Aksi: Little Monster
Grum~
Langit malam sudah mengeluarkan bunyi, diiringi cahaya sekelip mata. Meskipun sudah larut malam, namun langit tidak gelap sepenuhnya. Bias-bias cahaya daripada kota raya yang kian membangun dengan pesat itu mematikan ketenangan yang sepatutnya tercipta di malam hari. Aku berjalan perlahan mendekati sebuah bangunan yang dicat dengan warna biru dan putih yang terletak benar-benar di tengah kota. Manusia-manusia yang lalu lalang semakin pantas langkah mereka. Mereka ingin melarikan diri ke tempat yang teduh sebelum cecair dari langit itu jatuh.
Tap! Tap! Tap!
Titisan mutiara dari atas jatuh menimpa hood sweater gelap yang tersarung di tubuh. Titisan yang pada mulanya jatuh secara berkadaran sahaja kini semakin laju menimpa bumi. Aku biarkan sahaja baju aku basah. Bibirku mula kebiruan menahan kedinginan yang mula mencengkam ke tulang sum-sum. Aku menyeringai sambil terketar-ketar menahan kesejukan. Bangunan itu ditatap dengan penuh rasa tekad. Buku lima yang basah dengan air hujan digenggam erat. Lantas, kayuhan kaki diacukan mendekati bangunan itu.
"Hei, kamu tak boleh masuk! Sekarang bukan waktu pejabat. Lainlah jika kamu mahu buat laporan..." teguran seorang pengawal keselamatan itu terhenti sebaik sahaja melihat keadaan aku yang agak mencurigakan. Hoodie di kepala menghalang mataku daripada bertentangan dengan mata pengawal tersebut.
"Tunggu, kamu ni siapa? Dengan sweater hitam. Hood pun sampai tutup kepala...kejap biar aku tengok muka kau." Pengawal keselamatan itu mula menundukkan tubuhnya untuk mengintai wajahku. Belum sempat dia melihat, aku segera melangkah masuk. Dalam keadaan basah lencun, aku segera menuju ke arah kaunter pertanyaan.
"Ya, boleh saya bantu?" seorang pekerja wanita bertanya dengan nada acuh tak acuh. Tanpa mempedulikan siapa di hadapannya, selamba sahaja dia menguap. Sedikitpun tidak tergerak hati untuk menutup mulutnya. Ya,maklumlah, sudah lewat malam, dan dia terpaksa bekerja di kaunter pertanyaan pejabat polis tersebut tanpa henti pada hari ini.
"Sa..saya..nak buat laporan..." terketar-ketar aku bersuara. Mungkin atas faktor pendingin hawa di dalam pejabat polis tersebut menambahkan lagi kedinginan yang dirasakan saat itu.
"Oh...laporan apa? Huh..."sekali lagi wanita itu menguap.
"Se..sebenarnya..."
"Woi,tunggu! Berani kau masuk sebelum aku periksa muka kau!" pengawal keselamatan tadi berlari-lari anak ke arahku. Aku segera berpaling dengan perasaan cemas.
Akibat terlalu gentar, aku segera melarikan diri.
"Tak..tak aku belum cukup kuat untuk ceritakan segala-galanya!" aku mula hilang keyakinan diri. Namun, malang tidak berbau. Akibat bajuku yang basah, langkahku menjadi candung. Bekas titisan air hujan daripada baju aku tadi menjadi bala. Aku tergelincir dan akhirnya rebah. Beberapa orang pegawai polis turut melibatkan diri untuk menangkap aku.
"Tolong! Aku tak bersalah! Aku tak bersalah!" lantas, hoodie yang menutup kepalaku diselak kasar.
"Kita dah jumpa target kita! Pembunuh kejam, Shakir...or should I call you Shark?" Inspektor Melissa berjalan perlahan mendekati aku. Aku meneguk air liurku perlahan.
'Sudahlah~'
***
Ting tong!
Lelaki yang dikenali sebagai Shark itu tersenyum ceria sambil memegang bungkusan di tangannya. Ini ialah bungkusan terakhir dan selepas ini, dia boleh pulang untuk merehatkan diri. Pekerjaan yang akhirnya diperoleh dengan usaha keras ini sangat memuaskan hati.
