3
Pandangan mata aku beralih pula pada seorang kanak-kanak perempuan yang sedang duduk sambil mengunyah kuih tat nenas. Ibunya di sebelah memegang sebalang kuih tat nenas dan menghulurkan satu persatu kuih itu kepada anaknya yang meminta.
Aku masih ingat waktu mak merajuk bila aku berdegil nak buat biskut cip coklat. Mak cakap tak payah, sebab mak nak suruh aku tolong dia buat kuih tat nenas petang itu. Aku ni memang anak mak yang paling degil. Aku buat juga biskut cip coklat. Aku cakap kat mak, sempat saja kalau nak buat tat nenas sekalipun. Tapi mak merajuk. Mak tak bancuh pun adunan kuih tat nenas. Esoknya baru mak buat.
“Pi la buat lagi kuih coklat hang tu. Orang dah kata tak payah. Kuih dah berlambak dah.” Kata mak masa aku datang nak menolong.
Aku tetap tolong mak isikan jem nenas yang dia buat sendiri itu ke dalam adunan tepung. Kuih tat nenas mak special sikit. Mak tak guna acuan tapi mak potong saja kulitnya pakai pisau. Selepas diisikan dengan inti dan digulung, luarnya pula ditoreh-toreh sedikit membentuk beberapa petak kecil menampakkan inti di dalam. Kata mak, dengan berbuat begitu kulit tat nenas akan jadi lebih rangup. Memang betul cakap mak. Malam itu entah berapa banyak kuih tat nenas yang aku kunyah. Sangat rangup kulitnya dan sangat sedap intinya. Air tangan mak semuanya sedap kan?
Bas yang aku sepatutnya naik sudah kelihatan di platform bernombor tiga. Aku angkat beg dan bawa ke bahagian tepi bas. Aku letak beg pakaian di ruang bagasi. Beg oren yang aku galas dari tadi aku bawa naik ke atas. Dalam beg oren ini ada laptop, kamera DSLR dan barang-barang berharga yang lain. Macam bahaya pula kalau aku letak sekali dengan beg pakaian. Aku duduk di single seat bernombor lima. Nasib baiklah masa aku beli tiket dua minggu yang lepas masih ada single seat. Lebih selesa daripada kena duduk di double seat dengan orang yang aku tidak kenal. Ada juga kawan aku yang sanggup beli kedua-dua seat semata-mata tidak mahu duduk dengan orang yang tak dikenali. Tapi aku tak bolehlah begitu. Bagi aku perbuatan itu seperti mengambil hak orang lain. Lagipun aku tak punya duit yang banyak untuk aku bazirkan dengan cara macam tu.
Tak semena-mena aku terbau sesuatu. Bau seperti rendang ayam. Mungkin ada penumpang yang membawa. Perut aku mula terasa lapar. Berbuka tadi aku hanya makan roti jagung dan minum air kosong saja. Minda aku mula membayangkan rendang pedas Perak yang mak selalu masak setiap tahun, pada malam raya. Mak selalu buat rendang pedas ayam dan rendang tok daging. Rendang pedas ayam tu akulah yang selalu jadi tukang rasanya, sebab mak tak makan ayam. Rendang mak tak pernah tak sedap. Masakan mak pun semua sedap, mana ada yang tak sedap. Sebab itulah dulu aku gemuk. Asyik makan saja. Aku pegang pipi aku dengan kedua-dua belah tangan. Sudah tak terasa tembam. Tak macam tahun lepas. Sekarang aku dah ada dagu dan tulang pipi. Dulu muka aku bulat saja, macam kuih pau bak kata salah seorang rakan sekerja aku masa dia lihat gambar aku yang lama.
Aku cuba lelapkan mata. Perjalanan dari sini ke Perak mengambil masa kira-kira enam jam. Lambat lagi mahu sampai. Minda aku masih mahu mengisi masa yang terluang ini dengan membayangkan semula kenangan-kenangan aku dengan mak. Kali ini aku teringatkan mak yang gigih mengisi pulut ke dalam buluh, mahu dibuat lemang. Mak buat banyak, untuk tempahan dan untuk kami sekeluarga makan.
