1 : The Prince
Bab 1 : Putera
Teh panas itu dihidangkan dengan aroma yang menyenangkan. Bunyi kicauan burung dapat didengar dengan jelas menambahkan lagi keheningan pagi dengan cuaca yang baik. Bunyi aliran air terdengar dari segenap arah entah dari mana. Angin bertiup agak perlahan bagaimanapun tiada matahari panas yang memancar.
Kawasan perkarangan istana itu sudah mula beroperasi. Semua pengawal sudah berdiri di kawasan jagaan masing-masing lengkap dengan baju besi dan senjata mereka. Latihan ketenteraan sudah bermula di lapangan. Dayang-dayang istana sudah ke hulu-hilir melakukan kerja mereka.
Tangan putih itu menghayunkan penanya dengan penuh berhati-hati. Urat-urat jelas kelihatan menandakan sedikit kekuatan digunakan bagi menggerakkannya. Sebelah tangannya memegang lengan jubah putihnya yang panjang untuk tidak terkena kotoran. Wajah datar lelaki itu dengan matanya yang kuyu menunjukkan bahawa dia menulis sesuatu dengan penuh berhati-hati. Badannya tegak walaupun dia sedang duduk bersila di atas lantai itu.
Nadhir sudah bangun seawal pagi bagi meneliti beberapa utusan yang perlu dibalasnya. Risau jika ada perkara yang perlu diambil tindakan dengan segera. Dia tidak mahu sistem kerajaannya terganggu dengan perkara kecil seperti itu.
Derapan bunyi kaki berjalan kedengaran dengan jelas sebelum seorang lelaki sebayanya muncul dan menunduk sedikit. "Tuanku..."
Nadhir berhenti menulis. Dia memandang wajah orang kanannya itu tanpa membuka mulut. Seolah pandangan mata dan reaksinya mampu difahami oleh lelaki kepercayaannya itu.
"Persidangan ahli-ahli bangsawan akan diadakan petang ni." Orang kanan itu memberitahu. "Surat jemputan saya dah berikan pada Tuanku dua hari lepas. Adakah Tuanku masih akan datang?"
Nadhir menarik nafas panjang. Seolah itu adalah masalah kecil bagaimanapun tidak boleh diabaikan. Dia berfikir seketika kemudian mengangguk. "Kita akan pergi. Mungkin ada perkara penting."
Pegawai kanan itu mengangguk. "Saya akan kekalkan surat balasan kita."
Nadhir mengangguk tanda bersetuju tanpa bantahan. Apa yang ada di dalam fikirannya tiada siapa yang tahu. Bagaimanapun, pegawai kanannya yang satu ini sudah memahaminya.
"Dhazri,"
Pegawai kanan itu memandang sang putera. "Ya?"
"Duduk." Nadhir bersuara lembut tetapi kedengaran serius. Seolah-olah arahannya itu mutlak. Dia sudah kembali meneruskan kerja penulisannya. "Bantu saya buka semua surat ni. Dan bantu saya balas."
"Baik." Dhazri menunduk sebelum duduk di hadapan lelaki itu.
Meja sederhana itu sudah dipenuhi dengan gulungan surat yang menimbun. Walaupun itu adalah rutin sehari-hari, biasanya kerja yang dilakukan agak lancar. Melihat kepada timbunan yang lain, Dhazri tahu kerja putera itu tidak sama seperti biasa.
Dhazri mencapai surat yang belum dibuka. Dia melirik ke arah Nadhir buat seketika. Wajah putera itu masih sama seperti biasa. Akan tetapi, melihat kepada hasil yang ada, dia tahu putera ini sedang terganggu. Sesuatu mengganggu fikirannya. Dan dia sudah dapat meneka.
"Tuanku,"
Nadhir tidak menjawab. Akan tetapi, Dhazri tahu dia boleh meneruskan apa yang ingin dia tanyakan.