Meskipun wajahnya sering disalah ertikan, namun dia tidak peduli. Matanya yang runcing dan parut di sebelah mata kirinya membuatkan wajahnya kelihatan bengis. Padahal dia sememangnya dilahirkan dengan mata yang sepet dan parut tersebut diperoleh ketika remaja akibat terjatuh daripada basikal. Dia juga hairan mengapa ketika dia tersenyum, ramai yang tidak mahu berkawan dengannya. Jadi, dia membuat keputusan untuk tidak lagi tersenyum sebarangan. Ya, masyarakat sering salah faham dengan fizikalnya, padahal dia seorang yang jujurdan baik hati.
Lama menunggu, namun pintu pagar rumah itu tidak dibuka-buka. Kakinya sudah lenguh berdiri disitu. Melihat jam di tangan,sudah hampir jam 9 malam. Dia mengeluh perlahan. Mungkin dia patut hantar esok sahaja bungkusan ini. Baru sahaja dia hendak berpaling ke arah motornya angin dingin mula menerpa wajah. Hatinya mula berdebar-debar. Dia mula berasa tidak sedap hati.
'Mengapa kawasan ini terlalu sunyi?'
BANG!
Satu bunyi tembakan memecahkan kesunyian. Terperanjat Shark dibuatnya.
'Bunyi apa tu? Takkanlah main mercun. Musim raya dah lepas...."
BANG!
"Argh!!!!" kedengaran suara jeritan mengiringi bunyi tembakan yang kedua.
Tanpa berfikir panjang lagi, Shark segera membuka pagar yang tidak berkunci. Dia segera masuk ke dalam rumah agam tersebut. Perasaan hairan bertukar cemas saat melihat tubuh-tubuh pengawal keselamatan yang bergelimpangan di sana sini.
"Tolong!!" sekali lagi suara itu menjerit. Tembakan ketiga mula bergema. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah tersebut, seluruh tubuhnya terasa longlai. Cecair merah pekat membanjiri seluruh marmar putih. Darah merah memercik di dinding putih. Turut terkena pada bingkai gambar keluarga. Sekali lagi Shark terkesima. Jika dia tidak silap,ini ialah rumah Datuk Bandar Himada. Datuk Bandar ini sememangnya sangat terkenal dengan keperihatinannya terhadap masyarakat dan sikap penyayangnya pada kanak-kanak. Setelah anak dan menantunya meninggal dunia, dua orang cucu kembarnya dijaga dengan penuh kasih sayang. Seluruh masyarakat kota ini kenal dan sayang kepada Ryo dan Rissa.
"Jadi...i..ini..." Shark berpaling ke arah tangga. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis teresak-esak di sisi seorang kanak-kanak lelaki. Darah mengalir daripada paha Ryo. Berdekatan dengan mereka, tubuh tua tersandar layu di dinding. Shark segera menghampiri tubuh tua itu. dengan tangan yang terketar-ketar,jarinya menjamah nadi di leher Datuk Bandar.
"Hah...!" tangannya segera dilarikan. Lelaki ini, sudah tidak bernyawa. Dia menuju pula ke arah Ryo dan Rissa.
"Apa yang dah berlaku?" soal Shark kepada Rissa. Kanak-kanak perempuan itu hanya terdiam dan akhirnya pengsan di sisi abangnya Ryo.
"Tak..tak..jangan matilah budak!" Shark segera memerika keadaan mereka berdua. Nampaknya Ryo dan Rissa masih lagi bernyawa cuma keadaan Ryo agak parah kerana kehilangan banyak darah. Luka tembakan pada lengan dan pahanya jelas menunjukkan betapa terseksanya kanak-kanak tersebut. Shark menggenggam buku limanya dengan perasaan geram. Siapalah yang tidak berhati perut yang telah melakukan perkara sebegini kepada mereka?! Tanpa membuang masa dia segera menghubungi ambulans dan pihak polis.
Setelah memberikan keterangan kepada pihak polis, Shark akhirnya pulang ke rumah. Malam itu, dia tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya masih lagi lekat pada situasi tadi. Keesokan harinya, dia merancang untuk melawat kanak-kanak tersebut.
