Tiga Belas
Di dalam sebuah kereta Kelisa yang masih terparkir di tepi ibu pejabat suratkhabar Am Malaya, nak tergelak Mila dengar nama Bu dan Du. Walaupun wujud perkataan 'beau' dan 'doudou' yang elok maksudnya dalam tamadun semasa manusia, perkataan 'budu' masih membawa konotasi kelakar pada si penulis jadian.
"Permaisuri, ia belum ditetapkan lagi kan, nama anak-anak yang bakal lahir itu?" tanya Mila. "Eh, kalau di Marikh, kaum hawanya mengandung, berapa lama?" tanyanya lagi.
"Lima ratus hari Bumi," jawab Firi yang sedang memintal rambut, resah mengenangkan kedukaan Permaisuri.
Wow! Mila kagum. "Tapi, Permaisuri tak nampak macam membawa budak pun. Tak macam Edayu," komennya sebelum sempat dia menahan mulut.
Permaisuri tersengih-sengih dalam tubuh manusianya. "Sebab kami kecil saja bila lahir, besar ni," katanya sambil tunjukkan sebelah telapak tangan. "Dah makan mineral, barulah besar," tambahnya lagi.
Tiba-tiba ada mesej masuk ke telefon Mila. Alamak, Bang Bus nak beri kerja ke? mindanya menerawang.
"Maaf Mila, ganggu tugasan harian awak. Awak perlu periksa notifikasi telefon, silakanlah," jemput Permaisuri. Dia mula menggodek beg tangan Mila yang tidak berjenama itu.
Uh, Mila tak mahu Permaisuri nampak semua sampah-sarap, tisu kering dan getah pengikat rambut yang berterabur dalam simpanannya!
"Eh tak apa, Permaisuri, saya dah selesai tugas. Pasti tak penting," kata Mila, dan memang dia mahu fokus pada keperluan sahabatnya itu.
"Periksa sajalah, Mila, mana tahu, emak awak yang hantar mesej," kata Zaya pula. Dayang itu nampaknya asyik sekali memerhati beberapa fail yang berselerak di tempat duduk belakang. Firi pula mengusap bantal lembut yang Mila beli bertahun dulu di Giant.
Mila akur bila Permaisuri Mulianasari juga angguk.
Rupanya, mesej daripada Wira.
[Mila, ada seorang sahabat sedang menumpang di rumah saya. Putera Ue merajuk dengan Permaisuri Mulianasari kerana tak mahu dengar dia terangkan lebih lanjut tentang upacara menamakan waris.]
[Mila, dia nak tinggal di sini sampai lepas perkahwinan Bob dan Boea!]
Rupanya Permaisuri dan dayang-dayangnya turut panjangkan leher membaca mesej yang sama. Skrin peranti Mila besar, dan kereta Kelisanya kecil. Tak sukar langsung nak menangkap maksud mesej dengan teknologi Marikh yang makhluk-makhluk itu berempunya.
"Mila, tengoklah Ue tu. Memang dia tak sayangkan saya!" adu Mulianasari lagi.
Panik mula menular di dada Mila. "Eh, Permaisuri, itu tak benar. Kaum lelaki, kalau sampai merajuk, maknanya apa yang dia nak sampaikan itu pasti sangat penting, dan dia nak juga Permaisuri dengar sebab awak kan insan yang paling penting dalam hidupnya," tegas Mila.
Mod Penulis Jadian dia aktifkan.
[Wira, tak mengapalah. Permaisuri Mulianasari ada bersama saya. Mungkin elok juga kalau mereka berjauhan sebentar. Biar reda marah masing-masing.]
Itulah balasan Mila pada Wira.
Kereta dihidupkan dan dia memandu keluar dari tempat letak kereta. "Jom, Permaisuri, kita makan-makan. Dah tiba masanya awak cuba makanan manusia yang lain pula. Kita ke kafe yang menjual jus, jus bagus untuk anak-anak. Ha, belimbing besi ada mineral!"
Tiga wanita bukan sejati gembira mendengar cadangan itu. Mila bawakan mereka ke Nu Sentral dan kaunter kedai JusBus.
Dapat saja jus belimbing, tiga makhluk asing itu mula ceria.
"Permaisuri, biarlah Putera Ue bertenang sekejap. Fikirkan dari perspektif dia. Kan dia sanggup tinggalkan planetnya demi membantu Permaisuri mentadbir Marikh? Dah ramai warga Marikh pulang ke rumah masing-masing kan, mesti Permaisuri sibuk mentadbir, untungnya ada Putera Ue membantu. Jadi... Biarlah Putera Ue pulang beberapa hari lagi," pujuk Mila.