"Ada sesuatu yang mengganggu, Tuanku?" tanya Dhazri tanpa berselindung. Dia tidak gentar dan tahu itu tidak menjadi kesalahan.
Dengusan lembut kedengaran daripada Nadhir dan menjawab persoalan orang kanannya itu.
"Adakah ini pasal perjodohan itu?"
Nadhir menandatangani surat yang baru selesai ditulisnya sebelum diletakkan di timbunan surat yang telah diambil tindakan. Dia mencapai surat yang lain sebelum membukanya. "Saya masih tak tahu wanita seperti apa yang akan menjadi pendamping saya."
Mata Dhazri fokus kepada surat yang dipegang, bagaimanapun telinganya masih mendengar. "Tidak lama lagi bulan purnama akan muncul."
Nadhir mengangguk kemudian mengangkat penanya semula. "Dan bakal isteri saya akan muncul."
Dhazri tidak bertanya lagi. Mengenali Putera di negeri Autumn itu, dia tahu paras rupa bukanlah menjadi kerisauan dalam menerima pendamping hidup. Akan tetapi, Nadhir terkenal dengan sifat kepimpinannya. Negeri Autumn adalah keutamaan dalam hidupnya. Semua pembesar, golongan bangsawan, dan juga rakyat negeri Autumn tahu mengenai hal itu.
Nadhir khawatir jika pendamping hidupnya kelak akan membuatkan tujuan utamanya terganggu. Beban yang ditanggungnya sudah cukup berat. Jika diberi pilihan, dia rela hidup sendiri selamanya tanpa didampingi seseorang yang bergelar isteri. Hanya untuk negeri Autumn itu.
"Mungkin wanita itu akan membantu awak dalam urusan pentadbiran negeri ini." Dhazri cuba untuk memberi andaian dari sudut positif.
"Saya harap itu yang akan terjadi." Balas Nadhir dengan matanya masih fokus memandang surat yang sedang dia tulis itu.
"Menurut ramalan," Dhazri berfikir seketika. "Bulan purnama akan terjadi dalam dua hari lagi."
Nadhir tidak memberi sebarang reaksi. Kerisauannya semakin memuncak. Bukan kerana dia membenci perkara itu. Akan tetapi, jauh di dalam hatinya dia tahu dia masih belum bersedia. Seluruh hidupnya, dia hanya memikirkan sistem pentadbiran negeri dan rakyatnya. Tidak pernah sekalipun dia memikirkan perkara lain.
"Apapun yang akan terjadi," Nadhir bersuara tenang. "Saya kena menerimanya. Istana harus menerimanya. Dan negeri ini harus menerimanya."
Dhazri mengukir senyuman tipis kemudian meneruskan kerjanya. Surat-surat itu perlu dihabiskan sebelum jadual putera itu yang seterusnya.
***
Perjumpaan dengan golongan-golongan bangsawan itu berjalan sama seperti biasa. Tiada perubahan dan tiada perbezaan. Hanya cerita-cerita perihal peribadi yang biasanya tidak penting dengan tambahan perbincangan mengenai bulan purnama yang bakal menjelang.
Nadhir hanya bersetuju untuk menghadiri mesyuarat itu atas dasar formaliti. Sebagai ketua pentadbir negeri, dia harus menjalinkan hubungan yang baik dengan semua tingkat kuasa yang ada.
Di antara semua pentadbir negeri dalam negara Season, Nadhir boleh dikatakan sebagai pemimpin yang paling disayangi oleh rakyatnya. Dia yang paling bijak, berjiwa rakyat serta disenangi. Semua rakyat negeri Autumn menyanjungi dan menghormatinya.
"Tuanku akan benarkan mereka buat majlis tu di istana?" tanya Dhazri ketika berjalan beriringan bersama Nadhir di kawasan pekan itu.
Nadhir menggelengkan kepala. "Saya tak nak majlis macam tu diadakan di istana. Istana hanya membenarkan majlis formal."
"Tapi mereka nak Tuanku yang menganjurkannya." Ujar Dhazri.
