Tujuh
Permaisuri Mulianasari dan Putera Ue nampak gembira sekali tatkala hotdog dan minuman EST dipersembahkan kepada mereka.
"Terima kasih, Wira, Bob, kerana bawakan isteri saya makanan dari Bumi. Sebenarnya, saya yang mengidam, tapi nak ke Bumi, keadaan permaisuri tak mengizinkan. Lagipun, ayahanda dan bonda kami baru saja datang melawat. Sibuk rupanya kehidupan berumahtangga ni," celoteh Putera Ue sambil makan hotdog yang diberi.
Melihat pasangan bangsawan itu berselera makan, Wira dan Bob tidak terus bercerita tentang tujuan kedatangan mereka. Malah, tidak perlu pun. Sebabnya, warga Marikh dan Jupiter juga seperti warga Noa, mereka boleh menyelami fikiran makhluk lain. Kalau makhluk Noa boleh memukau fikiran manusia, makhluk Marikh pula membuka bahagian otak manusia yang tidak digunakan dan menjadikan manusia itu lebih cerdas.
Seperti komputer, manusia yang mendapat sentuhan teknologi Marikh akan menggunakan lebih banyak sel otak mereka dan boleh berkomunikasi dengan makhluk dari planet lain dengan mudah. Tubuh badan manusia itu juga menjadi lebih segar dek penangan teknologi Marikh, menjadikan mereka berupaya untuk mengembara ke angkasa lepas.
"Mengenai Boea, dulu lagi saya dah nasihatkan dia, gunakan sistem yang sedia ada di Noa untuk membaiki kerajaan," kata Ue setelah selesai membaham dua belas biji hotdog dan sebotol minuman EST.
"Saya kurang faham budaya Noa, boleh Putera terangkan?" mohon Bob.
Putera Ue tersenyum. "Kamu, bakal suami puteri raja dan bakal pemerintah Noa, ada kuncinya, Bob," kata sang putera seolah-olah nak main teka-teki.
"Ceritakan sahaja, yang memungkin pembaharuan, yang menulenkan keadaan," Permaisuri Mulianasari bertitah, seolah-olah menahan diri daripada melontarkan haiku. Mungkin kerana dia tahu Wira lebih gemar berbahasa mudah.
Sastera, kegemaran makhluk Marikh, tapi bagi Wira, melambatkan proses komunikasi sahaja. Kalau Mila, lainlah. Dia memang Penulis Jadian original.
"Kalau ada caranya, tunjukkanlah pada kami, Putera Ue," mohon Wira bagi pihak Bob. Dia tak sabar nak selesaikan masalah Bob, sebab dia nak kahwin dengan Mila!
Putera Ue yang masih menggunakan tubuh manusia untuk berada di Marikh itu bersantai di takhtanya. "Sebenarnya kalau diikutkan sejarah Noa, komet itu ada beberapa tradisi yang sudah lama diluputkan. Namun, dalam perlembagaan negara itu, tidak disebutkan yang tradisi itu dimansuhkan," Putera Ue buka rahsia.
Permaisuri Mulianasari tersenyum. Masih aneh seperti selalu, senyuman makhluk asing itu. "Sebenarnya kelebihan Putera Ue ialah dia rajin mengkaji sejarah, hampir semua planet sudah dikajinya. Komet-komet juga," terang pemerintah itu.
"Dahulu, ada satu tradisi Noa yang agak istimewa. Tradisi itu bermula ketika Iora, seorang puteri, mengahwini seorang rakyat biasa dari Marikh. Sebenarnya warga Marikh itu, Dangeloqi telah menyelamatkan nyawa puteri itu dalam satu kemalangan yang melibatkan dua komet. Dua komet muda bertembung, dan puteri Iora yang datang melawat komet pertama terlambung ke komet kedua. Dangeloqi rawat puteri itu, tapi pada masa yang sama hentaman itu menyebabkan ahli keluarga Dangeloqi mati. Pada hari perkahwinan mereka, Dangeloqi diberikan peluang untuk meminta apa saja daripada kerajaan Noa.." cerita Ue.
Cerita itu membuatkan Bob sekali lagi teringatkan keluarganya.
"Dangeloqi minta supaya seluruh warga Noa menganggap dirinya sebagai keluarga. Sejak itu, sesiapa saja di Noa yang berkahwin boleh minta hadiah daripada kerajaan Noa," kata Ue lagi.
Bob teringat sesuatu yang pernah diceritakan oleh Boea kepadanya. "Boea kata, tradisi menerima hadiah daripada kerajaan Noa, masih ada. Saya akan diberikan satu komet muda di hari perkahwinan saya. Katanya, saya boleh memilih untuk memiliki dan menunggangnya, atau melepaskan komet itu agar dia boleh bebas. Masa Boea cerita, saya tak tahu pun yang komet sebenarnya hidupan bernyawa," cerita Bob pula.
"Ha..! Itulah! Saya pernah kata pada Boea, nak jadi puteri, seterusnya pemerintah, kena kaji sejarah. Tak kaji lah tu. Memberi komet itu satu tradisi yang diwujudkan beberapa era setelah Iora dan Dangeloqi meninggal dunia; sebab pemerintah seterusnya risau, kalau ada rakyat Noa minta yang bukan-bukan sebagai hadiah perkahwinan. Jadi mereka selaraskanlah supaya setiap pasangan akan dapat komet. Sebenarnya Bob, oleh kerana awak akan ditabalkan jadi raja pada hari perkahwinan awak, awak boleh mohon pengecualian," cadang Putera Ue.
Bob hairan. "Maksud Tuanku?"
Putera Ue menggosok kedua-dua tangannya dek teruja. "Ada dua sebab kenapa kamu boleh mohon pengecualian."
