Bab 1 (part 2)

BERGEMA gelak tawa Nazri. Makin cemberut wajah Zulaikha ketika ini. Mahu saja dia menyekeh kepala kawan baiknya itu. Menyesal pula dia bercerita kepada lelaki itu.

"Habis tu, kau buat apa dekat Mak Gayah tu?" Soal Nazri dengan sisa ketawa yang masih ada.

"Apa lagi, aku campak ikan dekat baju dia. Kalau ikutkan hati, nak aje aku sumbat cili dekat dalam mulut dia. Suka sangat jaga tepi kain orang." Marah betul gadis itu.

Tergeleng kepala Nazri dengan sikap kasar Zulaikha. Nama saja perempuan tetapi perangai mengalahkan lelaki. Mereka berdua sudah berkawan baik sejak dari kecil lagi.

"Lain kali, tak payah balas. Diam aje. Tak lama mulut orang tua tu senyaplah. Macamlah kau tak biasa dengan Mak Gayah tu."

Zulaikha merengus kasar. Masih terngiang-ngiang lagi penghinaan yang diberi oleh Mak Gayah ketika dia ke pasar pagi tadi.

"Ayah je ustaz tapi anak perangai macam setan. Dah serupa jantan aku tengok."

Menyirap juga darah Zulaikha. Iman seseorang tu mana boleh diwarisi. Orang tua tu ingat, kalau ayah dia ustaz, dia kena jadi ustazah juga ke!

"Itu kira sikit aje aku kenakan dia. Kalau ikutkan hati, dengan air ikan tu aku mandikan orang tua tu. Bagi bersih sikit mulut dia yang bau longkang."

Makin bergema ketawa Nazri. Terbayang wajah Mak Gayah yang bertubuh gempal itu bermandikan air ikan. Jangan dibawa main dengan perangai tak semenggah Zulaikha ni.

"Kau janganlah kasar sangat. Ingat, kau tu anak dara. Bukan lelaki." Nazri tersenyum mengejek.

Bahu Nazri ditumbuk kuat. Menyeringai wajah lelaki itu menahan sakit.

"Kalau kau malu berkawan dengan aku, tak payah lepak lagi dengan aku. Aku nak balik!"

Belum sempat Zulaikha bangun, tangannya ditarik kuat sehingga terduduk. Masam mencuka mukanya menahan marah.

"Hishh... kau ni. Itu pun nak sentap."

Zulaikha menjeling tajam. Angin pantai semakin kuat menampar ke wajahnya. Beralun rambut pendek Zulaikha saat dia menanggalkan topi dari kepala.

"Sekarang ni, kita tak payah cakap pasal Mak Gayah tu. Aku ada berita penting nak kongsi." Lekas Nazri mengubah topik perbualan mereka.
Berkerut dahi Zulaikha memandang Nazri. Kakinya diluruskan sambil kedua-dua tangannya menongkat ke belakang.

"Berita apa?"

"Tak lama lagi aku ada abang."
Tercengang Zulaikha. Lama dia menangkap maksud Nazri. Tiba-tiba dia ketawa kuat. Lucu dengan kenyataan Nazri.

"Woii! Yang kau gelak ni kenapa?" Nazri tayang wajah bengang.

"Adoiii... kau ni buat lawaklah. Kalau kau nak dapat adik, logiklah juga. Celah mana pula abang kau muncul."
Macamlah dia kenal Nazri ni setahun dua. Dari kecil lagi Nazri hanya mempunyai seorang adik perempuan.

"Aku tak main-mainlah. Dia tu abang tiri aku. Kami beza dua tahun. Tahun depan dia SPM."

Mati ketawa Zulaikha.

"Sebelum abah kahwin dengan ibu aku, abah aku dah ada anak tapi dah lama terpisah. Abah cakap, hari ni mereka balik bersama."

Tak berkelip mata Zulaikha. Tak sangka pula Encik Yasir seorang duda.

"Wah! Seronoklah kau. Aku jugalah yang tak ada kakak dan abang. Adik lagilah tak ada." Keruh wajah Zulaikha. Disebabkan dia anak tunggal, tipulah kalau dia tak cemburukan Nazri.

"Jangan cakap macam tu. Aku kan ada. Abang tiri aku boleh jadi abang kau juga." Nazri tayang senyuman senget.

Menjuih bibir Zulaikha. Tapi bagus juga kalau abang tiri Nazri sekepala dengan mereka. Tak adalah dia bosan menghadap muka lelaki ini aje.

"Eh, lupa pula aku nak beritahu. Masa aku dapat tahu nama abang tiri aku tu, aku terus teringatkan kau." Matanya sudah melirik nakal.

Berkerut dahi Zulaikha.

"Apa kena mengena nama abang tiri kau tu dengan aku?" Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

"Yusof."

Tegak terus tubuh gadis itu. Dadanya berdebar kencang.Takkanlah...

"Itu nama abang tiri aku."

Hampir ternganga Zulaikha. Patutlah Nazri teringatkan dia.

❤️

Dengar nama pun, Ika dah jatuh hati😆

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top