Prologue

Prologue




Keadaan agak tegang di istana kayangan itu. Seolah-olah puluhan orang yang berdiri di situ sedang menunggu perbicaraan mengenai status kehidupan mereka sebentar lagi. Angin lembut bertiup entah dari mana masuk ke celah-celah dinding istana membuatkan pakaian tradisional itu berkibaran.

Semua orang berdiri tidak bergerak dengan posisi yang sama. Hanya mata mereka cuba memandang sekeliling. Ada juga yang langsung tidak memandang ke arah mana pun. Dan ada yang memejamkan mata mereka seperti menunggu kesudahan yang tidak kunjung tiba.

Sudah agak lama mereka berada di situ atas tujuan yang sama. Tiada seorang pun yang membuka mulut seolah-olah itu adalah suatu larangan. Berkemungkinan semua agak terkejut dengan panggilan yang mengejut. Akan tetapi, semua seperti sudah menjangka apa yang akan berlaku.

Kawasan istana itu dihiasi dengan bunga-bunga bermekaran. Dedaunan kering berterbangan mengikuti angin seperti sedang mengalunkan muzik. Jalan menuju ke tempat itu dipenuhi salji yang turun entah dari mana membuatkan semua orang yang datang mengenakan pakaian yang tebal. Dan di suatu sudut pula, kelihatan seperti cahaya matahari sedang terbit sedangkan ini bukan lah waktunya.

"Ketibaan Yang Amat Mulia!"

Laungan kuat itu bergema diiringi dengan bunyi gong di perkarangan istana membuatkan semua orang yang sedang berdiri dalam keadaan berbaris itu membetulkan kedudukan mereka. Pintu besar keemasan terbuka luas sebelum seorang lelaki berusia yang gagah dan tinggi lampai berjalan masuk diiringi oleh beberapa orang pengawal di kiri dan kanan. Di belakangnya pula, seorang wanita berusia berjalan masuk sambil tersenyum memandang sekeliling.

Semua orang yang sedang berbaris di kiri dan kanan membuka ruang dan menundukkan diri. Keadaan menjadi semakin tegang seolah-olah derapan langkah lelaki tua yang masuk itu akan menentukan hukuman mereka.

"Bangun!"

Laungan daripada orang yang sama serta bunyi ketukan gong itu kedengaran lagi sebelum semua orang kembali berdiri tegak.

Raja Naqiu, lelaki berusia yang duduk segak di atas kerusi diraja itu memandang semua orang yang ada atau lebih khusus lagi setiap ketua yang memimpin kumpulan tetamu itu. Dia dapat melihat dengan jelas setiap kumpulan hanya dengan membezakan warna dan jenis pakaian mereka. Isterinya pula, Permaisuri Batrisya duduk tersenyum melihat anak-anak mereka berkumpul setelah sekian lama.

Kumpulan orang-orang yang berbaris kemas dan tegak itu dapat dibezakan dengan warna baju yang mereka pakai seolah-olah itu adalah warna kebanggaan setiap daripada mereka.

Kumpulan yang berada di barisan hadapan sebelah kanan diketuai oleh putera sulung pasangan diraja itu. Mereka memakai baju berwarna putih dengan gaya seperti baju tradisional cina pada zaman dahulu. Garis emas mencantikkan corak baju itu. Putera Nadhir berdiri di hadapan kerana dia adalah ketua negari Autumn.

Di barisan belakangnya pula, Putera Amar menjadi ketua kumpulan tetamu itu. Mereka memakai baju berwarna biru laut yang lembut juga dengan garisan emas yang mencantikkan baju dengan rekaan tradisional itu. Putera ketiga pasangan diraja itu adalah ketua negeri Spring.

Kumpulan yang berada di barisan kiri paling hadapan adalah kumpulan yang kelihatan sedikit menakutkan. Walaupun orang-orangnya putih melepak, pakaian mereka serba hitam. Pakaian mereka juga rekaan tradisional bagaimanapun mereka memakai jubah tebal untuk menutup badan mereka. Garisan kain merah menghiasi baju itu. Kumpulan itu adalah dari negeri Winter dan diketuai oleh putera kedua pasangan diraja iaitu Putera Raiyan.

Dan kumpulan terakhir yang berada di belakang mereka diketuai oleh putera bongsu keluarga itu iaitu Putera Dikha. Mereka memakai baju berwarna kuning dengan garisan putih mutiara juga dengan rekaan tradisional. Kumpulan itu adalah rombongan dari negeri Summer.

"Mereka dah besar." Gumam Permaisuri Batrisya. Matanya berkaca melihat anak-anaknya tumbuh dengan baik.

Raja Naqiu yang duduk di sebelahnya masih mengekalkan wajah seriusnya. Apa yang ada dalam hatinya melihat putera-puteranya ini setelah sekian lama hanya diketahui olehnya sendiri. Sekurang-kurangnya, dia tahu negeri-negeri di bawahnya dipimpin dengan baik.

