MEMORI YANG DILUPAKAN


Afiq meletakkan beg di anjung rumah, rumah pusaka peninggalan atuknya ini sudah lama tak berpenghuni semenjak kematian Arwah Atuknya 15 tahun yang lepas.Afiq memerhatikan keadaan sekeliling sebelum tangannya menolak pintu rumah yang sudah agak usang tetapi masih kukuh.

Kreekkkk...

Gelap saja suasana di dalam rumah usang ini,terasa bulu tengkuknya mula merinding......namun dipersetankan semua perasaannya tika itu.Dia leka menghayati rumah yang banyak memberi kenangan pada usia kecilnya,rumah kayu dibuat utuh dari kayu cengal,tanpa sebarang paku cuma dipasak dan dipenuhi ukiran penuh antik, hingga lah matanya tertancap pada sebuah pisau belati di atas meja, sebuah pisau dengan ukiran ular di hulunya dan dihiasi dengan manik-manik dari batu kecubung, terlalu mengasyikkan bagi seorang pencinta barangan antik sepertinya.

Baru sahaja Afiq ingin mencabut pisau dari sarungnya...

"Wah, Fiq cantik betul rumah arwah atuk kau" kata Faizal.langsung membantutkan niatnya.

Afiq segera meletakkan semula pisau belati itu ke atas meja.

"Yer bro, lama betul tak singgah sini" balas Afiq bersahaja.

"Fiq, ada barang lagi dalam kereta tu, tolong ambikkan" kata Faizal padanya.

Tidak dibalas oleh Afiq, melainkan dia segera berlalu pergi menuju ke kereta, ketika dia ingin menuruni tangga...

"Selamat pulang, Afiq" satu bisikan halus milik seorang wanita menjengah ke telinganya.langsung mematikan semula langkahnya.

Afiq segera memandang ke arah Faizal, sangkaannya Faizal yang bercakap dengannya, dia melihat Faizal sedang leka mengeluarkan barang dan tool kameranya.

"Pejal..."

"Yer Bro...." balas Faizal.

"Tadi kau..."

"Apa dia..." balas Faizal sambil mengerutkan keningnya pelik dengan reaksi pelik dari Afiq.

"Takde apelah..." balas Afiq perlahan dan memalingkan wajahnya dari Faizal.

Ketika itulah angin menerpa ke wajahnya.seolah-olah menyambut kepulangannya.

****************
JAM 11 MALAM

Afiq sedang leka melunjurkan kakinya sambil menghisap sebatang rokok menghayati angin malam di beranda rumah pusaka tinggalan arwah atuknya.memori demi memori, datang menjelma di dalam ingatannya.Namun ada sesuatu yang seperti hilang dalam ingatannya ,sesuatu tentang rumah pusaka ini, sesuatu yang terlupakan atau mungkin sengaja dilupakan.

"Jauh menung" kata Faizal mematikan lamunan panjang Afiq, Faizal meletakkan satu jug air Tea O di hadapannya.

"Kau kalau nak air suam, ada aku letak kat Jug kat dapur" kata Faizal.

"Oh, ok, terima kasih" balas Afiq sambil menyedut asap rokoknya penuh nikmat.

"Gambar semua ok ke?" Soal Afiq pada Faizal.

"Cun bro,klien mesti puas hati" balas Faizal sambil menaikkan kedua-dua ibu jarinya memberikan isyarat puas hati pada Afiq.

"Tapi , kau ni, aku tadi dah risau dah, area Jengka ni dahlah susah nak cari hotel ke homestay ke, kau bukan nak bagitahu kau ada rumah tinggalan kat sini, boleh-boleh nak jugak cari bilik" kata Faizal pada Afiq.

"Aku ni Pejal, kalau boleh taknak dah singgah kat sini, banyak kenangan aku kat sini, kalau tak pasal semua homestay dengan hotel full booked, jangan haraplah aku nak balik sini" kata Afiq.

"Alah, kampung kau jugak kan, tadi dalam kereta kau cerita kat aku,kau habiskan zaman remaja kau kat sini" balas Faizal.

