[51]

DALAM kepekatan malam, Taman Tema Sagaria kelihatan seolah-olah sebuah bandar kecil di tengah-tengah tandus padang pasir. Landasan roller coaster usang yang sebahagian kecilnya telah rosak  melingkari hampir separuh taman hiburan bertemakan angkasa lepas itu. Pokok-pokok yang menghiasi sekeliling hanya tinggal batang dan dahan. Walaupun sudah lama ditinggalkan, tempat yang pernah menjadi antara taman tema terbaik di dunia itu masih kelihatan gah dengan binaan-binaan permainannya dan tunggangan ria yang unik.

Auvo berdiri di atas rim besi di puncak sebuah roda ferris yang telah diselaputi karat. Sesekali terdengar bunyi keriat-keriut dari kabin-kabin penumpang yang terolang-oleng akibat angin deras. Kedinginan yang bertiup tidak sedikitpun memberi kesan kepada lelaki itu. Mindanya telah dipukau oleh ribuan kilauan bintang yang bertaburan di segenap pelusuk langit. Tanpa segaris pun awan, sinaran-sinaran indah itu lebih terang dan mempersonakan daripada biasa.

Tumpuan Auvo pada keajaiban alam tersebut mati apabila seekor gagak hitam hinggap di atas bahunya. Gagak bermata ungu itu membalas renungan Auvo dengan gaukan yang perlahan.

"Kita berbual dalam kabin." Usul Auvo.

Pantas lelaki itu melompat ke atas salah sebuah bumbung kabin penumpang di bawahnya. Dia meloloskan diri ke dalam melalui bukaan tingkap yang sudah hilang penghadang kacanya. Si gagak juga segera terbang masuk dan mendarat di atas kerusi.

Sedikit demi sedikit, gagak itu bertukar ke dalam rupa manusianya, iaitu Reva.

"Kau dah jumpa diorang?" Auvo terus melontarkan kegusarannya sebaik sahaja duduk.

Reva menggeleng. "Dah hampir seharian aku cari diorang di utara. Aku dah tak ada idea kat mana nak cari lagi..."

Auvo menghembus sedikit nafas. Dia cuba berfikir tentang kawasan-kawasan lain yang mungkin dituju oleh Azaka.

"Tapi, aku ada berita baik!" Gadis itu pantas bersuara.

Nada ceria Reva membuatkan Auvo mengangkat sedikit keningnya, meminta gadis itu meneruskan perkhabaran tersebut.

"Luna dan Fabbio dah berjaya baiki sistem komunikasi di markas. Jadi, kau boleh cuba mesej Azaka." Reva tersenyum luas.

Auvo mengeluarkan sebuah telefon bimbit daripada poket jaket labuhnya. "Telefon dia kat aku."

Reva tepuk dahi.

Auvo menyondongkan sedikit badannya ke depan seraya menyangkut kedua-dua sikunya di peha. "Mungkin diorang tak berada di utara. Aku nak kau perisa di bahagian selatan sikit. Kau cuba juga cari diorang kat Rumah Anak Yatim Sigma, satu-satunya rumah anak yatim di Pekan Lumos."

Kening Reva berkerut sedikit. "Kenapa kat situ?"

"Cuma intuisi." Balas Auvo seraya menghulurkan telefon bimbit Azaka kepada gadis remaja itu.

Reva menyambut peranti tersebut. "Ada apa-apa pesanan lain kat Azaka?"

"Kau suruh je dia mesej aku. Kalau kau tak jumpa juga diorang, aku sendiri yang akan pergi cari lepas aku pastikan Kaio dan Sonny selamat." Jawab Auvo mendatar.

"Okay." Reva tersenyum senget.

Kemudian, remaja itu berubah semula menjadi burung dan membawa telefon bimbit itu pergi. Tinggallah Auvo keseorangan, kembali menikmati pemandangan angkasa.

Namun, keadaan itu tidak berlanjutan lama. Auvo terperasan akan Kaio yang sedang berdiri di bawah roda ferris tersebut. Budak itu sedang merenung ke arah Auvo, seolah-olah ingin berkata sesuatu kepadanya.

Auvo menendang perlahan pintu kabin itu dan menguaknya. Dia melompat keluar dan mendarat beberapa kali di atas bahagian-bahagian besi
binaan tersebut sebelum akhirnya menjejakkan kakinya ke tanah.