Aku suka duduk di luar dengan abah, suka tengok bara yang berapi membakar buluh-buluh lemang yang seterusnya membuatkan aku dapat lihat bahagian atas lemang yang nampak mendidih, yang sesekali santannya sedikit meleleh ke bawah, menerbitkan bau yang membangkitkan selera aku. Aku akan memerhati saja walau sudah senja, dengan kamera DSLR di tangan, untuk aku rakamkan segala gambar yang menarik. Alang-alang tangkap gambar yang bagus, boleh juga aku muatkan dalam assignment. Lepas itu kelam-kabut lah aku mencapai air waktu azan Maghrib berkumandang. Siap saja lemang itu dimasak, aku cepat-cepat pergi dekat abah yang memotong buluh lemang. Aku suka minta bahagian lemang yang paling atas. Kegemaran aku sama macam mak. Mak juga suka bahagian yang sama.
*****
“Hang dah makan belum?” Aku dengar mak tanya aku. Tanya soalan yang wajib ditanya oleh seorang mak kepada seorang anak.
Aku dapat lihat mak senyum memandang aku. Aku nak jawab tapi aku tak tahu mengapa lidah aku jadi kelu. Aku rasa rindu yang teramat sangat dekat mak, yang membuatkan aku hanya dapat mengalirkan air mata sambil pandangan hanya terfokus dekat wajah mak.
Aku terjaga. Entah bila aku terlelap. Sedar-sedar saja sudah sampai di terminal bas kampung halaman aku. Aku lap pipi aku yang terasa basah. Rupanya aku menangis dari dalam mimpi sampai ke realiti. Aku dah tak sabar nak jumpa mak. Cepat-cepat aku galas beg oren dan berjalan menuju ke tangga bas.
“Terima kasih pakcik!” Aku ucap kepada pemandu bas, sebagai menghargai pemandu itu yang bersengkang mata membawa kami sehingga sampai ke destinasi. Pemandu itu membalas ucapan aku.
Aku ambil beg pakaian dan berjalan ke salah sebuah kerusi di terminal bas. Aku duduk dan keluarkan phone dari dalam poket. Aku call abah, tapi tak ada sesiapa yang menjawab panggilan. Mungkin abah tidur. Aku call lagi dan lagi. Empat kali aku call, baru abah angkat. Abah jawab dengan suara yang kedengaran seperti baru bangun tidur.
Terminal bas ini sejuk dan terasa sunyi. Mana tidaknya, baru pukul 3.26 pagi. Kira-kira setengah jam aku menunggu, aku nampak kereta abah. Adik-adik pun ada di tempat duduk belakang.
“Haiii..you-you rindu I tak?” Aku bergurau dengan adik-adik. Seorang mencebik dan seorang lagi tergelak. Abah hanya senyum saja.
Abah terus bawa kami ke masjid. Memang menjadi amalan abah untuk membawa kami berqiamullail di masjid setiap kali bulan Ramadan. Lepas itu kami akan terus bersahur saja di masjid dan menunaikan solat Subuh. Kemudian barulah kami akan pulang ke rumah. Sampai saja di rumah, aku terus mandi dan menukar pakaian. Aku capai kunci motor yang tersangkut di salah satu paku di dinding. Phone tak lupa aku bawa. Aku menunggang motor kira-kira lima minit dan sampailah ke tempat yang aku nak sangat pergi sejak dari aku di Selangor lagi.
Aku buka surah Yasin di phone. Aku tahu aku perlu habiskan bacaan Yasin dulu barulah aku boleh mengadu apa-apa pun dengan mak. Kalau tidak aku akan menangis saja. Ya, aku nampak kasar, aku nampak macam seorang yang berhati keras. Tapi sebenarnya hati aku cepat tersentuh. Setiap kali aku datang berjumpa mak dekat sini mesti aku akan menangis. Aku kalau sudah menangis, sangat susah untuk berhenti.
“Mak…” Suara aku bergetar. Masih cuba untuk menahan air yang mahu mengalir dari tubir mata.
“Orang rindu mak….” Aku sentuh batu nisan bertulis nama mak. Air mata aku mengalir laju.
12 Disember 1962 hingga 11 Februari 2015
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top