Dua Belas
Modus automatik.
Itu mod yang Mila gunakan untuk melalui tugasan kerjanya di Malaysia, kemudian beberapa hari di Singapura dan baki beberapa hari sementara menunggu pulangnya Wira dari seminar dan latihan di San Francisco.
Boea kembali sebentar ke Noa bersama Bob, yang terpaksa melalui latihan istiadat Noa dan raptai pertabalan mereka.
Nampak saja kereta Proton Iriz milik Wira petang itu, Mira menahan diri daripada terus mengadu. Sebaik saja berlabuh di kerusi penumpang depan, Mila hulurkan sebuah bekas berisi makanan kepada Wira.
Wira yang masih nampak lesu dek jet lag terus tersenyum, berseri-seri mukanya. "Wow, T, awak masak apa ni?"
"Kerabu perut muda dengan bunga kantan. Tak pedas," jawab Mila.
Sepantas kilat Wira buka penutup bekas makanan. "Ooh, wanginya!" Dan dia terus menyudu makanan.
"Sedapnya. Saya nak beritahu mak saya. Mesti dia nak resipinya," puji lelaki berkacamata itu.
Mila memandang Wira dengan rasa puas. Sebenarnya jenuh merebus perut lembu jadi lembut. Ibunya tadi menolong juga dia memasak, tapi kerabu ini, memang Mila buat secara berasingan kerana Wira tak tahan masakan pedas.
"Malulah saya dengan mak awak, Wira. Dia kan chef hotel lima bintang," kata Mila sambil hulur air pula.
"Eh, tempoh hari dia dah rasa gulai pucuk paku dan cekur awak buat. Sedap sangat katanya. Dia tak pernah puji kosong. Dulu pernah saya masakkan dia kari ayam sempena harijadinya, dia kata OK saja," tingkah Wira.
Tergelak Mila.
Habis makan, Wira memandu, membawa Mila meronda-ronda ke tempat istimewa mereka, Bukit Ampang.
Sampai di barisan gerai yang terletak di lereng bukit, Wira ajak Mila minum teh o di salah sebuah kedai yang tak ramai pelanggan.
"Masa saya di San Francisco, Putera Ue turun bertemu dengan saya. Syukurlah itu hari terakhir seminar, dan saya cuma nak pergi belikan awak ini saja," kata Wira sambil hulurkan sebuah kotak kecil.
Mila minta izin untuk membukanya lalu Wira iyakan, menerusi telepati saja.
Seutas rantai perak terlihat dan Wira pakaikan terus ke leher Mila.
"Cantik ni Wira... Awak ni asyik belikan saya hadiah saja, saya rasa bersalah tak belikan awak apa-apa pun waktu di Singapura," getus Mila.
Wira tersengih-sengih. "Saya tahu awak sibuk, tak apa."
"Sebenarnya, saya tak ada duit sangat. Saya nak simpan duit untuk berbulan madu," tergelak-gelak Mila. "Tau je lah, gaji wartawan cabuk, sama ada berteknologi Marikh atau tidak otaknya, sama saja. Rendah!" guraunya.
Wira geleng kepala. "Eh, saya ajak awak kahwin, mestilah saya yang tanggung awak nanti. Duit gaji awak, simpanlah. Honeymoon, kita pergi ke mana yang saya mampu, OK?"
Mila tak setuju. Mana boleh. Saya nak pergi ke Iceland, tengok aurora sambil tidur dalam igloo.
Amboi! balas Wira.
Sejuk tau Iceland. Mesti seronok.
T..!
"Eh apa Putera Ue nak?" tanya Mila mengeluarkan perbualan mereka dari saluran telepati.
Wira geleng saja. "Betul seperti ramalan Casiopeia. Putera Ue dan Permaisuri Mulianasari dah berselisih faham tentang hal nama anak-anak mereka yang bakal lahir tak lama lagi. Kenalah kita selesaikan sebab kata Casiopeia, selepas selesaikan hal ni, barulah lancar perkahwinan kita, kan?"
Mila angguk lalu minum tehnya. Wartawan itu rasa ini cuma hal kecil berbanding dengan ramalan terbaru nujum dari Zuhal itu.
Wira terus saja bercerita hal Putera Ue yang datang mengadu. "Dia kata nak namakan kembar yang bakal lahir itu dengan nama Jupiter. Tapi nak tahu apa nama pilihannya? Bu untuk anak lelaki, Du untuk anak perempuan."
Terlepas ketawa besar dari mulut Mila. "Bu dan Du? Budu? Biar betul Putera Ue ni!" Teh diletakkan ke tepi agar tak tersembur dia ke muka tunangnya.
