Bab 2 (part 2)
“ZULAIKHA!”
Terpejam rapat mata Zulaikha mendengar suara jeritan umi. Kedua telinganya ditekup dengan tapak tangannya. Pagi-pagi lagi dah menjerit. Dalam sehari tak sah kalau dia tak mendengar bebelan umi.
“Kenapa diam? Dengar tak cakap umi ni?” Hajah Raihan sudah bercekak pinggang. Geram betul dia dengan ragam si anak. Ada seorang anak, mengalahkan 10 orang anak.
“Dengar.” Acuh tak acuh Zulaikha menjawab.
“Kalau dah dengar, kenapa masih keras kepala? Umi dah pesan jangan nak cari pasal dengan orang kampung. Semalam Mak Gayah mengadu Ika tengking dia di pasar. Siap lempar ikan dekat muka dia. Tak habis-habis nak malukan umi dan walid.” Turun naik nafas Hajah Raihan ketika ini.
Zulaikha merengus geram. Pandai betul orang tua tu mengadu.
“Umi tanyalah Mak Gayah tu. Siapa yang mulakan dulu? Kalau dia nak hina Ika, Ika tak kisahlah tapi pantang bagi Ika kalau dia cuba nak hina walid.”
Terdiam wanita itu. Perlahan-lahan dia jatuhkan kedua tangannya ke bawah. Pada masa yang sama, Haji Hasnol baru muncul di hadapan pintu rumah.
“Dia cakap apa pasal walid?” soal umi.
“Dia…”
“Sudah! Tak perlu cakap apa-apa. Dari bawah lagi walid dengar suara Rai dan Ika menjerit. Malulah sikit dengan pelajar walid.”
Zulaikha berdeham perlahan. Hajah Raihan turut tidak jadi bertanya lagi. Tahu sangat suaminya tidak suka bercakap tentang orang luar.
“Lain kali kalau ada sesiapa yang cakap pasal kita, tak perlu melenting. Sabar tu kunci utama untuk elakkan pergaduhan. Walid tak nak Ika cari gaduh dengan sesiapa. Kita ni duduk di kampung, jangan tunjuk perangai tak semenggah.” Lembut nada Haji Hasnol memberi nasihat.
Dengan si anak, dia tak suka terlalu berkeras. Lebih-lebih lagi anaknya pernah mengalami pengalaman yang menakutkan dulu. Tak sanggup dia melihat anaknya sakit kembali.
“Itulah walid. Orang pijak kepala kita, nak biarkan. Ika tak sukalah cara walid ni.” Bengang Zulaikha.
Topi dicapai dan dia segera melangkah keluar dari rumah. Lebih baik dia mengambil angin di pantai. Makin berbahang pula suasana di dalam rumah.
“Ika! Nak pergi mana tu?” Terjerit Hajah Raihan.
“Biarkan dia. Dia ada di rumah, awak pula membebel.”
Cemberut wajah si isteri.
“Abang suka sangat manjakan si Ika tu. Telinga Rai ni dah cukup pedih dengar orang kampung mengata tentang anak kita. Umur nak masuk 15 tahun depan, dah mengalahkan samseng.”
“Astaghfirullah Al-Azim. Sebagai umi, kata-kata yang keluar dari mulut tu satu doa. Jangan disebut perkara yang tak elok.”
Terus berubah wajah Hajah Raihan. Betul juga kata suaminya. Sepatutnya dia perlu bersabar.
“Abang kenal Ika. Dia takkan sesekali buat perkara yang memalukan kita. Nanti kalau dia memberontak, buruk padahnya. Rai dah lupa ke apa yang Ika buat masa abang pernah rotan dia dulu. Dua tiga hari dia tak balik rumah sampai kita nyaris kehilangan anak tunggal kita. Ika tu satu-satunya anak kita. Dialah racun, dialah penawar. Pedulikan orang nak cakap apa. Abang yakin, satu hari nanti dia berubah.”
