Bab 1

DALAM hidup ini, kita akan sentiasa ada perkara yang kita sesalkan.

Contohnya, hidup.

Sepasang mata hitam itu merenung sepi skrin telefon yang sudah menggelap sekilas lalu. Gegendang telinga terasa sedikit berdesing.

Bekerja pada hari Isnin... tak pernah mendamaikan dia.

Keluhan terlepas halus sebelum Aireen masukkan peranti itu ke dalam beg tangan. Kaki melangkah turun tangga ke tingkat bawah. Dalam hati kecilnya sedikit menyumpah seranah juga si pengurus yang menengking tak tentu hala di pagi hari.

Tiba di meja makan, Aireen ambil tempat duduk di sebelah abangnya, Aaron. Lekas dicedok nasi goreng ke dalam pinggan sendiri tatkala semua orang sudah hampir selesai bersarapan.

“Lambat turun?” Encik Haidir, si ayah yang berada di hujung meja menegurnya.

Aireen terus kerling jam tangan di pergelangan kanannya. Lambat?

Baru 7.30 pagi. Ofis dia bukan jauh mana pun. Bawa si Loki tu, tekan minyak sikit nanti sampailah. Kalau awal sangat, pandai-pandailah dia nak melepak tempat lain. Kenapa papa....

Oh.

Lupa pula dia selalu cakap dengan papa yang dia masuk kerja awal sejam daripada waktu yang sebenarnya.

“Ada orang telefon.” Ringkas Aireen menjawab. Melayankan saja papanya.

“Siapa?”

Manager.”

“Dia bising lagi?”

“Hm.”

“Adik balik pukul berapa nanti?” Puan Maryam, sang ibu pula mengaju soalan. “Ada nak makan apa-apa tak malam ni?"

Aireen menggeleng. “Kerja banyak. Lambat sikit balik.”

“Dari kelmarin sampai hari ni kerja banyak, tak habis-habis?”

“Pa, dahlah. Tu memang kerja dia. Dia bukan budak kecik lagi,” celah Aaron. Dia yang sakit telinga dengar orang banyak soal ni. Tanya lebih-lebih dekat adik dia ini bukannya ringan mulut nak jawab pun. “Dah dua puluh lapan tahun dah pun budak ni. Pandai-pandai dialah nak hidup macam mana.” 

Terus suasana di meja makan kembali senyap. Aireen masih selamba menyuap sarapan ke dalam mulut tanpa sepatah kata. Berterima kasih juga dia kepada Aaron yang lebih tahu cara untuk mengendali pertanyaan tanpa henti milik Encik Haidir itu.

Mujur Aaron lebih petah berkata-kata. Senang hendak dipatahkan bicara orang terhadapnya. Berbeza jauh dengan Aireen yang lebih berat mulut. Dalam kebanyakan masa... dia lebih memilih untuk diam sahaja.

Penat nak cakap banyak sebenarnya.

Usai menjamah sarapan, Aireen terus berlalu ke sinki bersama pinggan dan cawan yang sudah kosong. Walaupun mereka ada pembantu rumah, Aireen tak suka orang buatkan apa-apa untuknya. Dia dah terbiasa buat semua benda sendiri. Pelik rasanya kalau orang luar uruskan hal yang dia boleh buat sendiri.

Lalu beg tangan di meja makan, dia ambil. Disalam pantas tangan milik Puan Maryam dan Encik Haidir. Dia mahu cepat. Hari ini, dia ada banyak benda nak dilakukan.

“Hati-hati bawa kereta!”

Aireen cuma tayang thumbs up terhadap Encik Haidir.

Melihat Aireen yang terburu-buru berlalu ke pintu rumah, Aaron bingkas bangun dari kerusi. Payung jernih di tepi rak kasut berserta sepasang kasut sneakers berwarna kelabu dan putih itu dia ambil. Langkah diatur ke kereta Persona merah yang sudah dihidupkan enjinnya.

Aireen tersentak apabila pintu di tempat duduk penumpang sebelahnya terbuka. Aaron letakkan kasut sneakers di bawah tempat duduk itu sementara payung disangkut pada penyangkut belakang tempat duduk yang sama.

“Sekarang musim hujan. Payung tu bawa sekali. Kasut tu pun sama, pakai. Dah tahu tak tahan pakai heels, lain kali kasut simpan siap-siap dalam kereta,” bebel Aaron. Kadang-kadang Aireen ini bukan lupa bawa mulut aje, bawa memori pun dia lupa juga.

Aireen pandang Aaron tak berkelip. Langsung stoik mukanya. Lama dia diam sebelum dia cuma balas, “K.”

Aaron gertap bibir. Terus dia tutup pintu kereta. Dijeling tajam wajah selamba Aireen di dalam kereta. Menyampah!

Begitulah tahap malas Aireen nak bercakap. Dulu masa sekolah, disuruh masuk pidato pun Aireen lagi rela menyorok dalam tandas sampai pertandingan tamat daripada bercakap menurut enam muka surat skrip pidato yang dia dah sedia hafal sebab Aaron paksa.

Nak marah... tapi itulah adik dia.

Tanpa berlengah, Aireen terus memandu keluar dari kawasan rumah keluarganya. Tidak pedulikan Aaron yang masam mencuka dari pintu rumah mahupun notifikasi Whatsapp yang membanjiri skrin telefonnya sejak tiga hari lepas.

Mungkin dalam hidup ini, yang dia sesalkan bukan hidup sebenarnya.

Tapi bertemu manusia.

•••

EMAS. Putih. Elegan juga poster dia buat ini. Hmm... not bad.

