[44]

SUBUH ini sedikit dingin. Udara basah. Titisan-titisan air masih bersisa di dedaun pokok dan rumput-rumput. Serangga-serangga sudah keluar merayap mencari makanan di atas tanah yang lembab.

Nell tersedar dari mimpi. Bola matanya dipusingkan ke merata tempat, cuba untuk mengingati keberadaannya. Dia bangkit dari pembaringan dan terus duduk. Peluh di wajahnya disapu. Jantungnya masih berdetak laju.

Segera dia teringat akan mimpi-mimpinya sebelum ini. Mimpi yang sering berulang-ulang seperti pemain cakera yang tersekat. Semuanya tentang Irena dan dirinya ketika masih kecil. 

Tak semena-mena, satu kesakitan menyerang kepalanya. Dia mengerang perlahan. Nell mencengkam rambutnya. Rasanya seperti hampir meletup. Dia menahan dirinya dari menjerit. Budak itu terbaring semula, menggulungkan dirinya dalam kesakitan yang amat sangat. Biji matanya seolah mahu tersembul. Sensasi loya berkumpul di tekak. Badannya mula menggigil dengan teruk.

Tiba-tiba, muncul rasa takut sekiranya saat ini dia bertukar gila. Dia berusaha bangun dengan sedaya upaya.

Aku kena pergi dari sini!

Nell menggagahkan diri berjalan menuju ke ruang hadapan bunker. Semakin lama, hayunan kakinya kian laju. Pintu bunker cuba dibuka namun agak ketat. Dengan menggunakan sedikit kuasanya, pintu itu terpelahang ke luar. Nell terus meloloskan diri dari tempat itu.

Rintana yang baru bangun terpisat-pisat melihat ke arah pintu bunker yang terbuka. Segera gadis itu melompat turun dari katil. Dia berlari anak ke arah Sudha yang sedang diulit mimpi di tepi dinding. Tubuh ayahnya digoncang kuat.

"Ayah! Nell dah lari!" Rintana sedikit cemas.

"Hah?!" Sudha yang masih sedikit mamai terus bangun dan duduk. "Kita tak boleh biarkan dia sorang-sorang kat dalam hutan ni. Kejutkan semua orang...!"

Nell terus berlari sejauh mungkin. Kakinya dipaksa bergerak dengan segala kudrat. Entah berapa lama dia telah berlari. Dia tidak tahu ke mana arah yang dituju. Badannya sudah calar-balar dihiris duri-duri pohon yang meliar.

Kemudian, dia tersungkur. Rasa perih dan ngilu semakin bermaharaja lela. Seluruh tubuhnya kejang. Dagingnya seperti sedang ditikam berkali-kali.

Saat itu, kepalanya diterjah dengan bayangan-bayangan yang tidak dapat dibendung. Ia terus menerobos otaknya seperti tayangan filem yang berceramuk. Urat-urat kasar timbul jelas di dahinya. Suara-suara yang tidak dikenali berdering di otak.

"Kami yang jadikan kau, 407. Kau patut patuh!"

"Ibu sayang kamu, Nathaniel. Kamulah dunia ibu."

"Lari, Nataniel!!"

"Dia kena lupakan semuanya. Ini untuk kebaikan dia..."

Nell akhirnya menjerit kerana sudah tidak tahan lagi. Gemanya memecah kesunyian.

Dalam keadaan yang genting itu, terasa bahunya dipegang. Satu bisikan hadir di telinganya.

"Nell... bertenang. Tarik nafas... kau akan okay..."

Dia kenal suara itu. Perlahan-lahan dia cuba mententeramkan dirinya.

Nell berhenti bergelut. Sedikit demi sedikit, dia cuba menghirup oksigen meskipun agak tersekat-sekat.

Lama kelamaan, kepalanya kian ringan. Kesakitan itu beransur-ansur surut. Penglihatannya sudah tidak berbalam. Namun jasadnya masih menggeletar dan terasa amat lesu.

Nell memerhatikan kelibat legap Azaka di dalam kesuraman hutan. Perempuan yang sedang mencangkung di hadapannya menyelimuti badan Nell dengan sehelai jaket khaki. Kemudian, Azaka menunggu budak itu kembali pulih.

