Masa Kita: Fantasi
"Tolong! Urgh! Sesiapa..."seorang kanak-kanak lelaki terkapai-kapai di tengah tasik. Ceritanya bermula ketika, kakinya tergelincir apabila terpijak lumut di sisi jambatan kayu itu.
Seorang wanita dalam usia lingkungan 40 tahun berlari pantas ke tengah-tengah jambatan. Segala plastik-plastik yang berisi makanan dan barangan dapur dicampakkannya ke tepi. Saat itu, tindakan refleksnya memaksa kaki untuk berlari,menyelamatkan insan yang berada dalam kesusahan.
Gedebush!
Cekap sekali wanita itu berenang ke arah kanak-kanak yang kian kehabisan nafas. Dia harus cepat! Nyawa kanak-kanak itu dalam bahaya. Tangannya dihulur untuk mencapai tubuh kecil itu. Selajur, kolar baju dicengkam dan tangannya segera menarik tubuh lemah itu mendekatinya. Dia memeluk kanak- kanak itu sambil mengheretnya ke tebing tasik.
Pelik, apa yang kanak-kanak sekecil ini lakukan di tasik pada waktu-waktu begini? Kabus pagi pun masih belum hilang di ufuk.
"Adik! Dik, bangun! Huh, macam mana ni?" Wanita berambut panjang itu kian kerisauan. Dia melonggarkan kemeja kanak-kanak tersebut. Hidung kecil itu dipicit lalu mulutnya didekatkan untuk memberi bantuan pernafasan. Saat itu, tasik begitu sunyi. Masyarakat setempat sememangnya jarang melalui kawasan tersebut memandangkan mereka harus bekerja di pagi hari.
"Uhuk! Uhuk!" Kanak-kanak lelaki itu memuntahkan air tasik. Terbatuk-batuk kecil dia akibat tersedak cecair itu. Mata kuyunya dicelikkan perlahan-lahan. Kelihatan seorang wanita cantik tersenyum penuh kesyukuran ke arahnya. Lantas tubuhnya dipeluk erat. Tergamam sebentar kanak-kanak itu.
'Adakah aku selamat?' suara hatinya menyoal. Serentak, air matanya mengalir. Dia membalas kembali pelukan wanita itu. Suara halusnya kian kedengaran dalam sendu dan esakan.
***
Ting! Tong!
Sarah segera berlari ke arah pintu. Siapalah yang datang pada waktu pagi begini? Sebaik sahaja pintu dibuka, tiada sesiapa pun di situ melainkan sebuah kotak kecil dan sekeping sampul surat. Tanpa mengesyaki apa-apa, bungkusan itu diambil dan dibawa masuk ke dalam.
Tiada nama pengirim, mahupun alamat penerima. Kotak itu bersih tanpa sebarang tulisan. Perasaan ingin tahu mendorongnya untuk melihat apa di dalam.
Terdapat sebiji batu sungai yang mempunyai kerlipan luar biasa. Dia tidak faham, apakah maksud semua ini? Nota yang disertakan bersama dibaca sepintas lalu.
"Sudah 5 tahun berlalu dan kita akan bertemu. Aku, rindukanmu." Sarah segera mencampakkan nota itu ke tepi. Bulu romanya mula berdiri. Perasaan seram pun menguasai. Siapakah yang memberikan batu dan nota ini? Adakah ini stalker? Sarah segera ke biliknya untuk menukar pakaian. Wanita itu ada temu janji dengan datuknya. Dia ialah gadis 25 tahun yang kelihatan mulus namun hakikatnya lebih dari itu. Wanita itu digeruni oleh masyarakat sekiranya mereka tahu siapa dia.
Seperti biasa, dia mengenakan skirt labuh dan blaus paras punggung. Rambutnya diikat gaya ekor kuda dan cermin mata bulatnya disangkut pada hidung. Dia sudah bersedia! Selepas ini, dia akan ke rumah datuknya untuk membantu lelaki itu menghias bonsai.
"Cik!" dua orang lelaki yang merupakan orang suruhan datuknya mampir mendekatinya. Mereka berdua cukup rapat dengannya sejak kecil. Mereka membesar bersama. Sarah mula berpaling ke belakang. Dia tidak mahu berhadapan dengan dua orang lelaki yang sering menimbulkan masalah dalam hidupnya.
