Teaser 😭
Menggigil tubuh Zulaikha saat memandang ada jasad sudah ditutup dengan kain putih. Wajah Nazira ditatap dengan renungan sayu. Saat dia melihat anggukkan kepala Nazira, Zulaikha menjerit nyaring.
Tubuh kaku itu dipeluk erat. Dalam keadaan kakinya yang masih cedera parah, dia hanya dapat memeluk tubuh itu secara mengiring. Kain yang menutup wajah suaminya dibuka perlahan-lahan. Jelas wajah Nazri kelihatan sangat tenang ketika ini.
“Awak… kenapa awak tinggalkan saya? Macam mana dengan anak kita? Nazmi masih kecil lagi. Awak tak boleh tinggalkan kami.” Teresak-esak Zulaikha menangis.
Wajah Nazri diciumnya sepuas hati.
“Saya cintakan awak. Kalau awak nak dengar banyak kali pun saya boleh ulang. Bangunlah. Saya akan cakap sampai awak jemu.”
Nazira turut menangis di situ. Sungguh apa yang berlaku hari ini terlalu mendadak.
“Kak Ika kena kuat. Tak baik macam ni, Kak Ika. Seksa arwah Abang Naz nanti.”
“Kek! Mana kek? Zira ada nampak tak? Tadi kami dah beli kek, betulkan awak.” Zulaikha tersenyum sambil memandang Nazri.
“Kak Ika…” Wajah Nazira berubah cemas. Risau melihat keadaan kakak iparnya itu seperti tidak waras.
“Maaf, kami nak bawa arwah ke bilik jenazah untuk dimandikan.”
Tiba-tiba muncul beberapa orang kakitangan datang untuk membawa jenazah Nazri. Zulaikha menjerit marah. Tubuh itu dipeluk dengan erat.
“Jangan ambil dia! Pergi. Dia tak mati lagi. Pergi!”
“Ya Allah, Kak Ika. Jangan macam ni... seksa arwah Abang Naz. Istighfar... ingat Allah.” Nazira lekas menarik tangan Zulaikha kerana tidak mahu wanita itu menghalang tugas mereka.
Zulaikha menjerit sekuat hati apabila katil Nazri dibawa pergi. Nazira dan beberapa orang jururawat memeluk tubuh Zulaikha dengan erat. Lama kelamaan tubuhnya terkulai lemah dan tidak sedarkan diri.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top