Bab 3 - Playlist Update
Song playlist:
Spring Snow - 10CM
Love You Zindagi - Amit Trivedi & Jasleen Royal
Biar Sampai Ke Bintang - Asmidar
Bermuara - Mahalini & Rizky Febian
Sumpah dan Cinta Matiku - Nidji
Takkan Hilang - Budi Doremi
Bunga Dhia - Aiman Sidek
Hanya Aku Cinta Kau Seorang - Farique Nadzir
P/s: Playlist ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. Maaf atas kelewatan maklumannya. Enjoy your read!
•••
AIREEN termenung lama. Dia dan Layyin duduk di hujung meja. Hingar-bingar suara manusia berbual di sekelilingnya langsung hilang seperti angin lalu. Sesekali aroma kuah tomyam dari steamboat menyesakkan trakeanya.
Urgh... panas dan pedas.
"Oi, makanlah. Menung lagi buat apa?" Layyin di sebelah menegur. Hirisan daging yang sudah digril, dia letakkan beberapa ke dalam mangkuk Aireen. "Banyak ni. Makan, makan. Kau hari ni makan roti aje. Kerja banyak tapi makan sikit, sakit kau nanti."
"Aku dah cukup kenyang makan kek. Kerja banyak makan banyak pun sama je," gumam Aireen. Rasa macam nak cabut kepala sebab sepotong kek keju bluberi yang dia habiskan seorang diri tadi agak manis untuk dia yang jarang makan manis.
Tapi sebab Iffat dah bagi, kenalah dia makan. Sudahlah dia minta bantuan Iffat tentang perihal abangnya. Dia yang langgar Iffat pun, Iffat yang kata dia tak salah padahal memang dia jalan tak tengok depan! Tak ke nampak tak kenang budi kalau dia bagi kek itu ke orang lain?
Dasar people pleaser punya Aireen Zulaikha.
Matanya melirik ke arah beberapa orang rakan sekerjanya yang lain. Meriah. Ada saja benda nak dibualkan. Sudahlah tempat ini memang sudah sedia gamat. Layyin pun kadang-kadang ikut sama riuh juga. Hanya Aireen memencilkan diri di sisi Layyin. Dia nak berbual, dia tak tahu apa yang boleh dibualkan.
"Kerja memang takkan berkurang, tapi kalau kau sakit, bos pun tak peduli. Jadi, jangan menyusahkan diri sendiri. Setidaknya sihat supaya kau ada tenaga nak jeling bos bila dia maki kau," pesan Layyin. Sepiring sos lada hitam untuk dicicah bersama daging gril, dia letakkan di hadapan wanita itu. "Makan kenyang-kenyang. Tak cukup, aku tambahkan lagi."
Aireen turutkan saja. Satu hirisan daging gril dicicah ke sos lalu disuap ke mulut. Lembut. Membuatkan dia rindu daging wagyu di restoran lima bintang yang pernah dia pergi bersama mama dan papa. Mungkin sekali-sekala nanti dia boleh pergi ke situ lagi. Dah lama dia tak luangkan masa untuk diri sendiri.
Tempat itu senyap dan tenang. Dia lebih suka tempat begitu.
"Aku nak ambil air kejap." Aireen sudah bangun dari kerusi bersama cawan kosong miliknya. Air masak di sini, kena ambil sendiri di meja berhampiran kaunter. Atas meja makan ini semuanya ada jus buah saja. Pening kepala dia consume banyak sangat benda manis hari ini.
Langkahnya dibawa ke meja dispenser air masak. Di sebelah dispenser itu ada flask berisi ais. Beberapa ketul ais dicedok masuk ke dalam cawan lalu dia isi dengan air masak.
Sambil menunggu air dalam cawan penuh, matanya sempat melirik ke kawasan sekitar. Ramai betul pelanggan yang datang ke kedai makan steamboat ini. Menurut rakan sekerjanya, kedai makan steamboat ini baru dibuka beberapa bulan yang lalu. Boleh tahan besar juga kawasannya. Betul-betul terletak di sebelah sungai. Bahkan ada juga orang busking sebagai hiburan kepada pelanggan yang datang.
'Quite impressive,' puji Aireen dalam hati. Itu pun sebab customer service mereka yang bagus. Aaron mesti suka tempat macam ini. Abang dia itu memang hantu steamboat.
Selesai dengan tujuannya, Aireen berpaling ke belakang untuk kembali ke tempat duduknya. Namun....
"Hai."
Beku langkah kakinya. Terkesima Aireen melihat gerangan yang berada di belakangnya. Senyum senget lelaki itu menambahkan hangat rona merah yang tiba-tiba menyerbu wajah.
Iffat!
"Urm. Hai." Aireen berdeham perlahan. Dalam hati dah menyumpah. Siang tadi dah jumpa sekali dengan secondhand embarrassment, malam ini pun jumpa juga? Apa kecil sangat bumi Malaysia ni?!
