari tahu semua yang dia lupa, hari ini.

***

Ting!

Pintu lif terbuka luas. Mawar buka langkahnya untuk keluar. Baru dia nak menapak pergi ke arah taman permainan seperti semalam, dia ternampak di bahagian lobi seperti ada ramai orang berkumpul.

Mawar undurkan langkahnya semula, dia lihat dari jauh.

Ada kereta polis, ambulans, dan beberapa petugas keselamatan sedang berdiri di situ.

Ada apa?

Dek rasa ingin tahu, dia panjangkan langkahnya pergi ke sana, tapi baru separuh jalan, kaki Mawar dah beku.

Ada satu jasad yang sudah kaku sedang terbaring di atas jalan tar. Siapa, itu Mawar tak tahu sebab badannya diselimut penuh dengan kain.

Tapi di lantai, sudah berlinang dengan darah.

Bulu roma Mawar meremang hebat satu badan.

Dia pergi bawa diri menyandar ke dinding dalam cubaan untuk tenangkan diri. Entah kenapa dia rasa tak senang duduk, dadanya mula terasa sempit.

Mawar cuba kawal pernafasan dia seperti yang Raid pernah ajar, berjaya dia kawal rasa resah yang hadir, tapi baru hendak elok, raungan kuat dari tempat kejadian berjaya mencuri perhatian dia.

"Anne! Kenapa buat abang macam ni! Anne, bangun!"

Mawar terpaku, kaki dia beku, lidah dia kelu.

Anne? Kak Anne?

Mawar tak salah dengar kan?

Dengan kaki yang terketar-ketar, Mawar pergi ke tempat orang ramai berkerumun. Dia tolak mereka yang menghalang jalannya, tak peduli akan dimarahi atau tidak, Mawar mahu tahu, benarkah apa yang dia fikir itu sedang terjadi?

Sebaik dia nampak apa yang terhidang depan mata, dengan sendiri kelopak matanya terbuka luas, terjojol hebat.

Tak... tak... tak mungkin. Mawar belum tahu siapa Red. Tak...

Kaki Mawar lemah hingga tak terasa berpijak di tanah buatkan dia melorot jatuh.

Mawar tekup telinganya bila suara asing itu datang semula.

"Mawar, ini Red."
"Red sayang Mawar."
"No one can take you away from me."
"Sebab Mawar degil! Sebab tu semua ni jadi!"
"I love you."

Bertindih-tindih suara itu serentak dalam kepalanya untuk seketika hingga tiba-tiba hilang.

Celik.

Jasad kaku Kak Anne yang berlumuran dengan darah masih ada di depan Mawar sambil dipeluk oleh seorang lelaki yang tidak Mawar kenali.

Dengan tangan yang terketar-ketar, Mawar tongkat badannya dan bangun meninggalkan kawasan itu, hampir dia berlari menuju ke pintu lif.

Sebaik lif terbuka di tingkat rumahnya, Mawar tak tunggu lama untuk buka mangga dan masuk. Selipar di kakinya dia buang begitu sahaja tanpa peduli untuk susun kemas-kemas.

Mawar pergi ke rak yang menempatkan buku album gambar.

Dia angkut satu persatu semua album lama itu dan bawa pergi ke lantai. Mawar duduk dengan kalut lalu dia belek, satu demi satu, setiap gambar itu seperti mencari seseorang.

Album yang pertama dia letak tepi, Mawar tak jumpa apa yang dia cari lalu dia capai buku album yang kedua, dan begitulah seterusnya hingga habis kesemua empat album lama.

Tak ada, Mawar tak jumpa apa yang dia cari.

Muka dah diraup dengan tangan, berdenyut kepala dia. Tak... Mawar tak silap, Mawar pasti dengan bayangan yang dia dapat sebentar tadi.

Tapi mana buktinya?

Mana bukti yang itu bukan sekadar angan dan ia memang nyata?

Denyut di kepala makin menggila buatkan dia bangun dari silanya di atas lantai menuju ke bilik tidur. Meraba dia memanjat tangga.

Sampai di katil, Mawar hempaskan badannya atas tilam tanpa dia sedar tangannya tertepis sesuatu di atas meja tepi katil.

Berderai bunyi kaca pecah buatkan Mawar terpaksa buka mata.

Menyeringai dia jadinya, marahkan diri sendiri yang tidak cermat. Lambat-lambat, Mawar paksa diri untuk bangun dan jenguk apa yang dia dah pecahkan.

Oh, bingkai gambar Mawar dan Raid.

Aduhai... jadi satu kerja pula nak bersihkan kaca. Kalau dibiarkan nanti, bimbang terlupa mana serpihan kaca terpelanting, tak pasal-pasal mudarat lain pula dapat.

Dengan berhati-hati, Mawar turun dari katil. Mawar sarungkan selipar bilik terlebih dahulu baru dia pergi ke tempat kejadian.

Serpihan kaca dibuang ke dalam tong sampah kecil, bingkai yang dah rosak itu dia ambil, lalu gambar Mawar keluarkan. Tanpa melihat, Mawar lempar gambar itu ke atas katil. Nantilah dia minta Raid tukar bingkai baru.

Segala sepah di lantai Mawar bersihkan. Bila yakin tiada kaca yang tersisa, Mawar labuhkan semula duduknya di birai katil. Gambar yang terkulai tadi dia ambil.

Tapi ada sesuatu yang menarik perhatian Mawar tentang gambar dia dan Raid, gambar itu... terlipat.

Dengan berhati-hati, Mawar pusingkan foto itu ke belakang.

Matanya dengan sendiri terbuka luas.

Tangan dia jadi terketar sendiri, Mawar buka lipatan gambar sehingga kesemua objek yang tercetak di situ jelas dia pandangan mata.

Air liurnya ditelan kesat.

"Jum... pa."








tahu tak feeling kalau tengok cerita korea? Baru nak syok, pastu habis. Ha, tengah nak tiru lah ni haha
lagi banyak 'meroyan' curious lagi laju saya update, jadi serlahkan kemeroyaan anda. *wink*

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top

Tags: #akyelrahim