[Analepsis 2]
PINTU 11 kaki itu diketuk sopan oleh si pembantu rumah.
"Masuk." Suara dalam Gianni menyahut dari balik pintu kayu jati bilik bacaannya.
Seorang pembantu wanita menolak sedikit daun pintu ke dalam, lantas tunduk hormat kepada Sophia yang berada di sisinya. Sophia juga menunduk sedikit sebelum melangkah masuk. Pintu di belakangnya ditutup kemas.
Sophia berdiri di atas serambi melengkung yang mengelilingi separuh daripada bilik tersebut. terdapat tangga di hujung kedua-dua belah beranda untuk turun sedikit ke kawasan bawah yang menempatkan ruang seakan-akan sebuah perpustakaan.
Almari-almari buku memenuhi hampir keseluruhan ruang yang bulat itu. Rak-rak yang menutupi semua dinding pula menjulang sehingga ke atap kaca berbentuk kubah. Bintang-bintang dan bulan di langit malam memancar kabur melalui kepingan lutsinar tersebut. Sebuah kandil kristal yang besar tergantung di tengah-tengah kubah, menyerakkan kilauannya ke serata arah.
Mata Sophia mengimbas seluruh bilik itu. Tidak banyak yang berubah. Dari zaman datuknya dahulu, keadaan di situ seolah-olah tidak dimakan waktu. Wanita itu turun ke bawah. Langkah kakinya dihentikan di hadapan sebuah meja kayu besar berona coklat. Pandangannya mati pada seorang lelaki tua berkaca mata yang sedang duduk di seberang meja.
Lelaki itu terlihat agak kurus berbanding kali terakhir Sophia melihatnya dulu. Hampir semua rambutnya telah berubah putih. Begitu juga dengan misai dan janggutnya. Wanita itu juga perasan akan lingkaran hitam di bawah mata lelaki tersebut. Warna kemerahan pada kulitnya juga tiada, membuatkan lelaki itu tampak kusam.
"Anakanda, jemput duduk." Arah Gianni seraya mengacukan tangan ke arah kerusi yang bertentangan dengannya di meja itu.
Sophia hanya menurut. Meskipun agak canggung kerana sudah tidak bertegur sapa selama hampir 2 dekad, dia cuba berlagak setenang mungkin.
Beribu soalan yang ingin ditanya. Berjuta keluhan yang ingin dilepaskan. Dia mahu bergerutu. Dia mahu marah. Dia mahu menghamburkan semua perasaan. Namun saat dia terlihat orang tua itu, lidahnya langsung layuh.
"Anakanda apa khabar?" Soal Gianni lembut.
Sophia menghela nafas perlahan untuk menenggelamkan pelbagai rasa yang bersarang di dada.
"Anakanda baik. Ayahanda?"
Giliran Gianni pula menghembus udara dari peparunya. "Ayahanda harap dapat cakap yang ayahanda sihat. Tapi... ayahanda tak mahu berbohong."
Wanita itu tidak menyoal balas. Dia merenung mata ayahnya, cuba menafsirkan sama ada pengakuan itu benar ataupun semata-mata helah lelaki itu untuk meraih simpatinya.
"Kanser. Sama seperti bonda dan Raphail." Terang Gianni lagi. Hujung jarinya menolak sebuah fail dan sekeping sampul besar ke tengah meja.
Sophia mencapai dokumen-dokumen perubatan itu. Dia meneliti segala maklumat tersebut sebutir demi sebutir. Imbasan sinar X dari sampul besar itu juga diamati secara terperinci. Dia tahu bahawa Gianni jarang berbohong tentang perkara sebegini. Walau bagaimanapun, sekelumit egonya masih menaruh rasa was-was.
"Berapa lama lagi... ayahanda.."
"Lebih kurang satu tahun. Sebab itu ayahanda jemput kamu semua ke mari. Mungkin inilah satu-satunya peluang yang ayahanda ada untuk bertemu kamu buat kali terakhir..." Balas Gianni tanpa berbasa basi.
Suasana menjadi bisu. Sophia masih bertarung dengan persepsi negatifnya. Dia kenal ayahnya. Lelaki itu merupakan bekas mentornya. Sophia juga pernah mengidolakannya. Serba sedikit, perempuan itu arif akan cara pemikiran Gianni.
"Sebab tu ke Ayahanda jadi penyumbang terbesar UMBRA? Supaya UMBRA dapat cari penawar untuk penyakit ayahanda ni?" Tebak Sophia.