"Cik, tunggulah kami!" Razak memanggil. Dia dan adiknya, Razif berlari-lari anak mendekati Sarah. Wanita itu mengeluh perlahan. Tidak bolehkah jika sehari sahaja dia mahu menjadi manusia normal?
"Kau orang buat apa kat sini? Kenapa ikut aku?" soal Sarah.
"Hehe, soalan apa tu Cik. Kami ni, memang kena selalu disamping Cik. Musuh-musuh kita kat luar sana tu ramai. Nanti kalau jadi apa-apa..."
"Takkan jadi apa-apa. Musuh tu bukan musuh aku, tapi musuh datuk. Sudahlah, aku nak ke rumah datuk!" Sarah segera memacu langkahnya.
"Cik!"
"Apa lagi?"
"Arah ke rumah datuk belah sini." Ujar Razif sambil tersengih. Dia memandang wajah abangnya yang juga tersengih-sengih seperti kerang busuk. Sarah mengetap bibir kegeraman. Dia segera menurut langkah dua orang lelaki yang sudah diibaratkan seperti abang buat dirinya. Dalam diam dia tersenyum nipis. Dia bukanlah benci dengan mereka, cuma sekali sekala, dia inginkan kebebasan. Bukannya terus diperhatikan oleh orang-orang datuknya.
Dia tahu, datuknya merupakan ketua mafia di bandar itu. Jadi, mereka ada banyak musuh. Semestinya, mereka juga terdiri daripada golongan-golongan ahli kongsi gelap yang cuba ingin merebut kuasa daripada kumpulan mafia datuknya. Namun, mereka bukanlah mafia yang melakukan kerja haram. Semua itu sudah lama ditinggalkan oleh datuknya. Kini, mereka hanyalah kumpulan mafia yang berpengaruh dan berpengalaman dalam hal perniagaan. Semua itu semakin lengkap dengan ahli-ahli mereka yang setia hingga ke hujung nyawa.
Lama mereka berjalan. Keadaan yang tadinya cerah, kini bertukar mendung. Sarah memandang ke langit. Jika dia tidak silap, ramalan cuaca pada hari ini mengatakan bahawa hari ini akan sentiasa cerah dan panas. Mungkin juga berlaku ralat dalam ramalan, getus hati Sarah. Wanita itu memandang ke hadapan. Kelibat kedua-dua orang lelaki di hadapannya sudah hilang. Dia memandang ke sekeliling. Perasaan risau mula menjengah. Suasana saat itu sunyi. Hanya hembusan angin yang semakin meribut kedengaran. Rambut panjang yang diikat mula bergerak mengikut arah angin.
Sarah mula memanggil nama kedua-dua lelaki itu namun sedikit pun tidak bersahut. Dia berjalan lagi ke hadapan. Titisan hujan mula turun ke bumi. Sarah segera menanggalkan cermin matanya yang mula dibasahi oleh air hujan. Dia segera berlari untuk mencari kawasan yang teduh. Sekali lagi dia terpana saat melihat keadaan sekelilingnya. Cermin mata dipakai semula. Ya, keadaan berubah kembali. Dia berulang-ulang kali melakukan hal yang sama.
"Kegilaan apakah ini?" Sarah mula ketakutan. Saat cermin matanya ditanggalkan, kawasan yang tadinya sunyi tanpa seorang manusia pun berubah riuh dengan orang ramai. Beberapa peniaga gerai yang berpakaian tradisional tergesa-gesa menutup gerai mereka akibat cuaca yang tidak mengizinkan. Orang ramai yang membeli belah berlari-lari anak mencari tempat berteduh.mereka semua berpakaian seperti orang zaman dahulu namun, teknologi mereka sama seperti di zamannya.
Apabila cermin matanya dipakai kembali, semua manusia itu hilang daripada pandangan. Mereka semua bagaikan dilindungi oleh cermin mata itu. Hijabnya terhalang dengan cermin mata itu. Sarah terundur-undur ke belakang. Dia bimbang andai ini dunia bunian. Tubuhnya dilanggar oleh orang ramai yang berlari-lari mencari tempat teduh. Hanya Sarah yang masih di tengah-tengah kawasan, membiarkan dirinya lencun disirami hujan. Cermin matanya jatuh ke tanah dan pecah akibat dipijak oleh mereka.