Berita tentang pembunuhan Datuk Bandar dan semua pengawal keselamatan beliau diratapi oleh seluruh masyarakat. Maklumlah, pemimpin itu merupakan pemimpin kesayangan. Hendak harapkan Ryo mewarisi tampuk pemerintahan, kanak-kanak itu masih lagi kecil. Baru sahaja berusia 10 tahun. Lantas, pemilihan baharu dibuat secara demokrasi sementara menanti Ryo berusia 18 tahun ke atas. Tidak kurang juga ada yang mereka-reka cerita untuk menyedapkan tajuk hadapan akhbar. Kisah pembunuhan Datuk Bandar dkaitkan dengan bermacam-macam perkara. Ada yang mengatakan beliau dibunuh oleh orang yang ingin merebut kuasa. Ada juga yang mengatakan, satu organisasi hitam telah mengupah pembunuh bersiri untuk menghapuskan keluarga tersebut. Masyarakat kian keliru. Lantas perintah daripada pihak polis dikeluarkan agar pihak media tidak lagi menyebarkan berita palsu atau sebarang akhbar tanpa sumber yang sahih. Kebenaran akan terungkap jua setelah kedua-dua cucu Datuk Bandar tersedar daripada koma.
Hampir setiap hari Shark akan datang melawat. Pada mulanya, pihak polis tidak membenarkan namun atas budi bicara SP Hassan, dia dibenarkan dengan ditemani oleh pegawai polis yang lain ketika melawat.
Setelah tiga hari berlalu, Rissa tersedar daripada lena panjangnya. Apabila disoal siasat oleh pihak polis, kanak-kanak itu langsung tidak menjawab. Malah reaksinya beku. Traumanya terlalu parah sehingga kanak-kanak itu sudah tidak sedar sama ada dia berada di dunia realiti atau masih di alam mimpi. Saban malam, pasti akan terdengar jeritan histeria diiringi dengan jeritan cemas para jururawat. Rissa akan mengambil pisau bedah yang dijumpai di mana-mana lalu diacukan kepada jururawat. Jelas di situ, dia masih lagi ketakutan.
Kini, peluang yang terakhir untuk mengetahui jawapan sebenar ialah Ryo. Doktor-doktor yang merawatnya meluahkan perasaan kagum mereka terhadap Ryo. Kanak-kanak lelaki itu dapat menghadapi sesi rawatan tanpa sebarang komplikasi dan sembuh dengan cepat. Seminggu kemudian, Ryo tersedar. Tanpa berlengah lagi,Inspektor Melissa bergegas ke hospital untuk menyoal siasat kanak-kanak tersebut.
"Ryo, kami minta maaf kerana terpaksa mengkhabarkan satu berita yang mendukacitakan. Datuk kamu telah meninggal dunia di malam kejadian." Suasana menjadi sebak. Inspektor Melissa menundukkan kepalanya. Shark yang turut berada di sisi katil Ryo turut menahan sedih. Belakang tubuh Ryo diusap perlahan. Kanak-kanak tersebuk hanya mengangguk perlahan tanpa mengalirkan air mata. Dia kelihatannya seperti menahan emosinya daripada terluah.
"Ri..Rissa?" soal Ryo dengan suara seraknya.
"Rissa masih tidak boleh bercakap. Dia asyik mengamuk setiap malam. Kami terpaksa menyembunyikan semua senjata yang tajam agar orang lain tidak turut sama tercedera."
"Oh..." Ryo menunduk. Ada satu senyuman hambar terukir di bibirnya. Semua yang ada di situ pula yang mula menangis. Bagi mereka, Ryo sangat tabah untuk menghadapi ujian sebegini dalam usia yang masih muda.namun lain pula bagi Shark. Dia perasan sesuatu yang pelik dalam diri kanak-kanak tersebut.
'Mustahil dia masih boleh setenang ni!'
"Oh, ya. Kami akan mula menyoal siasat kamu sekarang. Kita harus segera cari siapa pembunuh tersebut." Ujar Inspektor Melissa. Sambil membuat isyarat mata, dia mengarahkankan agar semua yang ada di situ keluar daripada bilik tersebut.
Perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam diri Shark mendorong lelaki itu untuk mencuri-curi dengar apayang diperkatakan oleh Ryo mengenai pembunuh tersebut. Setelah semua doktor dan jururawat berlalu pergi, dia mula mendekatkan diri.
"Jadi, Ryo, kamu tahu siapa yang datang menyerang keluarga kamu semalam?"
"Ta...tak tahu. Ketika saya turun daripada tingkat atas bersama Rissa, Datuk kelihatan cemas. Kebetulan loceng rumah dibunyikan. Apabila datuk memeriksa kamera yang berada di luar pagar, ada seorang posmen. Tapi...dia tak macam posmen biasa. Mukanya bengis dan ada parut di bahagian mata kiri. Jadi datuk buat keputusan untuk tidak keluar."
"Kamu kata dia ada parut...? Di mata kiri?" Ryo mengangguk perlahan.
