Bab 2
KELUAR dari pasar raya, susu strawberi jenama Dutch Lady dalam botol kecil itu dibuka lalu diteguk sedikit. Jihan yang jadi tukang tolak troli penuh barang di tepinya menggeleng. Mereka berjalan ke kawasan tempat letak kereta.
“Kau ni asyik minum susu je. Macam budak-budak,” kutuk Jihan. Mana taknya, dalam seminggu mesti setidak-tidaknya kena minum susu strawberi Dutch Lady walau cuma sekali. “Masa baby dulu ada milk insufficiency ke kau ni?”
Iffat berhenti teguk susu kegemarannya. Mata dipincingkan terhadap Jihan. “Kau masa baby dulu minum air kopi ke nak bitter dengan aku?”
“Tak ada la.... Kadang aku tengok kau ni kalau tak dapat susu, macam budak tantrum ada. Macam mat gian tak dapat ‘ice’ pun ada. Menyasau sampai kerja pun tak jalan.”
“Kan?” Iffat mengeyakan aje. Apalah erti hidup dia tanpa susu strawberi Dutch Lady. Sebelah kening terangkat persis Ziana Zain. “Okeylah tu daripada minum ketum. Ke kau nak aku try ketum? Abah aku ada kenal orang jual air ketum. Kau nak juga? Kalau nak, aku belanja kau sebungkus nanti. Surr sama-sama sampai ke bulan.”
“Ei, ngko ni.” Hampir-hampir Jihan nak lepuk muka Iffat dengan belakang tangan dia. “Ada yang balik minum susu pakai tiub NG ni kang.”
“Tak apa, pengalaman dah ada. Kau nak aku praktis balik ke?”
Drastik Jihan berhenti tolak troli. Dia toleh lipat maut terhadap Iffat. “Beranilah kau nak gurau benda macam tu dengan aku.”
Pecah tawa Iffat. Suka dia mengusik Jihan. “Guraulah....”
Jihan menjeling tajam. Lagi galak Iffat gelakkan dia. Sekasar-kasar Jihan, tetap hati tisu kalau disentuh hal yang satu itu.
Menghampiri kereta yang mereka naiki, Iffat biarkan Jihan berjalan mendahuluinya. Sambil sebelah tangan memegang botol minumannya, sebelah tangan lagi menatal skrin telefon. Barang yang ibu pesan, semua dah dibeli. Nampaknya dia tinggal nak beli perkakas baru untuk digunakan di dapur bakeri nanti.
Hari ini, ibu suruh dia dan Jihan belikan barang dapur. Katanya nak ajak Jihan makan malam bersama dengan keluarga mereka. Dah lama tak duduk santai bersama sejak bakeri mereka semakin hari semakin dikunjungi oleh ramai pelanggan. Kata ibu juga, sekali-sekala dia mahu berkongsi rezeki dengan jiran-jiran mereka.
Sedang ralit Iffat bermain telefon, tiba-tiba bahunya dilanggar oleh seseorang.
Bush!
“Sorry, sorry! Ya Allah....” Suara seorang wanita menerpa telinga. Wanita itu cepat-cepat menyelongkar beg tangannya, seperti mencari sesuatu. “Ya Rabbi, cuainya saya. Minta maaf sangat-sangat!”
Mata Iffat membulat. Mulutnya sedikit ternganga. Susu kegemaran dia sudah tumpah separuh ke lantai. Shacket coklat yang dipakainya turut basah sedikit. Terus dia tutup botol minuman itu.
Oh, no....
Niat Iffat untuk merasa terkilan terus hilang apabila dia melihat wanita itu masih tampak cemas membelek beg tangan sendiri. Lebih tepat, pada wajah yang dikenalinya itu.
Cik Aireen!
Spontan rasa kasihan terzahir di hatinya. Kemudian matanya jatuh pada kasut sneakers yang dipakai wanita tersebut. Rupa-rupanya susu strawberi itu lebih banyak tumpah ke arah Aireen.
Aduhai.... Pantas dia keluarkan sebungkus tisu poket dari dalam kocek seluarnya.
“Hesy, mana tisu ni....”
“Nah, ambil tisu ni.”
Aireen menengadah. Terkedu melihat Iffat menghulurkan tisu kepadanya. Wajahnya sudah terpamer riak gelisah. Dia lebih pedulikan orang yang dilanggarnya berbanding kasut sendiri yang sudah kebasahan.
“Tapi... Baju awak....”
“Sikit aje ni.” Iffat kerling sekilas shacket yang disarungnya. Taklah teruk mana nak dibandingkan dengan sepasang sneakers yang menadah 'hujan' susu strawberi itu. “Ambil tisu ni, lap dulu kasut tu. Habis lokos kasut awak.”