Nadhir menarik nafas panjang sambil memandang sekeliling. Ke arah rakyat yang sedang berjalan-jalan mahupun yang tengah berjualan di kawasan itu. "Saya dah tolak tadi. Saya harap mereka faham. Ada banyak perkara yang saya perlu fokus sekarang."
Dhazri mengangguk. Dia juga tidak bersetuju dengan permintaan salah seorang bangsawan itu untuk mengadakan majlis tari-menari di istana. Baginya itu adalah sesuatu yang tidak sopan bagi imej dan reputasi istana.
"Tapi mereka ingin datang ke majlis perkahwinan saya nanti," Nadhir bersuara tenang. "Dan saya benarkan."
Dhazri memandang ke arah lelaki yang lebih tinggi darinya itu. "Tuanku akan jemput mereka?"
Nadhir mengangguk.
"Tapi bukan Tuanku tak nak buat besar-besaran dan hanya akan mengundang pembesar-pembesar serta adik-beradik Tuanku?" Dhazri mengerutkan dahinya.
Nadhir melepaskan keluhan kecil. "Saya memang nak buat secara tertutup. Tapi mereka dah minta. Saya tak sampai hati nak tolak. Jadi, saya akan jemput golongan bangsawan."
Dhazri mendengus perlahan. Dia seolah-olah sudah mendapat gambaran bagaimana sikap golongan-golongan bangsawan yang hadir itu nanti. Dan menjadi antara orang yang sudah bekerja lama di istana, dia tahu perkara itu akan merumitkan keadaan kelak.
"Tak mengapa." Nadhir bersuara ketika terpandang wajah orang kanannya yang kelihatan risau itu. "Kalau ada perkara teruk, sekurang-kurangnya ia boleh dikawal."
Dhazri mengangguk. Memang benar. Biasanya, perkara yang terjadi hanyalah perkara yang memalukan. Mungkin itu bukan masalah yang besar buat mereka. Dan kali ini mereka boleh menutup mata.
"PENCURI!!"
Jeritan itu membuatkan Nadhir dan Dhazri menoleh pantas. Langkah mereka segera terhenti. Mereka cuba mencari dari mana datangnya suara itu sebelum seseorang berlari keluar dari pagar pintu rumah yang agak mewah berdekatan.
"TOLONG!! PENCURI!!"
Dengan pantas Nadhir membuka langkahnya. Lelaki yang baru sahaja berlari keluar itu sedang memakai pakaian lusuh, topi jerami dan membawa sebuah guni yang tiada siapa tahu apa isinya.
Mengejar lelaki itu tidak begitu sukar buat Nadhir. Sekelip mata sahaja, dia sudah berjaya memegang bahu lelaki itu bagaimanapun ditepis dengan kuat. Saat itu, barulah sang putera perasan bahawa lelaki itu memakai kain yang menutupi separuh wajahnya.
Lelaki itu ingin memukul Nadhir dengan tangannya bagaimanapun berjaya dielak dengan mudah. Dan dengan pantas Nadhir menyambar tangan lelaki itu. Saat itulah, sesuatu yang aneh dapat dirasakan. Hanya ketika lelaki itu mendongak, mata mereka bertentangan. Dia kelihatan terkejut. Mungkin kerana baru tahu bahawa dia sedang berhadapan dengan ketua negeri itu.
Walaubagaimanapun, Nadhir lebih terkejut. Alis mata orang itu sangat panjang dan cantik. Dan dia tahu, itu adalah sepasang mata milik seorang perempuan. Atas sebab itu, pegangan tangannya juga sukar untuk dialihkan. Orang itu meronta bagaimanapun kekuatan Nadhir terlalu melebihi kekuatannya.
Tiada cara lain, dia melontarkan guni yang dibawanya ke badan Nadhir. Putera yang dalam keadaan masih terkejut itu segera melepaskan pegangannya membuatkan orang itu dalam menghilangkan diri dengan pantas.