Iffat masih dengan senyumannya. Dispenser air didekati lalu diisi air kosong ke dalam cawannya. Ramah dia bertanya, "Cik Aireen datang sini dengan siapa?"
Aireen sudah pincing mata tapi riak wajahnya masih dikawal. Kenapa nada dia macam jumpa budak kecil yang sesat? Hampir saja dia hendak menghentak lelaki ini, tapi kenalah dia tahan perasaan itu memandangkan rakan sekerjanya ada di sini!
"Officemates." Sepatah jawapan Aireen mengundang sengihan lebar daripada Iffat.
"Oh.... Tak sangka jumpa lagi kita dekat sini," balas Iffat. Ditatap lembut sekilas wajah mulus dengan riak sombong itu. "Tak nak tanya saya datang dengan siapa ke?"
Tajam jelingan dia bagi pada Iffat. Cepat-cepat Aireen bawa langkah kakinya ke meja makannya semula. Dah kenapa pula dia nak kisah pasal orang asing?
Duduk di kerusi, Aireen curi pandang ke arah meja dispenser air tadi. Berkerut dahinya apabila lelaki itu menggeleng perlahan sambil memandangnya sebelum berlalu pergi. Masih tak pudar senyumannya.
Terus masam mencuka wajah Aireen. Menyampah betul kalau jumpa orang yang kenal dia lepas itu asyik tegur-tegur macam nak borak lama. Dah tu, sengih semacam bila tengok dia. Apa bendalah yang suka sangat disenyumkannya tu?
"Hah, tengoklah tu. Menung lagi," tutur Layyin sebaik dia menyedari Aireen sudah duduk di situ. Namun alisnya bertaut melihat wajah Aireen. "Apa comot-comot ni, Aireen? Kau pergi ambil air dengan muka comot macam ni tak ada orang tegur ke? Dengan tudung sengetnya... aduhai."
"Hah?" Comot? Tudung senget? Aireen terus lihat pantulan wajahnya di skrin telefon. Matanya membulat.
Selekeh betul rupa dia. Sos lada hitam... di tepi bibirnya. Bukan sikit pula itu....
Layyin lapkan hujung bibir Aireen dengan tisu. Awning tudung Aireen, dia kemaskan sedikit. Tergelak dia melihat muka terkedu Aireen itu. "Comel kau ni kadang-kadang. Macam budak-budak."
Apa yang Layyin kata, langsung dah tak masuk telinga Aireen. Yang tinggal hanyalah otak yang tengah fikir perasaan apa dia kena ekspresikan sekarang.
Lima minit dia seorang diri di meja dispenser air... dia tak sedar langsung mulut dia nampak selekeh. Memang persis kanak-kanak baru belajar motor skills dia punya comot tu. Dan paling teruk sekali, Iffat tenung muka dia punya lama tapi tak tegur?!
Iffat....
Iffat....
Iffat!
Mulut Aireen dah separa ternganga. Ada benda dia nak cakap, tapi tak terluah dengan kata-kata. Sel-sel otak dah menjerit segala makian yang ada terhadap figura bernama Iffat itu. Tapi dalam masa yang sama, rasa malu menerkam dirinya tanpa teragak-agak. Mahu saja dia terjun ke dalam sungai di sebelah kedai makan ini.
Ya Tuhan....
Sebab itu ke Iffat senyum pandang dia sambil geleng kepala tadi?!
Aireen dapat rasakan rohnya sudah berlari pulang ke rumah, meninggalkan jasadnya terkapai-kapai dalam dakapan rasa malu di sini.
•••
INI kali ke-20 Aireen pandang cermin. Baik daripada cermin meja solek sampailah ke cermin pandang belakang kereta. Okey, mantap. Kemas belaka semuanya. Dia melangkah keluar dari kereta dengan rasa puas hati.
Aireen kalih mata pada board nama bakeri di sebelahnya. Pagi ini dia buat kerja gila. Sebelum ke tempat kerja, dia niat nak singgah ke Bliss & Bake untuk beli roti sebagai bekalnya sehingga ke waktu tengah hari. Jadi tak perlulah dia bertemu muka dengan Iffat macam selalu walaupun dia tahu, kebarangkalian untuk berjumpa Iffat di bakeri lelaki itu sendiri adalah lebih besar.
Tapi... bukankah itu lebih baik? Pada waktu begini, tentu Iffat sedang sibuk menguruskan pembukaan kedai. Lihat sajalah suasana bakeri ini di pagi hari, penuh dengan pelanggan. Tak ada masa punyalah si Iffat itu nak kacau dia. Lagipun... dia dah lama tak datang ke mari pada waktu pagi.
Jam tangannya dikerling. Dah setengah jam sejak bakeri ini dibuka. Tak hairanlah kalau orang ramai.
