Bab 1 ( part 1)
GAMBAR arwah emak masih setia berada di tangannya. Hatinya semakin sebak untuk meninggalkan tempat yang mempunyai banyak kenangan manis ketika bersama arwah. Hari ini, dia terpaksa mengikut ayah kandungnya ke Terengganu demi masa depan.
Setelah hampir 10 tahun terpisah, jujur Yusof sangat kekok menerima kehadiran lelaki itu. Selepas kedua ibu bapanya berpisah, dia tidak lagi menemui Encik Yasir. Malah dia sudah kehilangan kasih sayang seorang ayah sejak berusia enam tahun.
Tak banyak kenangan yang dia ingat ketika ayah masih tinggal bersamanya dulu. Tiba-tiba saja lelaki itu menghilang sehinggalah dia meningkat usia remaja. Hanya emak saja yang sentiasa ada di sisinya. Zaman kanak-kanaknya tidak seindah seperti kanak-kanak yang lain. Malah dia pernah tinggal di rumah anak yatim untuk beberapa bulan sebelum emak sembuh.
Encik Yasir mengerling sekilas ke arah Yusof. Sejak dia berjumpa dengan anaknya semalam, tiada satu patah perkataan pun yang muncul dari mulut anak lelakinya. Yusof kini sudah berusia 16 tahun. Sejak dia berpisah dengan arwah bekas isterinya, dia tidak dibenarkan bertemu Yusof. Paling teruk, bekas isterinya membawa lari anaknya jauh darinya.
Bukan niat dia untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ayah tetapi semuanya disebabkan halangan dari arwah. Bartahun-tahun dia menunggu, doanya termakbul juga untuk menemui anaknya.
Beberapa hari sebelum arwah meninggal, dia dihubungi oleh wanita itu untuk berjumpa. Lebih menyedihkan, dia sempat menjaga bekas isterinya sebelum wanita itu menghembuskan nafas yang terakhir.
Setelah hampir tiga jam memandu, mereka tiba juga di rumah. Enjin kereta dimatikan terlebih dahulu.
“Yusof, kita dah sampai. Jom.” Dia cuba memaniskan wajahnya.
Yusof merengus kasar. Bergegas dia keluar dari kereta sambil menggalas beg. Dari jauh, dia ternampak ada seorang wanita sedang tersenyum ke arahnya bersama seorang kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak itu berlari ke arah Encik Yasir.
“Abah...”
Tercengang Yusof dengan adegan itu. Dadanya berdebar kencang. Melihat raut wajah budak perempuan itu seiras orang tua itu, tangannya dicengkam kuat. Tak lama kemudian, wanita tadi turun ke bawah dan berdiri di sisi abah.
“Ini isteri abah. Yusof boleh panggil dia ibu.”
Berdesing telinga Yusof mendengar permintaan tak masuk akal itu. Hampir 10 tahun terpisah, baru hari ini dia tahu ayah kandungnya sudah berkahwin lain. Sedangkan dia terseksa kehilangan kasih sayang seorang ayah.
“Ibu dah kemaskan bilik untuk Yusof. Nanti, bolehlah Yusof berehat dulu. Zira, sini.” Puan Nafisah menarik tangan anak bongsunya.
Malu-malu Nazira mendekati ibunya.
“Salam dengan Abang Yusof. Ini pun abang Zira juga.”
Tangan dihulurkan kepada Yusof. Lama lelaki itu berdiri kaku. Lambat-lambat dia menyambut huluran tangan si kecil. Belum sempat si kecil itu mencium tangannya, lekas dia menarik tangannya.
Tersentak mereka yang menyaksikan adegan itu. Yusof tayang wajah dingin. Kedua orang tua itu saling berpandangan.
“Err... jomlah kita naik. Panas dekat luar ni.” Encik Yasir cuba mengubah suasana kekok. Bahu Yusof dirangkul mesra.
Yusof masih berdiam diri. Sebaik saja dia menjejakkan kakinya ke dalam rumah, dia memandang ke sekeliling. Perasaannya bercampur baur.
“Yusof mesti dah penat. Mari abah tunjukkan bilik.”
Encik Yasir membawa anaknya masuk ke dalam bilik. Dari awal lagi dia sudah memesan agar isterinya mengemas bilik ini. Dia mahu anaknya selesa tinggal di sini. Yusof duduk di atas katil dengan riak yang dingin.
“Abah keluar dulu. Kalau Yusof lapar, nanti pergi dapur. Buat macam rumah sendiri.” Bahu anaknya ditepuk perlahan sebelum dia melangkah keluar.
“Arwah mak tahu ke?”
Mati langkah orang tua itu. Pertama kali anaknya ingin bercakap sesuatu dengannya. Dia berpaling ke belakang.
“Tahu apa?” soal orang tua itu.
“Tentang keluarga baru abah.”
Encik Yasir berdeham perlahan. Dia berjalan mendekati si anak. Kali ini dia beranikan diri duduk di sebelah Yusof. Nafas ditarik dalam-dalam.
“Emak tak pernah ceritakan apa-apa kepada Yusof tentang abah?”
Hanya gelengan yang diberi. Encik Yasir mengeluh lemah. Patutlah anaknya kelihatan terkejut ketika tiba di sini.
“Arwah dah lama tahu. Beberapa bulan lepas kami berpisah, abah dan ibu berkahwin. Abah… abah minta maaf.”
Jujur Encik Yasir masih bersalah terhadap arwah Puan Farina. Bekas isterinya seorang yang pentingkan kerjaya. Selepas mereka berkahwin, perhatian yang diberi oleh wanita itu semakin berkurangan sejak Yusof dilahirkan. Bertahun-tahun dia bersabar dengan sikap wanita itu yang sering mengabaikan keluarga.
Tak sangka, kehadiran Puan Nafisah membuatkan rasa kekosongan itu terisi. Lebih-lebih lagi dia kesian dengan nasib ibu tunggal itu. Dia meminta izin daripada Puan Farina untuk berkahwin lagi. Namun wanita itu memberi kata dua. Sama ada dia diceraikan atau melupakan Puan Nafisah.
Puas dia berusaha menyelamatkan rumah tangganya tetapi bekas isterinya tetap dengan keras kepalanya. Akhirnya mereka berpisah disebabkan satu peristiwa. Namun dunianya menjadi gelap saat bekas isterinya membawa lari anak kesayangannya ke tempat lain.
“Yusof, abah sebenarnya…”
“Keluar.”
Tercengang Encik Yasir.
“Dah terlambat abah nak jelaskan. Arwah mak pun dah tak ada. Yusof ikut abang pun atas permintaan mak.”
Perkataan yang terkeluar dari mulut si anak sudah jelas menunjukkan Yusof terlalu berkecil hati dengannya. Sungguh dia rindukan anaknya yang dulu. Yang manja ketika mereka masih tinggal bersama.
“Kita berbual lain kali. Tentang sekolah Yusof, abah dah daftarkan. Yusof berehatlah.”
Dalam perasaan sebak, dia melangkah keluar dari bilik itu. Sebaik saja pintu ditutup rapat, mata Yusof merah menahan tangis. Terkilan kerana selama ini abah lebih bahagia bersama keluarga baru selama ini. Bodohnya dia kerana pernah mengharapkan abah mencari mereka ketika emak masih hidup.
💔
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top