Seorang lelaki dengan jaket labuh dan tshirt hitam tiba di sisinya. Lelaki itu tingginya dua jengkal daripada tinggi Sarah. Dia hadir bersama sekaki payung yang kelihatan seperti daun pisang. Wanita itu mendongak memandang lelaki berkulit sawo matang dan bermata coklat hazel itu. Dia tidak kenal gerangan yang berdiri di sisinya saat itu.
"Kau kelihatan lebih cantik tanpa cermin mata, Sarah." Ujar lelaki itu secara tiba-tiba.
"Huargh!! Kau siapa?" Sarah segera menolak tubuh lelaki itu agar menjauhinya. Lelaki itu tertawa kecil melihat riaksi Sarah. Dia mengangguk perlahan. Situasi itu tidak pelik baginya.
Dia berjalan perlahan mendekati Sarah. Wanita itu juga terundur-undur ke belakang.
"Berhenti, jangan dekat!" Sarah memberi amaran.
"Aku bukan orang jahat Sarah. " Lelaki itu cuba untuk meyakinkan.
"Kau ingat aku percaya? Huh, kalau kau berani dekat, kau sebenarnya cari nahas! Kau tak tahu siapa aku. Aku ialah..."
"Cucu mafia di bandar ni?" Lelaki itu menyampuk dengan senyuman nakal.
"Heh, aku dah agak. Kau ni musuh datuk aku kan? Kau ingat kau boleh apa-apakan mafia datuk aku jika sakiti aku, tapi kau silap. Aku boleh pertahankan diri aku sendiri!"
"Eh? Apa yang kau mengarut ni Sarah? Aku tak akan apa-apakan kau...sekejap, tunggu!" Lelaki itu tidak sempat untuk menghabiskan kata-katanya. Wanita itu sudah meluru laju ke arahnya. Sarah menujah buku limanya hampir tepat ke wajah lelaki itu namun sempat ditangkap. Saat itu, wajah mereka begitu hampir. Lelaki itu segera memulas tangan Sarah lalu dikilas ke belakang. Namun, Sarah lebih berpengalaman jika bertarung dengan lelaki. Sebelah kakinya diangkat untuk menendang celah kelangkan lelaki itu. Lelaki itu segera berundur ke belakang. Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya jika serangan Sarah benar-benar mengenainya.
"Kau, mampu bertarung juga ya Sarah." Wajah lelaki itu jelas sekali terkejut. Sarah tersengih. Jangan pandang rendah terhadap wanita mulus sepertinya.
"Ya, khas untuk hadapi situasi seperti sekarang." Sarah berterus-terusan menghadiahkan tendangan bertubi-tubinya. Meskipun memakai skirt labuh, namun skirt tersebut cukup luas untuk dia memberikan tendangan padu.
"Tu..tunggu. Sarah, percayalah, aku bukan orang jahat. Kau, kau dapat tak kotak yang aku hantar pagi tadi?" soal lelaki itu. Sarah berhenti menyerang.
"Siapa kau?"
"Ceh, baru sekarang kau nak tanya?" soal lelaki itu sambil tersengih.
"Nama aku Aniq. Kita pernah..."
"Maksudnya, kau ni stalker. Lagilah aku rasa nak bunuh manusia macam kau ni!" Sarah memotong percakapan Aniq dan menendang perut lelaki itu. Aniq tersungkur di atas tanah berselut itu.
"Ark!" jerit Aniq kesakitan.
Wanita itu duduk di atas tubuh Aniq lalu mengangkat buku limanya tinggi-tinggi. Dia ingin menghabiskan semua ini segera. Buku lima kecil itu ditangkap. Pantas, tubuh wanita itu ditolak ke sisi. Kini giliran Aniq yang berada di atas wanita itu. Kedua-dua lengan Sarah ditekan rapat ke tanah untuk menghalang pergerakan ganas daripada wanita itu. Dia harus hentikan pergaduhan yang sia-sia ini.
"Kau..." Sarah mengetap bibirnya kegeraman.