Lambat-lambat, Aireen menurut. Tangannya menggigil halus. Iffat memerhati sahaja tanpa kata.
Selesai mengelap kasut, Aireen menatap Iffat dengan raut gusar. Baru saja dia hendak berkata-kata, Iffat memintasnya terlebih dahulu.
“Saya minta maaf ya,” ucap Iffat. Sedikit menunduk, tanda serba salah. “Dah duduk tengah jalan, sibuk main telefon pula saya ni. Tak pasal-pasal basah kasut awak.”
Laju Aireen menggeleng. “Tak apa, tak apa. Saya yang salah sebab langgar awak tadi. Rushing sangat. Jalan pun punya luas tapi dekat sini juga saya nak lalu. Saya minta maaf sangat-sangat.”
“Hey, chill. Not a big deal pun.” Iffat tertawa halus. Tentu wanita ini sangat risau sekiranya Iffat meminta ganti rugi untuk pakaiannya itu. “Sorry kalau rasa saya macam budak-budak sikit.”
“Eh, tak. Tak apa. Saya okey je....”
“Iffat, kau mengorat siapa pula tu?” Laungan Jihan dari kejauhan menarik perhatian mereka berdua. “Cepat sikit, aku nak terkencing ni!”
“Kejaplah!” balas Iffat lalu mengeluh perlahan. Ish, kacau! Sekeping kad dari dalam saku shacket, dia berikan kepada Aireen. Mujur dah standby siap-siap.
“Saya kena cepat sebab ada hal lagi lepas ni. Sebagai ganti rugi, ada masa nanti datanglah bakeri ni dan sebut nama dekat kad ini, ya? Ataupun telefon nombor ni terus pun tak apa. Nanti saya belanja awak apa-apa aje yang awak nak. Saya minta maaf ya?”
Perlahan-lahan, Aireen mengangguk. “Okey. Sorry again.”
Tak betah berlama-lamaan lagi, Aireen terus beredar dari itu. Iffat menghantar pemergian Aireen dari hujung mata. Dia simpan senyum sebelum kakinya turut melangkah ke arah kereta Jihan.
Semoga kita berjumpa lagi....
•••
KAD bisnes itu ditatap lama.
‘Bliss & Bake.
Iffat Baihaqi (Owner)
01X-XXX XXXX.’
Selama dia pergi ke bakeri itu, tak pernah pun dia jumpa lelaki itu. Muda lagi pemilik bakeri itu rupanya. Dia ingatkan pemiliknya dah tua memandangkan senior-senior di tempat kerjanya kata, bakeri itu dah agak lama sebenarnya.
Tak tahulah pula kalau bakeri itu sudah dijual kepada orang lalu dinaik taraf ataupun itu ialah bisnes keluarga secara turun-temurun. Yang dia tahu, dia pergi situ untuk beli roti dan pastri kegemaran dia, kemudian terus gerak ke tempat kerja pula.
Aireen masih sedikit kagum dengan tingkah lelaki bernama Iffat itu. Tinggi betul budi pekertinya. Biasanya mesti dia dah kena hamun dulu. Tapi ini... lelaki itu yang turut minta maaf dengannya.
Kad itu disimpan semula ke dalam dompetnya. Sneakers yang dijemur atas meja batu di laman tepi rumah, dia pandang. Mujur masa terkena air tumpah semalam, dia dah balik kerja. Hanya ke pasar raya untuk beli sedikit barang dapur yang mama kirimkan kepadanya. Hari ini pula dia cuti. Kalau tak, berputih matalah dia pergi kerja pakai heels.
Kelakar pula rasanya bila fikir susu strawberi tumpah dekat kasut dia. Semalam mama tanya pun, dia cakap budak kecil yang langgar dia. Kalau cakap orang dewasa, lagilah mama gelakkan dia.
Hujung bibir ternaik sedikit. Terhibur jugalah dia jadinya.
“Dik! Oh, adik!” Gema suara Aaron membingitkan telinga Aireen. “Oi, kau dekat mana?!”
Mati senyum dia. Toleh belakang, Aaron pergi cari dia dekat dapur. Nafas dihembus kasar.
Apa bendalah bala ni nak....
“Pintu tepi.” Malas-malas dia menjawab. Ini yang malas kalau cakap dengan orang yang mencari guna kepala lutut.
Laju Aaron keluar dari dapur. Sengih penuh makna sebaik sahaja melihat Aireen dengan muka stoiknya di pintu gelangsar tepi rumah. Pantas dia menghampiri adiknya itu.