"Aku rasa aku macam nampak kau bercakap dengan sorang perempuan tadi..." Kaio menggaru-garu dagunya dengan wajah berkerut. Matanya tak lepas dari roda ferris tersebut.

"Patutnya kau tidur sekarang." Auvo terus mencantas persoalan itu.

Kaio mengeluh perlahan. Dia mengangkat buku nota yang dipegangnya di hadapan wajah. "Aku nak bincang pasal ni..."

"Bukan ke kau dah selesaikan semua masalah dalam buku tu dengan Azaka?" Giliran Auvo pula bertanya.

"Ya, aku ingat kami dah selesaikan. Tapi lepas aku belek-belek balik buku tu, aku terjumpa sesuatu yang baru..." Terang Kaio.

Lelaki itu mengopek sedikit helaian kertas di kulit belakang buku tersebut. Di sebaliknya terselit nota kecil. Kaio menyerahkan kepingan kertas itu kepada Auvo. Kemudian, kaio menghidupkan lampu suluh.

Auvo membelek nota tersebut. Tulisannya agak berlainan dengan yang terdapat di dalam buku nota itu. Kod-kod nombor dan beberapa pesanan ringkas jelas terpampang.

"Ini Genevieve yang tulis?" Auvo meminta kepastian.

Kaio mengangguk. "Ye. Mak aku yang tulis. Nampaknya, aku bukan hanya akan jadi penunjuk jalan. Aku sendiri yang terpaksa pergi sampai ke bilik rahsia tu sebab selain kod masuk, untuk buka peti besi atau apa benda yang perlu dibuka tu perlukan imbasan cap jari, iris, suara dan DNA aku."

Mata Auvo masih tertancap pada nota tersebut. "Genevieve suruh musnahkan semua benda dalam tu. Jadi... kenapa ayah kau arahkan kau selamatkan semua benda tu dan sembunyikan nota mak kau?"

Kaio tertunduk dan terdiam sebentar. Mukanya dipenuhi kekeliruan. "....Aku pun tak faham kenapa ayah aku bagi arahan yang betul-betul berlainan..."

Auvo menghulurkan semula nota kecil itu kepada Kaio. "Ahli Maveriks akan selesaikan masalah ni. Yang penting, kau dan Sonny kena sampai di markas."

"Aku risau pasal Sonny. Dia nak sangat cari abang dia. Aku risau kalau di tahu tentang apa yang abang dia tengah buat..." Luah Kaio.

Saat ini, barulah Kaio terperasan akan Auvo yang sedang merenung permainan karusel berdekatan dengan mereka. Auvo bagaikan tahu ada seseorang di situ. Melihatkan reaksi Auvo, Kaio juga pantas memandang ke arah tunggangan ria tersebut. Dadanya mula berdetak kencang.

"Apa yang abang aku tengah buat?"

Suara Sonny bagaikan desingan panah yang menikam telinga Kaio. Jantungnya terasa pecah dan luruh ke tanah. Seluruh roma di tubuhnya terus meremang.

Dari balik bayangan kuda-kuda konkrit tidak bernyawa itu, susuk Sonny muncul perlahan-lahan.

Ini mimpi ngeri Kaio.

"Apa yang abang aku tengah buat, Kaio?" Sonny sekali lagi mengajukan soalan yang sama dengan lebih tegas.

Kaio tergamam. Otaknya terus kosong. Dia memandang Auvo dengan harapan lelaki itu akan menolongnya. Tetapi tiada reaksi langsung daripada Auvo. Malah, lelaki tidak menunjukkan minat untuk ikut campur.

"Jadi, kau tau yang abang aku masih hidup... tapi kau pilih untuk tipu aku macam orang lain jugak?" Raut Sonny mula bertukar merah.

"Sonny... aku.... aku boleh jelaskan. Sebenarn –"

"Kau ada peluang yang sangat banyak untuk jelaskannya kat aku! Kenapa kau pilih untuk tipu aku?!" Suara Sonny naik seoktaf.

"Bukan macam tu! Aku terpaksa. Aku... aku..." Kaio mati kutu.

