Bab 17

HAMPIR dua minggu Fakrul sudah berada di rumah keluarganya. Ketika dia sampai di rumah tempoh hari, terkejut juga apabila mendapat tahu isteri abangnya telah tinggal di sini. Walaupun Fakrul tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, namun dia ada terdengar daripada cerita Fariha yang abang mereka sedang mengalami masalah rumah tangga.

Kesian juga Fakrul melihat Kak Piah yang asyik termenung sahaja sejak beberapa hari yang lalu. Pasti Kak Piah memerlukan Farhan di saat dirinya yang sedang berbadan dua.

Ada rasa marah juga dengan sikap abangnya yang selalu sahaja panas baran. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja Fakrul menghubungi abangnya supaya balik ke rumah dan melihat sendiri keadaan isterinya.

“Arul, ada tak nak ke mana-mana tengah hari ni?” Soal Faridah.

“Tak mama. Arul tak rasa nak keluar pun hari ni.” Jawab Fakrul sambil meneruskan menonton rancangan yang ada di TV.

Faridah menarik nafas lega.

“Baguslah. Kejap lagi mama nak keluar. Kak Riha tak bawa kunci rumah. Dia kan temankan kak Piah ke klinik pagi tadi.” Jelas Faridah.

Fakrul menoleh memandang wajah Faridah.

“Tak balik lagi? Rasanya, dari pukul 8 pagi tadi mereka keluar. Dah nak tengah hari pun tak balik lagi.” Fakrul mula berasa tidak sedap hati.

Faridah mengeluh lemah.

“Itu yang mama pelik. Mungkin ramai orang agaknya.” Faridah cuba bersangka baik.

Fakrul hanya berdiam diri sahaja selapas itu. Tiba-tiba, dia teringatkan sesuatu. Sudah lama dia ingin bertanyakan perkara ini daripada Faridah.

“Mama, Arul nak tanya sesuatu boleh?” Gugup Fakrul ketika ini.

Berkerut dahi Faridah melihat anaknya kelihatan teragak-agak untuk bertanya.

“Tanyalah…” Pendek Faridah menjawab.

Fakrul menarik nafasnya dalam-dalam.

“Err... mama ada tahu apa-apa pasal Sakinah?” Akhirnya terluah juga soalan itu dari bibirnya.

Terkedu Faridah dengan soalan itu. Namun, Faridah mula tersenyum nakal.

“Kenapa Arul sendiri tak call dia?” Sengaja Faridah mengajukan soalan itu.

Kelu lidah Fakrul ketika ini. Serba tak kena pula dia apabila cara pandangan Faridah sudah semacam.

“Arul ada bergaduh dengan Kinah ke?” Teka Faridah.

Melihat reaksi anaknya seperti itu, jelas menunjukkan ada sesuatu yang terjadi di antara mereka berdua.

Bulat mata Fakrul mendengar tekaan Faridah yang tepat.

“Err… mana ada bergaduh mama. Arul cuma nak tahu pasal keputusan dia. Dah lama Arul tak contact sebab masing-masing nak fokus pada exam.” Terpaksa Fakrul berbohong.

Faridah masih berasa curiga.

“Apa yang mama tahu, Kinah lulus semua matapelajaran. Itu je yang mama tahu. Kalau Arul nak tahu, boleh tanya papa.” Cadang Faridah.

“Hah! Tanya papa?” Pelik pula Fakrul dengan cadangan Faridah.

“Sebab Pak Achik Arul tu ada mengadu pasal Kinah. Mama pun tak tahu sebab apa tapi mungkin ada kena mengena dengan result Kinah.” Jelas Faridah.

Belum sempat Fakrul ingin bertanyakan lagi tentang Sakinah, telefon bimbitnya berbunyi. Fakrul segera mengangkat panggilan itu apabila melihat nama kakaknya.

“Assalammualaikum Kak Riha.”

Faridah yang mahu ke biliknya terhenti langkahnya apabila mendengar Fakrul menyebut nama Fariha.

“Waalaikummusalam…” Teresak-esak Fariha menangis di hujung talian.

Terus Fakrul berdiri tegak. Perbuatan Fakrul itu membuatkan Faridah mendekati anaknya.

“Kenapa ni Kak Riha?” Laju Fakrul menyoal. Takut jika ada perkara yang buruk berlaku kepada Fariha dan Piah.

“Arul, Kak Piah kena tahan dekat hospital. Kak Riha takut sangat. Kak Piah langsung tak nak bercakap dengan sesiapa.”

