[Analepsis 1]
PEKAN Nimbus, Tanah Lama.
Tahun 4403, 37 tahun dahulu.
Cahaya mentari pagi menembus rintik-rintik hujan yang bergayutan di cucur atap, meminjamkan manik-manik air itu kilauan bak permata, sebelum semuanya bergilir-gilir jatuh ke tanah.
Di sebuah dapur yang kecil, dua orang budak perempuan berusia 11 dan 14 tahun sedang duduk di meja makan sambil menikmati sarapan. Kanak-kanak yang kedua-duanya berambut kelabu itu sedang asyik memandang ke luar, mengira jumlah burung-burung yang bertenggek di sepohon pokok yang rendang. Mereka begitu teruja kerana sarang buatan mereka yang tergantung di pokok tersebut berhasil menjemput banyak spesies unggas ke situ.
Seorang lagi budak perempuan berusia 16 tahun turut berada di dapur. Dia sedang memanaskan sup sayur lebihan juadah mereka semalam. Sambil itu, dia bernyanyi-nyanyi kecil. Rambut keemasannya lurus dan panjang melepasi pinggang. Ia diikat kemas di belakang leher.
Pintu di bahagian dapur terbuka dari luar. Seorang wanita pertengahan 40-an yang berkulit cerah muncul. Rambut ikal separas bahunya juga berwarna keemasan. Wanita itu menggendong sebuah bakul rotan yang mengandungi beberapa jenis sayuran hasil kebun mini di belakang rumah kecil mereka. Dia mengibas-ngibas sedikit baju dan rambutnya yang dibasahi hujan sebelum melangkah masuk. Anak mata biru mudanya merayau ke serata ceruk dapur.
"Agnetha, mana abang kamu?" Soal wanita itu kepada anak perempuannya yang masih tekun mengacau sup. Bakul tadi terus diletakkan di atas para.
Gadis itu menjungkit bahu. "Tidur lagi lah kot. Dia tu tidur seharian pun belum tentu cukup..."
Wanita tersebut menghela nafas kecil mengenangkan pe'el remaja yang seorang itu.
"Arnora, pergi panggil abang kamu. Dah dekat pukul 8 dah. Nanti korang lambat lagi." Arah ibunya kepada budak perempuan yang kelihatan seperti sudah selesai menghabiskan sarapannya.
Anak ketiganya yang berkaca mata itu mengangguk sahaja. Namun belum sempat dia bangun, satu sosok terpacul di ruang masuk ke dapur.
"Pagiii..." ucap lelaki 18 tahun itu seraya mengambil tempat di sebelah adiknya yang paling bongsu. Remaja berkulit cerah dan tinggi lampai itu masih kelihatan mengantuk. Rambut pendek kelabunya agak basah dan kusut. Sedikit aroma syampu menerawang di udara.
"Nah, sarapan abang." Agnetha meletakkan semangkuk sup dan sepinggan roti di hadapan remaja lelaki itu. Senyuman manis menghiasi bibir kecilnya.
"Terima kasih." Senyuman itu dibalas.
"Hah, eloklah kamu dah bangun. Kejap lagi hantar adik-adik kamu ke sekolah. Tapi sebelum tu, pergi bagi dulu bekal ni kat ayah. Lepas tu baru kamu sarapan. Cepat sikit!" Bebel ibu mereka sambil tangannya pantas memasukkan beberapa jenis makanan ke dalam sebuah bekas plastik.
Lelaki yang baru sahaja hendak menghirup sup panas itu terpaksa meletakkan semula sudunya ke dalam mangkuk. Adik-adiknya tersengih melihat abang mereka yang 'dibuli' oleh emak.
Remaja itu bingkas bangun mencapai bekas makanan yang dihulurkan oleh wanita yang masih dengan leterannya tentang beberapa perkara lain yang sudahpun tidak bersangkut-paut dengan masalah tidurnya.
"Baik makk..." dia mengiakan saja walaupun sudah tidak lagi menumpukan perhatian terhadap syarahan yang entah bila akan habis. Dia cepat-cepat keluar ke halaman belakang.
Tidak jauh dari situ, kelihatan sebuah pondok kecil. Ada asap tebal yang keluar dari lohong di bumbungnya. Bunyi ketukan besi bergema sekali sekala. Remaja itu berlari-lari anak ke arah binaan itu untuk cuba mengelakkan daripada terlalu banyak ditimpa hujan.