Sekeliling menjadi sepi. Hanya kedengaran nafas Nell yang mulai perlahan rentaknya. Dadanya yang tadi turun naik dengan kencang semakin reda. Budak itu merenung tanah yang hitam, cuba mendapatkan semula kewarasannya. Semakin lama, dia beransur tenang semula.

"Aku benci semua ni..." Rungutnya lemah.

Gadis itu duduk. "Mungkin ni satu fasa yang kau kena alami sebelum kau dapat kawal kuasa kau tu. Kau akan okay nanti..."

Nell memejamkan matanya dengan keletihan. Dia tak tahu berapa lama lagi dia perlu menghadapi keadaan dirinya yang tidak menentu ini. Dia sudah tidak tahan lagi dengan 'sumpahan' yang perlu dihadapinya.

"Kau tahu nama penuh aku. Mak cik aku yang bagitahu kau?" Tanya Nell perlahan setelah sekian lama diam. Seumur hidupnya, dia tidak pernah menyatakan nama sebenarnya kepada orang lain kerana telah berjanji pada Irena yang paranoid.

Azaka mengangguk. "Nathaniel Irvin. Nama yang bagus."

"Apa lagi yang mak cik aku bagitau kau? Banyak lagi ke rahsia pasal aku yang dia simpan? Kau nampaknya lagi banyak tau tentang aku berbanding dengan diri aku sendiri..." Nadanya berbaur kecewa.

Jika benar, Nell merasakan itu tidak adil kerana Irena membiarkannya berada dalam 'kegelapan'.

Azaka melihat budak yang terbaring itu sambil otaknya ligat berfikir. Perasaannya bercampur baur. Kata-kata Sudha semalam terngiang semula di telinga. Patutkah dia memberitahu budak itu perkara sebenar?

Perlahan-lahan, gadis itu menyalakan pemetik api lalu mengeluarkan loket besi yang selama ini terselindung di balik bajunya. Loket berbentuk segiempat tepat ditunjukkan kepada Nell.

"Ini abang aku punya, Naraki." Azaka mematikan semula api.

Nell hanya diam. Dia tidak faham mengapa Azaka tiba-tiba bercerita tentang rantai abangnya.

Azaka tersenyum kecil, dapat menduga apa yang difikirkan budak itu.

"Abang aku pun Parabrid. Dia seorang yang unik. Tak macam parabrid yang lain, dia boleh menggunakan pelbagai jenis kuasa. Macam kau, dia ada kuasa yang dia sendiri tak tahu sampai ke tahap mana."

Mata Nell menjadi segar mendengar cerita itu.

Azaka menyambung. "Aku nampak kuasa kau ada persamaan dengan abang aku. Aku nampak kau guna kuasa graviti masa kau berlawan dengan Hader di Bandar Tembaga. Kadang-kadang kau mampu tahan sakit macam Talon. Kaio pun ada bagitau aku yang kau boleh halang peluru macam yang Auvo buat. Kau juga boleh jana elektrik macam Sonny. Dan... kau mampu menyaingi kelajuan aku."

Kata-kata Azaka itu mengingatkannya semula kepada semua pertarungan yang pernah dilaluinya. Dia telah melakukan banyak perkara yang di luar jangkaan, yang selama ini tak pernah dia sangka dapat melakukannya.

"Jadi... apa sebenarnya kuasa aku...?" Tanya budak itu bersama kerutan di dahi.

Azaka diam sekejap.

"Sejenis kuasa peniruan." Ujar Azaka pendek.

Ekspresi terkejut terpamer di wajah Nell.

"Peniruan...?" Budak itu kebingungan.

Azaka mengangguk. "Apa sahaja kuasa yang pernah kau lihat pada orang lain, otak kau akan merakamnya. Dan kuasa tu akan jadi milik kau. Lebih banyak Parabrid yang kau lawan, lebih banyak kebolehan yang kau akan dapat."