"Sarah, dunia yang kau duduk sekarang, bukan dunia kau. Jadi, hentikan perbuatan kau nih!"Aniq meninggikan suaranya. Terkedu wanita itu saat itu. Pengikat rambutnya sudah tertanggal dan jatuh di mana-mana. Terserlah rambut panjang dan lebat miliknya. Gadis itu meneguk air liurnya perlahan.
"Ja..jadi, aku tak silap pandang semua tadi?" soal Sarah perlahan. Aniq mengeleng perlahan.
"Sarah, ingat tak, 5 tahun yang lalu, kau juga pernah ke sini, tapi kau tak sedar. Tak, semua tu kau tak akan sedar sebab kau masih belum laluinya." Ujar Aniq lagi. Berkerut dahi Sarah saat mendengar kata-kata lelaki itu. Lengannya digerak-gerakkan. Masih cuba hendak lepaskan diri.
"Lepaskan aku dulu. Sakitlah!"
"Boleh, dengan syarat kau tak akan serang aku dan dengar baik-baik apa yang aku nak cakap ni." Sarah mengangguk laju. Lantas, dia dilepaskan oleh Aniq. Wanita itu mengikut langkah Aniq menuju ke arah sebuah jambatan di sebuah tasik.
"Tasik ni masih ada. Jadi, mana mungkin aku di dunia lain." Sarah mula curiga.
"Ya, tasik ini ada di kedua-dua dunia. Dunia aku dan juga kau." Ujar Aniq.
"Macam mana kau kenal aku?" soal Sarah.
"Sarah, sekarang, umur kau 25 bukan?"
"Ya. Hei, kau cuba lari topik ke?"
"Umur aku dengan kau sama. Ceh, aku pun tak faham macam mana semua ni boleh berlaku." Aniq mengeluh perlahan.
"Hah, apa maksud kau yang kau tak faham? Kau cakap aku pernah datang ke sini 5 tahun lepas. Apa bukti kau hah?"
"Batu tu. Itu buktinya. Itu ialah batu yang engkau berikan kepada aku 5 tahun yang lalu. Tapi mustahil untuk kau ingat."
"Kau ni, cakap berbelit. Aku tak faham."
"Heh, tak mengapalah, nanti lagi lima tahun kau akan faham." Aniq tersengih. Tangan Sarah ditarik perlahan.
"Sarah, 5 tahun aku tunggu untuk cakap ni. Aku, sukakan kau!" Sarah segera menarik kembali tangannya.
"Weh, kenal pon tak sampai sehari kau dah nak luah perasaan kat aku? Biar betul?" Sarah berdiri.
"Baiklah, mari kita lengkapkan hari ini untuk kau kenal aku dengan lebih lagi. Jom ikut aku!" Aniq mencapai payungnya. Butang perak pada pemegang itu ditekan lalu payung tersebut bertukar menjadi sebilah pedang yang lengkap bersarung.
"Wow! Apa tu?" Sarah menyentuh pedang yang tersangkut di belakang Aniq. Perasaannya bertukar kagum. Canggih betul teknologi yang dimiliki oleh lelaki itu. Tidak sesuai langsung dengan pemakaian.
"Ini ialah senjata terbaik pernah ada di sini. Kami ambil ilham ni daripada kartun yang ditayangkan di dunia kau. Tahu tak cerita Mr. Gadget?"
"Hahaha, tipulah! Kau ambik ilham daripada cerita kartun? Dari dunia aku? Kau ni mesti obses dengan kosplay kan?" Aniq menjulingkan matanya. Geram pula melihat Sarah yang sejak tadi memerlekehkan dirinya.
"Sarah, kau mesti tak percaya kalau aku cakap yang dunia aku ni lebih canggih daripada dunia kau kan?" terdiam sebentar Sarah. Dia seperti tidak dapat mempercayai bahawa dia berada di dunia lain dan teknologi mereka lebih canggih.
"Kalau macam tu kenapa fesyen kalian masih ketinggalan zaman?" Sarah menyoal lagi. Dia mencebik sambil memeluk tubuh.
"Cik Sarah, mari aku tunjukkan kelebihan dunia aku meskipun tanpa fesyen yang kau orang bangga-banggakan." Lelaki itu menarik lengan Sarah untuk mengikutinya.