"Rupanya kau dah memang kenal Azaka dan perangkap aku supaya ikut pelan korang yang bodoh ni. Patutlah kau percayakan dia sangat...." Sonny terus-menerus meluahkan amarah.

Kaio mula meramas rambutnya. "Sonny, aku minta maaf. Aku tak berniat pun nak –"

"Tak berniat nak tipu aku? Aku percaya kau, Kaio. Percaya sepenuhnya. Kaulah satu-satunya orang yang aku percaya dalam dunia ni. Tapi kenapa kau pun tipu aku? Kenapa kau hancurkan semua harapan aku kat kau?? Kenapa?!" Suara Sonny penuh dengan kekecewaan bersama seribu kerutan di wajah.

Kaio kehilangan kata-kata. Ketika ini, dia terasa begitu sesak dengan rasa bersalah.

"Jawab soalan aku, Kaio. Kau dan Azaka memang berpakat tipu aku dan bawa aku ke sini kan?!" Sonny terus mendesak.

Kaio tidak mengeluarkan sebarang jawapan. Bibirnya dikemam. Jemarinya tergenggam rapat. Keluhan resah dilepaskan beberapa kali. Jelas kelihatan dia begitu cemas. Akhirnya, dia bersuara.

"Ya. Aku yang suruh dia umpan kau dengan uncang duit tu... supaya ada ruang untuk dia masuk dalam kehidupan seharian kau dan aku. Ayah kenalkan aku dengan dia beberapa tahun dulu. Dan... dia hadir waktu aku perlukan bantuan untuk fahami nota tinggalan ayah aku ni. Aku percayakan dia. Tapi, aku tau ia takkan mudah untuk kau. Kalau aku tiba-tiba saja rapat dengan dia yang baru muncul masa tu, kau akan syak sesuatu pada aku jugak. Jadi... itu saja cara yang boleh aku fikir untuk buatkan kau 'beri kebenaran' untuk dia berada di sekeliling kita..."

Penjelasan Kaio hanya membuatkan keadaan bertambah buruk. Sonny semakin berang.

"Kenapa kau perlu tipu aku pasal nota ayah kau tu?! Kau sorokkan fakta daripada aku, tapi dengan mudah kau kongsi benda sebenar dengan orang luar. Aku ingat aku ni keluarga kau, Kaio! Tapi nampaknya... kau tak anggap aku macam tu..."

"Sonny! aku bukan sengaja nak rahsiakan benda ni. Ia arahan dari ayah aku sendiri. Dia tak nak aku libatkan kau langsung. Aku nak sangat bagitau kau. Tapi... aku tak ada pilihan..." Suara Kaio semakin terdesak.

Sonny menggelengkan kepalanya dengan senyuman sinis. "Aku ingat aku kenal kau. Tapi sekarang, aku sedar yang aku dah silap. Aku pun tak rasa kau perlukan aku untuk kisah 'harta karun' palsu kau tu..."

Sonny melangkah pergi dengan kasar. Hatinya benar-benar remuk. Kepercayaannya pada Kaio terus hancur. Marah, sedih, keliru, semua  bagaikan taufan yang sedang mengganas di dalam segenap rongga tubuhnya.

"Kau nak ke mana?" Kedengaran panggilan resah Kaio yang cuba mengejar rakannya itu.

Sonny memekakkan telinga. Dia langsung tidak berpaling. Mendengar suara itu sahaja bagaikan mencurah minyak ke dalam bara api.

TANG!

Tidak semena-mena, sebilah pedang hitam terpacak betul-betul di hadapan Sonny, memaksa lelaki itu menghentikan langkahnya.

Sonny menoleh dengan geram. "Kau jangan menyibuklah, Auvo!!"

Serentak itu, satu sfera elektrik terbang laju ke arah Auvo. Lelaki itu sempat mengelak. Bebola tenaga itu menghentam dan melubangkan sedikit turapan tar di tanah.

ZRASSS!

Sekelip mata, dua bilah parang terbang ke arah Sonny. Pantas kedua-dua belah lengan jaketnya ditembusi senjata-senjata tersebut. Tanpa sempat berbuat apa-apa, parang-parang itu  menolak Sonny ke belakang dan menghempaskan badannya ke atas sebuah kerusi penumpang permainan menara 'drop down'. Bar keselamatan terus mengepit bahu dan dada lelaki itu di tempat duduk.

