Lapan Belas

"Sarah, saya rasa awak ni cooooomel la..." Luth mengada-ngada.

Di dalam kapal angkasa yang berbentuk bola itu, lelaki yang dulu dikenali sebagai Lelaki BerDNA Istimewa melentukkan kepalanya ke bahu isterinya.

"Luthhhh... Sudahlah tu. Kita dah makin dekat dengan komet bekas peminat awak tu!" marah Sarah. Sudah 20 minit Luth mengendeng, cuba bermanja dan asyik memuji dia. Sarah teringin sangat, namun ditahan kehendaknya, untuk memijak kaki Luth.

Brutus yang serius itu pun sudah terkeluar ketawanya awal tadi. Dayang-dayang Marikh serta soldadu-soldadu dari Jupiter, apa lagi, ikut terkekeh. Buat malu saja Luth ni.

"Sarah, sejak kau buat tambatan mineral pada Luth tadi, dia lain macam sikitlah. Aku rasa mungkin dia ada alahan sedikit pada kandungan mineral Marikh yang terlalu tinggi..." bisik Casiopeia, tergelak kecil juga.

"Tak adalah Casiopeia. Aku ok," potong Luth. Terdengar pula dia.

"Aku tak dapat nak imbas kau ni Luth, sebab teknologi Marikh yang ada dalam tubuh kau sedang aktifkan pelindung di tahap yang tinggi.." keluh Casiopeia.

Al dan Wi tergelak-gelak.

"Kita sudah menghampiri Komet Yor. Ia komet muda. Tak sedar langsung markas Ginafuwara jadi dedalu di tubuhnya. Hati-hati semua," arah Brutus memecah lewa mereka.

Seisi kapal diam. Mereka dapat rasakan, di celah ruang angkasa yang sedang mereka layari, bahaya sedang menerpa. Ironis sekali bila terpandang cahaya bintang, berkelipan penuh keceriaan.

"Ingat semua. Kami warga Zuhal akan lindungi kamu. Al, Wi, kamu berdua harus bercakap dengan Ginafuwara. Pujuk agar dia menyerah diri. Alihkan perhatiannya. Sarah, Luth, Casiopeia dan saya sendiri akan mencari dan mengeluarkan Mila dan Wira secara senyap. Zaya dan Firi, cepat-cepat masukkan hologram mineral yang merupa seperti Mila dan Wira supaya Ginafuwara tak tahu manusia tawanannya sudah diganti dengan pepatung sahaja," tegas Brutus sekali lagi.

Semua mengangguk. Kapal mula mengaktifkan lembayung halimunan. Komet Yor, semakin jelas di mata. Di mata Luth ia nampak macam seketul batu perang yang sedang terapung di udara.

"Tak comel la komet tu Sarah. Awak, isteri yang saya kasihi... Laaaagi comel," katanya lalu capai tangan Sarah dan gosok-gosokkan ia ke pipi.

"Iyalah Luth..." Sarah bersabar saja.

****

"Tuai DNA Luth? Macam mana? Tuan Puteri nak bela dia macam anak kucing? Cabut bulunya satu per satu? Dia akan keluar dari lohong komet tua itu sebagai bayi yang baru lahir kan. Bayi perlu penjagaan rapi, bukan senang tau," Mila ingatkan.

Dia, Wira dan Ginafuwara masih duduk dengan tenang sambil mengunyah donat dan minum air lemonade.

"Kalau susah sangat, kenapa penduduk Bumi suka sangat buat anak? Lepas tu ada pula yang dicampak?" tanya Ginafuwara penuh selamba.

"Itu orang tak waras saja yang lakukannya.." tegas Wira.

"Jadi awak nak tuduh saya tak waras?" Nada Ginafuwara berubah dengan pertanyaan itu.

Oops.

Wira tahu dia tersilap langkah. Mila aktifkan mod Penulis Jadian.

"Maksud Wira, itu manusia. Er, Tuan Puteri tentu perlu banyak DNA Luth untuk mengubat diri sendiri. Bayi tubuhnya kecil, dan ramai yang botak pula tu bila lahir. DNA bahagian lain, kalau diambil matilah budak tu. Bagaimana nak tuai lagi kalau dah mati? Tuan Puteri perlu jaga dia sampai besar kalau mahu bekalan DNA yang berterusan..."

Ginafuwara mula terpengaruh sedikit dengan hujah Mila.

"Kena jaga.. Macam mana nak jaga bayi ya?" dia bertanya penuh minat. Hilang marahnya dengan komen Wira awal tadi.

Mila tarik nafas lega. Dia mula bercerita tentang lampin, muntah, kembung perut dan angin pasang-pasang.

****

Al dan Wi sudah bersedia. Tubuh manusia yang mereka pinjam sudah ditinggalkan dalam kapal angkasa. Masing-masing punya perisai istimewa yang dibekalkan oleh dayang-dayang Marikh yang boleh membantu Mereka mengelakkan diri agar dipukau.

Ahli misi menyelamat itu mengukuhkan tambatan mineral kepada kenderaan Marikh. Cahaya pelindung mula dipancar oleh beberapa ahli tentera elit Zuhal.

Dengan isyarat Brutus, pasukan gerila itu mula mengorak langkah berjaga-jaga, di atas permukaan komet Yor yang, mendekati markas besi berani Ginafuwara.

