Bab 3
WAJAHNYA ditatap sekali lagi di hadapan meja solek. Dia berpaling ke arah si suami. Lelaki itu masih berbaring di atas katil. Nafas dihela kasar. Dari tadi dia sudah menggesa suaminya untuk bersiap ke kenduri rakan baiknya.
“Abang! Kenapa tak bersiap lagi ni?”
“Perut abang sakitlah sayang. Sayang pergi sendiri boleh?”
Bergegas dia meluru ke arah si suami. Nampak jelas wajah lelaki itu kelihatan pucat.
“Abang salah makan ke?”
“Ya agaknya. Abang rasa lemah sangat. Bagi abang rehat. Abang minta maaf sebab tak dapat temankan Mah.”
Puan Rosmah menggeleng perlahan. Dia bukanlah kejam untuk memaksa suaminya ikut serta jika dalam keadaan sakit. Nampak gayanya terpaksalah dia pergi seorang diri. Nak bawa Raiqa, budak tu kerja nak memberontak aje.
“Kalau macam tu, Mah pergi sendiri. Nanti Mah carikan ubat.”
“Terima kasih, sayang. Abang ni selalu menyusahkan Mah. Mungkin sebab ni Rai tak suka abang.” Sengaja dia bercakap begitu. Dengan isterinya, mudah saja dia meraih simpati.
“Pedulikan dia. Budak tu memang suka cari pasal. Mah pun tak faham dengan perangai dia sejak dah makin besar ni.”
“Mungkin dia dengki dengan layanan Mah terhadap abang. Mah janganlah layan kasar sangat dengan budak tu.”
Puan Rosmah menjeling geram. Dia bukan saja-saja nak mengamuk. Sejak dari dulu lagi Raiqa suka sangat menabur fitnah. Kononnya Encik Ghani cuba ambil kesempatan. Itulah yang menjadi punca mereka selalu bertengkar.
“Entahlah. Dia dulu tak macam tu. Selalu dengar cakap.”
Sungguh Puan Rosmah kecewa dengan sikap Raiqa. Dia rindukan gurau senda anak saudaranya ketika sebelum dia berkahwin. Namun semuanya berubah apabila Raiqa tidak sukakan suaminya.
“Sayang jangan fikir sangatlah. Biasanya budak muda macam Rai, jiwa mereka tu masih tak matang. Salah abang sebab masih tak ada kerja lagi. Sebab tu dia pandang rendah terhadap abang.”
“Abang janganlah cakap macam tu. Mah tak kisah kalau abang tak ada kerja pun. Selama ni pun abang banyak juga tolong Mah jaga kedai. Zaman sekarang ni nak dapat kerja memang susah.”
“Terima kasih sebab Mah terima abang seadanya. Abang bertuah dapat Mah sebagai isteri.”
Malu-malu Puan Rosmah dipuji begitu.
“Mah dah lewat. Mah pergi dulu ya.” Belakang tapak tangan suaminya dikucup lembut. Dia terus mencapai beg tangannya dan keluar dari bilik tidur.
Senyuman penuh makna terukir di bibir Encik Ghani. Kali ini dia takkan lepaskan peluang untuk dapatkan Raiqa. Setelah bunyi enjin kereta isterinya berlalu pergi, dia segera keluar dari bilik.
Perlahan-lahan dia melangkah turun ke tingkat bawah. Langkah diatur menuju ke bilik Raiqa. Kebetulan pula pintu bilik gadis itu tidak ditutup rapat. Makin lebar senyuman lelaki itu.
Nafsunya semakin naik saat terlihat keadaan Raiqa sedang duduk terlentang sambil membaca majalah. Dia masuk ke dalam bilik itu dengan penuh berhati-hati. Pintu ditutup rapat.
Klip!
Tersentak Raiqa. Laju dia berpaling ke belakang. Melihat kelibat orang tua itu, bergegas dia berdiri di tepi katil. Nafasnya terasa sempit. Dia sangkakan ibu saudaranya sudah keluar bersama lelaki ini.