"Tengok, kami tidak perlukan pengawal untuk mengawasi kedai-kedai kami, sebabnya? Jarang ada yang mencuri. CCTV kami sangat canggih. Setiap sudut ada kamera. Dan gerai-gerai kami yang kelihatan hodoh ini sebenarnya mempunyai sistem keselamatan yang sangat ketat. Mungkin bab fesyen tu, kami akan maju sedikit demi sedikit bukannya secara mendadak seperti kalian. Keadaan di sini lebih aman dari yang kau sangka Sarah.
Aniq berjalan mendekati sebuah kedai aksesori rambut. Klip rambut berbentuk bunga mawar diambil lalu dikelipkan pada rambut Sarah. Terkedu wanita itu seketika. Situasi ini seperti Déjà vu. Di seolah-olah pernah melalui semua ini.
***
5 tahun yang lalu
Sarah berjalan pulang daripada kolejnya. Pengikat rambutnya putus saat pulang dari kuliah. Keadaan begitu panas dan rambut panjangnya sedikit sebanyak mengganggu.
"Argh! Serabut betul rambut ni." Dia melihat rumput kering di tanah. Tanpa mempedulikan pandangan orang ramai dia mencabut rumput-rumput tersebut lalu digulung-gulungkan menjadi tali. Rambutnya diikat kasar dengan menggunakan rumput. Cukup sadis buat dirinya. Malunya tidak terkira. Rakan-rakan sekuliahnya ada yang mentertawakannya kerana mengikat rambut dengan menggunakan rumput. Dia tiada kawan kerana penampilannya yang skema. Cermin mata bulatnya dibetulkan. Biarlah apa yang mereka ingin katakan. Dia tetap dirinya.
Guruh mula berdentum. Awan mendung pula berarak laju melindungi terik mentari yang menyimbah permukaan bumi. Tanpa sebarang amaran, titisan hujan jatuh menyembah tanah. Semakin lebat dan lebat. Sarah berlari-lari anak menuju ke arah tasik. Di situ terdapat sebuah pondok kecil. Dia ingin berteduh di situ sementara menanti hujan reda. Diamemandang dirinya saat itu.
Sudahlah basah lencun dengan air hujan, rambut pula sudah kusut masai dan lembab. Rumbut yang digunakan untuk mengikat rambut sudah hilang entah ke mana. Sarah menangis mengenangkan keadaannya saat itu.
Tiba-tiba hadir seorang lelaki dalam usia lingkungan 30 tahun. Tanpa sebarang amaran, dia menghulurkan sebuah klip rambut berbentuk bunga mawar. Sarah memandang hairan ke arah lelaki itu.
"Si..siapa encik ni?" soal Sarah.
"Ambillah, rambut kamu kelihatan serabut tu." Ujar lelaki itu tanpa menjawab soalan Sarah. Perlahan-lahan Sarah mengambil klip rambut itu lalu dikepitkan pada rambutnya. Dia memulas rambutnya menjadi sanggul. Klip rambut itu mengemaskan lagi sanggulnya.
"Te..terima kasih." Ujar Sarah sambil tersenyum malu. Lelaki itu turut tersenyum.
Waktu itu hari sudah hampir gelap dan lelaki itu hendak meminta diri.
"Encik, bila kita akan berjumpa lagi? Saya, saya tak nak ini jadi pertemuan terakhir kita! Nanti saya belanja Encik makan pizza!" jerit Sarah kea rah lelaki itu.
"5 tahun lagi, kita akan bertemu!"
***
Sarah memandang lama ke wajah Aniq. Wajah mereka...ada iras.
"Aniq, kita pernah berjumpa ke?" soal Sarah. Wajah Aniq dipandang dalam-dalam. Saat itu, Aniq pula yang kelihatan malu. Dia segera mengemaskan ikatan sanggul pada rambut Sarah dan memandang ke arah lain.
"Ye lah, kan aku dah cakap tadi!" ujar Aniq. Lengannya dimasukkan kedalam kocek seluar.
"Tapi waktu tu kau kelihatan lebih dewasa, lebih matang. Macam mana pula sekarang ni..." Aniq tersenyum lalu memegang bahu Sarah erat. Wajahnya didekatkan dengan wajah Sarah.
