1.5
"Wah, minggu ni ada konsert Monsta X kat Bukit Jalil la!" kata Iera kepada kawan baiknya, Aulia.
"Kita pergi sama-sama nak?" kata Aulia.
"Ala, kita nak ajak pakwe kita...."
"Pakwe kau layan ke K-pop? Pakwe kau mat gamer, mesti dia sibuk nak naik rank dalam PUBG je. Takde masa dia nak fikir pasal K-pop ni," kata kawan dia yang lagi sorang, Shasha.
"Tapi cinta yang sejati adalah cinta yang selalu bersama, kan?" ujar Iera.
"Umur baru 17 tahun, dah sembang pasal cinta sejati. Tuik!" kata Shasha yang sememangnya anti dengan percintaan. Baru-baru ni selepas pakwe dia curang.
"Okaylah, kita pergi bertiga. Tapi korang jangan bawak pakwe korang tau!" kata Iera sambil tunjuk jari kelingking.
"Aku mana ada pakwe. Benci lelaki. Men are trash," kata Shasha sambil paut jari kelingking Iera.
"Okay, aku janji," kata Aulia sambil paut jari kelingking.
Perbualan Iera dan kawan-kawan itu dicuri dengar oleh Mambang Tanah yang menyamar jadi seorang lelaki yang sedang menyapu sampah di tepi jalan.
"Bau bunga tulip kuat di sini, ketemu dengan si Bunga Tulip! Nanti kau!"
Panglima Halilintar muncul dari langit, dan turun menjejak ke bumi.
"Bagaimana pencarianmu dengan bunga-bunga yang dipinta rajamu, Sang Tenno Gelap?" kata Panglima Halilintar memeluk tubuh.
"Aku sudah ketemu sama diaaaaa...." kata Mambang Tanah sambil buat suara tipikal watak villain.
"Kau ni rilek-rilek la sikit buat suara macam tu. Ketara sangat kau ni orang jahat. Nanti pembaca novel ni tak suspense. Cover sikit," kata Panglima Halilintar.
Mambang Tanah memberitahu rancangannya, bahawa dia akan menculik salah seorang ahli boyband K-pop yang akan tiba di Kuala Lumpur, sebelum dia akan menyamar menjadi orang itu.
"Bagus! Tapi ingat, apabila kau sudah mendapatkan bunga itu, terus bawa bunga itu ke alam kita. Kemudian cari lagi enam untuk menjayakan hasrat Tenno Gelap."
"Baik Tuan Panglima Halilintar!"
--
"Aduh, tak kena lagi ni!" Ayie tepuk dahi kerana main mesin judi Wukong tapi tidak mengena."
Kusyuk dan khayal Ayie main judi Wukong tapi tak kena juga. Lalu Ayie terus menyesal dan mahu taubat nasuha. Setiap kali kalah judi mesti menyesal dan taubat nasuha tapi lepas tu dia ulang balik bila menang sikit.
"Sial ah, dah la miskin, kalah judi, awek pun takde," Ayie lemparkan topi Alien Workshop yang dipakainya sejak tahun 1997. Itulah topi pertama yang dibelinya sejak dia habis sekolah, dan sampai ke sudah dia memakai topi tu kecuali bila dia bekerja.
"Aney! Milo ais kurang susu satu!" katanya sambil angkat tangan.
Ayie buka Tinder, takde sorang pun awek yang melekat. Dia punyalah desperate sampai semua orang dia swipe right, tak kiralah macam mana rupa.
Tapi sorang pun tak melekat. Punyalah suwey. Memang kena mandi tujuh bunga.
Telefon berbunyi.
"Cheh, si Zainon. Ha, allo! Aku kat Wukong ni. Ha, mai la sini. Kau kat mana? Ha, jap lagi aku datang port snooker kau."
Balik-balik port snooker. Bosan betul. Tak ada tempat lain ke nak lepak selain port snooker, ujar Ayie yang dah berkawan dengan Zainon sejak peristiwa menangkap berudu dan mencari jarum emas di padang pada tahun 1987.
Ayie pun start motor menuju ke port snooker tempat Zainon main.
--
"Yie, ni aku betul-betul nak tolong kau cari jodoh ni," kata Zainon yang sambil gosok-gosok kapur pada kayu snooker dan berlagak seperti pemain snooker professional.
"Kau jangan suruh aku buat benda khurafat pulak?" kata Ayie.
"Bukan la bodoh, ini namanya speed dating."
"Speed dating? Macam mana tu?"
"Camni. Nanti kau beratur kat satu dewan tu, dan perempuan pun beratur juga. Nanti dalam masa seminit, kau tanya nama, nombor telefon, semua benda penting yang kau perlu tau. Seminit lepas tu kau kena tukar orang lain."