"Dia boleh pulang bila-bila masa, sebab saya tetap sayangkan dia. Tapi saya tetap tak mahu anak saya diberi nama seperti bangsawan Jupiter. Tak sedap nama-nama itu, Mila, tak sedap!" protes Permaisuri yang makin fasih Bahasa Melayunya.
"Itu, saya minta Wira pujukkan, OK?" janji Mila.
Dan Permaisuri mengangguk lalu memesan segelas lagi jus.
Mila terkenang yang dulu, ketika dia membantu Sarah dan Casiopeia menjaga Bumi yang diancam Ginafuwara, nujum itu sudah beritahu ramalannya tentang hal ini.
"Kamu berdua fikirlah nama untuk anak-anak mereka siap-siap," nasihat Casiopeia. Memang sudah pun mereka fikirkan beberapa cadangan. Tapi Mila dan Wira boleh agak, Mulianasari dan Ue belum bersedia mendengar sebarang cadangan. Masing-masing mahu ikut tradisi planet sendiri.
Wira, macam mana nak selesai kan hal ini? Hati Mila berdetak.
****
Putera Ue mundar-mandir di ruang tamu kondo milik Wira. Wira risau kalau rosak pula karpet yang baru Mila belikan untuk kediamannya itu.
"Putera Ue, biarlah Permaisuri yang namakan si kembar yang bakal lahir tu. Kan dia yang susah-payah mengandungkan waris-waris tuanku?" pujuk Wira setelah dapat mesej telepati daripada Mila.
Putera Ue berlabuh di sebelah Wira. "Itulah masalahnya. Kalau saya bukan bangsawan juga, memang saya tak kisah. Ini, sudahlah saya merantau ke Marikh. Lahir saja budak-budak tu, pasti lebih selalu di Marikh. Bila sekali-sekala balik kampung ke Jupiter, macam mana? Pasti diketawakan sepupu-sepupu dan sekalian anak raja sebab nama mereka panjang berjela!"
Wira terdiam. "Tak boleh ke bagi nama yang bukan mengikut adat Jupiter dan bukan juga mengikut norma Marikh?"
Putera Ue tertarik. "Maksud awak, bagi nama mengikut adat planet lain?"
"Boleh juga. Atau mulakan sesuatu yang baru?"
Putera Ue bergegas mengorek sesuatu di begnya. Wira sedikit kehairanan kerana beg baju sang putera itu muncul tiba-tiba saja. Dia tak perasan langsung bila makhluk asing itu membawanya. Agaknya, beg itu dilindungi gas lalu menjadi halimunan seketika, itu telahan dirinya setelah menganalisis situasi menggunakan teknologi Marikh dan pengetahuan Bumi.
"Hah, saya ada bawa. Koleksi buku sejarah peradaban makhluk Bima Sakti. Nak tahu, kami terpaksa hafal kandungan buku ini untuk lulus periksa di sekolah tinggi. Kalau gagal, kami tak boleh jadi soldadu," cerita putera itu sambil tunjukkan suatu objek empat segi, nipis dan nampak putih saja di mata Wira. Permukaannya hampir sama seperti perisai yang pernah putera itu hadiahkan padanya dulu.
"Ya, ya, carilah idea di dalam buku itu," Wira menggalakkan, kerana dia masih belum mandi lagi sejak pulang kerja tadi. Apa tidaknya, putera Jupiter itu sudah menunggu dia di koridor rumah sebaik saja sampai kurang sejam tadi.
"Idea kamu bagus, Wira. Saya nak baca semula buku ni dan kaji apa peluang saya untuk namakan waris-waris saya dengan nama yang pendek sedikit, moga selamatlah budak-budak tu bila besar dan pulang ke Jupiter nanti," doanya sambil membelek buku. Kakinya dinaikkan sebelah ke sofa, sebelah lagi ke meja kopi. Aduh, santai sekali.
Dan Wira tak suka orang letakkan kaki ke meja kopi... Tapi Putera Ue bukan orang. Dia orang jadian saja, Wira menyedapkan hati. Tak mengapa, boleh dilap kemudian nanti.
Wira tinggalkan 'housemate' barunya dengan langkah yang longlai. Baru nak ajak Mila berdating lagi malam ni. Terpaksalah dibatalkan demi melayan kerenah putera yang aneh ini.
Nak dating pun payah, macam mana nak naik pelamin ni, tangis Wira dalam hati.
"Wira, awak nak makan apa malam ni? Jom kita cuba cari ais kepal Milo?" sempat Putera Ue mengajak.
Malam-malam nak cari ais kepal Milo? Biar betul. Tapi Wira dapat kesan kecamuk di hati bakal seorang bakal bapa itu, jadi dia ikutkan saja. "Boleh, kalau tak jumpa, saya tahu sebuah kedai yang menjual ais kacang yang sedap," tawarnya.
Wajah Putera Ue jadi ceria. "Wira, awak memang sahabat sejati."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top