Gianni menggeleng. "Ayahanda tak rasa yang UMBRA akan dapat cari penawar kanser dalam masa 1 tahun saja. Ini bukan pasal ayahanda. Ini tentang keturunan kita, Sophia. Ayahanda tak mahu lagi ada di antara kita mengalami nasib yang sama."
Sophia tersenyum pudar. "Hanya keturunan kita? Macam mana dengan orang yang lain? Jika Klan Lagerstrom yang terima nasib yang sama, adakah Ayahanda peduli? Bagaimana pula dengan orang-orang yang langsung tak punyai klan?"
"Sebab itulah Ayahanda tubuhkan Yayasan Aramus. Untuk bantu orang macam mereka." Gianni menjelaskan tindakannya.
"Saya kenal ayahanda. Yayasan itu sekadar penyamaran untuk perniagaan ayahanda. Juga bagi menjaga imej ayahanda sebagai seorang dermawan. Padahal, ayahanda laburkan duit para penderma dalam perniagaan atau kasino ayahanda untuk dapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Itulah sebabnya giliran menunggu bantuan sangat lama. Kenapa para pemohon perlu bersusah payah datang mengemis di yayasan ayahanda? Jika ayahanda memang betul nak membantu orang-orang hina tu, bukankah ayahanda yang perlu pergi mengetuk pintu rumah mereka untuk beri pertolongan?" Akhirnya, rungutan yang ditahan Sophia mulai terlepas.
Gianni tunduk ke meja. Pelipisnya diurut perlahan. Walaupun setelah sekian lama, kedegilan anaknya masih seperti dulu.
"Baiklah. Ayahanda akan buat. Mulai esok, ayahanda akan kerahkan orang untuk pergi ke ceruk-ceruk kampung dan kawasan setinggan." Gianni setuju.
"Dengan syarat yang berjela-jela, kan?"
"Tanpa syarat."
Sophia tercengang sebentar dengan persetujuan mudah itu. Terdapat beberapa saat dalam tempoh tersebut di mana dia mahu mempercayai Gianni. Tetapi, entah apa yang masih menghalangnya.
"Jika itu keputusan ayah, saya doakan UMBRA akan dapat cari penawar kanser dan penyakit-penyakit lain dengan secepat mungkin. Supaya lebih ramai yang dapat dibantu. Juga... supaya ayahanda dapat sembuh." Sophia merendahkan nadanya.
Gianni mengangguk perlahan. Kemudian, mata anaknya ditatap dalam-dalam.
"Sophia, pulanglah dan tinggal di rumah ni semula. Kita lupakan kisah lalu." Suara Gianni juga mengendur.
Sophia mengembalikan renungan itu. "Anakanda rasa... tak mungkin anakanda dapat membiasakan diri di sini semula. Begitu juga dengan keluarga anakanda. Harap ayahanda faham..."
Gianni mengangguk. Mungkin terlalu awal untuknya memujuk mereka ke sini. Namun, ada satu hal yang tidak dapat ditangguhkannya lagi.
"Ada perkara yang ayahanda nak bincangkan." Usul Gianni.
Sophia hanya diam menunggu.
Gianni menyilangkan jari-jemarinya di atas meja. "Ayahanda merancang untuk memberikan gelaran 'Despotes' kepada cucu sulung lelaki ayahanda."
Mendengar sahaja ucapan Gianni, Sophia kembali tegang. Secebis kepercayaan yang cuba disemai sebentar tadi serta-merta binasa. Ternyata, telahan-telahan yang dibuatnya sepanjang perjalanannya ke bilik ini benar-benar menjadi nyata.
"Baru beberapa jam saja Kekanda Raphail dikebumikan, ayahanda dah sibuk fikir pasal pewaris? Ayahanda memang tak pernah berubah! Tak, jangan libatkan Auvo dalam hal ni. Saya takkan benarkan anak-anak saya bergelumang dalam politik keluarga Aramus yang sakit ni!" Sophia terasa bahang membuak-buak naik ke kepalanya.
"Sophia, dia berhak mendapat kedudukan ni. Bukan disebabkan politik atau pilih kasih. Ini adalah tentang haknya." Gianni cuba mempertahankan keputusannya.
"Hak? Hak?!" Sophia hampir ketawa jengkel. "Macam mana pula dengan hak Theodoros Iossif, kekanda ayahanda sendiri? Ayahanda lancarkan serangan menfitnah dia, kemudian buat kempen kepada seluruh klan supaya mengundi Ayahanda sebagai Basileus. Ayahanda masih layak ke bercakap tentang hak?"
"Ayahanda mengaku, dulu ayahanda terlalu tamak dan hanya mementingkan diri sendiri. Tapi itu dulu, ketika ayahanda masih muda dan bodoh..." terang Gianni.
