Bab 49: tindakan segera
Bab 49
Karl terdiam setelah mendengar cerita dari Iris melalui video call. Dia cuba menghadam setiap kata-kata yang diucapkan Iris dengan hati yang gundah. Karl kini faham mengapa Iris tidak menjawab panggilannya semalam. Perasaan tegang mulai menyelubungi mereka berdua. Iris kelihatan risau, bimbang tentang masa depan cinta mereka. Dia mulai meragui sama ada hubungan ini akan berakhir begitu saja, sedangkan Karl sedang mencari jalan penyelesaian.
Karl cuba tenang, walaupun hatinya juga tidak keruan. "Iris, bagi Karl seminggu," katanya perlahan tapi tegas. "Karl akan bawa keluarga datang jumpa ayah Iris di Kelantan. Kita akan selesaikan semua ini dengan baik."
Iris hanya mengangguk, wajahnya masih sugul. Dia menghargai usaha Karl, tapi di dalam hatinya, ada keresahan yang tidak dapat dia leraikan. "Karl, please... lakukan sesuatu dengan cepat. Iris tak tahu berapa lama lagi Iris boleh tahan dengan semua tekanan ini."
Setelah menamatkan panggilan, Iris duduk di hujung katilnya, menatap kosong ke arah dinding. Hatinya kembali berceramuk. Dia mula menyalahkan diri sendiri kerana tidak lebih awal memberitahu ayahnya tentang Karl. Jika saja dia lebih terbuka, mungkin situasinya tidak akan serumit ini.
Kemudian fikirannya melayang kepada Karl. Dia mula merasakan kekecewaan kerana Karl belum mempunyai kerja tetap dan belum mengambil langkah tegas untuk meminangnya. "Kenapa semuanya jadi begini?" bisik hati kecilnya.
Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk perlahan. Iris menyapu sisa air mata dari pipinya sebelum menjawab. Pintu dibuka, dan ibunya melangkah masuk, wajahnya penuh dengan kelembutan. "Iris... ibu dengar tadi kamu berbincang dengan ayah."
Iris hanya mengangguk perlahan, memandang ke arah ibunya dengan mata yang kembali berkaca. Ibunya datang duduk di sebelahnya di atas katil, lalu merangkul anak perempuannya dengan penuh kasih sayang. "Ibu faham apa yang kamu sedang rasa, sayang. Tapi kamu kena tenang."
Iris bersandar di bahu ibunya, merasakan sedikit kelegaan dari sentuhan lembut itu. "Ibu... Iris takut. Takut kalau ayah takkan terima Karl... takut kalau semua ni akan menghancurkan kami."
Ibunya mengusap lembut rambut Iris, cuba menenangkan anaknya. "Ibu akan selalu ada untuk kamu. Apa pun keputusan kamu nanti, ibu akan sokong. Tapi kamu tahu, tak mudah untuk ayah tukar fikiran. Ayah kamu cuma mahu yang terbaik untuk kamu, sayang."
Iris terdiam, tenggelam dalam pelukan ibunya. Walaupun hati ibunya sentiasa menyokong, dia tahu bukan mudah untuk mengubah keputusan ayahnya. Iris tahu dia dan Karl perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top