Kepala sendiri ditongkat dengan sebelah tangan. Empat jam dah berlalu. Belakang badan dah mula lenguh sikit. Naik juling dah dia duduk melukis kulit buku untuk novel yang akan diterbitkan bulan hadapan.

Aireen memutuskan hendak berehat seketika. Kerusi ergonomiknya diundur sedikit ke belakang, dan kemudian...

Krakk!

Pusing badan ke kanan, terus berbunyi tulang belakang dia. Aireen terkebil-kebil. Terkejut juga dia. Hanya sesaat cuma sebelum dia pusing ke kiri pula.

Krakk!

“Pergilah rehat, Aireen. Seram aku dengar bunyi tulang kau, tau?” ujar Layyin, rakan sekerja dalam jabatan yang sama dengannya. Ngeri dia tengok Aireen setiap hari begitu. “Design kalau tak kena boleh betulkan, tapi rosak tulang belakang kau tu memang tak boleh repair balik.”

Mata Aireen jatuh pada skrin monitor semula. Betul juga itu. Dah tengahari. Dia dah lapar. Tak sempat nak buka mulut, Layyin dah mencelah dulu.

“Aku dah oder makanan. Roti yang kau suka tu pun aku dah belikan juga. Kejap lagi sampai. Kau nak ambil?”

Bliss & Bake?

Diam. Dua detik, Aireen angguk. Capai telefon, dia pantas bangkit daripada kerusi dan membawa langkahnya ke tingkat bawah.

Layyin hanya menggeleng perlahan. Dah serupa robot budak Aireen itu. Nak bercakap pun bukan main berat mulut dia.

Sampai di bawah, mata Aireen meliar ke segenap arah. Mencari kalau-kalau penghantar makanan mereka berdua akan tiba tak lama lagi. Selalunya kalau beli makanan, Layyin tukang oder dan Aireen tukang ambil sebab kalau nak harapkan Aireen oder, memang tak makanlah si Layyin sampai habis waktu kerja.

Belum sampai nampaknya. Aireen menatal skrin telefon. Aplikasi Instagram dibuka. Ketika mata melekat pada post pertama yang muncul di bahagian explore....

Aireen tekan post itu. Tentang gambar seorang wanita di restoran mewah dengan kapsyen bertulis ‘Happiest day of my life’. Wajah yang tersenyum lebar itu, dia tatap bagai mahu tembus.

Mewahnya hidup perempuan ni.

Lama begitu.

“Hai!”

Aireen panggung wajah. Bunyi deruman motorsikal dan suara orang yang menegur menyedarkannya daripada lamunan panjang. Turun daripada motosikal, seorang lelaki dengan helmet full-face bersama cover arnab hitam datang menghampirinya bersama sebungkus plastik di tangannya.

Lelaki itu hulurkan plastik tersebut kepada Aireen. “Cik Aireen, kan?”

Huluran itu disambut oleh Aireen bersama anggukan. Tetapi matanya lebih tertarik memandang lelaki itu dan motorsikalnya bersilih ganti. Comel betul cover helmet dia.

Tapi.... Sejak bila Bliss & Bake ada buat servis penghantaran?

Biasanya rider DelishDash pakai jaket warna biru laut dengan logo kuning. Kenapa lelaki ini pakai jaket kulit hitam dengan baju T putih berlogo Bliss & Bake? Lepas itu... ini kali pertama dia nampak rider DelishDash naik naked bike hantar makanan. Abang DelishDash yang biasa dia nampak itu kena culik ke? Ke lelaki ini dah lama perhatikan dia memandangkan memang muka dia aje jadi tukang ambil makanan, kemudian hari ini menyamar jadi rider DelishDash sebab nak culik dia pula?

Betul ke orang ni hantar makanan? Kalau dia letak racun macam mana?

Suspicious....

“Err... kenapa? Ada yang tertinggal ke?” soal lelaki itu apabila Aireen merenungnya tajam. Macam nak bunuh dia pula. Terus dia buka visor helmetnya. “Kalau ada tersilap order atau terkurang order, cakap aje. Saya boleh hantarkan balik.”

“Awak bukan DelishDash ke?”

Mendengarkan itu, lelaki itu melepas tawa. Matanya menyepet sedikit.

“Eh, tak.... Kalau beli dari website Bliss & Bake, sayalah tukang hantarnya. Website tu baru launch dua hari lepas.”

Aireen tergemap sesaat. Angguk perlahan setelah itu. Oh, bakeri ini ada laman sesawang mereka sendiri rupanya? Uniknya.

Layyin beli dekat laman sesawang itulah nampaknya.

“Terima kasih,” ucap Aireen perlahan. Sedikit segan sebab dah tersangka buruk dalam hati dekat lelaki itu. Hujung kening digaru. “Roti kedai awak sedap.”

Mata lelaki itu semakin sepet. Eye smile. Lebar betul dia sengih di sebalik helmet. “Terima kasih juga. Jemput beli lagi ya!”

Lelaki itu kembali ke motorsikalnya, dan berlalu pergi. Aireen cuma menghantar pemergiannya dari hujung mata. Kenalah dia tunggu lagi untuk rider DelishDash hantar makanan Layyin.

Tiba-tiba Aireen teringatkan sepasang mata hitam milik lelaki itu.

Ekspresifnya mata dia. Aireen tak nampak wajah itu sepenuhnya, tetapi renungan mata lelaki itu... penuh dengan rasa. Sangat gembira. Mungkin sangat suka dengan kerjanya. Ataupun dia tak punya apa-apa untuk dibimbangkan.

Aireen merenung kosong hujung kasutnya. Plastik berisi roti croissant yang masih hangat dari bakeri digenggam erat.

Seronoknya... jadi selfless.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top

Tags: #sad