Bab 50: persiapan rombongan

Bab 50

Dalam masa seminggu, Karl fokus sepenuhnya untuk membuat persiapan dengan rapi. Dia tahu ini bukan perkara yang boleh diambil ringan, jadi dia mulakan dengan berbincang bersama ibu bapanya. Sebagai anak sulung, Karl tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pertunangan atau perkahwinan, dan dia mengandalkan nasihat dari ibunya. "Mak, apa langkah pertama yang Karl perlu buat?" tanyanya, penuh harapan agar ibunya dapat memberi panduan terbaik.

Ibunya tersenyum, faham beban yang Karl rasakan. "Langkah pertama, kita sediakan cincin. Lepas tu, barang hantaran, dan kita akan pastikan semuanya lengkap untuk dibawa ke Kelantan."

Seminggu ternyata bukan masa yang lama. Masa berlalu dengan pantas, dan Karl menghabiskan setiap detik dengan menyiapkan segala keperluan. Dia lupakan seketika perkara lain—tiada kerja tambahan, tiada masa untuk bersenang-senang. Semua yang ada dalam fikirannya hanyalah persiapan untuk menghadapi keluarga Iris. Dia tahu, keluarganya perlu memberikan yang terbaik agar pertemuan nanti berjalan lancar.

Karl tidak kisah soal duit. Dia sedar bahawa Kelantan dan Selangor bukannya dekat, dan ini mungkin satu-satunya peluang untuk membuktikan kepada ayah Iris bahawa dia serius. Banyak dari simpanannya yang selama ini dikumpul telah dihabiskan. Dari cincin pertunangan, baju untuk keluarga, hinggalah ke barang hantaran—semuanya disiapkan dengan penuh teliti. Dia mahu segalanya sempurna, sepadan dengan status keluarga Iris yang bukan sembarangan.

Walaupun dalam hatinya terselit kegusaran, Karl tetap nekad. Setiap barang yang dipilihnya, setiap persiapan yang dibuat, semuanya dilakukannya dengan satu tujuan—memenangi hati keluarga Iris, terutama ayahnya. Karl tidak mahu memberi ruang untuk kesilapan. Dia tahu bahawa persiapan ini bukan sekadar simbolis, tetapi juga menunjukkan bahawa dia mampu bertanggungjawab dan memberikan yang terbaik untuk masa depan mereka berdua.

Ibu bapanya, terutama ibunya, turut membantu di setiap langkah. Ibunya melihat kesungguhan anak sulungnya itu dengan penuh haru. "Karl, mak bangga dengan kamu. Tak kisah apa pun keputusan nanti, kamu dah lakukan yang terbaik," katanya sambil mengusap bahu Karl.

Karl tersenyum, meskipun dalam hatinya masih berdebar. Dia sedar bahawa segala persiapan ini hanyalah permulaan. Cabaran yang sebenar masih menantinya di Kelantan, saat dia berhadapan dengan ayah Iris—lelaki yang akan menentukan masa depan cintanya dengan Iris.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top