“Dari dulu sampai sekarang Rai memang cantik.” Atas bawah dia memandang gadis itu.
“Keluar! Kalau tak aku jerit.”
Kuat Encik Ghani ketawa.
“Rai nak jerit, jeritlah. Kawasan rumah ni bukannya ada ramai orang. Nak harapkan jiran pun, lebih suka buat hal sendiri. Rai jangan takut. Pak su takkan sakitkan Rai.” Dia melangkah ke arah Raiqa.
Pucat wajah Raiqa. Nak keluar dari bilik ini, dia perlu melepasi lelaki itu. Jantungnya berdegup laju saat lelaki itu semakin mendekatinya.
“Tolong jangan nak apa-apakan aku.” Terpaksalah dia merayu. Tubir matanya terasa hangat. Dia tidak mahu maruahnya diapa-apakan oleh suami ibu saudaranya sendiri.
“Pak su takkan keluar dari bilik selagi tak dapat apa yang pak su idamkan.” Makin bergema gelak ketawanya di situ.
Tidak mahu membuang masa dia terus menerpa ke arah Raiqa. Mereka saling bergelut sehingga keduanya jauh di atas katil. Makin kuat Raiqa menjerit meminta tolong saat terasa bajunya cuba diselak ke atas.
Keadaan semakin cemas apabila lelaki itu cuba mengoyak baju t-shirt di bahagian dada. Dengan kudrat yang masih ada, dia capai tabung ayam yang ada di tepi katil. Sekuat hati dia menghentak tabung itu di kepala Encik Ghani.
“Arghh!”
Menggelupur orang tua itu gara-gara tindakan Raiqa. Peluang ini diambil oleh gadis itu dengan menendang sekuat hati di bahagian perut Encik Ghani. Tubuh lelaki itu merengkok di atas lantai.
Bergegas dia capai dompet dan telefon bimbit sebelum keluar dari bilik itu. Langkahnya semakin laju menuju ke pintu rumah. Air matanya tidak putus-putus mengalir mengenangkan sikap lelaki jahanan tadi. Kali ini dia nekad tidak akan jejakkan kaki ke sini lagi.
💥
DAIM melangkah masuk ke dalam kafe. Dari jauh dia sudah nampak kelibat rakan baiknya di sebuah meja. Makin lebar senyumanya saat dia duduk di hadapan Wafiq.
“Dah lama sampai?” Mereka saling berjabat tangan.
“Baru aje. Aku dah pesan minuman untuk kau. Chocolate ice. Okey kan?” Air minuman yang dipesan tadi dihulurkan kepada Daim.
Dia sekadar tersenyum sambil mengangguk sedikit. Masing-masing membasahkan tekak terlebih dahulu.
Hampir tiga bulan juga mereka tak berjumpa. Kebetulan pula sekarang Wafiq sedang bercuti semester. Lelaki itu sekarang sedang menyambung pelajaran di UITM setelah tamat SPM. Jujur Wafiq agak kecewa apabila Daim tidak mahu menerima tawaran belajar di matrikulasi.
“Kenapa nak jumpa aku di sini? Biasa boleh aje aku singgah rumah kau.”
“Aku tak nak orang tua tahu pasal perbincangan kita ni.” Memang itu tujuan dia mengajak rakan baiknya berjumpa di sini. Perkara yang bakal dibincangkan nanti terlalu peribadi.
“Bunyi macam serius aje.”
“Memang serius pun. Aku dengar papa kau ada dua buah rumah untuk disewa. Ada kosong lagi tak?”
Berkerut dahi Wafiq. Dari duduk bersandar, tubuhnya sudah menjadi tegak.
“Kebetulan bulan lepas memang ada sebuah rumah yang tak ada penyewa. Mereka dah keluar bulan lepas. Kenapa kau tanya?”
Nafas lega ditarik perlahan. Syukur rezeki untuk Raiqa masih ada. Tak perlulah dia susah-susah mencari rumah yang lain. Sudah dua bulan dia berusaha mencari rumah sewa untuk Raiqa.
