Dua

Tatkala Mila dan Wira tiba di rumah banglo lama milik keluarga Bob di Jalan Enggang, Taman Keramat; dua lagi rakan mereka, Luth dan Sarah, sudah tiba.

Boea yang sudah jadi katerer majlis kecil dan berniaga melalui Instagram itu masak semua masakan Melayu kegemaran dia dan Bob. Ada masak lemak pucuk paku, ayam masak berlada, kerabu sotong, sambal hitam, daging bakar dan solok lada. Kuih bahulu kemboja dan popia pun ada. Bob mengigil, gementar, tapi buah tembikai susu dia potong juga dengan penuh seninya.

"Sarah, Luth, cepatnya sampai?" tegur Mila dan terus duduk di sofa besar ruang tamu.

"Kami dari Wangsa Maju tadi. Tengah pusing-pusing naik kereta cari kedai makan," terang Luth. "Bob telefon, tak jadilah parking. Kami ke sini terus."

Kalau dilihat Luth dan Sarah memang macam biasa. Pasangan yang baru bernikah itu sebenarnya juga seperti Mila, Wira dan Bob yang punya teknologi Marikh dalam tubuh mereka.

Istimewanya, Sarah pernah bekerjasama dengan makhluk Zuhal, seorang nujum, sejak umurnya belasan tahun. Kerajaan planet Zuhal sudah tabal Sarah sebagai Srikandi Bumi. Dengan rakan yang berpangkat itu, Bob harap Sarah boleh buat dia nampak seperti orang yang punya sekutu yang baik-baik, moga berkenan keluarga Boea nak buat menantu. Sejak tinggal sebatang kara, Bob cuma boleh minta ihsan kawan-kawan sahaja kerana saudaranya yang ada, jauh, di Johor dan Sarawak.

"Bob dah banyak tolong aku, mestilah aku berlari datang walaupun perut kosong.." kata Sarah tersenyum lihat Bob dan Boea bekerja keras siapkan hidangan di meja makan. Nak tolong, tak dibenarkan pula.

"Perut Sarah masih belum berisi ya? Makanlah dulu," jemput Boea, makhluk asing yang boleh mengubah rupa bentuk fizikalnya.

Luth tersedak. Gelas berisi air lemon diletaknya ke meja.

"Eh, kenapa?" tanya Boea.

Wira, Mila dan Sarah tersengih-sengih.

Bob yang tadi gemuruh semacam turut tersenyum. "Tadi awak kata Sarah belum berisi.. Kebetulan dia dan Luth baru kahwin. Orang dulu-dulu, kalau nak tahu pengantin baru tu dah er.. Ada.."

"Berisi, maksudnya mengandung..." Mila bantu.

"Oh..!" kata Boea. "Tapi kenapa Luth yang tersedak?"

Muka Luth naik merah.

"Sebab kalau saya nak jadi 'berisi', Luth lah kena beri," Sarah tersenyum, cuba buat Boea mengerti.

Boea yang masih mempelajari tentang tamadun manusia itu terdiam, kemudian mengangguk. Ya, dia sudah tahu tentang kelangsungan warga Bumi.

"Luth, apa lagi. Berilah pada Sarah supaya dia cepat berisi," nasihatnya ikhlas.

Habis Luth diketawakan.

"Boea, aku tengah usahalah ni. Kau ni sama macam Ayah aku, lepas dapat menantu, asyik-asyik minta cucu," bebel Luth.

Boea ketawa, bunyinya aneh saja, sebab bila bergaul dengan sahabat terdekat makhluk asing itu tidak kawal kotak suaranya. "Saya gementar ni, sebab tu otak saya kurang waras," alien itu mohon maaf. "Jangan terasa ya, Luth, Sarah?"

Sarah geleng kepala. Luth mendengus, tapi bila Mila dan Wira ketawakan dia, dia ikut tersengih.

"Bob, kau OK tak?" tanya Luth. Tujuan mereka datang ialah untuk bantu Bob sambut bakal keluarga barunya dan pastikan mereka izinkan Bob kahwin dengan alien pilihannya.