BANG!
Pintu pondok ditolak kasar. Seorang lelaki berjambang nipis dan berambut kelabu di dalam pondok itu tersentak dengan kehadiran tetamu yang entah dari mana itu. Mujurlah tukul di tangannya tidak terlepas menghentam kaki.
"Haihh... nasiblah ayah ni tak ada sakit jantung..." Lelaki separuh abad itu menggeleng seraya menyambung kerjanya. Besi leper yang masih berbara merah di hadapannya terus diketuk-ketuk sepenuh tenaga. Dia hanya memakai baju tanpa lengan dek kerana suhu ruangan itu yang agak hangat. Jelas kelihatan keringat mengalir rancak di seluruh tubuh dan membasahi sebahagian pakaiannya.
"Bekal." Remaja itu menayangkan bekas plastik itu kepada ayahnya sekilas dan terus meletakkannya di atas meja kayu di tepi pintu.
"Kamu dah dapat surat jawapan dari Universiti Granadero atau Kolej Broxfiend?” soal lelaki itu sambil terus mengetuk hasil kerjanya dengan gagah.
Remaja itu tidak membalas. Dua pucuk surat yang diterimanya lebih seminggu yang lalu telahpun dibakarnya.
Satu-satunya sebab dia berbuat begitu adalah demi melindungi kedua orang tuanya daripada kekecewaan. Dia sudah masak benar, dan cukup tahu bahawa permohonannya akan ditolak mentah-mentah. Kerana mereka dari keluarga ini.
Keluarga Lagerstrom.
Kasta klan yang terendah di Tanah Lama.
"Saya tak hantar pun surat-surat permohonan tu semua. Saya tak rasa nak sambung belajar." Bohong remaja itu dengan bersahaja.
Lelaki separuh abad tersebut segera berhenti membuat kerja. Mata kelabu miliknya terus mencerlung ke arah budak lelaki itu.
"Kamu jangan bergurau. Habis tu, ke mana pergi surat-surat yang kamu tulis tu? Bukan main lagi kamu ke hulu ke hilir dapatkan dokumen sokongan daripada pengetua, ketua polis, dan datuk bandar. Akhirnya, kamu tak jadi hantar?" Jelas terpancar perasaan terkejut dan kekeliruan pada raut sang ayah.
Remaja itu menyangkutkan punggungnya pada meja kayu di sebelah pintu. "Saya rasa macam dah penat nak belajar, lepas tu hadap peperiksaan, kemudian ulang-ulang lagi kitaran yang sama beberapa tahun. Jemu lah. Lagipun, saya ni bukannya pandai sangat. Daripada ayah bazirkan duit untuk saya, lagi baik ayah gunakan je duit simpanan tu untuk Agnetha, Arnora dan Alette."
Lelaki itu mengeluh. "Habis tu, kamu nak buat apa? Kerja dengan ayah?"
Remaja itu tersengih. "Tepat sekali. Siapa lagi yang nak meneruskan legasi tukang besi terhebat, Encik Agnar Lagerstrom, jika bukan anaknya sendiri?"
Wajah Agnar terus dipenuhi kebosanan. Dia malas lagi hendak melayan karenah budak itu. "Dah, berhenti merepek. Kamu pergi buat surat rayuan ke apa, paksa diorang terima kamu. Nanti ayah temankan kamu jumpa dengan pihak pentadbiran diorang."
Ternyata, Agnar tahu bahawa anaknya sedang menipu.
Remaja itu mendesah perlahan seraya memerhatikan ayahnya yang sudahpun menyambung kerja. Dia cukup arif dan yakin bahawa saranan ayahnya itu adalah perkara yang sia-sia. Mendengar sahaja nama Lagerstrom, semua orang akan membutakan mata dan memekakkan telinga.
Itulah sebab kenapa emaknya tidak berjaya mendapatkan mana-mana kerja tetap selama ini. Agnetha pula, walaupun mendapat keputusan yang amat cemerlang, namun dia tidak pernah mendapat sebarang pengiktirafan daripada pihak sekolah, mahupun tawaran biasiswa ke institusi yang lebih berprestij. Bagi Arnora dan Alette, pemulauan mereka di sekolah sudah cukup membuktikan bahawa kewujudan mereka tidak pernah dialu-alukan di negara 'bertuah' ini.
