Bab 28

Bab 28:

Walaupun berjauhan, hubungan Karl dan Iris tidak pernah renggang. Setiap malam, mereka berdua akan meluangkan masa untuk video call sebelum tidur, walaupun hanya untuk berbual sekejap. Kegembiraan mendengar suara dan melihat wajah masing-masing sudah cukup untuk mengubati rindu yang terpendam. Bagi Karl, Iris adalah satu-satunya wanita yang dia inginkan. Walaupun Natasha seorang yang baik dan sempurna di mata keluarganya, Karl tidak pernah melihatnya lebih dari sekadar kawan lama. Hubungan mereka sekadar pada ucapan hari jadi dan hari raya, tiada lebih daripada itu.

Ibu Karl, walaupun menyedari hasrat Makcik Mah yang ingin menjadikan Natasha menantunya, tidak pernah memaksa Karl untuk memilih sesiapa. Bagi ibunya, anak-anaknya berhak membuat keputusan sendiri dalam memilih pasangan hidup. Namun, Karl tidak pernah terlintas untuk memberitahu Iris tentang Natasha. Dia tahu tiada apa-apa antara mereka, dan bagi Karl, mendedahkan perkara itu hanya akan menimbulkan salah faham yang tidak perlu.

Setelah dua minggu di Malaysia, hari yang ditunggu-tunggu tiba—hari Karl akan berangkat semula ke Korea. Pagi itu di lapangan terbang, suasana sedikit sayu. Ibu bapa Karl dan adik bongsunya, Sofia, turut menghantar Karl hingga ke pintu berlepas. Walaupun mereka tahu akan kembali bertemu dalam beberapa bulan untuk majlis graduasi, perpisahan tetap terasa berat.

"Ibu, jangan risau, nanti kita jumap lagi untuk graduasi. Lagi beberapa bulan je," Karl cuba menenangkan ibunya yang kelihatan sebak.

Ibunya tersenyum lemah, "Ibu tahu, tapi tak kira berapa lama pun, ibu tetap rindu bila kau jauh."

Sofia, yang biasanya ceria dan manja, turut tampak sedih. "Abang, jangan lupa bawak hadiah untuk aku masa balik nanti tau!" dia bergurau, cuba menghidupkan suasana. Karl tersenyum dan mengangguk.

Sebelum berpisah, Karl memeluk kedua ibu bapanya erat. "Jaga diri, Karl. Jangan lupa update kami dari sana," pesan ayahnya dengan suara yang tenang namun penuh makna. Karl mengangguk sambil berkata, "Akan, ayah. Jangan risau."

Sofia melambai kecil sambil menyeka air mata, dan dengan itu, Karl melangkah masuk ke kawasan pemeriksaan keselamatan. Sebelum benar-benar hilang dari pandangan, dia sempat menoleh sekali lagi untuk melambai tangan. Ibu bapanya membalas dengan senyuman, walaupun mata mereka sedikit berkaca.

Dalam hati, Karl tahu bahawa perpisahan ini hanya sementara. Dia akan bertemu mereka lagi dalam masa beberapa bulan di majlis graduasi. Namun, kerinduan untuk kembali ke kehidupan sehariannya bersama Iris semakin membuak. Tiba masanya untuk kembali ke Korea dan menyambung hidupnya bersama orang yang dia cinta.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top