Prolog


2045-Penjara Kota Raya, Tanah Kita.

Kret... Kret...

Lelaki itu mendongak tanpa perasaan. Kumis-kumis pada wajahnya menambah kelam emosi. Kawasan itu berlendir dan berbau hanyir. Sisa-sisa perkumuhan tidak diuruskan dengan baik, maka membusuklah dia di ruang gelap, dingin dan lembab itu.

"Kau ada tetamu," kata warden penjara itu sambil menyepit kedua belah hidungnya. Lalu geriji besi itu ditinggalkan terbuka.

Dia bangkit dari duduknya. Terasa kematu punggungnya kerana lama duduk memeluk lutut di lantai simen yang sejuknya mencengkam ke tulang sum-sum. Dia sudah biasa. Langkahnya yang canggung mula mendekati geriji besi. Wajahnya masih tidak berperasaan. Masam, murung dan segalanya penuh dengan aura negatif.

"Samsul... kau, kelihatan teruk," sinis suara itu meyapa. Lelaki itu tidak menjawab. Dia hanya menunduk ke lantai dan duduk di hadapan wanita itu.

"Hmm... kau memang layak..." kata wanita itu lagi sambil menyemak dokumen-dokumen di hadapannya. Lelaki itu tidak membalas.

"Samsul... kau fikir aku datang ke sini untuk tengok muka tua kau yang buruk tu ke? Dahla busuk!" Terus-terusan penghinaan dilemparkan. Samsul menerima dengan pasrah. Dia memang patut dihina. Apa yang telah dilakukannya benar-benar tidak dapat dimaafkan. Wanita di hadapannya itu telah menahan penderitaan lebih lama daripadanya. Dirinya memang syaitan bertopengkan manusia.

"Kenapa kau diam? Kau memang buat aku naik darah! Kau!" Wanita itu menjerkah. Terasa seperti hilang kawalan, kertas-kertas yang ada di tangannya digulung lalu dilayang pada wajah Samsul.

"Kau patut mati! Kau patut mati! Bagitahu aku di mana ibu aku! Ibu aku kat mana?" wanita itu terus menjerit dan memaki hamun dengan tangisan. Gayanya seperti dirasuk makhluk halus. Pintu bilik dibuka dari luar. Beberapa pengawal masuk untuk menenangkan wanita itu.

"Lepas! Lepas! Aku akan siat mulut jantan tak guna ni!"

"Sabar... cik, sabar... cepat bawak banduan masuk!" Ketua warden penjara memberi arahan. Wanita itu rebah terduduk di lantai itu. Dia terus menghamburkan tangisannya. Usaha untuk menenangkan dia tidak berhasil. Dokumen pada tangannya, habis renyuk. Terdapat sedikit cecair merah gelap bercampur lender kehijau-hijauan terlekat pada kertas putih itu. Sisa dari wajah Samsul.

"Huh... kenapa... isk, isk, ibu..."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top