Bob duduk di sofa antik milik keluarganya. Dia angguk. Walaupun sudah sepuluh tahun keluarganya semua terkorban dalam kemalangan jalan raya, dia masih rindukan mereka. Dan saat ini, dia sangat perlukan keluarga, jadi dia bersyukur teman-teman rapat masih ada untuk menyokong.

"Kalau nak ikutkan, aku tak OK ni Luth," mula Bob. "Terima kasihlah datang cepat-cepat tadi."

"Dia dah dapat kiriman jawapan teka-teki yang ayahanda saya beri. Entahlah kenapa dia risau sangat," keluh Boea, ".. Sampai saya pun gementar jadinya."

Mula-mula memang agak comel rupa Bob ketakutan, sekarang, Boea risau lihat dia. Sudahlah Boea tak dibenarkan guna kuasa pukaunya untuk tenangkan Bob.

"Oh, dah dapat jawapan? Bagaimana ayahanda Boea kirimkan, ya?" tanya Wira. Kalau perihal angkasa lepas, Wira memang minat sangat.

Bercahaya sekejap mata Bob. "Mereka kirimkan melalui Pancuran Meteor Geminids pada malam semalam. Cantik bro! Nak tahu, warga Komet Noa sebenarnya boleh mengubah kelajuan dan laluan meteor yang mereka tunggang. Ayahanda Boea hantarkan segugus hadiah untuk kami, selain daripada jawapan teka-teki," cerita Bob sungguh-sungguh.

Jejaka itu keluarkan sebuah kotak daripada poketnya. Ia mengandungi serbuk berwarna-warni. "Tengok ni," katanya.

"Apa tu Bob?" tanya Mila, wartawan yang sentiasa didesak rasa ingin tahu.

Bob letakkan secalit halus debu itu ke dalam pokok pudina yang menghiasi meja kopi ruang tamu rumah keluarganya.

Untuk beberapa saat, tumbuhan herba itu diperhatikan enam sahabat.

Kemudian ada sedikit gegaran pada rumpun-rumpun hijau yang halus daunnya itu.. Dan tumbuhan itu mula bercambah, menebal batang runcingnya dan melebat daunnya.

"Baja?" tanya Luth.

"Lebih hebat lagi!" gembira betul Bob balas.

Wira masih ternganga memerhatikannya. "Ajaib!"

"Bukan ajaib lah. Serbuk itu cuma segarkan sel dan sihatkan pokok itu.." terang Boea.

"Ia bantu pokok itu serap cahaya dan karbon dioksida dengan lebih efisien," tambah Bob. "Udara dalam rumah ni pun dah segar sebab kitaran fotosintesis yang cepat dan lebih baik," katanya.

Masing-masing menyedut udara.

Bob baru nak ceritakan bagaimana Boea bawa mereka berdua meluncur arus angkasa untuk menangkap komet yang membawa utusan ayahanda Boea. Bob teringin nak membayangkan semula saat indah dia dan Boea mendarat di atas komet yang indah, berwarna-warni, bukannya tandus macam dalam filem Armageddon tu. Itu temujanji dia dan kekasihnya yang paling romantik setakat ini.

Belum sempat buka mulut, loceng pintu berbunyi. Bau kemenyan mula menusuk hidung. Ada muzik opera, Puccini, sedang dialunkan.

Tiga suara berbunyi serentak.

"Assalamualaikum!"

Boea melompat bangun. "Keluarga saya dah sampai," umumnya riang. "Waalaikumsalam!"

Bob tersepuk di bahu Wira. Mila sempat sambut kepala Bob agar tidak terhantuk ke kerusi.

"Pengsan betul-betul atau tipu-tipu, si Bob ni?" tanya Luth.

"Betul-betul nampaknya," jawab Wira, risau dia lihat sahabat karibnya.

Sarah geleng kepala dan segera renjis sedikit air ke muka Bob.

"Bob, cepatlah!" ajak Boea yang sudah sampai ke pintu depan.

Luth aktifkan titik biru di lehernya dan tekan sisi kepala Bob selama beberapa saat.

Dan mata Bob mula terkedip-kedip..

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top