Bab 20
MAJLIS kenduri kesyukuran dan tahlil berlangsung dengan lancar. Makanan semua telah ditempah oleh keluarga Fakrul melalui katering sahaja. Selesai sahaja solat Isyak berjemaah dan bacaan tahlil, tetamu-tetamu yang hadir dijemput menjamu selera.
Fakrul sibuk menguruskan bahagian makanan untuk tetamu lelaki. Ternyata majlis pada malam ini dihadiri oleh ramai kenalan kelurganya serta jiran-jiran di kawasan rumah mereka. Setelah selesai memastikan makanan dibahagian lelaki sudah mencukupi, Fakrul pergi ke dapur untuk membantu kerja-kerja di sana.
Sebaik sahaja dia berada di dapur, Fakrul ternampak Sakinah yang manis berbaju kurung serta memakai selendang sedang memotong buah tembikai. Perlahan-lahan dia mendekati Sakinah dan berdiri di sebelahnya. Ketika ini, Sakinah masih belum sedar lagi dengan kehadiran Fakrul.
“Arul, boleh tolong mama tak? Pergi dekat stor belakang. Ambilkan bekas-bekas makanan macam ni ye. Mama nak bungkuskan lebihan lauk ni nanti kepada jiran. Kalau boleh, ambil banyak ye.” Arah Faridah.
Laju kepala Sakinah menoleh ke sebelahnya. Dia mula berasa tidak selesa berada dekat dengan lelaki itu. Serba tak kena kerjanya ketika ini.
“Okey mama. Arul ajak Kinah ye ambil bekas tu dekat stor. Boleh Kinah?” Pinta Fakrul dengan berani.
Tercengang Sakinah dengan ajakan lelaki itu.
“Bagus juga tu. Kinah tolong Abang Arul ambik bekas ye.” Pinta Faridah sebelum dia keluar dari dapur.
Terpaksalah Sakinah menurut arahan Faridah. Dia hanya mengikut sahaja Fakrul dari belakang menuju ke bilik stor. Sakit juga hati Sakinah dengan peel Fakrul. Tiba-tiba nak berteman.
Fakrul membuka suis mentol di luar stor. Pintu stor itu dubuka dengan kunci yang dibawanya tadi. Setelah pintu dibuka, barulah Fakrul masuk ke dalam stor. Sakinah pula masih menunggu di luar stor.
“Kenapa tak masuk?” Tanya Fakrul.
Terpinga-pinga Sakinah dengan soalan lelaki itu. Serba salah pula Sakinah ingin masuk bersama ke dalam stor itu. Melihat Fakrul yang masih menunggunya, terpaksa juga Sakinah masuk ke dalam.
Bang!
Terhenjut bahu Sakinah dibuatnya apabila terdengar pintu bilik ditutup. Malah dikunci dari dalam oleh Fakrul. Tergamam Sakinah dengan perbuatan Fakrul.
“Abang Arul buat apa ni?” Sakinah sudah mula berasa marah. Geram kerana terasa dipermainkan.
Fakrul tersenyum lebar.
“Akhirnya dengar juga suara emas Kinah tu. Dari semalam lagi Kinah langsung tak nak bercakap dengan Abang Arul. Marah sangat ke dengan Abang Arul?” Soal Fakrul diselangi dengan usikan.
Bengang juga Sakinah dengan sikap lepas laku lelaki ini. Tak mungkin Fakrul sudah menjadi pelupa. Bukan ini ke yang lelaki ini inginkan daripada dirinya. Tidak berhubung dan mengganggu lelaki itu. Sekarang, boleh pula bertanya dengan wajah tak bersalah.
“Jangan merepek boleh tak. Buka pintu tu cepat. Nanti kalau orang nampak kita berdua dekat sini macam mana?” Kata Sakinah dengan nada yang tegas.
“Okey, Abang Arul boleh buka pintu ni, tapi abang nak tahu, kenapa susah sangat nak contact dengan Kinah sekarang? Kinah dah tukar nombor telefon ke?’
Bertubi-tubi soalan diajukan.
Fakrul turut berasa risau juga berdua-duaan dengan Sakinah di dalam bilik stor ini. Namun, hanya ini sahaja peluang yang dia ada untuk berbual dengan Sakinah.
Sakinah merengus kasar. Wajahnya dihalakan ke arah lain. Perbuatan Sakinah itu membuatkan Fakrul semakin tertarik.
“Telefon rosak!” Mudah sahaja Sakinah memberi alasan.
Tak akan dia nak ceritakan telefonnya telah selamat masuk ke dalam tong sampah selepas dimaki oleh Fakrul tempoh hari. Dia pun ada perasaan malu juga.