"Huish, dating apa benda macam tu?" kata Ayie garu kepala.
"Bukan tujuan kau nak dating pun. Yang tu, kau cari yang mana kau berkenan, yang tu la kau contact. Yang mana kau tak berkenan kau tak payah la contact."
"Macam tu? Kalau dia tak nak aku?"
"Kalau dia tak nak kau, contact la orang lain. Sampai la kau dapat," Zainon shoot bola ke penjuru namun tidak mengena.
"Kalau dapat lebih?"
"Tu pun nak kena aku ajar ke? Jadi playboy la, main la sekali dua. Takpun kau pilih la salah satu."
"Hmm, bila tu?" tanya Ayie.
"Bulan depan. Nanti aku update cerita," kata Zainon.
--
Sedang dia melepak seorang diri sambil menonton WWE Raw, Ayie terus memikirkan tentang hal speed dating yang dikatakan oleh Zainon tu.
"Kalaulah jodoh aku ada kat situ....fuh, berakhirlah hidup aku sebagai seorang bujang!"
Ayie pun membayangkan dirinya memakai baju pengantin dan disebelahnya gadis cun seperti Maya Karin.
Celaka, taste tak nak mengalah.
"Woi abang Ayie! Malam-malam pun berangan ke?" lamunan Ayie terhenti akibat tepukan kuat meja dari Iera.
"Cis, Iera rupanya. Buat apa sini?"
"Bungkuskan maggi goreng untuk adik. Abang Ayie ni, kesian la Iera tengok. Asyik makan sorang je. Bila la nak jumpa jodoh ni?"
"Camtu Iera je la jadi jodoh abang Ayie?"
"Eiii, tak pedo ke? Lagipun kan, Iera dah ada pakwe la."
"Pakwe Iera mesti budak sekolah lagi en?"
"Eii tolong sikit ya? Dia wakil Malaysia dalam PUBG peringkat international lawan kat Korea tau!"
"Balik-balik Korea. Jem abang Ayie mendengarnya."
"Abang Ayie pergi la konsert Monsta X. Nanti abang Ayie faham apa yang bestnya K-pop ni. Mana tau jodoh abang kat situ."
"Haha, muka rock gaya macam Chris Cornell ni juga nak masuk konsert K-pop," Ayie perasan je tu. Muka dia takde langsung macam Chris Cornell. Muka Jawa je dia ni.
"Cuba la dengar dulu ya? Takpun cari je awek. Iera gerenti abang Ayie mesti tak menyesal punya!"
Ayie serabut memikirkan si Iera ni punya cadangan. Apa punya merepek. Dah tentu la yang pergi konsert tu semua baya si Iera je yang pergi. Dah macam pedofil pulak.
"Tengok dulu la, kalau tak busy," Ayie malas nak layan Iera.
"Okaylah abang Ayie, Iera gerak dulu! Bye bye!" Iera pun terus naik kereta yang dipandu abangnya.
"Ada ke patut suruh aku pergi konsert K-pop? Kalau pergi konsert metal aku boleh la. Gig underground ke. Aku dah la tak suka Korea ni."
--
Kumpulan Monsta X mendarat di KLIA dan di lapangan terbang, beribu peminatnya bersorak sambil melambai tangan.
Iera dan kawan-kawannya pun bersorak melompat-lompat.
Sambil menandatangani autograf dan bergambar, kumpulan Monsta X berjalan menuju ke bas persiaran yang disewa untuk menuju ke hotel.
Mambang Tanah memerhatikan dari jauh kumpulan tersebut sambil mencari yang mana sasarannya.
Kemudian, Mambang Tanah pun menghilangkan diri dan terus menanti di hotel.
Sampai di hotel, kumpulan Monsta X terus masuk mengikut bilik masing-masing.
Mambang Tanah memerhatikan Minhyuk dari jauh. Dialah sasaran Mambang Tanah.
--
Kumpulan Monsta X pun masuk dalam bilik persalinan dalam Stadium Axiata Arena Bukit Jalil sambil kedengaran puluhan ribu gadis-gadis yang menjerit.
Selepas bersiap-siap, Minhyuk agak terlewat sedikit, dan perkara itu diambil kesempatan oleh Mambang Tanah dan menyorokkan Minhyuk dalam almari. Dia kemudian menyamar menjadi Minhyuk.
Persembahan pun bermula. Iera dan kawan-kawannya pun bersorak sambil menyanyikan lagu-lagu kegemaran.
Tiba-tiba Minhyuk berubah menjadi seekor raksasa berupa lipas. Adakah ini cerita Frank Kafka Metamorphosis, atau tugas pertama Iera selaku Perajurit Bunga?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top