Bab 4 ( part 1)
MASAM mencuka wajah Zulaikha. Kerap dia menjenguk ke luar tingkap. Sekali lagi dia mengeluh. Kecewa juga apabila orang yang ditunggu masih belum muncul.
“Kau tengok apa?” Nazri turut melihat ke luar tingkap. Pelik. Gaya gadis ini seolah-olah sedang menunggu seseorang.
“Kau datang dengan siapa?”
Ternaik kening Nazri. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.
“Kau ada nampak aku bawa orang lain ke?” Sarkastik dia menjawab.
Gadis itu berdecit perlahan. Dia pula yang terkena. Kedua kakinya dipeluk rapat ke dada.
“Kau tunggu siapa sebenarnya?” Kali ini dia pula yang menyoal. Dia yakin Zulaikha sedang menunggu seseorang.
“Abang kau tak datang?” soalan dibalas soalan.
Terus berubah wajah Nazri. Sah, ada yang tak kena. Baru sekali gadis ini berjumpa dengan abang tirinya. Timbul rasa curiga di hati.
“Aku dah ajak. Mungkin dia ada hal. Pagi-pagi lagi dia dah keluar.” Jujur dia menjawab.
Selepas mereka bersarapan, dia ada mengajak Yusof ke sini sekali lagi. Tiba-tiba lelaki itu menghilang sebaik saja selesai bersarapan. Mungkin Yusof ada hal yang lebih penting.
“Sombong betul abang tiri kau tu. Dahlah buat tangan aku macam ni. Nak lepas tangan macam tu aje.” Keruh wajah Zulaikha. Dia sangkakan, lelaki itu akan datang ke sini. Namun tekaan salah sama sekali.
“Dia dah tolong hantar kau ke klinik semalam. Siap tolong bayar lagi. Aku nak gantikan duit, dia tak nak. Tu kira bertanggungjawablah juga.” Ujar Nazri cuba membela abang tirinya.
Zukaikha mengangguk sedikit. Betul juga. Lagipun semalam nampak sangat lelaki itu sangat risaukan keadaan dia.
“Abang kau tu memang sombong ke?”
Lama Nazri berdiam diri. Serba salah juga dia nak menjawab. Ada sebab Yusof bersikap dingin.
“Kau jangan salah faham. Abang aku tu tak sombong. Dekat rumah, 10 patah perkataan aku cakap, sepatah pun belum tentu keluar. Kalau mood dia baik, dia jawablah.”
Tercengang Zulaikha. Kedua kakinya dijatuhkan ke bawah.
“Kenapa macam tu perangai dia? Dengan abah pun, dia layan macam tu juga ke?”
Nazri tersenyum kelat. Bercakap pasal abah, dia terlalu kesian dengan orang tua itu. Sampai ke hari ini, Yusof masih lebih suka mengelak. Ada masanya abah yang cuba berbual dengan Yusof.
“Hubungan mereka tak mesra sangat. Mungkin dah lebih 10 tahun mereka tak jumpa. Keadaan jadi kekok. Kami sekeluarga faham dengan situasi dia. Insya-Allah, lama-lama nanti, dia okeylah.”
Barulah Zulaikha jelas dengan situasi lelaki itu. Patutlah ketika pertama kali mereka berjumpa, Yusof kelihatan sangat dingin. Kehilangan seorang ibu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilupakan. Nasib baik ibu Nazri seorang yang baik. Kalau dapat mak tiri jahat, teruk juga.
“Ika, ajak Naz ke dapur. Umi dah sediakan pisang goreng.”
Terdengar suara Hajah Raihan dari arah dapur. Terus berseri-seri wajah Nazri. Tanpa menunggu Zulaikha, dia terus menonong ke dapur. Gadis itu menggeleng perlahan sebelum berjalan ke arah dapur.
“Wah, umi memang terbaiklah.”
Hajah Raihan tergelak kecil dengan pujian Nazri. Memang dia suka hidangkan makanan kepada tetamu. Lagipun Nazri sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
“Makanlah. Ada lebihan tepung pagi tadi. Umi gorenglah sikit walaupun masih tengah hari. Umi dengar, abang tiri Naz dah sampai. Ajaklah dia singgah ke rumah umi. Nak juga umi kenal.”
Tersedak Zulaikha. Nazri tersenyum kekok. Mereka saling berpandangan. Kalaulah Hajah Raihan tahu perkara sebenar tentang luka di tangannya, teruk mereka dibebel.
“Err... Insya-Allah umi. Dia tu pemalu sikit. Nanti Naz ajak dia ke sini.”
Menjuih bibir Zulaikah. Malu ke sombong? Nak bercakap sepatah, ibarat dalam mulut tu ada emas. Yang pelik, boleh pula dia tersuka lelaki itu.
“Tak apalah. Nanti dah biasa, dia tak seganlah. Umi ada juga dengar kisah dia daripada ibu Naz. Harap-harap, dia boleh sesuaikan diri di sini.”
“Betul, umi. Naz pun cakap hal yang sama. Minggu depan dah nak sekolah. Kebetulan abah Naz dah masukkan dia ke sekolah yang sama dengan kami. Mana tahu, kami boleh jadi kawan baik.”
Nazri julingkan biji mata. Jauh sangat Zulaikha ni berangan.
“Alhamdulillah. Bagus juga tu. Umi dengar, dia budak pandai. Boleh juga ajar Ika ni kalau ada perkara yang tak faham. Susah hati betul umi. Tahun depan dah masuk tingkatan tiga. Tapi perangai, macam budak darjah tiga.” Bebel Hajah Raihan.
Cemberut wajah Zulaikha. Dah mulalah tu nak membebel. Semalam, hampir bernanah telinganya mendengar bebelan umi gara-gara tapak tangannya berjahit.
“Walid mana umi?” soal Nazri. Dari tadi dia tak nampak bayang orang tua itu.
“Ke bandar. Minggu depan sekolah agama dah nak buka. Naz bila nak masuk kelas mengaji? Dah lama sangat tinggalkan kelas.”
Terkulat-kulat Nazir. Menyesal pula dia menyoal. Zulaikha sudah tersenyum mengejek. Dulu memang dia pernah belajar di sini. Tapi tiba-tiba saja dia berhenti dan tidak mahu ke sini. Teruk juga dia dibebel oleh Puan Nafisah.
“Tak payahlah umi tanya. Dia memang malas nak mengaji,” sindir Zulaikha.
Nazri ketap bibir menahan geram.
“Tak payah nak sindir orang lain. Tu, rambut... malulah sikit tayang depan Naz. Dah berbuih mulut umi ni bagi nasihat.”
Makin pijar wajah Zulaikha. Nazri tayang wajah bersahaja. Sebaik saja wanita itu ke singki, sengaja dia mencuit lengan gadis itu.
“Apa?” Perlahan dia menyoal.
“Betul juga cakap umi. Kalau kau malas nak pakai tudung, tudung saji ni pun lawa.” Usik lelaki itu sambil mengacah-acah untuk meletakkan tudung saji di kepala gadis itu.
Dek terlalu marah, kakinya menendang kuat kaki lelaki itu di bawah meja. Hampir saja Nazri menjerit. Puas hati Zulaikha. Ada hati nak nasihatkan dia. Dia pun dua kali lima aje.
😘
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top