“Tolong aku kejap.”
“Pebenda?”
“Ini, tengok ini.” Aaron tayang skrin telefon ke arah Aireen. “Weekend ni birthday girlfriend aku. Aku nak buat surprise tapi tak tahu dekat mana nak buat. Cuba suggest yang mana best dalam banyak-banyak ni.”
“Tanya aku buat apa? Tanyalah awek kau!” bantah Aireen. Bencinya dia apabila dilibatkan dalam hal orang bercinta!
“Alaaa, dah tak jadi surprise la kalau macam tu. Kau kan suka tempat-tempat macam ni? Kau mesti lagi tahu dari aku!”
“Baru jadi awek dah beria. Kena tinggal nant baru tahu bazir duit.”
“Aku nak propose dialah minggu ni! Sebab tu aku minta tolong kau!”
Aireen tergemap seketika. Oh, dah sampai seru ke? “Kau reti nak kahwin rupanya?”
“Kau perli aku ke?” Aaron kecilkan mata terhadap Aireen. Budak ini kalau bercakap, tak pernah tak buat dia sakit hati. “Ingat aku tak ada life sangat ke sampai tak reti kahwin?”
“Sikitlah. Bak sini telefon.”
Aaron buat muka jengkel. Bagi juga telefon dekat Aireen. Tak apalah, janji adik dia terbuka hati nak bantu dia tamatkan zaman bujang dia.
Sambil diteliti setiap satu kafe dan bakeri yang ada, sepasang iris miliknya tertumpu kepada satu bakeri yang dia selalu pergi. Ya, Bliss & Bake.
“Kau nak buat surprise macam mana?” soal Aireen tiba-tiba. “Girlfriend kau suka makan pastri tak?”
“Ringkas-ringkas aje dahlah. Kau tahu tak kek yang selalu orang tarik hujung dia boleh keluar duit tu? Ha, aku ingat nak buat macam tu.” Jeda. Aaron berfikir seketika. “Helina suka pastri jenis savori. Dia tak suka manis-manis.”
Lalu Aireen teringat kata-kata lelaki yang dia langgar semalam.
“Sebagai ganti rugi, ada masa nanti datanglah bakeri ni dan sebut nama dekat kad ini, ya? Ataupun telefon nombor ni terus pun tak apa. Nanti saya belanja awak apa-apa aje yang awak nak.”
Mungkin dia boleh minta tolong lelaki itu?
Aireen pulangkan telefon kepada Aaron semula. “Bliss & Bake. Aku ada kawan dekat situ. Nanti aku cakap dengan dia.”
Mata Aaron membuntang besar. “Seriuslah kau ada kawan?”
Eh, mamat ni kang! Mata Aireen menjeling tajam. “Kalau tak nak, tak apa. Pandai-pandailah kau nak hidup macam mana.”
“Okey, gurau, gurau.” Tak ada amaran, Aaron terus peluk Aireen seeratnya sampai terkejut budak itu dibuatnya. Dikucup-kucup pipi Aireen persis budak kecil. “Thank you tolong! Sayang kau! Kaulah adik paling musibat!”
Pang! Tangan Aireen selamat melekat ke pipi Aaron.
“Adoi!”
“Gelilah, bingai!” Aireen menggeletis sedikit. Muka jijik habis. Geli nak mampus ada abang yang terlalu affectionate macam ni. Perangai terbalik sangat dengan dia yang perempuan ini. “Kau buat macam tu lagi tanpa amaran, aku sepak telur kau!”
Tengah pedih lepas kena pelempang sedas pun Aaron sempat lagi sengih. “Sayanggggg kau ketat-ketat, dik!” sakatnya lagi.
Makin meluat Aireen jadinya. Ya Tuhan, orang baru first time bercinta memang macam ni ke?!
“Annoying la kau ni, bangang!” Aireen memaki lagi.
Tawa Aaron bergema kuat.
•••
HARI KETIGA dalam minggu ini. Aireen masih jadi orang yang sama menjadi tukang ambil makanan yang dihantar. Anehnya, Layyin rajin betul belikan roti dan pastri untuknya sejak laman sesawang Bliss & Bake wujud. Padahal sebelum ini kirim belikan di aplikasi DelishDash, siap mengeluh.
Sambil menunggu, Aireen buka aplikasi Whatsapp dulu. Daripada tadi berpuluh notifikasi masuk telefon dia. Rupanya kawan-kawan sekerja dia dalam grup jabatan (tanpa pengurus dari neraka, semestinya) sibuk ajak dinner bersama malam ini. Semua dah setuju, termasuk Layyin. Hanya dia belum beri balasan kata lagi walaupun dah kena tag dalam hampir seratus mesej.