"Kemudian, tidak lama selepas tu, datuk ditembak di dada." Ryo menyambung.
"Oh, posmen tersebut mungkin Shark. Dia yang menyelamatkan kamu berdua." Ujar Inspektor Melissa. Mata Ryo mula terbuntang luas.
"Saya yakin...di..dia yang bunuh datuk! Keadaan waktu itu samar-samar! Sesiapa sahaja boleh menyamar sebagai penyelamat....dia mesti pembunuh tu!" Ryo mula mendesak.
"Tapi..." Inspektor Melissa mula berasa serba salah. Selama seminggu ini, Sharklah yang menjaga kanak-kanak tersebut. Susah untuk dia percaya yang Shark ialah pembunuh sebenar.
Bunyi kuat di pintu mengejutkan mereka. Polis wanita itu membuat isyarat, mengarahkan rakan sekerjanya untuk memeriksa. Sebaik sahaja pintu dibuka, Shark segera melarikan diri.
"Puan! Shark lari!"
"Tangkap dia cepat!" kerah Inspektor Melissa. Dia memandang ke arah Ryo yang terdiam. Mungkin juga, kanak-kanak ini betul.
"Baiklah, sampai di sini sahaja. Kamu pasti letih. Kita sambung esok pula ya?"wanita itu berura-ura untuk keluar daripada wad peribadi yang menempatkan Ryo.
"Err...saya ada satu permintaan." Ryo bersuara secara tiba-tiba.
"Apa sahaja yang boleh kami bantu."
"Saya mahu satu wad dengan Rissa."
***
"Ini tak boleh jadi! Kenapa pula aku yang mesti dituduh sebagai pembunuh?! Ini tak masuk akal sama sekali!" Shark segera melompat ke tingkat atas. Kelebihan dalam sukan Parker membuatkan tubuhnya fleksibel untukmelompat ke tempat-tempat yang tinggi. Dia memanjat bangunan dan melompat dari tempat yang sempit dengan lagak yang mengerikan. Itu semua satu kebiasaan untuknya. Mudah untuk dia melarikan diri.
"Shark berhenti!" suara polis-polis yang mengejarya semakin hampir di belakang. Shark mengeleng laju. Dia tidak boleh ditangkap. Ini kerana, dia langsung tidak bersalah! Tidak sama sekali!
Bang!
Tembakan dilepaskan namun nasib menyebelahi Shark. Peluru pistol langsung tidak mengenai tubuhnya. Tembakan secara membabi buta itu tersasar. Shark mengucapkan syukur di dalam hati. Sampai di suatu simpang, dia segera membelok laju dan memanjat tangga besi yang ada. Sampai di bumbung bangunan, dia membaringkan diri agar pihak polis tidak nampak.
"Mana dia? Cis, kita dah hilang penjenayah! Hubungi ibu pejabat dan maklumkan mereka untuk buat sekatan di jalan raya dan keluarkan waran tangkap untuk memberkas Shark!" salah seorang pegawai polis memberi arahan.
"Oh tidak..." Shark berbisik perlahan. Peluh mula merenik di dahinya. Dia tidak pernah menyangka bahawa hidupnya akan berubah 360 darjah hanya kerana sikapnya yang terlalu baik hati.
"Hanya Rissa sahaja boleh tolong aku. Dia ada waktu aku masuk tu...dia tahu, bukan aku yang tembak Datuk Bandar!"
***
"Shark...kenapa kamu lari, jika kamu tak bersalah?" soal Inspektor Melissa. Aku hanya terdiam sambil memandang ke sekeliling. Ruang soal siasat yang selalu dilihat dalam drama ternyata lebih kurang sahaja keadaannya. Ruang yang samar-samar dengan cermin gelap yang besar. Aku tahu, di sebalik cermin tersebut, ada mereka yang memerhatikan segala tingkah lakunya. Jadi, aku harus waspada, agar tidak sesekali tersilap langkah.
"Aku...tak bersalah. Bukan aku yang bunuh Datuk Bandar! Kalau korang tak percaya, tanyalah Rissa! Dia tahu apa yang sudah berlaku!" nada suaraku mula bercampur dengan emosi.
"Bodoh!" meja dihadapanku ditepuk deras sekali gus mengejutkan aku. Terdiam sebentar aku dibuatnya. Wajah Inspektor Melissa kelihatannya benar-benar serius.