Tidak dibalas oleh Afiq melainkan dia cuma mengisi air Teh O ke dalam cawan lalu meneguknya.

"Dah berapa lama kau tak balik sini" soal Faizal.

"Dah 15 tahun" balas Afiq pendek.

"Biar betul, cantik je rumah ni, macam terjaga je, elektrik dengan air pun masih lagi ada " kata Faizal.

"Pak ngah aku masih ada untuk tengok-tengokkan rumah ni" balas Afiq.

"Oh, masih ada waris lagi" balas Faizal.

"Faizal, kau nak dengar cerita tak pasal kampung ni dengan pasal Arwah Atuk aku?" Soal Afiq

"Boleh je untuk kill time bosan-bosan macam ni" jawab Faizal.

"Kau tak takut ke, cerita dia seram sikit, sanggup ke dengar", soal Afiq.

"Cerita jerlah bro,kalau aku rasa terlalu angker aku suruh kau stop" balas Faizal sambil ketawa kecil.

Afiq tersenyum paksa pada Faizal .

"Sebenarnya kampung ni dah lama, dulu kampung ni termasuk dalam rancangan Felda untuk tanah Peneroka bagi projek Felda Jengka, tapi akhirnya dibatalkan, sebab penduduk sendiri yang menolak untuk terlibat dalam tanah rancangan, dorang lagi selesa kerja-kerja kampung je, pernah jadi kes kat kampung ni, adalah anak jati kampung ni Rusdi namanya, dia ni dah lama duduk bekerja kat bandar, jadi ada satu hari tu dia telefon lah mak ayah dia kata nak balik kampung nak singgah jumpa dorang. Mak ayah dia yang dah tahu anak dorang ni nak balik pun tunggu lah dari pagi sampai ke malam rusdi ni tak sampai-sampai jugak, sampai akhirnya dorang tertidur, sedar-sedar esuk pagi dorang bangun dorang nampak kereta rusdi je ada kat laman rumah, check dalam kereta takde pulak orang, jadi dorang agak si Rusdi ni pergi merayap lah cari kawan-kawan lama, yerlah orang lama tak balik kampung, sekali balik mesti nak jumpa sahabat lama kan, jadi mak ayah dia biarkan jerlah, sampai lah dari pagi lagi bawak ke malam tak balik-balik jugak, si ayah rusdi ni pun keluarlah dari rumah pergi cari anak dia,tanya kat kawan-kawan dia kalau - kalau ada ternampak dia, tapi hampa, sorang pun tak nampak, jadi malam tu satu kampung keluar mencari si Rusdi ni, sampai akhirnya polis dengan bomba pun terlibat dalam operasi mencari, tapi tetap jugak tak jumpa, meninggalkan tanda tanya, sehingga ada pulak andaian mungkin si rusdi ni dah dimakan ular sawa, tapi tak logik pulak, ular sawa kalau dah makan orang, dia takkan bergerak lagi dah sebab dia nak hadam makanan tu, akhirnya hilang je jadi misteri" cerita Afiq panjang lebar.

"Kesian mak ayah dia, lepas tu sampai sudah lah dia hilang macam tu aje" balas Faizal.

"Cerita ni tak habis macam tu aje, da 3 tahun dia hilang sampailah satu hari tu, mak dia waktu tengah menyapu sampah ternampak sesuatu dalam kereta Rusdi yang dia tinggalkan kat laman tu" balas Afiq

"Nampak apa?" Soal Faizal.

"MAYAT, mayat Rusdi , yang peliknya dari kesan mayat yang sepatutnya dah hilang 3 tahun tu, patutnya tinggal rangka la kan, tapi bagi kes Rusdi ni tak, mayat dia macam baru mati 3-4 hari, dengan separuh muka dia hancur macam kena makan dengan sesuatu dan isi perut dia terburai" jawab Afiq.

"Kau biar betul, macam mana jadi macam tu, ni cerita tipu ke betul ni....?" Soal Faizal tidak berpuas hati.

"Terserah kau nak percaya ke tidak, tapi cerita ni betul, dan Rusdi tu sebenarnya Pak Usu aku" jawab Afiq sambil mula memasang sebatang rokok lagi.