Keadaan kembali senyap. Bunyi serangga kedengaran sayup-sayup. Nell menolak dirinya duduk dengan kudrat yang semakin kembali. Dia masih sedikit bercelaru. Pelbagai perkara yang berlegar di ruang otak budak itu ketika ini.

Mula-mula, badannya boleh sembuh dengan pantas. Kemudian, dia menjadi gila. Sekarang ini, kuasa peniruan pula. Apa lagi selepas ini?

"Berapa banyak kuasa yang boleh ada dalam badan aku...?" Nell ingin tahu dengan lebih lanjut.

Azaka menjungkit bahu. "Aku tak berapa pasti tentang kemampuan kau. Tapi... Naraki ada berbelas-belas. Setakat yang aku pernah nampak."

Ketika ini, barulah dia mengerti mengapa Irena sering mengutus surat dengan perempuan ini. Rupa-rupanya, Azaka arif akan kuasanya.

"Kebolehan kau tu menakjubkan. Tak semua Parabrid boleh buat apa yang kau buat. Ada yang sanggup berbunuhan untuk dapat kuasa macam kau ni..." Terang Azaka lagi.

Nell menghembus nafas berat. Entah mengapa penjelasan itu kedengaran begitu menakutkan. Dia tidak mahu kuasa sebegitu.

"Kat mana abang kau sekarang?" Nell ingin bertemu dengan orang yang mungkin boleh membantu mengendalikan kuasanya yang semakin di luar kawalan.

Azaka terdiam. Anak matanya menghala ke bawah melihat loket di dadanya sebelum ia kembali ke wajah budak itu. Perempuan itu seperti kehilangan kata-kata.

"Naraki dah mati." Ujar Azaka perlahan.

Jantung Nell seolah terhenti sedetik. Iris biru perempuan itu direnung dalam, mencari kebenaran dalam penjelasan tadi.

"Tapi... kalau dia sama macam aku, dia takkan boleh mati..." Balas Nell keliru.

Azaka tersenyum pudar. "Itulah perbezaan kau dan dia. Dia tak ada kebolehan regenerasi sel sebaik kau."

Nell terdiam memandang tanah. Azaka juga sudah tidak berkata apa. Sunyi. Namun di dalam kepala mereka, taufan sedang melanda.

"Azaka... kau kata, kuasa aku dan dia sama. Adakah... aku ada pertalian dengan dia...?"

Soalan Nell yang mendadak menyebabkan Azaka terkesima.

"Tolong, jangan berahsia lagi dengan aku..." pinta budak itu. "Aku berhak tahu perkara yang sebenarnya."

Azaka meraup mukanya. Satu dengusan kecil dilepaskan. Patutkah dia memberitahu budak ini segalanya? Apa yang akan terjadi sekiranya dia tahu bahawa seluruh hidupnya sehingga kini adalah satu pembohongan?

"Sebelum aku ceritakan semuanya, kau perlu janji satu benda pada aku." Azaka memberikan syarat. "Walau apa pun yang terjadi, kau tetap perlu ke utara. Kau perlu sampai ke Lindungan Damai dan cari ibu kau. Walaupun aku mati, walaupun tak ada sesiapa lagi yang boleh temani kau."

Nell tidak segera bersetuju. Namun lama kelamaan, dia mengangguk juga.

"Aku janji." Panahan mata Nell tepat ke dalam mata perempuan itu.

Azaka tersenyum. Dia menggosok kepala Nell sedikit. "Bagus."

Azaka menatap wajah Nell beberapa ketika. Bicaranya seakan begitu berat untuk diluah. Tapi perjanjian tadi perlu dikotakan.

"Ya, kau memang ada pertalian dengan Naraki."

Nell buntang ke arah perempuan itu. Pendedahan yang tidak dijangka tersebut ibarat tembakan tepat ke dadanya. Dia semakin bergelut untuk menghadam semuanya.

"Pertalian apa...?" Suara Nell agak pecah.

Azaka mengeluh sedikit. Dia mengumpulkan sekelumit kekuatan.

"Kau adalah klon Naraki. Satu-satunya subjek dari 'Projek Paragon IV' yang berjaya hidup."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top