Satu-satunya sebab mereka dapat mengecap sedikit kesenangan hari ini adalah kerana kemahiran ayahnya yang amat luar biasa. Kerja tangannya sangat teliti dan berkualiti tinggi. Semua produk-produk besi tersebut dapat dijual kepada orang tengah, yang kemudian menjualnya semula dengan jenama lain. Tiada satu pun hasil kerja tersebut dikreditkan ke atas nama Lagerstrom.
"Saya rasa, elok juga kalau saya gantikan ayah. Kemahiran ayah nampaknya macam makin berkurangan. Dah dua minggu ayah buat pedang tu. Rupanya agak mengecewakan." Remaja itu cuba memancing reaksi. Berbanding dengan pedang-pedang berkilat dan berkerawang yang tergantung di segenap pelusuk dinding, pedang yang satu itu kelihatan sungguh tidak menarik.
Agnar tersenyum. Pedang hitam yang berbara itu diangkat. "Ilmu kamu pasal besi masih cetek lagi. Ayah baru je buat satu-satunya pedang yang terbaik yang pernah wujud kat Tanah Lama ni. Tak ada lagi orang pernah buat campuran besi yang macam ayah tengah pegang ni."
Remaja itu langsung tidak kagum. "Ye ke? Macam mana ayah yakin sangat kalau tak pernah cuba lagi?"
Pandangan mereka bertemu. Kemudian, kedua-duanya tersengih, faham akan apa yang dimaksudkan.
Agnar merendamkan pedang di tangannya ke dalam sebekas air keruh, memadamkan api hangat di hujung senjata tersebut. Anaknya pula mencapai sebilah pedang yang tergantung di dinding berdekatan. Tanpa membuang masa, mereka terus memasang kekuda.
Pertarungan bermula. Gasakan demi gasakan diberikan oleh kedua-dua belah pihak. Dentingan besi memeriahkan seluruh ruang bengkel kecil itu.
Tidak sampai beberapa minit, pedang yang dipegang Agnar berjaya mematahkan senjata milik anaknya. Lelaki itu ketawa besar.
Anaknya agak terkejut, namun dia kelihatan gembira. Sepantas kilat, hulu pedang di tangannya dilemparkan ke tanah dan dia terus mencapai pedang lain di dinding.
Perlawanan diteruskan. Walaupun pergerakan anaknya lebih lincah, namun Agnar sentiasa dapat mengalahkannya dengan senjata hitam itu. Selepas hampir 10 minit, sudah empat bilah pedang berjaya dirosakkan.
Anak beranak itu begitu teruja dan asyik dengan pertandingan tersebut, sehinggalah keseronokan mereka itu dicantas dengan satu suara yang nyaring dan berang.
"Auvo!! Kau masuk ke dalam rumah dan hantar adik-adik kau ke sekolah sekarang! Sekaranggg!! Masuk sebelum mak datang dan tarik telinga kau!!"
Pedang-pedang mereka yang sedang bertemu terhenti di udara. Langkah yang rancak terus mati.
"Dah, pergi. Sebelum singa tu bertukar jadi naga." Arah Agnar sambil menurunkan pedangnya. Kemudian, anak-beranak itu tertawa kecil.
Auvo meninggalkan pondok itu. Sebaik sahaja menjejakkan kakinya ke ruang dapur, leteran ibunya terus menusuk ke telinga. Auvo berlalu ke ruang depan sambil tersenyum kecil dengan bebelan yang sudah melalut ke laut dalam itu. Adik-adiknya mengekori di belakang. Remaja itu mencapai jaket yang tersangkut di sebatang tiang penggantung pakaian. Pintu utama pantas dikuak.
Auvo terkaku di situ. Pergerakannya tergendala.
Di halaman rumah, tiga orang pegawai berpangkat tinggi dan beruniform lengkap sedang berjalan dengan penuh tertib ke arahnya. Sebuah kereta terbang mewah berwarna hitam mendarat berhampiran sebuah lagi kereta yang telahpun diparkir. Dua orang lagi pegawai keluar dari kenderaan tersebut dan mengekori rakan-rakan mereka yang telahpun mendahului.