"Saya dah nasihatkan. Tapi katanya Bu bermaksud 'kesayangan' dalam bahasa klasik Jupiter, Du pula bermaksud 'suci'. Permaisuri pula sukakan Adisriwajawibawa untuk anak lelaki, Sarianisrikandi untuk anak perempuan mereka nanti. Kata Putera Ue, terbelit lidah dia nak sebut," cerita Wira pula.
"Wah pandai dia ya, mengadu hal sesama lelaki. Eh tapi, Putera Ue mana ada lidah! Dia kan gas!"
Tergelak lagi pasangan itu.
"Saya kata, biar saya bincang dengan awak dulu," cerita Wira lagi. "Cuma, kita kena cepat, sebab nama Bu dan Du sudah dicadangkan dan Permaisuri dah merajuk tempoh hari. Bila Putera Ue kata tak mahu bincang dulu hal ini, barulah Permaisuri Mulianasari berhenti masam muka."
"Alamak, Permaisuri dah pandai merajuk. Mesti Putera Ue rindu pantun dua kerat dan haiku-haikunya," komen Mila.
Pasangan itu tergelak-gelak dengan teh o mereka. Bila datang seorang budak kecil menjual bunga, Mila belikan sekuntum untuk Wira.
"Untuk kesayangan saya," ucapnya penuh bergaya. Wira terima penuh gembira.
"Haha! Mila, awak ni memang istimewa. Saya tengah berterimakasih pada diri saya sendiri ni sebab tahun lalu saya tarik awak sekali ke Marikh," dalam ketawa Wira terima.
Di hujung date barulah Mila ceritakan tentang ramalan baru nujum Casiopeia.
Lama juga Wira terdiam.
****
Permaisuri perlu sendiri,
Namun hati ingin berkongsi,
Warga Bumi pilihan hati.
Begitulah haiku yang muncul secara telepati dalam minda Mila, lewat petang Isnin seterusnya. Sepatutnya dia bersiap untuk menolong Boea buat bunga telur sempena perkahwinannya hujung bulan nanti.
"Bang Bus! Che Milah nak balik dulu! Apa nak jadi, jadilah!" mohon Mila separuh bergurau pada editor Rencana yang baru saja ajak dia dan geng wartawan lain minum petang di kafe.
"Ah, mengadalah kau Milah. Dah kahwin esok, balik la awal. Sekarang bujang lagi, kecoh nak balik awal macam mak budak," kutuk Busro Mukmin, editor yang tidak digemari ramai kerana sikapnya yang suka bercakap lepas. Asyik perli saja. Dalam begitu, sifatnya yang adil membuatkan Mila setia jadi wartawan Am Malaya.
"Bang Bus apa tau? Bang Bus kan tak laku. Itulah, nak jodohkan dengan editor Kosmokos, malu. Kan dah rugi," giliran Mila tempelak dia semula.
"Ah, kau berambus je lah. Ni Husam dan Fatawa ada. Aku kena teman mereka minum, kalau tidak, mereka dating pulak berdua," sempat Busro memerli pasangan wartawan muda dalam kalangan mereka.
Si Husam dan Fatawa tak ambil hati lalu Mila lambai tangan saja ke arah mereka. Dia bergegas ke kereta Kelisa tua miliknya.
Secara telepati, dayang-dayang dari Marikh dihubunginya.
Mohon sampaikan pesanan istimewa,
Pada Permaisuri yang bermuram durja,
Hamba sedia meneman duka.
Haiku tangkap muat Mila diterima, dan tak semena-mena, tiga wanita muncul di tepi keretanya.
"Firi, Zaya? Awak ke tu?" tanya Mila.
Dua wanita berbaju T putih dan jeans biru nampak seperti pasangan kembar itu mengangguk, serentak. Seorang lagi wanita di belakang mereka, juga berjeans tapi berblaus hitam, segera ke sisi Mila. Makin bijak warga Marikh ini merupa tubuh mereka menjadi manusia sejak dapat tips daripada Boea.
"Mila, saya sedih ni," ujar wanita berblaus Hiram itu.
"Permaisuri Mulianasari? Masuk dulu dalam kereta ya," ajak Mila.
Tiga wanita masuk ke dalam kereta kecil. Matahari petang tenang, langsung tak garang.
"Kenapa ni, Permaisuri?"
"Putera Ue, dia dah tak sayangkan saya. Mila! Macam mana ni? Saya tak mahu nama anak saya pendek-pendek saja. Dalam semesta kan ada pelbagai abjad, kenapa perlu disia-sia? Dia harus namakan anak kami mengikut adat Marikh. Kerana sekarang, dia pemerintah Marikh juga, bukan saya seorang yang jaga Planet Merah. Tak bolehlah ikut adat Jupiter saja. Lagipun di Jupiter dah ramai budak comel bernama Bu dan Du.." hambur Permaisuri yang sudah merupa seperti pelakon popular, Fazura itu.
Mila tak jadi hidupkan enjin kereta. Mulianasari sudah berendam air mata.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top