Haji Hasnol tidak mahu terus mendesak anaknya. Malah setiap hari dia tidak pernah jemu berdoa semoga anaknya berubah ke arah kebaikan. Biarlah anak tunggalnya itu berubah dengan rela hati tanpa dipaksa.
🌹
BATU yang ada di hadapan matanya disepak geram. Bengang kerana ada saja penduduk di sini suka mencari pasal dengannya. Lepas satu, satu masalah yang muncul. Tin kemek yang ada di hadapan matanya disepak kuat.
“Arghhh!”
Tercengang Zulaikha. Tubuhnya menjadi kaku. Dia tak perasan ada seseorang sedang duduk di tepi pantai. Dahlah cuaca panas terik. Tergesa-gesa dia mendekati lelaki itu.
“Sakit ke?”
Air liur ditelan terasa perit. Habislah dia. Sampai merah dahi budak ini gara-gara perbuatannya tadi.
“Err...bro. Aku minta maaf. Manalah aku perasan kau duduk sini. Panas ni. Tak ada kerja ke berjemur tengah panas?”
Kecil besar aje Yusof memandang batang tubuh yang berdiri di hadapannya. Dahinya digosok sedikit.
Terkebil-kebil mata Zulaikha menatap wajah Yusof. Seraut wajah itu menjentik satu perasaan asing. Belum pernah lagi dia berjumpa dengan lelaki ini. Kacak!
“Err… sorry.” Sekali lagi dia cuba meminta maaf.
Yusof terus berdiri dan ingin berlalu pergi. Terpinga-pinga Zulaikha ditinggalkan begitu. Laju kakinya berlari mengejar langkah lelaki itu. Tanpa sedar, lengan lelaki itu dipegang kemas.
“Janganlah sentap. Aku dah minta maaf kan tadi.” Bengang juga Zulaikha dengan reaksi lelaki ini. Sombong sangat.
“Lepas.” Sepatah ayat yang muncul dari bibir Yusof.
Zulaikha tergelak sinis. Suka pula dia nak kenakan lelaki ini. Nampak macam orang baru.
“Kau orang baru ya. Patutlah sombong. Muka dah kacak tapi perangai…” Kepalanya digeleng perlahan.
Tergerak-gerak rahang Yusof. Dek terlalu marah, tangannya ditarik kuat. Zulaikha yang tak bersedia, terjatuh tersemban ke atas pasir. Tak sedar ada botol kaca di situ.
“Arghhh!”
Terkedu Yusof seketika. Wajahnya Zulaikha berubah pucat melihat ada darah mengalir di tapak tangannya.
Yusof segera duduk mencangkung. Sapu tangan dikeluarkan dari poket seluarnya. Tangan yang cedera itu ditekap dengan sapu tangan. Sesekali dia meniup untuk mengurangkan rasa sakit. Perbuatan itu sama seperti arwah emak ketika dia pernah tercedera ketika kecil.
Berdebar jantung Zulaikha. Kedudukan mereka berdua sangat rapat sehingga dia dapat melihat warna anak mata Yusof. Saat lelaki itu memandang ke hadapan, dia turut terpaku. Masing-masing saling terdiam.
“Cantik anak mata kau.”
Kelu lidah Yusof. Jantungnya turut berdebar.
“Ika!”
Kedua-duanya berpaling ke arah suara itu. Berkerut dahi Yusof mendengar nama yang dipanggil oleh adik tirinya.
“Woii! Tangan kau tu kenapa?” Bergegas dia berlari ke arah pasangan itu. Terbuntang biji matanya melihat Yusof memegang tangan Zulaikha.
“Apa hal pegang tangan dia?” Tangan Yusof ditepis kasar. Dia sendiri pun tak pernah menyentuh Zulaikha.
Tergamam Yusof. Dia menoleh ke arah Zulaikha. Tersengih-sengih gadis itu.
“Saya Zulaikha. Panggil Ika.”
Bagai terkena renjatan elektrik, cepat-cepat dia lepaskan tangan gadis itu. Sekali lagi Zulaikha terjatuh ke belakang. Malang betul nasib dia hari ni.
💥
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top