"Selamat pagi. Izinkan patik mengadap Kaisarissa Sophia Demetra Aramus." Tutur salah seorang pegawai tersebut.
Auvo menoleh ke belakang, melihat ibunya yang sedang berdiri dengan riak kurang senang.
Aramus, satu nama yang sudah lama ditinggalkan oleh wanita itu. Kini, ia muncul kembali.
______________________________________________
Sophia merupakan anak kedua daripada 3 orang adik beradik. Abangnya, Raphail Nikos merupakan pewaris utama klan Aramus, salah satu klan yang paling berkuasa di Tanah Lama. Sophia juga mempunyai seorang adik perempuan, iaitu Natalia Filippa.
Sebagai keluarga bangsawan, mereka diasuh dengan tegas dan penuh disiplin sejak kecil. Anak lelaki dididik dengan persiapan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan, manakala anak perempuan pula diberikan pelajaran supaya setaraf dengan 3 klan besar yang lain iaitu Klan Blondeau, Klan Jurgens dan Klan Van Leroys. Perkahwinan antara klan-klan hebat ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan dan kekuasaan mereka di Tanah Lama.
Antara adik beradiknya, Sophia lah yang paling menyerlah kerana kebolehannya. Dia bukan sahaja pintar, malah cekap dalam sukan berkuda, memanah dan bermain pedang. Anugerah-anugerah yang sering diperolehinya sedikit sebanyak mengharumkan lagi nama keluarga. Disebabkan itulah dia sentiasa menjadi anak kegemaran ayahnya, Gianni Apollo Aramus.
Hal tersebut telah membangkitkan rasa cemburu di kalangan adik beradiknya yang lain. Akibatnya, mereka sering berbalah dan hubungan mereka agak dingin.
Di sebalik semua yang tampak sempurna, Sophia sebenarnya rimas dengan kehidupannya. Dia sering mencuri-curi keluar dari kediaman Aramus. Gadis itu akan merayau-rayau di sekitar bandar sehinggalah ke ceruk-ceruk kampung.
Semasa dia menuntut di Universiti, kehidupannya sedikit bebas. Ketika inilah dia terjumpa dengan Agnar Lagerstrom, seorang pembantu kedai besi di sebuah pekan kecil. Sophia tertarik dengan keramahan dan sifat budiman Agnar. Bertitik tolak daripada perkenalan itu, mereka semakin kerap berjumpa. Perbualan-perbualan kecil bertukar menjadi lebih panjang dan peribadi. Perasaan suka dan tertarik juga telah berkembang menjadi sesuatu yang lebih mendalam.
Dua tahun selepas itu, Sophia melamar Agnar. Saat ini, barulah Agnar tahu bahawa gadis yang dicintainya itu merupakan anak kepada Gianni Aramus. Memikirkan hidup gadis itu akan hancur, lelaki itu cuba untuk menolak. Dia sangat sedar akan kedudukannya yang hina di mata masyarakat. Mana mungkin sang pipit boleh hidup bersama si helang.
Namun, Sophia seorang yang degil. Agnar akhirnya menerima lamaran itu.
Berita tersebut sampai ke pengetahuan Gianni Aramus. Satu pertengkaran besar telah tercetus antara anak beranak itu. Demi Agnar yang amat dikasihinya, Sophia akhirnya meninggalkan segala-galanya. Wanita itu tidak pernah menamatkan pelajaran di universiti. Dia memilih untuk hidup bersama Agnar sehingga ke akhir hayat.
Sejak peristiwa tersebut, Sophia memutuskan sebarang hubungan dengan keluarga Aramus. Asal usulnya dibuang jauh. Dia lebih bahagia dengan hidup barunya meskipun ia dipenuhi dengan kesukaran.
Namun kadangkala, takdir sememangnya sukar diduga. Kini, sejarah hidup yang cuba dilupakan datang kembali di muka pintu rumahnya.
______________________________________________
Kereta terbang mewah hitam itu memperlahankan kelajuannya. Sedikit demi sedikit, ia mulai terbang dengan rendah.
Di bawah, kelihatan sebuah kawasan kediaman yang luasnya beberapa hektar. Sebuah bangunan seakan-akan istana tersergam di tengah-tengah kawasan selebar mata menandang itu. Terdapat juga beberapa bangunan lain yang mengelilinginya. Taman-taman indah menghiasi sekitar, menghijaukan kawasan. Keseluruhan kediaman tersebut sangat mempersonakan seperti di dalam sebuah cerita dongeng.