Sophia langsung tidak terkesan dengan penjelasan itu. "Anakanda rasa tak ada bezanya pun dengan sekarang. Ayahanda masih lagi sibuk dengan gelaran dan kedudukan. Bagi saja gelaran tu pada anak-anak Adinda Natalia. Mereka juga darah daging Aramus bukan? Tak perlu sentuh Auvo."
Gianni menggeleng. "Sekarang ayahanda mulai nampak segala kerosakan yang berlaku akibat kerakusan ayahanda dulu. Anak-anak Natalia akan memburukkan lagi situasi. Dengan memberikan gelaran itu kepada Auvo, mungkin keadaan akan dapat diperbaiki. Juga... dengan cara ini, ayahanda berharap dapat menebus kesalahan yang sudah ayahanda lakukan terhadap anakanda..."
Sophia sudah memandang ke siling. Segala kata-kata yang terbit dari Gianni tidak lagi bererti buatnya. "Tak sangka ayahanda masih fikir yang ayahanda boleh beli kemaafan seseorang dengan wang dan pangkat. Dan satu lagi, tugas Auvo bukanlah untuk membersihkan segala najis yang ditinggalkan oleh ayahanda."
"Sophia, bukan macam tu. Ayahanda-"
"Anakanda penat. Anakanda nak balik ke kamar untu beradu." Sophia terus berdiri. Tanpa membuang masa, dia berlalu pergi.
Gianni memanggil nama anaknya beberapa kali. Sophia tidak sedikitpun menoleh. Orang tua itu mencapai tongkatnya dan bergegas bangun. Hayunan kakinya cuba dicepatkan sedaya upaya. Tetapi, langkahnya tidak begitu jauh. Kudrat yang tidak seberapa itu membuatkannya tersungkur menyembah lantai.
Sophia berhenti memanjat tangga. Dia kaget memandang ayahnya yang tertiarap kaku.
______________________________________________
Natalia menghempaskan pintu bilik, mengejutkan suaminya, Felix Van Leroys yang sedang duduk di sofa dan menonton perlawanan besbol. Lelaki 40-an berambut hitam dan bermisai lentik itu terpinga-pinga.
Perempuan berbadan langsing itu membaling beg tangannya ke bawah. Rambut panjang keemasannya yang disanggul habis barai ditarik. Rahangnya diketap. Wajahnya berkerut seribu.
Tanpa berfikir panjang, Natalia menanggalkan kasut tumi tingginya dan membaling kedua-duanya sekuat hati pada dinding. Kemudian, dia merenggut lampu tidur yang berada di meja sisi katil dan terus menghumbankannya ke lantai. Seramik putih berderai dan berselerakan di serata tempat.
"Sial! Siall!!" Natalia menjerit seperti kerasukan.
"Hei, hei! Bawa bertenang, sayang! Apa yang dah terjadi?!" Felix agak panik melihat isterinya yang sudah histeria itu.
"Apa lagi yang jadi kalau bukan Sophia celaka tu!!"
Sepantas kilat, Natalia mencapai pula sebentuk pasu bunga di meja kopi dan melemparkannya ke arah pintu gelangsar balkoni. Pasu itu juga berkecai dan impaknya telah meretakkan pintu gelangsar kaca tersebut.
"Whoa, whoa! Bertenang!!" Felix bingkas mendapatkan isterinya sebelum entah apa lagi barang yang akan dimusnahkan. Dia mengurut-urut lengan dan belakang Natalia.
"Macam mana saya nak bertenang?! Seluruh kekayaan Klan Aramus akan dipegang oleh keturunan dia. Habis tu, saya ni apa? Batu?! Tunggul?!!" Kemarahan Natalia langsung tidak reda.
Felix menghela nafas. Dia juga agak berang mendengar luahan Natalia. Namun, bertindak dengan emosi tidak akan mendatangkan sebarang hasil yang baik. Jika tersalah langkah, mungkin mereka tidak akan mendapat satu sen pun. Mereka perlu rasional.
Felix mengusap rambut dan dahi si isteri yang sudah dibasahi peluh. Pipi melepak perempuan itu dielus lembut. "Apa kata awak duduk dulu dan ceritakan semuanya. Mungkin kita boleh cari jalan penyelesaian?"
Natalia mendengus. Pujukan Felix sedikit sebanyak mendinginkan darahnya yang menggelegak. Perempuan itu menghenyakkan dirinya di atas sofa dengan wajah mencuka.
Felix memungut beg tangan yang terdampar di lantai dan meletakkannya di atas meja kopi. Dia sempat menjeling ke arah retakan kaca yang diakibatkan oleh Natalia. Jika isterinya menjadi pelempar besbol, sudah tentu pasukannya akan dapat membuat lari habis dan memenangi perlawanan.