“Rosak?” Fakrul seolah-olah kurang percaya dengan jawapan Sakinah.
“Ye. Rosak! Cepatlah buka pintu tu. Dah lama sangat kita kat sini.” Gesa Sakinah.
Sudahlah panas berkurung dalam stor. Makin panas lagi hati Sakinah dengan perangai Fakrul yang tiba-tiba bersikap degil begini.
“Nanti dulu Kinah. Abang Arul nak minta maaf sebab berkasar dengan Kinah tempoh hari. Abang Arul tak sepatutnya menghukum Kinah tanpa dengar alasan daripada Kinah dulu. Boleh Kinah maafkan Abang Arul?” Pinta Fakrul dengan ikhlas.
Sakinah agak terharu dengan permintaan maaf Fakrul. Namun, dia tidak mahu terus mendekati lelaki itu lagi. Takut perasaannya akan semakin menebal terhadap Fakrul. Selama ini, dia telah berusaha mengeraskan hatinya dari terus berhubung dengan Fakrul.
“Baik, Kinah maafkan Abang Arul. Jadi kita boleh keluar kan dari stor ni sekarang.” Balas Sakinah.
Sakinah mahu segera keluar dari tempat ini. Tak mahu dia dari terus bersama dengan lelaki ini. Takut hanya akan menjadi lembut kembali.
Fakrul masih belum berpuas hati dengan reaksi Sakinah. Laju tangannya mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluarnya. Lengan Sakinah yang berlapik itu di tarik. Telefon itu diletakkan di atas tapak tangan Sakinah.
Tercengang Sakinah dengan perbuatan Fakul. Dia masih belum dapat memahami maksud perbuatan lelaki itu.
“Kinah simpan telefon Abang Arul ni. Malam nanti, tunggu Abang Arul call.” Pesan Fakrul bersungguh-sungguh.
Fakrul segera mengambil bekas yang diminta oleh Faridah sebentar tadi. Separuh dari bekas-bekas itu diserahkan kepada Sakinah. Sakinah yang masih terpinga-pinga itu segera mengambil bekas itu.
Sebaik sahaja pintu stor dibuka, terkejut Fakrul apabila melihat Farhan sudah berdiri terpacak di hadapan pintu stor. Sakinah sudah mula gelisah jika Farhan memikirkan yang bukan-bukan. Telefon milik Fakrul segera disembunyikan di dalam poket baju kurungnya.
“Err... Abang Paan. Bu...buat apa kat sini?” Tergagap-gagap Fakrul disebabkan terlalu terkejut. Sudahlah dia masih belum meminta maaf atas kekasarannya tempoh hari.
Farhan memandang Fakrul dengan penuh curiga.
“Yang dah tergagap ni kenapa? Apa yang korang berdua buat kat stor ni?” Soal Farhan dengan nada yang serius.
Sakinah sudah mula berasa takut melihat wajah tegang Farhan. Semuanya gara-gara Fakrul yang berani saja mengurungkan dirinya di sini tadi.
“Errr… Arul cari bekas yang mama minta tadi.” Jelas Fakrul. Dia cuba berlagak tenang di hadapan Farhan.
“Betul tu Abang Paan. Kinah temankan Abang Arul ambil bekas-bekas ni. Mak Long yang suruh.” Kali ini terpaksa juga Sakinah bersuara.
“Habis tu dah kenapa sampai tutup pintu?”
Gulp!
Kali ini Fakrul dan Sakinah saling berpandangan. Rasa nak menangis dibuatnya Sakinah. Fakrul pula sudah mula berpeluh apabila mendengar pertanyaan abangnya.
“Pergilah masuk dalam rumah. Takut lama pula mama tunggu kamu berdua.”
Farhan tidak mahu terus mendesak mereka kerana yakin Fakrul tidak akan membuat sesuatu yang tidak baik kepada Sakinah.
“Ba... baik. Kinah masuk dulu.” Sakinah cepat-cepat keluar dari bilik stor itu dan meninggalkan Fakrul dan Farhan di situ.
Fakrul sedaya upaya bersikap selamba dengan mengunci semula pintu stor itu. Baru sahaja beberapa langkah Fakrul berjalan terasa bahunya di pegang kemas oleh Farhan.
“Abang Paan percayakan Arul. Lepas ni, jangan buat macam tadi lagi.” Tegas Farhan memberi pesanan.
Farhan meninggalkan Fakrul yang masih berdiri kaku itu. Fakrul terus mengetuk kepalanya sendiri kerana bertindak seperti tadi.
“Kenapalah kau buat kerja bodoh ni Arul?” Marah Fakrul kepada dirinya sendiri.
💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟💟
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top