Kereta itu akhirnya tiba di jalan besar yang menghala ke arah pintu pagar utama. Dari jauh, kelihatan gerbang yang berkerawang emas. Sebuah logo rusa terpampang megah. Keluarga Lagerstrom yang berada di dalam kenderaan tersebut begitu terpukau dan takjub. Sejak tadi, riak dan ucapan kagum tidak putus-putus terbit dari mulut mereka. Memandangkan mereka berasal dari pekan yang kecil, tidak pernah mereka membayangkan bahawa ada manusia yang mampu hidup mewah sebegini.
Kecuali Sophia.
Rumah itu memberikannya perasaan dingin tanpa nyawa, sama seperti kali terakhir dia berada di sini 19 tahun dahulu. Dia tidak pernah suka akan tempat ini. Segala kemewahan yang menjadi pameran di depan matanya hanya mewujudkan rasa yang kosong.
Kenderaan tersebut berhenti di hadapan ruang masuk utama rumah agam itu. Pintu masuknya seperti sebuah lobi hotel. Sebaik sahaja menjejakkan kaki keluar kereta, keluarga Lagerstrom disambut oleh ramai pembantu yang tunduk hormat. Kemudian, mereka membawa segala beg dan barang-barang keluarga tersebut. Salah seorang daripada mereka mempelawa keluarga itu mengekorinya.
Mereka tiba di sebuah dewan besar. Pintu gergasi setinggi 12 kaki terpelahang dua, memperlihatkan isi tempat tersebut yang dipenuhi dengan lebih kurang 500 orang. Semua berpakaian serba hitam dan duduk di barisan-barisan kerusi yang tersusun kemas. Dewan yang tadinya dibanjiri suara-suara perlahan, tiba-tiba menjadi senyap. Perhatian semua tetamu telah terarah sepenuhnya kepada Sophia dan keluarganya.
"Mengumumkan ketibaan Kaisarissa Sophia Demetra Aramus dan keluarganya." Makluman tersebut bergema daripada pembesar suara.
Keluarga Lagerstrom berjalan dengan berhati-hati di tengah-tengah lorong barisan kerusi, mengekori si pembantu yang menunjukkan arah tuju mereka. Para tetamu mula berbisik sesama sendiri tentang siapakah gerangan mereka, pakaian murah yang dipakai keluarga itu, dan yang paling ketara adalah warna kelabu rambut dan mata yang dimiliki Agnar, Auvo, Arnora dan Alette. Dengan mudah para hadirin dapat mengecam kasta anak-beranak tersebut.
Sophia yang mendengar sedikit butiran umpatan yang menyakitkan telinga itu sempat mengerling deretan tetamu di kiri dan kanannya. Kebanyakan kot yang dipakai mereka bersulam dengan emblem klan masing-masing.
Klan Blondeau dengan emblem musang.
Klan Jurgens dengan emblem helang.
Klan Van Leroys dengan emblem bison.
Dan hampir 10 klan lain dengan emblem masing-masing.
Jika boleh, mahu saja Sophia muntah di situ untuk menunjukkan betapa loya dan muaknya dia. Namun, sekarang bukanlah masa dan tempatnya. Bukan hari ini.
Mereka sampai di barisan paling hadapan. Pembantu tadi meminta mereka duduk di kerusi-kerusi yang telah dikhaskan. Sebelum melabuhkan punggungnya, mata Sophia sempat menangkap susuk-susuk yang dikenalinya di barisan sebelah iaitu kakak iparnya, Madeleine yang sedang menahan tangis, adik perempuannya Natalia dan suaminya serta dua orang anak mereka, dan berakhir pada ayahnya, Gianni. Renungan sang ayah dan anak berhubung seketika. Sophia baru menyedari bahawa ayahnya sudah amat tua. Begitu banyak kedutan yang menyelubungi wajah lelaki itu.
Seorang pegawai berdiri di podium yang berada di hadapan dewan. "Dengan ini, saya menjemput Tuan Yang Terutama, Basileus Gianni Apollo Aramus untuk memberikan sedikit ucapan."