"Ouch." Nadhir memegang dadanya.
"Tuanku!" Dhazri yang dari tadi hanya melihat segera menghampiri sang putera. Dia ingin membuka langkahnya untuk mengejar pencuri tadi bagaimanapun dihalang oleh Nadhir.
"Tak perlu." Ujar Nadhir sambil memandang barang-barang yang terkeluar dari dalam guni itu. Dhazri turut melakukan hal yang sama.
Apa yang mengejutkan, ia berisi beberapa cop dan juga surat-menyurat. Kelihatannya, tiada satu pun barang berharga yang ada. Malah, wang juga tiada dalam guni itu.
"Tuanku..." Dhazri membesarkan matanya ketika memegang salah satu cop yang ada di situ. Ia adalah cop istana.
Nadhir mencapai surat-surat yang berhamburan itu dan cuba membaca beberapa yang boleh. Ia adalah surat kuasa untuk mengutip cukai, surat peratus bayaran sewa dan beberapa surat yang sepertinya adalah perjanjian hutang.
Kedua-dua lelaki itu berpandangan sebelum berjalan menuju ke rumah mewah tadi. Orang ramai sudah ribut berkumpul di hadapan pagar jelas sedang membincangkan perkara yang baru sahaja berlaku. Melihat kehadiran Nadhir dan Dhazri, semua orang mula berundur.
Seorang lelaki tua dengan janggut panjang agak beruban kelihatan terkejut. "Tuanku!"
"Pencuri tadi dari rumah awak?" tanya Nadhir serta-merta. Posturnya masih sama dengan kerutan di dahinya.
"Yya." Jawab lelaki tua itu gagap.
Dhazri mengangkat cop-cop mirip cop milik istana tadi. "Maksudnya cop-cop ni semua awak yang punya?"
Lelaki tua itu membesarkan matanya. "Er..."
"Encik," Nadhir bersuara serius. "Cop-cop milik istana tidak boleh dibawa keluar. Dari mana awak dapat semua ni?"
"Sa—saya..."
"Dia kan pembesar istana?" salah seorang wanita tua yang berada di situ bersuara.
"Saya kenal semua pembesar dalam istana saya." Ujar Nadhir tanpa mengalihkan pandangannya. "Saya tak pernah nampak lelaki ini."
"Dan ini..." Dhazri mengangkat surat-surat yang dikutipnya tadi. "Istana tak pernah mengeluarkan arahan seperti ini."
"Apa?" orang ramai mula kebingungan. "Bukan ke arahan istana kami perlu bayar cukai rumah setiap bulan?"
"Cukai berniaga dan cukai tambahan pun." Ujar seseorang yang lain lagi.
Nadhir memejamkan matanya sambil menarik nafas panjang. Dia tidak menyangka perkara sebegitu terjadi.
"Kesemua cukai hanya dibayar sekali setahun sahaja." Dhazri memberitahu membuatkan semua orang berpandangan terkejut sambil berbual.
"Awak menipu orang ramai." Nadhir cuba untuk mengekalkan postur badannya. "Awak menciplak cop istana dan membuat surat arahan yang palsu untuk kepentingan diri."
Dengan pantas lelaki tua itu membuka langkah. Dan dengan selamba, Nadhir mengeluarkan dua jari kanannya dan menghalakan kepada lelaki tua itu. Satu cahaya berwarna jingga malap terpancar keluar sebelum sesuatu seperti tali mengikat tubuh lelaki tua itu.
"Keluarkan arahan untuk geledah rumah ni."
_____
A/n : Ini baru permulaan cerita ya. So, sabar sikit. Mungkin akan jadi slow burn. Tapi harap korang enjoy. Please vote dan komen so saya semangat nak update chapter seterusnya. Anyway, saya tersilap post. Sepatutnya post prolog dulu. Tapi ter-post pulak bab 1. So, kena baca prolog dulu k.
Apa pendapat korang?
> VOTE & COMMENT <
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top