"Dan kalau sukar bagi kau nak percaya kat bawah pokok manggis tu, ada kereta saga buruk yang dah naik lalang, dalam tulah mayat paksu aku dorang jumpa" kata Afiq sambil jarinya mengarah ke arah rimbunan lalang di laman rumah.

Dan dalam samar-samar cahaya lampu di beranda rumah Faizal dapat melihat dengan jelas kereta itu.meremang serta merta bulu tengkuknya, segera diusap oleh Faizal.

"Entahlah Faizal, tapi lepas kes tu, arwah ayah aku bawak pergi arwah nenek aku tinggalkan rumah ni, tapi sayangnya Arwah Atuk aku tetap nak tunggu rumah ni, jadi ayah aku tak dapat nak pujuk atuk aku yang berkeras nak tunggu rumah ni" kata Afiq.

"Sampai lah takdir Allah, semua keluarga aku meninggal dunia, ayah, mak ,nenek dan adik-adik aku terlibat dalam kemalangan ,semua terkorban kecuali aku, aku tinggal sebatang kara, arwah atuk aku ambik aku dan bela aku , jadinya aku membesar kat sini" tambah Afiq lagi.

"Kau tak seram ke duduk sini Fiq, yerlah lepas apa jadi kata pak su kau macam tu" soal Faizal.

"Tu semua kenangan lama, lagipun masa aku tinggal kat sini takde apa-apa pun jadi kat aku, jadi aku abaikan aje" balas Afiq dan terus bangun.

"Wei,nak pergi mana..?" Soal Faizal.

"Tidur, esuk nak balik KL, nak jalan jauh" balas Afiq dan terus memasuki bilik.

"Yerlah" balas Faizal.

Faizal mula hendak bangun hinggalah sayup-sayup di telinganya dia terdengar bisikan halus seperti mentera.

Menjelang malam, dirimu mulai sirna...

Jangan terbangun dari tidurmu...

Awas, jangan terlihat ...

Aku sedang gelisah,

Jin setan ku perintahkan,

Jadilah apapun juga,

Namun jangan membawa maut...

Sayup-sayup disertai bauan setanggi dan haruman bunga kemboja.

Matanya tertancap pada rimbunan belukar di depan rumah , tempat dimana kereta arwah Rusdi diletakkan, dari jauh dia melihat seolah-olah helaian kain putih buruk melayang-layang.

Lantas Faizal terus berlari masuk dan mengunci pintu rumah terus berlari masuk ke dalam bilik dan menekup wajahnya dengan bantal.

Terkejut Afiq yang sedang mengelamun di atas tilam dengan tingkah laku Faizal, namun tidak diendahkannya, lantas Afiq melayan semula lamunannya hingga dia tertidur.

************
Afiq tersedar dari tidurnya dia melihat sekeliling, suasana rumah gelap gelita, selalunya suasana malam meriah dengan bunyi cengkerik, namun malam ini sunyi sepi, Afiq segera bangkit dari tilamnya menuju ke ruang tamu.

Tekaknya yang dahaga perlu diisi dengan air, baru dia hendak bergerak menuju ke dapur...

"Baru bangun ke Afiq?" Suara seorang wanita dari arah belakangnya persis seperti siang tadi mengejutkannya.

Perlahan-lahan dia memalingkan wajahya ke arah belakang.

Seorang wanita.

Wanita cantik.

"Siapa kau?" Soal Afiq.

"Aku warismu, nenekmu wahai Afiq, kemarilah wahai cucuku" balas wanita itu sambil tersenyum sinis.

"Tak mungkin, nenek ku dah meninggal, dan macam mana kau masuk ke rumah ni?" Soal Afiq.

"Aku tak perlu masuk wahai Afiq, ini memang rumahku, rumahku bersama Shaifudin suamiku" jawab wanita itu.

Peluh mula merembes jatuh ke wajah Afiq, dia sedar dia kini bukan berhadapan dengan manusia, boleh jadi mahkluk dari alam lain.

"Aku rindukanmu wahai cucuku, sudah lama kau tak pulang" kata wanita itu.