Masa kerja pun sempat main Whatsapp. Aireen berdecit perlahan. Nak tak nak, terpaksalah dia sertai juga walaupun sebenarnya balik nanti dia hanya mahu terus tidur. Kalau kerap sangat lari, orang asyik label dia antisosial pula sedangkan dia sangat memilih dengan orang yang dia mahu bergaul. Lagipun Layyin memang akan heret dia sekali selalunya....
Nafasnya dihembus berat. Kenapa mereka ini suka sangat bersosial? Tak penat ke?
Teringat tentang Bliss & Bake, dia dah telefon Iffat mengenai perihal abangnya itu. Walaupun tak menepati perjanjian Iffat untuk belanja dia, Iffat laju saja bersetuju untuk menolong abangnya. Serba salah pula dia jadinya. Maka, dia putuskan bahawa nanti dia mahu ke bakeri itu untuk beli sesuatu yang mahal sedikit sebagai tanda ‘support’ kepada Iffat sebab sudi tolong Aaron.
Selang beberapa minit, bunyi deruman motorsikal menjengah ruang telinga. Aireen panggung wajah seraya telefon disimpan ke dalam kocek seluar. Rider yang sama datang hantar pastri kegemaran dia. Tapi hari ini, lelaki itu pakai shacket hijau tua dengan seluar putih bersama baju T Bliss & Bake yang turut senada warnanya. Cantik pula dipadankan dengan logo bakeri yang berwarna sama seperti shacketnya itu.
“Hai, Cik Aireen!” Riang lelaki itu menyapanya. Siap melambai lagi. “Suka betul Cik Aireen beli pastri dari Bliss & Bake, ya?”
Mata Aireen menatapnya bosan. Ini pun lagi satu manusia ekstrovert dia nak kena hadap. Aku beli pastri kau sebab aku malas makan nasi, nanti cepat mengantuk! Mahu saja dia muntahkan kenyataan itu tapi nanti dilabel kurang ajar pula.
Plastik bungkusan pastri bertukar tangan. Aireen cuma senyum pendek, sekadar mahu beradab dengan lelaki itu. “Terima kasih.”
Lelaki itu buka visor helmetnya. Mata yang menyepet itu bukti dia senyum. Dadanya disentuh. “Kasih diterima....”
Bwerk! Cringe nak mampus mamat arnab ini. Malas melayan, Aireen putuskan mahu melangkah pergi. Dia ada banyak lagi kerja nak buat.
“Eh, kejap, cik. Kejap, kejap.”
“Apa lagi?” rungut Aireen seraya berpaling semula ke arah lelaki itu.
Lelaki itu pergi ke motorsikal miliknya, kemudian kembali kepada Aireen dengan satu bungkusan dalam tangan. Bungkusan itu dihulurkan kepada Aireen.
“Nah. Free cake for you.”
Aireen kerut dahi. Bila masa ada promosi beli pastri dapat kek percuma ni? “Kenapa dapat free?”
“Saya belanja.”
Dah kenapa tiba-tiba belanja? Bukan kenal pun! Terus Aireen tolak plastik itu ke arah lelaki tersebut. “Saya tak makan kek.”
“Ish, janganlah reject macam tu aje. Kecil hati saya,” ujar lelaki itu. Dia tolak balik plastik itu ke arah Aireen. “Ambil ajelah. Bukan selalu saya nak belanja stranger, tau?”
“Saya tak minta awak belanja pun.”
“Saya yang nak belanja. Itu hari kan saya dah kata nak belanja Cik Aireen?”
Terdiam Aireen mendengarnya. Renungannya terpaku pada jam tangan di tangan kanan lelaki itu. Kalau cakap pasal orang yang dia kenal, dia takkan ingat suara tapi dia ingat muka atau apa yang sentiasa dipakai oleh orang itu.
Semasa berlanggar dengan Iffat tempoh hari, satu-satunya benda yang mengingatkan dia tentang lelaki itu ialah jam Hufflepuff jenama Fossil miliknya.
Jam yang sama dia nampak hari ini. Dia angkat wajah, memandang lelaki dengan 'kepala' arnab hitam itu.
“Encik Iffat...?” Penuh kaget dia bertanyakan soalan itu. Jantungnya berdegup kencang. “Encik Iffat yang saya langgar hari tu?”
Mata lelaki itu menyepet. Senyum di sebalik helmet. Eye smile penuh makna.
“Iya, sayalah tu. Yang macam budak-budak minum susu strawberi tu.”
Wajah Aireen berubah hangat seperti disimbah darah merah.
Oh no.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top