"Kau takkan tak tahu Rissa sudah tak boleh bercakap? Dia trauma dengan apa yang berlaku. Semuanya kerana kau!" tersentap aku mendengarnya.
"Inspektor Melissa, jika aku bersalah,kenapa aku berani sekali datang ke balai polis?" aku mula menyoal perlahan. Air mata kemarahan mula bergenang di tubir mata.
"Adakah hanya kerana penjelasan daripada Ryo, pihak polis terus sahaja percaya bulat-bulat? Ya, aku lari. Kerana waktu itu aku masih tak dapat terima yang aku dituduh sebagai pembunuh!"
"Aku yakin, Rissa akan bercakap semula! " Aku menyambung lagi. Inspektor Melissa tersengih sinis. Aku mula hairan. Dah kenapa dengan polis ni?
"Ya, aku pun rasa begitu Shark.Shark, kau fikir pihak polis ni bodoh? Setakat dakwaan Ryo, aku tak akan tergugah."
"Inspektor, aku ada rancangan. Jika kau sanggup rendahkan ego dan bekerjasama dengan aku,kita akan dapat cari pembunuh yang sebenar." Kata-kata aku membuatkan wanita itu terdiam. Mata kami bertentangan lama. Sambil menarik nafas panjang, dia mengangguk perlahan, lalu memandang ke arah cermin gelap. Semoga mereka yang memerhati turut akur.
***
Perlahan-lahan, kanak-kanak perempuan itu mendekati katil abangnya Ryo. Air matanya jatuh berlinangan. Sambil mengeluarkan sebilah pisau bedah, langkahnya semakin mara.
"Ma..mati!" Rissa mengangkat pisau tersebut sebelum menjunamkan pisau itu ke tengkuk Ryo.
"Berhenti!" beberapa orang pegawai polis menerjah masuk ke dalam wad tersebut. Hakikatnya yang sedang terbaring itu bukanlah Ryo, tetapi Shark. Dia sengaja menutup tubuhnya dengan selimut dan mengecilkan tubuhnya yang kelihatan seperti kanak-kanak. Rissa berhenti sejenak namun kembali mengangkat pisaunya.
"Mati!!!" jerit Rissa. Shark segera bergolek dan menjatuhkan diri daripada katil. Terpinga-pinga Rissa dibuatnya apabila melihat yang tersedar daripada pembaringan itu bukanlah Ryo.
"Ri...rissa.."tegur satu suara. Ryo mula keluar daripada kerumunan polis-polis. Air matanya gugur melihat Rissa yang benar-benar tekad hendak membunuhnya.
"Rissa..jadi kamulah pembunuh yang sebenarnya?" soal Shark yang juga terkejut. Niatnya hanyalah hendak menguji. Mana tahu, Rissa akan bercakap sekiranya dibiarkan berdua-duaan dengan abangnya Ryo.
"Ryo..." Rissa turut bersuara. Pisau di tangan terlepas dan jatuh ke lantai. Kanak-kanak perempuan itu mula menangis teresak-esak.
"Tangkap Rissa!" Inspektor Melissa memberi arahan.
"Jangan! Jangan tangkap dia!" Ryo mula menghalang. Pisau di lantai diambil lalu diacukan kepada sesiapa sahaja yang cuba untuk mendekati dirinya dan adiknya.
"Ryo...dia cuba bunuh kamu!" Aku bersuara dari belakang.
"Kau apa tahu? Dasar orang asing! Heh, kalau ku tak datang malam tu, mungkin Rissa akan dapat hidup lebih bahagia...tapi korang silap! Kenapa kau pandai-pandai telefon polis hah?" giliran Ryo pula yang mengamuk. Tubuh adiknya dipeluk. Riak wajahnya mula berubah. Tidak lagi setulus seperti sebelumnya.
"Ap..apa maksud kamu Ryo? Kalau aku tak datang malam tu...kau pun akan mati!" aku tidak puas hati dengan alasan yang diberikan oleh Ryo. Semua yang ada di situ semakin tidak faham dengan jalan cerita yang sebenarnya.
"Heh, lebih baik aku mati malam tu. Lagipun tugas aku dah selesai. Orang tua keparat tu dah mati. Pengawal peribadi semua aku dah bunuh! Hahahaha!!!" Ryo tertawa besar. Dia merasakan bahawa itu ialah kemenangan terbesar buatnya.
"Jangan menipu! Mana mungkin kamu dapat membunuh ramai orang dengan kudrat kanak-kanak kamu tu!" Inspektor Melissa menjerkah. Namun balasannya hanyalah sengihan sinis. Sengaja hendak menyakitkan hati semua yang ada di situ.