Masuk ke dalam bakeri, matanya meliar ke segenap ruang yang besar itu. Panjang juga barisan pelanggan yang beratur. Tempat duduk pun semuanya penuh.
Dia terus beratur di belakang barisan itu. Kelibat Iffat pula langsung tak kelihatan dalam skop pandangan dia.
Nafas lega terlepas pendek. Line clear.
Menghampiri rak pameran pastri di sebelah kaunter, Aireen merangka pesanannya dalam kepala. Rambang mata jugalah dia tengok bermacam-macam menu yang ada dekat situ. Bahkan aroma roti yang baru keluar dari ketuhar sudah cukup hebat mengocak seleranya.
Semua nampak sedap. Apa yang patut dia beli hari ini ya....
"Eh, Aireen? Lama tak nampak Aireen datang sini."
Tatkala namanya diseru seseorang, Aireen panggung wajah. Imani! Baru sedar dah giliran dia untuk membuat pesanan. Kepada gadis yang menegurnya itu, dia senyum kecil.
"Oh, hai." Aireen membalas ramah. Disebabkan dia kerap datang bakeri ini, Imani yang menjadi cashier pun dah kenal muka dia. "Lately sibuk pula dengan kerja, tak sempat singgah ke sini. Awak sihat?"
"Sihat, alhamdulillah. Aireen nak oder apa hari ni?"
"Strawberry tart satu dengan...." Jeda. Jari telunjuk dituding ke arah sejenis pastri yang dia dah lama tak makan. Hujung bibir tersungging gembira. "Peach strudel tu satu. Takeaway ya."
Walaupun pastri-pastri itu tampak manis, tapi sebenarnya taklah manis mana nak dibandingkan dengan bakeri lain. Asalkan tak buat dia ngilu gigi dan muak lepas makan kira okeylah itu. Harganya pun berbaloi dengan rasa.
Semuanya langsung tidak mengecewakan dia sebagaimana manusia.
Usai membuat bayaran di kaunter, dia menunggu pesanannya selesai dibungkus. Namun kening Aireen terangkat sedikit apabila Imani memasukkan satu beg kertas berisi sesuatu ke dalam plastiknya.
"Now you're good to go," ujar Imani dengan lengkunga manis di bibir seraya bungkusan itu diserahkan kepada Aireen. Dia sempat berbisik, "Free soft cookies with love untuk awak since awak dah lama tak datang ke sini."
"Eh, la.... Janganlah susah-susah belanja. Tell me the price, I'll pay for it."
"Ish, ambil aje! Lagipun ini menu baru kita orang, ada juga bagi dekat first 100 customers tadi. Mujur awak datang tepat pada masanya. You're the last lucky person to get this. Congrats!" beritahu Imani. Dia menepuk tangan, riang.
Uish, laku keras juga pastri kedai ini rupanya. Aireen garu hujung kening. Peliknya rasa bila kebelakangan ini orang asyik belanja dia. Tapi orang pun dah bagi, takkan dia nak tolak lagi, kan?
Rezeki semua ini, Aireen. Dia mengingatkan diri sendiri akan hal itu.
"Thank you so much, Imani. I'll treat you with something nicer next time," ucapnya. Tersenyum simpul sebelum dia membawa langkah pergi dari situ dengan senang hati.
"Bye, Aireen!" laung Imani. Tangan melambai ceria terhadap Aireen.
Aireen sengih sambil membalas lambaian itu. Pagi ini entah kenapa dia berasa agak gembira. Mungkin sebab dah beberapa hari ini, dia 'buka mata' sedikit terhadap hal-hal kecil seperti ini.
Kadang-kadang, dalam hidup ini... perkara yang baik akan datang kepada kita dalam suatu bentuk yang tidak kita jangkakan.
Tanpa dia sedar, Iffat terlebih dahulu sudah menemukannya dari laluan masuk dapur. Lama sepasang mata itu merenung redup figura milik Aireen sembari senyum halus terwujud mekar pada vermilionnya.
Lebih banyak rama-rama menceroboh jiwanya tatkala soft cookies terakhir yang dia buat itu sudah dimiliki oleh wanita tersebut. Iffat kembali masuk ke dapur dengan rasa senang hati juga. Menyambung kerja-kerja membakar roti dan membuat pastri yang tergendala seketika tadi.
Hari ini mungkin takkan ada penghantaran untuk 'Cik Aireen', tetapi dia lebih daripada bahagia melihat senyuman yang terbit pada wajah itu saat terpandangkan setiap satu pastri enak yang ada di depan mata. Persis seorang kanak-kanak kecil yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke syurga pastri di bandar ini.
Senyuman itu, senyuman yang lahir dari hati. Apa yang lahir dari hati, akan mampu sampai ke hati. Dan itu sudah lebih dari cukup untuk Iffat.
Cukup untuk menjadi salah satu sebab dia mahu teruskan hidup di hari-hari seterusnya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top