Parang-parang Auvo tercabut sendiri dari jaket Sonny. Sekelip mata, senjata-senjata tersebut menikam penyandar kerusi, masing-masing melintang di sebelah kiri dan kanan leher Sonny. Kemudian, kedua-duanya perlahan-lahan menyenget dan merapatkan matanya ke leher lelaki itu, sekaligus membuatkan Sonny berhenti bergelut.

Auvo berjalan tenang ke arah pedangnya yang sedang terpacak. Dia mencabut senjata kesayangannya itu dan merehatkannya di atas bahu. Langkahnya terus diatur merapati Sonny yang sedang memberikan renungan tajam. Di belakang Auvo, Kaio mengekori lelaki itu dengan terkocoh-kocoh.

"Kau ni agak bising. Kalau kau bercakap lagi, aku terpaksa potong arteri di leher kau." Ujar Auvo yang kini sedang berdiri di hadapan Sonny.

"Cubalah..." Sonny mencabar.

Tidak perlu menunggu lama, parang-parang Auvo kian merapat antara satu sama lain. Mata senjata-senjata tersebut kian terbenam di kulit cerah Sonny.

"Auvo!!" Kaio mulai panik.

Auvo masih memandang Sonny tanpa sebarang emosi. "Kau tak suka penipu. Kau yakin ke yang kau tak pernah menipu seumur hidup kau? Hipokrit namanya tu."

Kali ini, tiada sebarang balasan daripada Sonny. Parang-parang Auvo juga sudah berhenti bergerak. Akhirnya, jejaka itu belajar 'mendengar kata'.

Auvo menggunakan kuasanya dan mengangkat sebuah bangku besi yang tidak jauh dari situ. Bangku itu diterbangkan dan didaratkan di hadapan Sonny. Kemudian, Auvo membaringkan pedangnya di situ lalu duduk bersandar. Dia menyilangkan kakinya sebelum meneruskan bicara.

"Jujurnya, aku tak kisah pasal kau sangat. Aku pun sebenarnya tak ada kena mengena langsung dalam misi ni. Aku dah ambil keputusan untuk cuci tangan berbelas tahun yang lalu. Satu-satunya sebab aku terjebak balik sekarang ni pun hanya kerana Azaka. Aku cuma nak tolong dia. Untuk memastikan kerja dia selesai, aku perlu bawa korang sampai ke markas Maveriks. Jadi, aku tak ada masa nak peduli pasal kisah kau dan abang kau. Kau nak ke tak nak, aku tetap akan heret kau sampai ke situ."

Sonny mengetap gigi menahan rasa tidak puas hati. Sementara Kaio terpana memerhatikan Auvo. Hari ini, dia dapat melihat sekelumit sifat lain lelaki itu.

Bagaikan empangan yang pecah, Auvo terus menghamburkan fikirannya.

"Azaka boleh keluarkan korang dari Lembah Besi paling lama pun dalam dua bulan. Tapi kenapa dia terpaksa tinggal di Bandar Tembaga sampai 6 bulan? Sebab kau. Sebab orang yang susah nak bagi kerjasama macam kau. Kau melambatkan kerja dia. Kalau tak kerana kemunculan Nell, mungkin lebih lama dia akan berada di situ semata-mata nak meyakinkan kau untuk ikut dia keluar dari tempat tu. Kau tau apa masalah kau? Kau sentiasa fikir semua perkara hanya berkisar pasal kau dan kehidupan kau je. Kau tak sedar yang dunia ni lebih luas daripada tu. Lebih banyak masalah besar yang perlu dibimbangkan. Kau nak salahkan perang yang buatkan kau macam ni? Aku lagi berhak salahkan perang daripada kau. Aku sendiri bertarung dalam perang tu. Aku bukan sekadar hilang keluarga. Aku hilang segalanya."

Kaio ternganga. Dia tidak pernah melihat Auvo bercakap begitu banyak. Ianya mengagumkan dan pada masa yang sama agak menakutkan.

Auvo menyilangkan tangannya di dada. "Kau nak tau sangat apa yang berlaku kan? Aku akan ceritakan semuanya. Dengar sampai telinga kau berdarah."

.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top