[8]

HAMPIR dinihari, hujan masih turun. Satu rahmat buat penduduk Padang Langit selepas lebih satu tahun menunggu, setelah pelbagai masalah melanda. Harapan mereka menggunung semula untuk melihat benih-benih kembali bercambah seperti waktu gemilang dahulu.

Cahaya samar-samar api di lentera menerangi sedikit lubang yang sudah digali. Dengan cermat, Nell meletakkan tubuh Irena di atas tanah yang basah itu. Dia mengucup dahi wanita itu buat kali terakhir sebelum keluar dari lubang itu. Tanah hitam dikaup dengan penyodok yang telah karat. Sedikit demi sedikit ia dilemparkan ke arah jasad kaku Irena, sehingga akhirnya menimbus sepenuhnya liang itu.

Nell terduduk. Budak itu sedikit mengah. Dia menyapu titis-titis air yang mengalir membasahi wajahnya. Dia sendiri sudah tidak tahu sama ada ia air hujan atau air matanya. Di hadapannya, ada dua kubur tidak bertanda yang baru sahaja dikambusnya. Di sebelah kubur-kubur itu jugalah tempat bersemadinya Martin bersama dengan lautan lagi kubur-kubur lain di kawasan luas yang dahulunya merupakan sebuah padang permainan. Batu nisan mereka kebanyakannya sengaja tidak diletakkan supaya jasad di dalamnya tidak dapat digali dan diambil oleh para Penghapus.

Budak itu membuka kemeja putih yang dijadikan pembalut abdomennya. Luka-luka tusukan dan tembakan pada badannya telahpun beransur pulih. Sejak kecil, dia mempunyai kelebihan untuk sembuh dengan kadar yang luar biasa. Dia tidak pernah jatuh sakit. Dia tidak memerlukan apa-apa vaksin seperti kanak-kanak yang lain. Jika ada sebarang luka kecil, ia akan hilang dalam masa beberapa jam sahaja. Di kala semua penduduk di Padang Langit dijangkiti wabak, Nell tidak menerima sebarang kesan. Sehingga hari ini, masih tiada tanda-tanda dia dijangkiti penyakit itu.

Dia menyentuh tanda lahir pudar di dada kirinya, bentuk 'V' dengan empat titik kecil di bawahnya. Ia terlalu sempurna untuk sebuah tanda lahir.

Perlahan-lahan dia berbaring. Matanya tegak ke arah langit yang legap, membiarkan hujan menimpa wajahnya. Mindanya bercelaru. Dia cuba mengingati kembali keadaan di rumahnya. Mayat-mayat yang separuh hancur itu membuatkan dia hampir muntah. Satu persoalan terus-menerus merajai benaknya. Siapakah yang membunuh mereka semua? Adakah dirinya mampu melakukan sesuatu yang begitu dasyat?

Sekarang, dia percaya askar-askar besi yang lain pasti berang dengan kematian rakan-rakan mereka. Lebih banyak kumpulan sebegitu akan muncul di kawasan ini.

Nell menggenggam tangannya. Perlahan-lahan terasa darahnya menjadi panas. Dia tidak akan membiarkan kematian Irena, Leon dan keluarganya menjadi sia-sia. Dia perlu lakukan sesuatu untuk menebus semuanya. Dia akan menunaikan permintaan terakhir wanita yang disayanginya itu. Dia perlu mencari ibunya. Dan dia harus keluar dari tempat ini.

Selepas itu, dia akan menuntut bela atas segala yang telah diambil darinya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top