Bob dan Wira tambah berminat.
"Pertama, sebab kamu bukan warga Noa. Dangeloqi juga warga Marikh. Kedua, sebab kamu pernah berbakti kepada Bima Sakti. Kamu, wira," kata Putera itu.
Hairan Bob. "Saya, Wira? Tapi saya Bob, dia Wira," katanya sambil halakan tangan ke arah sahabat baiknya sejak kecil.
Permaisuri Mulianasari ketawa. Putera Ue tepuk dahi.
"Bukan, kamu memanglah Bob dan dia Wira. Maksud saya, kamu adalah seorang hero," segera Putera itu jelaskan.
"Eh, tak besar mana pun jasa saya. Yang paling banyak berbakti demi Bima Sakti, Sarah, dan Casiopeia, nujum dari Zuhal tu," Bob merendah diri.
Permaisuri capai tangan Bob.
"Indahnya budi pekerti,
Makhluk tanah ini,
Berbanggalah Bumi."
Begitulah titahnya.
Kalau sastera sudah digunakan, itu tandanya makhluk asing itu sangat menghargai si penerima haiku. Wira dan Bob sedar hakikat itu.
Putera Ue pula tersengih kerana haiku isterinya agak teruk, namun dia berbangga kerana kekasih hatinya itu tidal putus asa mencuba.
"Bob, kamu dan Boea lindungi Sarah, Srikandi Bumi ketika dia hampir tewas del kecederaannya. Kamu bantu Mila dan Wira sumbatkan puteri jahat dari Utarid itu ke dalam kenderaan Marikh dan hantarkan dia ke planet saya, malah turut beri keterangan untuk menyabitkan kesalahannya di mahkamah. Tanpa bantuan kamu, Bob, Bima Sakti mungkin dalam tawanan seorang bangsawan yang kejam sekarang," Putera Ue mengingatkan.
Wira mengangguk. Dia sedar peranan mereka membantu Sarah mempertahankan Luth dan DNA istimewanya daripada dituai del Ginafuwara, telah memberi kesejahteraan semesta. Wow, fikirnya.
"Eh kejap. Kalau iya pun Bob hero, apa kena-mengena dengan Noa? Bagaimana ini boleh membantu Bob mengubah situasi Nenda Boea?" tanya Wira, otaknya berputar laju.
"Hah, bab ini, tak ada kena-mengena dengan sejarah. Kamu berdua tak sedar agaknya. Kamu semua, agak terkenal sekarang ni. Di seluruh Bima Sakti. Ramai betullah gas-gas Jupiter nak cari mayat yang rupanya macam awak semua di Bumi tu sekarang. Dengar kata, setiap manusia di Bumi ada tujuh orang yang serupa mukanya, kan? Ish, terkenal, memang terkenal.." komen Putera Ue.
Bob dan Wira masih ternganga-nganga.
"Warga Noa suka selebriti. Warga yang terkenal, boleh buat sesuka hati dan pasti dimaafkan," ulas Permaisuri Mulianasari.
Putera Ue dan Wira sudah tergelak kecil.
"Jadi sebab saya dari Bumi dan saya er.. terkenal, saya boleh minta hadiah, pada hari perkahwinan dan pertabalan saya nanti..." Bob masih tidak pasti dia benar-benar memahami strategi yang cuba dicadangkan oleh Putera Ue.
Tiga lagi makhluk di sekelilingnya mengangguk. Mereka memandang bakal raja Noa itu, memberinya semangat untuk mengambil peluang di depan mata.
"Jadi saya boleh minta Noa ubah tradisi kuno yang melibatkan tunggangan komet purba?" tanya Bob.
"Ya!" sahut tiga suara.
Bob serba-salah. "Boleh ke mereka terima? Tanpa persetujuan menteri kabinet pula tu?"
"Boleh Bob. Aku yakin kau boleh," Wira cuba meyakinkan.
"Kamu hanya perlu gunakan sastera," saran Permaisuri Mulianasari.
"Dan beritahu mereka, itulah hadiah kamu untuk Noa dan pemerintah terulungnya, Nenda Boea," tambah Putera Ue.
"Kau pasti akan tertulis dalam lipatan sejarah Noa sebagai raja yang berjasa membuang tradisi yang telah memisahkan ramai bekas pemerintah yang tua, tak berdaya dan tak sanggup kehilangan keluarga daripada semua yang mereka sayang," umum Permaisuri Mulianasari.
Hati Bob mulai lapang sedikit. "Tapi, kata Boea, ada beberapa orang menteri yang terlalu tradisional. Kalau mereka paksa juga Nenda Boea tunggang Komet Ryz, bagaimana?"
Mereka semua terdiam seketika.
"Motif amalan itu sebenarnya mahu memisahkan sang pemerintah daripada keluarganya. Mungkin kita boleh cadangkan agar Nenda Boea dihantar ke tempat lain, tapi masih boleh Boea lawati dalam senyap, bila-bila terasa rindu?" cadang Putera Ue.
Wira tersenyum. "Rasanya itu boleh diuruskan. Tapi, Bob, kita kena pulang ke Bumi."
"Kamu terfikirkan sesuatu? Mohon kami diberitahu," tanya Permaisuri Mulianasari, cuba untuk tidak berpantun dua kerat.
"Ya. Kami perlu jumpa seorang rakan kami yang bernama Izzat," kata Wira.
Putera Ue teringat sesuatu. "Izzat, pemilik tempat terpencil di tepi pantai, di mana perkahwinan Srikandi Bumi dan Lelaki BerDNA Istimewa dilangsungkan?"
Wira mengangguk. "Ya. Mungkin Nenda Boea boleh bersara di situ."
Bob lega. Penyelesaian masalah Nenda Boea makin jelas di mata.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top