"Waktu aku jumpa kau lima tahun yang lalu, kau juga kelihatan lebih matang, Sarah." Aniq bersuara perlahan sambil tersenyum. Dia kembali berdiri tegak.
"Aku tak faham. Kau dengan orang tu macam orang lain. Waktu tu kau pun bagi aku kelip rambut ni." Sarah berkata perlahan sambil termenung panjang. Aniq tersenyum nipis.
"Oh ya? Hmm, baiklah." Aniq mencatat sesuatu pada buku kecilnya.
"Awak tulis apa tu?" soal Sarah.
"Nota, sebagai peringatan untuk lagi 5 tahun."
Sarah hanya mengangguk meskipun dia masih tidak faham. Dia memandang Aniq lama. Tak mungkinlah lelaki itu semakin muda.
"Sarah kau tahu tak, waktu aku berusia 5 tahun, aku sebenarnya hampir mati. Hampir mati lemas di tasik ni." Ujar Aniq sambil memimpin tangan Sarah menuju ke tasik kembali.
"Hah, macam mana boleh terjatuh dalam tasik?" Sarah memandang ke arah Aniq. Pastinya itu pengalaman paling pahit buat lelaki itu.
"Aku tergelincir sebab terpijak lumut kat jambatan. Puas aku menjerit minta tolong tapi tak ada sesiapa pun di situ. Sebab laluan ketasik ni selalu sunyi.
"Jadi, macam mana kau boleh selamat?"
"Ada seorang perempuan cantik selamatkan aku. Yang aku ingat, rambut dia panjang. Aku tak pernah tahu umurnya tapi dia sangat baik dengan aku. Dia sangat bersungguh-sungguh untuk selamatkan aku."
"Oh, nasib baiklah ada perempuan tu. Dia mesti tinggal dekat-dekat sini aja kan?" Aniq mengangguk perlahan sambil tersenyum. Mereka sama-sama memandang ke arah tasik. Suasana waktu senja begitu indah di mata mereka. Masing-masing terdiam menghayati suasana.
"Sarah, aku serius yang aku sukakan kau. Ini kali pertama dan terakhir untuk aku luahkan perasaan aku." Sarah terdiam. Dia tidak tahu hendak membalas bagaimana. Lelaki itu mengeluh perlahan.
"Sarah,hari dah nak hampir gelap. Kau mungkin dah boleh balik." Ujar Aniq secara tiba-tiba.
"Hah? Dah boleh balik? Adakah aku akan kembali ke sini lagi?" soal Sarah. Aniq mengeleng lagi.
"Lima tahun lagi baru kita boleh jumpa. Tapi masa tu, kau tak akan kenal aku, sama seperti hari ini. Dan, Aniq yang kau akan jumpa lagi 5 tahun juga tidak akan kenal kau lagi."
"Tapi kenapa? Kau dari tadi macam berahsia dengan aku. Pasal batu yang kau bagi tu pun aku tak faham kenapa. Kau kata aku pernah bagi dekat kau tapi aku tak pernah pun bagi. Aniq, kau sukakan aku kan? Tapi kenapa kau berahsia dengan aku?" desak Sarah. Aniq mengeluh perlahan. Mungkin ini masanya untuk dia menjelaskan sesuatu.
"Sarah, masa kita selari tetapi berlawanan antara satu sama lain." Aniq menarik nafasnya sebelum menyambung.
"Lima tahu lagi dan lima tahun seterusnya kita akan berjumpa kembali tetapi saat itu, kita tak akan dapat meluahkan isi hati kita lagi. Usia menjarakkan kita. Setiap lima tahun, usia kita kan terpisah sebanyak lima tahun. Tapi,tahun ini berbeza, hanya sekali seumur hidup, umur kita sama tetapi dalam tempoh yang cukup singkat iaitu satu hari."
"Hah, mustahil."
"Ya, kedengaran agak mustahil tetapi itulah yang berlaku sebenarnya. Aku pun tak faham macam mana semua ni boleh berlaku. Orang yang kau cakap kau jumpa 5 tahun yang lalu ialah aku 5 tahun yang akan datang. Adakah kau faham sekarang?"