Felix pergi ke bar mini di sebelah televisyen, meninggalkan Natalia seketika supaya wanita itu dapat meleraikan sedikit kekusutannya. Lelaki itu membancuh teh kamomil madu. Kemudian, dia duduk di sebelah Natalia dan memberikan minuman tersebut kepada isterinya. Felix menunggu perempuan itu mencicip sedikit air panas itu sebelum memulakan bicara.
"Sekarang, ceritakan pada saya apa yang dah berlaku." Tutur Felix dengan santai.
Natalia menghembus nafas kasar. "Ayahanda tu lah! Dah tak betul agaknya. Dia nak anak Sophia kesayangan dia dari klan jijik tu jadi pewaris kepimpinan Aramus. Awak tak rasa benda tu mengarut dan memalukan ke?!"
"Mana awak tahu benda ni semua? Pasti ke?" Felix mahu mendapatkan kesahihan.
"Dari mulut orang tua gila tu la! Tadi saya tanya pasal pewaris, awak tahu apa yang dia jawab? Clement dan Mathias hanya sekadar layak dengan gelaran Kaisar je. Lepas tu, dia suruh saya keluar dari bilik bacaan sebab dia nak jumpa Sophia. Apa kurangnya anak-anak kita?! Saya ingatkan bila Kekanda Raphail mandul, anak-anak kita ada peluang yang cerah. Tapi alih-alih, Perempuan tak guna tu juga yang dikutip balik!!" Natalia masih beremosi.
Felix senyap seketika. Ternyata isterinya punyai sebab yang munasabah untuk mengamuk sebegitu. Masakan tidak, peluang yang mereka tunggu selama berbelas tahun telah dicantas dengan sekelip mata. Mereka juga tidak boleh berharap untuk menjadi pewaris Klan Van Leroys kerana Felix sendiri sudah mempunyai 3 orang abang.
Lelaki itu membiarkan isterinya meluahkan segala kesebalan, kesakitan dan kekecewaan. Pada masa yang sama, dia berfikir dengan panjang dan mendalam. Agak lama dia cuba memerah otak.
Apabila Natalia seakan sudah kehabisan kata, barulah Felix mula berbicara.
"Sayang..." Felix menggenggam ringan kedua-dua belah bahu isterinya. "Saya rasa, kita patut mengalah..."
Kening Natalia berkerut. Dia terjegil. "A-apa? Saya salah dengar ke ni?"
"Sekarang ni, peluang kita agak tipis. Awak pun tahu kan, memang mustahil untuk kita yakinkan ayahanda jika dia dah bulat hati dengan sesuatu." Ujar Felix.
Natalia menepis tangan suaminya. "Tak! Tak!! Awak pun sama saja macam orang lain! Awak tak fikir ke tentang masa depan anak-anak kita?!"
Felix memegang semula bahu wanita itu. "Sayang, dengar sini. Kita-"
Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata, telefon bimbit Natalia yang berada di dalam beg tangannya berdering. Sekali lagi, perempuan itu menolak genggaman Felix sebelum menjawab panggilan tersebut.
"Baiklah..." Hanya itu yang dapat diucapkan Natalia sepanjang hampir 20 saat dia di talian. Wajahnya menjadi kelat dan gelisah.
"Sayang, siapa tu?" Soal Felix sebaik Natalia mematikan panggilan.
"Setiausaha Ayahanda. Katanya, ayahanda sedang dibawa ke hospital..." Beritahu Natalia kerisauan.
Ekspresi resah Natalia kini telah berjangkit kepada Felix.
______________________________________________
Ahli keluarga Aramus berkumpul di bilik menunggu hospital yang dikhaskan untuk golongan atasan. Sophia duduk menekur di hujung sudut. Kakinya tidak boleh berhenti berdetak. Natalia dan ahli keluarganya pula berada agak jauh dari situ, sedang berbual kecil bersama beberapa orang saudara mara yang baru sampai. Sekali-sekala, mereka mengerling ke arah Sophia, anak buangan yang tiba-tiba kembali.
Sophia yang hanyut dalam fikiran sendiri tersedar apabila ada seseorang yang duduk di sebelahnya. Sebaik dia menoleh, dia disapa dengan senyuman tenang kakak iparnya, Madeleine. Perempuan berambut ikal kecoklatan separas bahu itu memegang tangan Sophia yang berada di atas peha.
"Sabarlah, adinda. Semoga ayahanda akan baik-baik saja." Madeleine bersuara lembut. Renungan mata hazelnya dibayangi keikhlasan.