"Kalian pasti tahu kenapa ayahanda memanggil kamu."

Sejujurnya, tiada siapa yang tahu. Kesemua kumpulan yang berdiri itu hanya melirik sesama sendiri secara curi-curi termasuk Putera Dikha dan Putera Amar. Berbeza dengan mereka, putera sulung dan putera kedua pasangan itu sepertinya sudah tahu.

"Ini adalah tahun naga." Raja Naqiu bersuara perlahan tetapi tegas dan cukup kuat untuk didengari oleh semua orang. "Tahun kaum kerabat kita. Tahun bersejarah. Tahun yang hanya muncul setiap dua puluh tujuh tahun sekali."

Tiada seorang pun yang bersuara dari kalangan tetamu yang hadir. Mereka memang sedia maklum dengan fakta itu kerana ia adalah sejarah yang perlu diketahui terutama setiap pemimpin negeri di bawah negara musim itu.

"Tahun ini..." Raja Naqiu kembali bersuara. "Akan ada empat hari istimewa. Hari di mana bulan penuh akan terjadi. Dan pada masa itu... Akan ada sesuatu yang berlaku."

Sekali lagi, para tetamu yang ada berpandangan sesama sendiri dan masing-masing cuba mendapatkan jawapan atas persoalan yang wujud dalam fikiran mereka. Persoalan yang tidak berani dilontarkan.

"Nadhir."

Putera Nadhir yang tadi berdiri dengan wajah serius membawa tangan kanannya ke hadapan sebelum diletakkan di dadanya. "Ya, ayahanda?"

"Awak akan menjadi orang pertama yang akan kahwin pada bulan penuh nanti kerana awak adalah putera yang sulung."

Rombongan dari negari Autumn itu mengekalkan wajah serius sama seperti ketua mereka bagaimanapun mereka tetap terkejut dengan perkara itu.

"Isteri awak akan muncul dan siapa pun dia..." Raja Naqiu menarik nafas panjang. "Awak kena pandai menjaganya."

Putera Nadhir menundukkan kepalanya sedikit. "Baik, ayahanda."

"Raiyan."

Sama seperti Putera Nadhir, Putera Raiyan turut meletakkan tangannya ke dadanya. "Ya, ayahanda?"

"Awak akan menjadi orang seterusnya."

Terus terang sahaja, berbeza dengan abanganya, Putera Raiyan tidak suka mengenai hal itu. Dia tidak mahu mempunyai pasangan hidup. Bagaimanapun, dia tidak dapat membantah ketentuan itu. Malah, orang-orangnya yang berada di situ juga tahu mengenai hal itu. Jiwanya bukan untuk berpasangan.

"Siapa pun dia... Awak kena terima." Raja Naqiu menyambung. "Awak perlukan pendamping hidup. Orang terpilih itu adalah takdir awak. Awak harus menerima."

"Baik, ayahanda." Putera Raiyan menundukkan kepalanya sedikit tidak yakin dengan jawapan yang dia berikan.

"Amar."

"Ya, ayahanda?" Putera Amar meletakkan tangannya di dada sambil menanti ayat yang sama dilontarkan.

"Awak akan menjadi orang seterusnya." Ujar Raja Naqiu. "Awak kena pandai memimpinnya. Dan terima dia seadanya."

"Baik, ayahanda." Putera Amar menundukkan kepalanya.

"Dan Dikha..."

Putera Dikha turut melakukan gerakan tangan yang sama. "Ya, ayahanda?"

"Awak akan mendapat pendamping hidup." Raja Naqiu bersuara. "Dan inilah masanya untuk awak menjadi serius dalam hidup awak."

Putera Dikha mengelipkan matanya kemudian mengangguk sebelum menundukkan kepala. "Baik, ayahanda."

Raja Naqiu menarik nafas panjang sebelum memandang setiap orang yang ada di situ. Atau lebih tepat lagi, setiap puteranya yang ada. "Tahun ini akan menjadi tahun yang luar biasa. Kamu kena bersedia."

"Baik!" serentak keempat-empat putera yang masih dalam posisi sama menjawab.

Pasangan diraja itu segera bangun. "Baik. Semua boleh pulang."

Ketika pasangan diraja itu berjalan ditengah-tengah melintasi semua orang, mereka memusingkan badan untuk membenarkan keberangkatan itu. Saat itu, mata Putera Nadhir dan Putera Raiyan bertemu. Seolah masing-masing mempunyai kerisauan. Putera Amar dan Putera Dikha langsung tidak perasan mengenai perkara itu. 







_____

A/n : Sorry, semua. Yang dah terlanjur baca bab satu tu. Sebenarnya cerita ni ada prolog. Ter-skip pulak masa nak post. Kelam-kabut sangat nampaknya tu. Baca ni dulu k. Baru baca bab 1.

> VOTE & COMMENT <

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top