"Ya, perancangan aku menjadi. Hanya kerana aku kanak-kanak, aku langsung tidak akan menjadi suspek utama. Dan jika aku ditangkap sekalipun, aku tidak akan dihukum dengan berat. Undang-undang ini, terlalu baik untuk kanak-kanak seperti aku." Sekali lagi Ryo tertawa sinis.
"Kenapa kamu buat semua ni?" aku menyoal perlahan.
"Selama kami hidup dengan datuk, belum pernah kami rasa gembira. Datuk menggunakan kami untuk mendapat kepercayaan masyarakat. Disangka seorang datuk yang penyayang dan bertanggungjawab namun sebaliknya yang berlaku. Hari-hari kami didera! Kami dilayan seperti anjing kurap! Rissa...korang tahu apa yang datuk telah buat kepadanya?! Sebab datuk, Rissa tidak seperti kanak-kanak perempuan yang lain!" tangisan Rissa semakin deras. Tubuh Ryo dipeluk erat.
"Jadi...aku buat keputusan untuk tamatkan semua ni. Datuk harus segera mati. Heh, Rissa langsung tidak campur tangan. Dia tak tahu langsung yang aku rancang semua ni. Semua pengawal peribadi aku bagi racun. Semua ni tak mudah...tapi berhasil. Hahaha, dan datuk akhirnya mati dengan senjatanya sendiri.
"Ja..jadi,kamu tembak diri kamu sendiri?" Inspektor Melissa seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
"Aku tembak tangan aku agar pihak polis percaya bahawa kami diserang...tapi Rissa tembak aku sekali lagi di peha. Aku faham kenapa Rissa buat begitu. Dia mungkin takut dengan aku. Aku pasrah. Lebih baik aku mati ditangan Rissa!"
"Kamu masih kanak-kanak...huh kenapa perlu kotorkan tangan kamu?!"
"Heh, dah terlampat polis tak guna! Aku tak akan biarkan orang dewasa mengatur hidup kami! Hahaha...Urk!" Ryo berhenti tertawa. Dia memandang ke arah Rissa. Gadis itu menangis teresak-esak. Tusukan pisau ditolak lebih dalam.
"Ark!" tersembur cecair merah pekat daripada mulut Ryo.
"Ri..rissa..." mutiara jernih akhirnya gugur daripada tubir mata kanak-kanak lelaki itu. Tubuh Rissa dipeluk erat.
"Abang...maafkan Rissa." Tangisan Rissa semakin menjadi-jadi. Semua yang ada disitu terkejut dengan tindakan Rissa yang langsung tidak dijangka.
"Ke..kenapa..?" soal Ryo perlahan.
"Rissa tak mahu abang terus hidup begini...terima kasih untuk segalanya." Gadis itu berbisik perlahan ke telinga Ryo.
"Cepat! Pisahkan mereka!" Inspektor Melissa memberikan arahan. Tekanan yang dialami oleh pasangan kembar ini sungguh berat. Selepas ini, biarlah mahkamah tentukan apa yang bakal berlaku kepada Rissa selepas ini.
Ryo diangkat ke unit kecemasan. Mujur sahaja, mereka masih lagi di hospital. Aku pula masih lagi terpaku di situ. Membiarkan kesibukan mereka di hadapanku untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan.
Tanpa menghiraukan panggilan Inspektor Melissa, aku segera berjalan keluar daripada wad tersebut dengan langkah yang longlai. Tidak sangka begitu tragis pengakhiran kisah hidup kanak-kanak tersebut.
Kring! Kring!
Panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Aku segera menjawab panggilan tersebut.
"Assalamualaikum, Ahmad Shakir. Biar aku kenalkan diri. Aku ialah Syed Al-Asr. Aku, perlukan bantuan kau." Air liur diteguk perlahan. Skrin telefon pintar ditenung perlahan. Siapakah lelaki yang siap memanggilnya dengan nama penuh. Dia melihat ke hadapan. Seorang lelaki berambut perang dan berkaca mata sedang meletakkan telefon bimbitnya di telinga. Tubuhnya yang tinggi menghalang bias-bias cahaya daripada menerjah masuk.
"Si..siapa?"
*wah, selesai tugasan pertama
-hihi, saya ambik watak dalam cerita Rahsia dan Zen..boleh tahu siapa? :)
#war #writerandreader
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top