Gianni bangun dan berjalan ke dengan bantuan sebatang tongkat. Langkahnya terhenti sebentar di hadapan sebuah keranda kayu berkerawang emas yang dikelilingi bunga-bungaan. Tangan tua itu menyentuh permukaan dingin kayu tersebut. Kemudian, dia meneruskan hayunan kaki.
Seluruh dewan itu bertukar sunyi. Masing-masing menatikan bait-bait yang akan keluar dari bibir lelaki itu.
"Terima kasih kepada semua yang sudi datang pada hari ini untuk memberikan penghormatan terakhir kepada anak lelaki saya, Despotes Raphail Nikos Aramus."
Ucapan Gianni terhenti seketika. Dia berdehem sedikit untuk membersihkan tekak. Mungkin juga untuk membetulkan nadanya supaya tidak kedengaran terlalu lemah.
"48 tahun dahulu semasa Raphail dilahirkan, saya merasakan bahawa sayalah orang yang paling bahagia di dunia. Raphail telah memberikan sinar harapan kepada saya dan keluarga. Dialah yang bakal menjadi penerus kepada legasi Klan Aramus. Sebagai anak sulung, Raphail sering menunjukkan teladan yang baik untuk adik-adiknya. Apabila meningkat dewasa, dia sukakan cabaran dan sangat suka bersaing. Raphail telah berjaya menjadi lelaki dengan kualiti sempurna dari Klan Aramus. Sepanjang hidupnya, Raphail sentiasa menjaga amanah dan maruah keluarga. Kegagahannya dan keberaniannya juga telah dibuktikan sepanjang empat tahun dia melawan kanser. Oleh sebab sifat-sifat hebat itulah, dia disayangi oleh ramai orang. Kehadiran kalian adalah buktinya."
Sekali lagi, bicara Gianni terhenti. Kali ini akibat suaranya yang agak menggeletar.
"Tiada apa yang lebih menyedihkan apabila si anak yang sepatutnya mengebumikan si ayah, namun kini sang ayah yang terpaksa mengebumikan sang anak yang ditatang dari kecil. Ini adalah perkara paling menyakitkan yang perlu saya lakukan. Selamat tinggal anakku, Raphail Nikos Aramus. Kamu akan sentiasa dikenang selamanya."
Sebaik sahaja tamat berucap, Gianni beredar dari podium. Beberapa orang pegawai juga mengekori. Mereka bergerak ke arah keranda. Penutup keranda tersebut dibuka. Gianni meletakkan sekuntum ros putih di atas dada jasad kaku Raphail yang berkot hitam. Wajah anaknya yang cengkung itu dipegang lembut dan dahinya dicium.
Setelah Gianni duduk, balu Raphail, Madeleine pula berdiri, diikuti oleh Sophia, dan Natalia sekeluarga. Sophia turut meletakkan sekuntum bunga ros di dalam keranda. Walaupun dia dan abangnya selalu berbalah, namun air matanya tetap tumpah. Seburuk mana sekalipun lelaki itu, Raphail tetap abangnya. Mereka pernah membesar bersama-sama.
Selepas semua orang selesai memberikan penghormatan terakhir, mereka beramai-ramai berarak ke kawasan perkuburan Klan Aramus dan menjalankan pula majlis pengebumian di situ. Hampir satu jam kemudian, para tetamu beransur pulang. Begitu juga dengan keluarga Aramus.
Malam itu, keluarga Lagerstrom menginap di salah sebuah bilik di kediaman Aramus. Bilik itu lebih besar daripada rumah mereka. Di siling tingginya, sebuah kandil bertatah permata tergantung indah. Tiga buah katil besar pula dipenuhi dengan ukiran-ukiran yang halus. Panel-panel keemasan serta lukisan-lukisan pengkarya terkenal juga menghiasi dinding.
Satu ketukan perlahan kedengaran di pintu bilik. Sophia pergi membukanya. Seorang pembantu rumah menunduk hormat di muka pintu.
"Maafkan patik kerana mengganggu. Tuan Yang Terutama Basileus berkenan untuk mengadap dengan Kaisarissa sekarang." Beritahu pembantu wanita itu dengan sopan.
Sophia hanya mengangguk sedikit. Dia menoleh ke arah Auvo yang sedang bergelak ketawa bersama adik beradiknya. Serta merta, dia dapat mengagak apa yang akan dibicarakan oleh Gianni.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top