"Itu pintunya. Al, Wi, mulakan tugas," mohon Brutus. Cahaya warga Zuhal itu memekat, jelas dia risaukan keselamatan ahli misi. Al dan Wi ke depan lalu menghilang ke dalam markas yang kelihatan seperti busut anai-anai itu.

Zaya dan Firi mengikut jejak Brutus mendekati markas daripada sisi kiri. Sarah dan Luth mengekori Casiopeia.

Brutus tiba-tiba berhenti. "Saya dapat kesan Mila dan Wira. Tak pasti mengapa isyarat daripada tubuh mereka lemah saja..."

"Mereka cedera ke, Brutus?" cemas sekali pertanyaan Sarah. Semua ini salahnya, itu yang dia rasa sekarang.

"Aku tak rasa begitu Sarah. Yang Brutus risaukan, kalau mereka disekat sesuatu. Ini akan menyukarkan kita nak tarik mereka keluar, betul kan, Brutus?" celah Casiopeia.

"Kalau perlu aku tunjukkan diri, aku sedia, Brutus," Luth tiba-tiba serius. "Sarah, jangan risau. Stay cuuuutteeeee..." katanya pada Sarah pula.

Sarah keluarkan alat penala laser. "Saya pun sedia, Brutus."

****

"Ohaiyo gozaimasu!" laung Al.

"Tuan Puteri, apa khabar? Saya Wi dan ini Al, kami soldadu dari Jupiter. Boleh kita berbincang?" panggil Wi pula.

Dua warga gas itu memunculkan diri di ruang tamu markas. Ginafuwara tersentak.

"Gas Jupiter! Bagaimana kamu boleh masuk ke sini? Aku dah pasang lapisan anti-haba yang kuat," puteri itu mengomel apabila terpandang Al dan Wi yang muncul tiba-tiba.

"Kami pakai sunscreen. SPF+60," selamba saja Wi balas.

Al menggeleng. "Kami diutus oleh kerajaan Marikh, Zuhal dan Jupiter untuk berbincang dengan Tuan Puteri Ginafuwara, supaya melepaskan dua tawanan tuan puteri itu. Wira dan Mila, kan duta utusan Marikh ke Jupiter yang berasal dari Bumi serta punya pengaruh di Zuhal. Susah kalau tuan puteri apa-apakan mereka." 

Nampaknya Al tak kuasa nak berbasa-basi.

"Heh, siapa kata mereka tawanan aku? Mila dan Wira kan tengah makan donat tu. Dan mereka tak pula aku campak ke belakang dalam bentuk 16 kerat," kata Ginafuwara, bunyinya jengkel saja dituduh menculik warga Bumi.

"Oh tak diculik rupanya. Jadi mereka, jemputan tuan puteri?" tanya Wi. "Eh, saya pun teringin nak rasa donat. Malang betul, tubuh manusia yang saya pinjam tertinggal dalam kapal angkasa pula," katanya lagi.

Ternyata kecanggungan Wi memakan diri.

"Kapal angkasa? Warga Jupiter kan tak perlu kapal angkasa untuk bergerak di semesta ini. Kamu datang dengan siapa? Siapa lagi ada di dalam markas aku?" bentak Ginafuwara.

Wi terkedu dalam bentuk gas yang berhablur mineral Marikhnya.

"Tuan Puteri, kami datang dengan dayang-dayang Marikh. Mereka kan, kekasih kami..." Al cuba tenangkan Ginafuwara yang sudah berdiri di atas kakinya yang cuma berjari empat itu.

"Argh! Gas tak guna dari Jupiter!" terkam Ginafuwara.

Entahlah dari ceruk mana Mila dapat idea, dia tunjalkan kakinya ke arah Ginafuwara yang masih berbentuk manusia yang tidak sempurna itu lalu puteri Utarid itu tersadung dan terjatuh.

Wira tak berlengah, dia segera buka baju sejuk yang dipakainya lalu Ginafuwara dibelitnya.

Pada masa yang sama, Brutus dan Casiopeia muncul di ruang yang sama bersama Sarah dan Luth.

"Luth!" teriak Ginafuwara yang sedang meronta. Di sekelilingnya, beberapa entiti gas Jupiter yang menjadi pengawal cuba menyerbu namun Al, Wi serta Zaya dan Firi segera menangkis kemaraan mereka. Hablur mineral Marikh dan gas yang dipadu berpusar-pusar di ruang tamu Ginafuwara yang dihias sofa dari Ikea.

Donat jadi seperti bola, melambung ke udara. Lemonade menyembah ke tanah, pada kadar graviti yang tidak selikat Bumi. Seluruh ruang itu bergegar apabila gas-gas Jupiter yang dipukau Gina berteriak kepenatan.

Ginafuwara yang masih bergelut dengan Mila dan Wira berhempas-pulas menaikkan kuasa pukaunya agar gas-gas suruhannya terus menyerang, namun dia turut menerima asakan daripada Luth yang sudah turut ke sisi Wira untuk mengikat kaki sang puteri yang sudah tertiarap.

Cahaya dipancarkan oleh Casiopeia dan Brutus terus menusuk ke segenap ruang. Sarah yang sudah biasa dengan keterikan cahaya Zuhal itu turut menggunakan senjata Zuhalnya lalu ditala tepat ke kepala Ginafuwara.

"Luth, selamatkan aku..." keluh puteri Utarid itu sebelum dia terjelepuk. Dek kesejukan,  puteri yang bergantung tenaga pada haba itu pengsan. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top