Sophia tersenyum separuh hati. Dia menggenggam tangan itu sebagai respon balas.
Satu-satunya keputusan Raphail yang dirasakan tepat oleh Sophia adalah ketika abangnya berkahwin dengan Madeleine. Berbeza dengan Raphail yang bongkak dan bercita-cita tinggi itu, Madeleine seorang yang ramah dan berhati besar. Walaupun dia berasal dari Klan Blondeau, dia boleh duduk berbual-bual dengan pembantu rumah dan tukang masak tanpa rasa kekok. Perempuan itu juga sentiasa mengambil berat akan orang di sekelilingnya.
"Terima kasih, Kekanda Madeleine. Sepatutnya di waktu begini, adinda yang tenangkan kekanda yang kehilangan suami. Tetapi, sebaliknya pula." Ujar Sophia perlahan.
"Tak perlu berterima kasih, adinda. Di mana lagi kita nak menyangga kesedihan, melainkan dengan keluarga kita sendiri? Kita sama-sama memerlukan sokongan antara satu sama lain."
Sophia tersenyum tipis. Sekurang-kurangnya, kehadiran Madeleine dapat mengurangkan keresahan yang menggila di rongga dadanya.
"Kekanda akan pulang ke Manor Blondeau selepas ini?"
"Ya, petang esok lepas pembantu kekanda siap mengemas beberapa barangan yang perlu dibawa. Adinda nak ikut sekali? Dah lama adinda tak melawat ke manor kekanda." Pelawa Madeleine dalam usahanya menghilangkan kerisauan mereka.
Sophia menggeleng kecil. "Tak apalah. Adinda pun perlu pulang ke Pekan Nimbus. Lagipun, anak-anak adinda perlu ke sekolah."
Madeleine mengangguk faham.
Sophia memandang ke bawah. Kemudian, dia menarik nafas dalam-dalam.
"Kekanda, boleh jawab soalan adinda dengan jujur?"
Madeleine berfikir beberapa saat sebelum membalas. "Kekanda cuba."
"Berapa lama anggaran masa yang doktor berikan pada ayahanda?" Sophia dapat mengagak bahawa Gianni tidak berkata benar.
Madeleine mendesah tanpa menyedari akan riaknya yang bertukar muram. "Mungkin dalam masa tiga atau empat bulan..."
Sophia tertunduk. Dia menggenggam kepala. Matanya dipejam rapat. Walaupun dia amat membenci segala tindak tanduk orang tua itu, masih ada sekelumit sayang yang tidak mahu diakuinya. Dia tidak rela pengakhiran mereka sebegini buruk.
Pada masa itu, pintu bilik menunggu diketuk sebelum dibuka oleh seorang doktor lelaki. Doktor peribadi keluarga mereka itu menunduk sedikit.
"Tuan Yang Terutama Basileus sudah sedar. Basileus berkenan hendak bertemu Kaisarissa Sophia." Beritahu lelaki tersebut.
Sophia mengangkat wajahnya. Tatkala mendengar perkhabaran itu, rasa lega yang teramat sangat membanjiri seluruh derianya. Madeleine dan Sophia berpelukan sebentar. Kemudian, Sophia cepat-cepat mengekori doktor tersebut ke kamar sakit Basileus.
Sebaik pintu disingkap, kelihatan Gianni terbaring tidak berdaya di atas katil dengan pelbagai jenis wayar yang terlekat pada badannya. Sophia terus menerpa mendapatkan ayahnya.
"Maafkan anakanda... maafkan anakanda..." Sophia tunduk di sisi katil. Dia meraup tangan tua itu lalu meletakkanya pada dahi. Esakan sesalan mengiringi. Akhirnya, dinding keegoan Sophia runtuh jua.
Gianni bersusah payah membuka suara. "Tak, Sophia... ayahanda yang sepatutnya minta maaf pada anakanda. Terlalu banyak kesalahan yang ayahanda lakukan pada kamu, Sophia. Ayahanda hina keluarga anakanda. Ayahanda buat seluruh hidup anakanda menderita. Ayahanda tak dapat jadi bapa terbaik yang anakanda idamkan. Masih layakkan ayahanda mendapat kemaafan daripada anakanda....?"
Rayuan sayu itu menyebabkan tangisan Sophia semakin tidak terkawal. Dia mengangguk berkali-kali. Tubuh lelaki itu terus dirangkul erat.
Air mata Gianni turut melimpah.
19 tahun yang dingin.
Akhirnya, lelaki itu dapat merasakan semula kehangatan daripada dakapan anak kesayangannya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top