"Apa yang kau mengarut, pergi , jangan kau ganggu aku...!!" Tempik Afiq.

"Atuk mu suamiku, sudah pergi, kami hilang tempat tinggal, izinkan aku menempati badanmu wahai Afiq"kata wanita itu lagi.

"Apa maksudmu,menempati badan" soal Afiq.

"Atukmu telah membuat perjanjian dengan diriku, ada satu waktu dia tersesat jauh ke dalam hutan ketika menjerat ayam hutan, ketika dia di dalam keadaan hampir mati, dia telah memohon padaku, untuk menyelamatkannya, dan aku melakukannya, dengan syarat, kahwini aku, dan biarkan aku bersarang di dalam tubuhnya dan beranak pinak keturunanku di dalam tubuhnya, hingga cukup 99 keturunan ku dan dia" kata wanita itu.

"MAKSUD KAU..!" Tanya Afiq separuh menjerit.

Wanita itu hanya tersenyum dan terus berjalan ke hadapan menuju ke arah Afiq, Afiq dapat melihat senyuman wanita itu semakin melebar seakan bibirnya telah sampai ke telinga, dan dengan perlahan-lahan kepalanya terpusing 360 darjah, habis lembik kedua-dua kaki Afiq sehingga dia jatuh terduduk.

"Janji...!" Kata wanita itu.

Di hadapan mata Afiq dia dipertontonkan dengan kejadian-kejadian yang pernah berlaku sebelum itu, jauh sebelum kelahirannya.

"Janji berdarah nyawa diberi nyawa"

"Darah dan daging zuriat akhirmu menjadi santapanku sebagai balasan nyawamu"

Dan tika itulah dia,melihat flashback semula tragedi yang menimpa arwah pak su nya, diculik dan disimpan di sebuah pokok besar jauh ke dalam hutam sehingga masanya tiba tarikh perjanjian dijadikan santapan dan dipulangkan semula.

"Hanya aku dan anak-anak ku yang menjadi keluarganya, YANG LAIN TIDAK BERHAK...!!" jerit wanita itu.

Dan imbasan akhir tiba dengan tragedi kemalangan yang menimpa seluruh keluarganya sebelum ini.Ayahnya cuba mengelak seorang wanita yang berdiri di atas jalan dan menyebabkan kereta terjunam ke dalam gaung menyebabkan kematian mereka semua.

Hanya Afiq yang terselamat..!

Ya, hanya Afiq yang terselamat...!

Kenapa, kerana hanya dialah yang layak menjadi waris untuk menyimpan seratus jin, di dalam badannya, 99 keturunan wanita itu dan atuknya, termasuk wanita itu cukuplah menjadi seratus.

"JANGAN PERNAH KEMBALI KE SINI LAGI AFIQ...!!" Amaran akhir dari arwah atuknya , harinya dia dihalau pergi oleh atuknya, sesuatu yang hilang dari memorinya, sesuatu yang menyebabkan dia meninggalkan kampung serta merta. Aneh, kerana dia mengingati segalanya, namun terlupa tentang wujudnya wanita ini, wanita yang menghantui zaman remajanya.

Kini mata bertentang mata, mata wanita itu yang merah menyala di hadapan wajah Afiq, Afiq dapat melihat dengan jelas di belakang wanita itu dipenuhi makhluk-makhluk dari alam lain.

Cukup mengerikan, ada yang lidahnya terjelir, bertanduk, bertaring.

Namun bukan itu yang menjadi keresahan.

"KAU MILIKKUUUU....!!!!!!" Jerit wanita itu di hadapan wajah Afiq.

*************

Afiq tersedar dari tidur dan mimpinya, tercungap-cungap ia cuba mengejar nafas.mimpi nya seakan nyata.Lantas tanpa berfikir panjang dia turun ke dapur untuk meneguk segelas air.


"Argghhh... ianya cuma mimpi..!"

Baru beberapa langkah Afiq ingin menapak ke ruang tamu.

Langkahnya kaku bila ia melihat sesuatu disebalik pintu.

"Selamat Pulang Wahai cucuku"


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top