"Masa kita berlawanan. 5 tahun aku yang lepas ialah 5 tahun kau yang akan datang. Masa silam aku ialah masa depan kau." Kata Sarah perlahan. Air matanya bergenang. Dia memandang ke arah Aniq. Lelaki itu memandang ke arah jam tangannya. Masa semakin suntuk. Sebaik sahaja matahari terbenam, dia akan hilang daripada pandangan Sarah dan Sarah juga akan hilang daripada pandangannya.
"Masa dah semakin suntuk. Jumpa kau lima tahun lagi. Oh ya, jika kau jumpa aku pada tahun-tahun yang seterusnya, jangan bagitahu umur kau." Aniq kian menghilang daripada pandangan.
"Tu..tunggu! Aniq! Aniq!" Sarah terjerit-jerit memanggil nama lelaki itu.
"Cik! Cik!" kedengaran suara dua orang lelaki yang cukup dikenalinya iaitu Razak dan Razif. Serentak air matanya bergenang. Dia menangis teresak-esak di situ. Kedua-dua orang lelaki itu memandang satu sama lain dengan wajah kehairanan.
"Cik...ke mana cik menghilang. Kami cari cik daripada tadi tak jumpa-jumpa. Seluruh ahli mafia dikerahkan untuk mencari cik tapi tak jumpa. Rupanya cik kat sini."
"Cik?" Razak menegur lagi. Wanita itu menagis semahu-mahunya. Razak dan Razif hanya mampu terdiam. Mereka menemani Sarah sehingga wanita itu reda tangisannya.
"Aniq...kenapa kau tak bagi peluang untuk aku juga bagitahu yang aku cintakan kau?
***
Lima tahun kemudian
"Aniq kan?" tegur seorang wanita. Lelakiitu berpaling. Terpegun sebentar dia melihat kecantikan wanita di sisinya itu.
"Err, ya saya." Aniq kelihatan janggal sedikit dengan wanita tersebut. Wanita itu tersenyum nipis lalu melabuhkan punggungnya di sisi Aniq. Pandangannya dibuang ke tasik.
"Nama saya Sarah. Kita pernah berjumpa lima tahun yang lalu." Ujar Sarah.
"Oh, ya? Maaf, saya tak ingat." Aniq menunduk.
"Kamu buat apa di sini?" soal Sarah.
"Saya sedang menunggu seseorang." Ujar Aniq.
"Tapi, dia mungkin tak datang." Sambung lelaki itu lagi.
"Oh, kamu suka dia?" soal Sarah lagi.
Aniq berpaling ke arah Sarah lalu mengangguk sambil tersenyum.
"Lima tahun lagi..." bisik Sarah perlahan.
"Hah?"
"Lima tahun lagi, buat yang terbaik untuk yakinkan dia yang kamu suka dia, sebab itulah peluang terakhir kamu." Sarah bangkit dari duduknya. Dia tidak mahu hilang di hadapan Aniq. Cukuplah mereka bertemu setiap kali 5 tahun meskipun tidak lagi saling mengenali antara satu sama lain. Batu berkilat itu diletakkan di sisi pemuda itu.
***
"Aniq! Aniq! Kau tak boleh mati! Bangunlah!"Sarah menekan dada kanak-kanak berusia lima tahun itu. dia kembali teringatakan kata-kata Aniq 15 tahun yang lalu. Jadi, dialah wanita yang menyelamatkanAniq?
"Uhuk! Uhuk!" kanak-kanak itu memuntahkan air tasik. Dadanya berombak-ombak mencari nafas. Mata kuyunya dicelikkan sedikit. Seorang wanita berambut panjang duduk di sisinya. Tubuhnya pantas dirangkul lalu dipeluk.
Lalu, kanak-kanak itu menangis sekuat hatinya. Dia bersyukur kerana terselamat daripada maut. Dia amat berterima kasih kepada wanita itu. Pelukan wanita itu dibalas.
'Terima kasih! Terima kasih!' hati Aniq mengucapkan syukur.
Inilah kali terakhir mereka bertemu. Terakhir buat Aniq dan Sarah. Tasik itu saksi pertemuan dan perpisahan mereka.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top