Hampir terlepas telefon bimbitnya setelah mendengar punca kakaknya menangis.

“Kak Riha tunggu dekat sana. Nanti kami datang. Send location.” Segera talian ditamatkan.

“Kenapa Arul?” Faridah sudah mula berasa risau.

“Mama, kita kena ke hospital sekarang. Kak Piah kena tahan wad.”

Tergamam Faridah ketika itu. Tanpa membuang masa, dia segera bersiap kerana mahu ke hospital bersama Fakrul. Fakrul pula cuba menghubungi Farhan tetapi telefonnya seolah-olah sudah dimatikan.

😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍

FAKRUL menghempaskan pintu biliknya dengan kasar sebaik sahaja dia hampir bertengkar dengan abangnya sebentar tadi. Gara-gara terlalu geram dengan perbuataan abangnya terhadap Kak Piah, nyaris dia hilang rasa hormat terhadap abangnya.

Sebaik sahaja dia menerima panggilan Fariha, mereka terus bergegas ke hospital. Fakrul tidak sanggup melihat keadaan Kak Piah yang dikatakan mengalami kemurungan. Patutlah beberapa hari ini Kak Piah berubah menjadi seorang pendiam.

Malam ini pula, tiba-tiba abangnya pulang dan muncul di rumah. Perkara yang membuat Fakrul berasa sangat marah, abangnya seolah-olah langsung tidak mengetahui perkara yang berlaku terhadap Kak Piah. Hal itu yang menyebabkan dia hampir bergaduh dengan Farhan sebentar tadi. Mujur Saiful mereka ada mengawal mereka berdua dari terus bertengkar.

Tiba-tiba terdengar pintu biliknya diketuk. Segera Fakrul membuka pintu biliknya. Saiful sedang berdiri tegak di hadapan biliknya dengan wajah yang tegang.

“Turun sekarang. Papa ada perkara nak cakap dengan Arul.” Arah Saiful.

Fakrul hanya mengikut sahaja arahan Saiful. Dia segera turun ke ruamh tamu kerana Saiful sudah menunggunya. Tercari-cari juga Fakrul kelibat Farhan.

“Abang Paan dan pergi ke hospital. Tengok Kak Piah.” Saiful tiba-tiba bersuara.

Malu pula Fakrul apabila tingkah lakunya disedari oleh Saiful.

“Lepas ni, tolong jaga kelakuan Arul. Jangan bergaduh dengan Abang Paan lagi. Ni hal urusan rumahtangga mereka. Pandailah mereka uruskan sendiri. Tentang Kak Piah, papa yakin menantu papa tu kuat orangnya. Dia jadi macam tu pun sebab terlalu sayangkan Abang Paan. Apa-apa pun kita teruskan berdoa semoga Kak Piah cepat sembuh.” Tegur Saiful akan sikap anak bongsunya  yang suka bertindak mengikut perasaan.

Fakrul tertunduk malu. Sedar perbuatannya agak melampau sebelum ini.

“Arul minta maaf papa. Arul tak sengaja.” Fakrul akhirnya mengaku tentang kesalahannya tadi.

“Bukan dengan papa. Minta maaf dengan Abang Paan.” Balas Saiful.

“Baik. Nanti Arul minta maaf dengan Abang Paan.”

“Sebenarnya tujuan papa panggil Arul ni, sebab papa nak tahu tentang masa depan Arul. Arul dan confirm ke untuk ambik bidang perubatan?” Soal Saiful.

Fakrul memandang wajah Saiful.

“Ye papa. Arul memang nak ambil bidang tu tapi kalau boleh, Arul nak belajar di luar negara.” Fakrul mula menceritakan tentang perancangan masa depannya.

Terkejut Saiful dengan permintaan anak bongsunya itu. Sekali lagi dia bakal berpisah dengan anaknya itu. Dulu, Farhan belajar ke Jepun selama enam tahun dan kini, Fakrul pula yang akan mengikut jejak langkah abangnya itu.

“Papa tak setuju ke?” Tanya Fakrul setelah melihat lama Saiful berdiam diri.

“Mestilah papa setuju. Papa sokong setiap impian anak-anak papa. Asalkan Arul belajar bersungguh-sungguh untuk kejar cita-cita Arul, papa akan doakan yang terbaik.” Kata Saiful.

Dia hanya berdoa agar anak-anakynya semua mampu membawa bidang yang dipilih dan tidak akan mempersiakan peluang yang diberi. Fakrul tersenyum lebar kerana akhirnya dia bakal mencapai impiannya.

😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top