“Aku nak sewa rumah tu.”
Tercengang Wafiq.
“Kau biar betul. Rumah kau dah cukup besar. Kenapa pula nak pindah keluar? Rumah yang papa aku sewa tu, rumah teres biasa aje.” Makin pelik pula Wafiq.
Selama mereka berkawan, Daim dibesarkan dalam keadaan serba mewah. Malah segala yang diminta oleh Daim, pasti kedua orang tuanya akan tunaikan.
“Bukan aku yang nak tinggal di sana tapi kawan aku. Boleh tak kau tolong beritahu papa kau tentang niat aku nak menyewa di sana?”
“Boleh tu memanglah boleh. Cuma aku masih tertanya-tanya siapa yang nak tinggal di sana?”
Serba salah Daim. Selama ini dia belum pernah bercerita tentang kekasih hatinya kepada sesiapa. Bagi Daim, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi.
“Kau ada rahsia apa-apa ke?” Duga Wafiq.
Nafas ditarik dalam-dalam. Terpaksalah dia berterus terang kepada Wafiq. Akhirnya dia menceritakan kepada Wafiq tentang hubungannya bersama Raiqa. Sepanjang dia bercerita, Wafiq sedikit terkejut.
“Jadi sebab dia kau sanggup tolak tawaran belajar tu?”
“Bukanlah. Aku memang nak ambil STPM.” Daim tidak mahu Raiqa dipersalahkan.
“Yalah tu. Entah-entah lepas ni kau terus nak kerja. Tak nak sambung belajar lagi.”
Terpukul Daim dengan kata-kata Wafiq. Memang dia sudah merancang untuk bekerja. Tentang sambung belajar, dia masih belum terfikir.
“Kau jangan nak rugikan masa depan kau disebabkan perempuan. Nak dibandingkan kau dengan aku, keputusan peperiksaan kau lebih cemerlang. Aku tak kata bercinta tu berdosa tapi kalau sampai kau abaikan masa depan sendiri, aku nasihatkan lebih baik kau lupakan dia.”
Panas hati pula dia mendengar nasihat Wafiq. Tak mungkin dia akan tinggalkan Raiqa.
“Aku tahu nak tentukan masa depan sendiri. Kau tak perlu nak masuk campur. Kalau kau tak dapat nak bantu aku, aku boleh cari rumah sewa lain.”
Belum sempat dia berdiri, Wafiq segera menghalang dengan menarik lengan lelaki itu. Kepalanya digeleng perlahan. Mudah sangat nak sentap.
“Duduklah dulu. Aku tak cakap pun tak nak bantu.”
Daim duduk kembali. Wajahnya diraup kasar. Jujur dia tak suka apabila ada orang lain bercakap buruk tentang Raiqa.
“Mak dan abah kau tahu hal ni?”
“Tak.”
Wafiq mengeluh sedikit. Terlalu banyak perubahan yang berlaku terhadap Daim. Daim yang dia kenal ketika di sekolah, seorang anak yang selalu mengutamakan ibu bapa. Tapi sekarang, hanya disebabkan seorang perempuan, lelaki itu terus berubah. Sampai sanggup menolak tawaran belajar.
“Betul kau nak sewa rumah tu untuk dia?”
“Ya. Soal duit tak ada masalah. Aku akan bayar.”
Tiba-tiba terdengar telefonnya berbunyi. Cepat-cepat dia menjawab panggilan itu sebaik saja nama kekasih hatinya muncul.
“Hello.”
“A... bang. Tolong Rai. Rai takut.”
Terus dia berdiri tegak. Wafiq yang ada di situ turut terkejut.
“Kenapa ni?”
“Pak su. Dia... dia nak rogol Rai.”
Tercengang Daim. Wajahnya berubah pucat. Dia terus berlari keluar dari kafe itu meninggalkan Wafiq. Terkulat-kulat lelaki itu dibuatnya. Melihat keadaan rakan baiknya tadi, dia yakin pasti ada sesuatu yang buruk berlaku.
🤗
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top