5

Sesi persekolahan tingkatan satu aku bermula.

Handphone aku yang terselamat selepas dua kali dihempas tu aku simpan kemas dalam laci bilik aku dengan bateri dicabut.

Aku dah penat menangis.

Sekolah baru, kawan baru.

Harapnya aku tak terjatuh suka dekat mana-mana gadis dalam kelas aku.

Tak susah bagi aku mencari kelas 1 Azam kerana kelas tingkatan satu semuanya berada di tingkat atas sekali.

Kelas tu dikongsi dengan pelajar tingkatan tiga, jadi aku kena tunggu di kantin sekolah yang agak jauh dari kelas aku.

"Hai, nama aku Zaidi."

"Err... Hai..."

"Kau budak tingkatan satu ke?"

"Haah, tingkatan satu."

"Kelas mana?"

Banyak tanya lak Zaidi ni... Menimbulkan keraguan dan kerisauan. Aku tak nak hari pertama aku dekat sekolah dicemari dengan memori dibuli.

"Satu Azam."

Kenapa lah aku pergi jawab jujur dekat dia??!

"Ehh! Sama kelas dengan aku lah. Nanti kau duduk sebelah aku lah dalam kelas."

Terselamat aku daripada anasir-anasir jahat. Walaupun aku ni boleh dikatakan panas baran, tapi aku tak suka cari masalah dan bala.

~~~~~~~~~~

Dua bulan, barulah aku dapat menyelesakan diri aku di dalam kelas tu.

Aku terkejut dan terperanjat. Dulu masa sekolah rendah, kelas aku semua berbangsa Melayu dan kuantiti pelajar lelaki cuma 5 orang.

Sekarang ada semua bangsa terbesar Malaysia, separuh daripada kelas adalah pelajar lekaki. Satu persekitaran baru bagi aku.

"Oi, kau berangan apa?"

"Tak ada lah. Aku tengah fikir hujung minggu ni nak buat apa."

Aku sebenarnya tengah curi dengar perbualan dua orang gadis yang duduk dibelakang aku dan Zaidi.

Tak ada apa yang penting sangat pun dalam perbualan antara Aliya dan Hannis tu.

Aku curi dengar sambil memaki hamun diri aku sendiri.

Memaki hamun sebab aku dah terjatuh suka dekat diorang.

Bukan seorang, tapi dekat kedua-dua orang sahabat yang rapat.

Tamak haloba. Itu je aku maki diri aku setiap hari.

Tapi jatuh suka je, takkan nak benci kawan sendiri kan? Kalau dah benci sangat tu namanya lawan atau musuh.

"Weh, balik ni kita singgah kedai aunty dekat belakang sekolah kejap."

"Kau nak beli apa?"

"Komik Kreko lah. Hehehe."

"Boleh juga. Aku pun nak beli satu."

Majalah komik Kreko. Aku yang ajar Zaidi untuk baca majalah komik ni. Dulu dia keluar dua kali sebulan. Semua manga yang telah dialih bahasa ke bahasa melayu.

Walaupun kitorang boleh je ke cyber cafe dan membaca manga tu dekat laman web yang menyediakan benda yang sama, tapi ia takkan sama dengan perasaan memegang sebuah buku secara fizikal. Rasa dan bau buku tersebut tak ada dalam laman-laman web tu.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top